Mogok Utusan Melayu 1961

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Mogok Utusan Melayu 1961
Tarikh20 Julai 1961 – 21 Oktober 1961
Lokasi
PuncaPerubahan dasar editorial pengurusan
Matlamat
  • Memperjuangkan kebebasan akhbar
  • Membantah pengambilalihan Utusan Melayu oleh UMNO
  • Membantah pelantikan Ibrahim Fikri Mohammad sebagai Ketua Pengarang
  • Menolak dasar baharu yang diusulkan oleh Lembaga Pengarah Utusan untuk menjadikan Utusan Melayu sebagai lidah rasmi parti
Kesan
  • Utusan Melayu dikuasai oleh UMNO selepas mogok berakhir
  • Pengharaman Said Zahari daripada memasuki Persekutuan Tanah Melayu
Tokoh dan pemimpin utama
Said Zahari 115 kakitangan dan wartawan Utusan Melayu

Mogok Utusan Melayu 1961 ialah peristiwa mogok dalam industri persuratkhabaran negara yang berlaku dari 20 Julai sehingga 21 Oktober 1961 selama 90 hari yang mana seramai pekerja dan wartawan akhbar Utusan Melayu telah mengadakan mogok bagi memperjuangkan kebebasan akhbar dan membantah pengambilalihan akhbar itu oleh parti pemerintah, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).[1][2][3][4][5]

Peristiwa[sunting | sunting sumber]

Pra-mogok[sunting | sunting sumber]

Pada April 1961, ketua penerangan UMNO yang juga lantikan parti itu dalam pengurusan akhbar itu, Ibrahim Fikri, telah mengarahkan Said Zahari, Pengarang Utusan Melayu ketika itu, untuk menerima memo kerajaan yang mengandungi Dasar Empat Perkara iaitu:[6]

  • menyokong penuh parti pemerintah,[6]
  • mengehadkan liputan kepada parti-parti lain,[6]
  • memperbanyakkan liputan untuk menteri-menteri kerajaan,[6]
  • dan menyokong tindakan kerajaan serta jika ada keputusan yang buruk, maka perlu mengkritik secara membina.[6]

Mogok[sunting | sunting sumber]

Mogok itu bermula pada 20 Julai 1961 apabila seramai 115 kakitangan dan pekerja akhbar Utusan Melayu (kemudian menjadi Utusan Malaysia) telah melancarkan mogok bagi memperjuangkan kebebasan akhbar dan membantah pengambilalihan akhbar tersebut oleh UMNO.[7][8] Mogok itu diketuai oleh Said Zahari yang merupakan ketua pengarang akhbar itu.[6] Wartawan dan pekerja-pekerja kilang Utusan Melayu pada masa itu dengan tegas membantah pelantikan Ibrahim Fikri (ahli Majlis Tertinggi UMNO dan bekas Ketua Penerangan UMNO) sebagai Ketua Pengarang baru akhbar itu dan menolak dasar-dasar baru yang diusulkan oleh Lembaga Pengarah Utusan untuk menjadikan akhbar Utusan sebagai lidah rasmi parti pemerintah.[5]

Sejumlah daripada para pekerja Utusan Melayu telah menduduki perkarangan bangunan pejabat akhbar itu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur secara berterusan dan mendirikan khemah protes tempat mereka tidur dan makan sepanjang mogok. Mereka menghadapi banyak halangan daripada majikan dan pihak polis. Namun, mereka juga menerima bantuan makanan dan kewangan dari golongan yang menyokong perjuangan untuk menegakkan kebebasan akhbar.[5] Said dinyatakan berkata:

"Kami hanya mahu memastikan Utusan Melayu terus menjadi akhbar nasional bebas, tidak dikawal oleh mana-mana parti politik. Pendirian kami ialah hanya Utusan Melayu yang bebas daripada kawalan sedemikian yang benar-benar dapat berkhidmat kepada agama, negara dan semua orang Melayu, bukan hanya segelintir dalam parti politik. Hanya dengan dasar bebas Utusan Melayu boleh menjadi suara rakyat, memperjuangkan kepentingan rakyat dengan ikhlas, berintegriti dan berani".

Pihak pengurusan mengarahkan bangunan Utusan Melayu ditutup, dan pemogok memutuskan untuk berkhemah di luar. Said menghubungi Yaacob Latif, Pengarah Jabatan Penerangan, untuk meminta talian telefon ke kem mogok. Tongkat (Usman Awang) yang mengetuai Jawatankuasa Penerangan, dibantu oleh Rosedin Yaakub, menubuhkan "pejabat maklumat" mereka yang terdiri daripada meja, mesin taip dan yang telefon yang baru dipasang. Mulai hari itu juga, pemogok "Jabatan Penerangan" menerbitkan buletin, "Siaran Mogok", dan berjaya mengeluarkan 20 keluaran sebelum Kementerian Penerangan kerajaan dan polis menghentikan penerbitan itu.[5]

