Membran separa telap

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Skema membran separa telap sewaktu hemodialisis. Darah berwarna merah, bendalir dialisis berwarna biru, dan membran berwarna kuning.

Membran separa telap (Inggeris: semipermeable membrane) ialah satu membran yang membenarkan sesetengah molekul atau ion melepasinya melalui resapan dan kadang kala "resapan terbantu" khas.

Kadar laluan bergantung kepada tekanan, penumpuan dan suhu molekul-molekul atau bahan terlarut di kedua-dua belah membran, dan juga ketelapan membran kepada setiap bahan terlarut. Ketelapan bergantung kepada jenis membran dan bahan terlarut, dan juga kepada saiz bahan terlarut, keterlarutan, sifat atau kimianya. Cara membran ini dihasilkan yang membolehkannya memilih ketelapannya akan menentukan kadar dan ketelapan membran tersebut. Banyak bahan semula jadi dan sintetik juga bersifat separa telap. Salah satu contoh bahan separa telap jenis ini ialah lapisan nipis di bahagian dalam kulit telur.

Contoh membran separa telap ialah dwilapisan lipid. Di atas lapisan ini terletaknya membran plasma yang mengelilingi semua sel. Dwilapisan fosfolipid yang terdiri daripada sekumpulan fosfolipid (yang terdiri daripada kepada fosfat dan dua ekor asid lemak) yang disusun membentuk dua lapisan adalah sejenis membran separa telap dengan ketelapan yang sangat spesifik. Kepala fosfat yang hidrofilik di lapisan luar terdedah kepada kandungan air di luar dan di dalam sel. Ekor yang hidrofobik membentuk lapisan yang terlindung di dalam membran. Dwilapisan fosfolipid sangat telap kepada bahan-bahan terlarut yang kecil dan tidak bercas. Saluran-saluran protin terapung merentasi fosfolipid. Secara keseluruhannya, model ini dikenali sebagai model mozek bendalir.

Membran komposit lapisan nipis (TFC atau TFM) digunakan dalam osmosis berbalik. Membran ini adalah membran separa telap yang dihasilkan khas untuk digunakan dalam sistem penulenan air atau penyahgaraman. Ia juga digunakan secara kimia seperti dalam bateri dan sel bahan api. Bahan TFC pada dasarnya ialah penapis molekul yang dihasilkan dalam bentuk lapisan daripada dua atau lebih bahan yang dilapiskan.

Secara amnya, membran yang digunakan dalam osmosis berbalik dihasilkan daripada poliamida. Sebab utama bahan ini dipilih adalah kerana ketelapannya terhadap air dan ketidaktelapan relatifnya kepada pelbagai jenis benda asing terlarut seperti ion garam dan molekul-molekul lain yang tidak boleh ditapis. Contoh lain membran separa telap ialah sistem tiub dialisis.

Jenis lain membran separa telap ialah membran pertukaran kation (CEM), membran mozek cas (CMM), membran dwikutub (BPM), membran pertukaran anion (AEM),[1] membran pertukaran anion alkali (AAEM) dan membran pertukaran proton (PEM).

Resapan air melalui membran telap memilih dinamakan osmosis.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]