Meriam Talang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Meriam Talang ialah sejenis mercun buatan sendiri yang terkenal semasa musim perayaan Hari Raya di Malaysia. Meriam Talang diberi nama sempena dengan tempat asal di mana meriam ini dimainkan iaitu di Kampung Talang, Kuala Kangsar Perak. Seperti juga mercun yang lain, meriam Talang diharamkan seperti yang termaktub dalam Akta Bahan Letupan 1957; ironinya, semakin ramai kanak-kanak Melayu beralih kepada meriam buluh yang lebih berbahaya sebagai alternatif kepada mercun komersial yang diharamkan oleh kerajaan.[1]

Bagaimana ia berfungsi[sunting | sunting sumber]

Sesebuah meriam Talang biasanya terdiri daripada sebatang batang paip besi yang besar serta campuran kalsium karbida dan air. Tindak balas kimia yang terhasil daripada campuran kalsium karbida dan air di dalam buluh menghasilkan asetilena, gas yang mudah meletup. Gas asetilena akan meletup apabila didedahkan kepada api. Letupan tersebut boleh mengakibatkan kecederaan teruk jika tidak dikendalikan dengan berhati-hati. Dengan mengunakan paip besi, kaedah ini dikatakan lebih selamat kerana ia tidak mudah pecah seperti buluh. Oleh kerana ia dibuat daripada besi, bunyinya juga lebih kuat berbanding meriam buluh biasa.

Cara-cara orang kampung Talang bermain meriam ini sungguh unik kerana mereka menggunakan gugusan 'meriam' yang banyak dalam formasi yang tersusun dan teratur ketika bermain kerana setiap kumpulan pasukan meriam mepunyai "komander"-nya sendiri yang mengawal setiap pengendali meriam-meriam itu. Penduduk kampung Talang hanya bermain Meriam ini ketika musim raya sahaja.

Bahaya bermain meriam Talang[sunting | sunting sumber]

Oleh kerana ia menggunakan batang besi, meriam Talang mempunyai kekuatan yang sekata dan lebih tahan. Bagaimanapun tidak terdapat jaminan batang besi yang digunakan mampu bertahan dengan letupan yang terhasil, maka ia mampu pecah sekiranya letupan terhasil melebihi ketahanan struktur paip besi. Ini menjadikan ia tidak dapat dijangka terutama sekiranya berlaku kelesuan logam. Letupan yang terhasil pula adalah lebih merbahaya kerana batang besi akan berderai terserpih. Selain itu terdapat ancaman bahan api yang mungkin akan terpercik dan menyebabkan kelecuran dan kecacatan kekal pada muka dan anggota badan akibat letupan tadi.[2]

Selain itu terdapat bahaya daripada 'sisa toksik' kabaid yang berasid dan mampu menipiskan kulit yang terdedah dan juga wapnya yang mengancam paru-paru sekiranya dihidu untuk tempoh yang lama. Selain itu terdapat bahaya melecur terkena api lampu kabaid dan juga bahaya ketika berlaku letupan terlewat. Bahaya letupan lewat berlaku apabila pemain cuba memeriksa meriam yang tidak meletup selepas dicucuh dan meriam meletup ketika mereka sedang melihat ke dalam meriam.

Langkah pencegahan[sunting | sunting sumber]

Penggunaan paip besi yang diganti selepas digunakan beberapa kali boleh mengurangkan bahaya letupan akibat kelesuan logam. Bagaimanapun ini tidak mengurangkan bahaya melecur terkena api lampu kabaid.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "ELAK SAMBUTAN SYAWAL BERTUKAR TRAGEDI - "MASYARAKAT PERLU DIDIDIK BAHAYA BERMAIN MERCUN"". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-11-17. Dicapai pada 2015-07-20.
  2. ^ NYARIS BUTA GARA-GARA MERIAM BULUH

Pautan luar[sunting | sunting sumber]