Majlis Kerja Persatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Cetak pada 23 Julai 1961 telah bersidang dan menyokong penuh pekerja Utusan Melayu yang melancarkan mogok. Keputusan itu dibuat setelah majlis itu mendengar kenyataan daripada wakil Kesatuan Pekerja Utusan Melayu. Pada 24 Julai, Ibrahim Fikri telah mengemukakan notis kepada wakil pekerja Utusan dan mengarahkan pekerja yang mogok supaya "keluar dari bangunan atau kawasan syarikat". Notis itu dikeluarkan oleh Fikri pada jam 4 petang dan memberi tempoh kepada kakitangan supaya keluar daripada pejabat Utusan selewat-lewatnya pada jam 5:30 petang.[9]

Pada 29 Julai, Menteri Buruh, Bahaman Shamsuddin mengatakan bahawa pegawai-pegawai kementeriannya telah menyelesaikan pertikaian antara majikan dan pekerja Utusan Melayu. Pegawai Kementerian Buruh telah mengadakan perbincangan antara kedua-dua belah pihak dan telah mengemukakan cadangan tertentu bagi menyelesaikan mogok itu.[10]

Pada 5 Ogos, pejabat Utusan Melayu di Cecil Street, Singapura telah ditutup atas perintah majikan akhbar itu di Kuaia Lumpur. Seramai 28 kakitangan jabatan pengarang dan pekerja yang berpiket dalam pejabat itu sejak mogok berlaku.[11] Pada 8 Ogos, mogok pekerja Utusan telah dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat sementara dua ahli pembangkang, Zulkiflee Muhammad dan V. David membincangkan mengenai kebebasan media. Menteri Dalam Negeri, Dato' Ismail telah menolak tuduhan bahawa kebebasan media di Persekutuan Tanah Melayu semakin terancam. Beliau dipetik sebagai berkata: "Saya harap sengketa Utusan Melayu segera selesai".[12]

Pada 20 Ogos, 4 pekerja baharu Utusan Melayu yang diambil bekerja telah berpaling tadah dan tidak memulakan hari bekerja. Mereka datang bersama Ibrahim Fikri, Pengarh Urusan dan ketua Pengarang Utusan.[13]

Bahaman pada 31 Ogos 1961 menyatakan bahawa beliau "berhubung rapat" dengan majikan dan pekerja Utusan Melayu yang melancarkan mogok. Beliau telah memperbaharui tawaran jasa baiknya kepada mereka terlibat dalam pemogokan untuk mencapai "asas penyelesaian yang berpatutan".[14][15]

Resolusi dan kesan[sunting | sunting sumber]

Selepas 30 hari mogok berjalan, kerajaan telah mengambil tindakan keras dengan menyingkirkan Said Zahari ke Singapura. 11 hari kemudian, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengeluarkan surat perintah mengharamkan Said daripada memasuki Persekutuan Tanah Melayu. Perintah itu, yang bertarikh 30 Ogos 1961, dibaca seperti berikut: "Di bawah Seksyen 9 Ordinan Imigresen, 1959, saya dengan ini dengan perintah melarang selama-lamanya kemasukan ke dalam Persekutuan Tanah Melayu Said Zahari, warga Singapura, bekas kakitangan Utusan Melayu Press, Kuala Lumpur".[16][17]

Para pemogok Utusan Melayu bertemu dengan Perdana Menteri, Tuanku Abdul Rahman untuk berunding mengenai sengketa mereka dengan majikan. Tuanku Abdul Rahman pada 27 September telah bersetuju untuk menemui rombongan pemogok dengan syarat, mereka tidak akan berpiket pada hari pertemuan itu.[18][19]

Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman pada 12 Oktober 1961 telah mengarahkan supaya rundingan antara pihak antara majikan dan kakitangan Utusan Melayu diadakan serta-merta.[20][21]

Pada 14 Oktober, rundingan antara majikan dan pekerja Utusan Melayu yang diadakan selama sejam setengah di pejabat Kementerian Buruh menemui jalan buntu.[22]

Khemah bantahan mereka di depan pejabat Utusan telah dirobohkan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan sepasukan perobohan, 4 hari sebelum pemogokan mereka tamat pada 21 Oktober 1961. Mogok mereka telah bertahan selama 93 hari tanpa mencapai matlamat dan tuntutan asal mereka untuk mempertahankan kemerdekaan Utusan.[6][23] Selepas mogok berakhir, Utusan Melayu terus dikuasai oleh UMNO sehingga penutupan akhbar tersebut pada 9 Oktober 2019 berikutan masalah kewangan dan bebanan hutang yang dihadapi oleh syarikat Utusan Melayu.[24][25][26]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Mohsin Abdullah (14 Ogos 2019). "Siapa nak tolong Utusan?". Malaysiakini. Dicapai pada 18 Februari 2020.
  2. ^ Imlan Adabi (21 Oktober 2019). "Duri dan api akhbar Melayu". Berita Harian. Dicapai pada 18 Februari 2020.
  3. ^ "Pekerja2 Utusan Melayu mogok". Berita Harian. 21 Julai 1961. m/s. 1.
  4. ^ "The strike at Utusan Melayu" [Mogok di Utusan Melayu] (dalam bahasa Inggeris). Fajar. Ogos 1961. m/s. 3.
  5. ^ a b c d "Utusan Melayu staff on strike" [Kakitangan Utusan Melayu sedang mogok] (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. 21 Julai 1961. m/s. 18. Dicapai pada 19 Februari 2015.
  6. ^ a b c d e f g Steven Sim (10 Oktober 2019). "Mengimbas kembali 80 tahun Utusan Malaysia". Malaysiakini. Dicapai pada 18 Februari 2020.
  7. ^ "Utusan: 115 kena berhenti". Berita Harian. 22 Julai 1961. m/s. 9. Dicapai pada 18 Februari 2015.
  8. ^ "Utusan Melayu maseh mogok". Berita Harian. 23 Julai 1961. m/s. 1. Dicapai pada 18 Februari 2015.
  9. ^ "Perentah keluar daripada bangunan Utusan kpd pemogok2". Berita Harian. 24 Julai 1961. m/s. 1. Dicapai pada 18 Februari 2015.
  10. ^ "U. MELAYU: KEM: BUROH BERTINDAK". Berita Harian. 29 Julai 1961. m/s. 1. Dicapai pada 18 Februari 2015.
  11. ^ "PEJABAT UTUSAN MELAYU DI-S'PURA DI-TUTUP". Berita Harian. 5 Ogos 1961. m/s. 1. Dicapai pada 18 Februari 2015.
  12. ^ "Menteri: Saya harap sengketa Utusan Melayu segera selesai". Berita Harian. 8 Ogos 1961. m/s. 1. Dicapai pada 18 Februari 2015.
  13. ^ "4 pekerja baharu paling tadah, masok pemogok2". Berita Harian. 20 Ogos 1961. m/s. 1. Dicapai pada 18 Februari 2015.
  14. ^ "Utusan: Bahaman bersedia jadi orang tengah". Berita Harian. 31 Ogos 1961. m/s. 5. Dicapai pada 19 Februari 2015.
  15. ^ "BAHAMAN IN TOUCH WITH UTUSAN STRIKE" [BAHAMAN BERHUBUNG DENGAN MOGOK UTUSAN] (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. 31 Ogos 1961. m/s. 2. Dicapai pada 19 Februari 2015.
  16. ^ "Said Zahari di-tegah masok ka-Tanah Malayu perentah Tengku". Berita Harian. 4 September 1961. m/s. 1.
  17. ^ "Entry ban on former Editor of Utusan" [Larangan kemasukan untuk bekas Pengarang Utusan] (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. 4 September 1961. m/s. 1. Dicapai pada 19 Februari 2015.
  18. ^ "Utusan: Offer by Tengku" [Utusan: Tawaran oleh Tengku] (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. 27 September 1961. m/s. 5. Dicapai pada 19 Februari 2015.
  19. ^ "Pemogok2 Utusan jumpa PM". Berita Harian. 7 Oktober 1961. m/s. 1. Dicapai pada 19 Februari 2015.
  20. ^ "UTUSAN: TENGKU ANJORKAN PERUNDINGAN". Berita Harian. 12 Oktober 1961. m/s. 1. Dicapai pada 19 Februari 2015.
  21. ^ "New move in Utusan strike" [Langkah baru dalam mogok Utusan] (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. 12 Oktober 1961. m/s. 1. Dicapai pada 19 Februari 2015.
  22. ^ "RUNDINGAN UTUSAN GAGAL". Berita Harian. 14 Oktober 1961. m/s. 1. Dicapai pada 19 Februari 2015.
  23. ^ "Strike at Utusan called off" [Mogok di Utusan berakhir] (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. 21 Oktober 1961. m/s. 1. Dicapai pada 19 Februari 2015.
  24. ^ "Utusan Group ceases operations, staff told to vacate offices by 1pm Wednesday (Oct 9)" [Kumpulan Utusan menamatkan operasi, kakitangan diminga untuk kosongkan pejabat sebelum jam 1 petang (9 Okt)]. The Star Online (dalam bahasa Inggeris). 9 Oktober 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Oktober 2019. Dicapai pada 9 Oktober 2019.
  25. ^ "End of the road for Utusan" [Penghujung jalan untuk Utusan]. Free Malaysia Today (dalam bahasa Inggeris). 9 Oktober 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 Oktober 2019. Dicapai pada 9 Oktober 2019.
  26. ^ "Utusan Melayu henti operasi perniagaan". Utusan Malaysia. 9 Oktober 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 Oktober 2019. Dicapai pada 9 Oktober 2019.