Mohamed Khir Johari

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Tan Sri Mohamed Khir Johari atau Khir Johari (29 Januari 1923 - 19 November 2006) merupakan pemimpin veteran UMNO yang juga anggota Kabinet pertama kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Beliau turut menjadi menteri semasa Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan di Kampung Kancut, Alor Star, Kedah dan mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu di Jalan Bharu dan Sungai Korok sebelum melanjutkan pendidikan menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star. Hajat beliau sambung belajar di Medical College, Raffles College di Singapura pada 1940 terbantut apabila Perang Dunia Kedua (PDII) meletus.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Pak Khir’ mempunyai sembilan orang anak, lima daripadanya ialah perempuan. Antara anak beliau ialah Roselina Khir Johari (65-66 tahun) yang kini merupakan pensyarah di UM, ialah hasil perkahwinannya dengan isteri pertama, Puan Sri Kalsom Abdul Rahman (Che Tom) yang dikahwini pada 1943 iaitu semasa PDII. Che Tom meninggal dunia pada 20 September 1994.

Isteri keduanya, Puan Sri Cristine Lim Abdullah dikahwini pada Februari 1996.[1][2]

Kerjaya politik[sunting | sunting sumber]

Beliau rapat dengan Tan Sri Senu Abdul Rahman, Fatimah Hashim dan Tunku Abdul Rahman. Sesiapa sahaja menyukainya kerana beliau pandai berjenaka di samping akalnya. Beliau dan cikgu Senu pernah mementaskan drama sebabak di Alor Setar. Mereka juga menubuhkan 'Rumah Miskin' untuk membantu golongan fakir miskin. Pertubuhan Saberkas ' (Sayang Akan Bangsa, Ertinya Korban Apa Segala) ditubuhkan di Kedah semasa penjajahan Jepun bagi mendapatkan kemerdekaan.

Apabila Tunku Abdul Rahman terpilih sebagai Presiden UMNO pada 25 Ogos 1951 dalam Mesyuarat Agung UMNO di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. Pengasas UMNO, Dato Onn Jaafar meninggalkan UMNO dan menubuhkan IMP. Khir Johari menjadi Setiausaha Agung UMNO selepas pilihan raya 1955.

Beliau bertanding dalam pilihan raya 1955, 1959, 1964 dan 1969 di Kedah Tengah yang kemudian pada 1978 ditukar nama kepada Kuala Kedah, Kedah dari 1955 hingga 1982. Semasa pilihan raya 1969, gambar beliau dan isterinya berpakaian tradisi Cina telah dijadikan isu kempen parti pembangkang terutama PAS. Khir Johari juga menghantar kad ucapan Tahun Baru Cina kepada rakan-rakan Cinanya. Sebenarnya gambar itu diambil semasa lawatan beliau ke Hong Kong.[perlu rujukan] Semasa Peristiwa 13 Mei 1969, beliau dan Tunku berada di Kedah meraikan kemenangan UMNO di sana.[3]

Mohamed Khir pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam politik termasuk menjadi Setiausaha Agung UMNO. Beliau dilantik menganggotai Kabinet kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman sebagai Menteri Pelajaran Malaysia pertama negara pada tahun 1957. Beliau adalah antara anggota Kabinet kerajaan paling lama berkhidmat iaitu sejak 1950-an sebelum bersara pada 1976.

Jawatan kabinet[sunting | sunting sumber]

Khir Johari menyandang pelbagai jawatan dalam kabinet Malaysia. Antaranya dilantik menjadi Menteri Muda di Kementerian Pertanian dan Perikanan (1955), Menteri Pelajaran yang pertama (31 Ogos 1957-1960), Menteri Perdagangan dan Industri (1960-1964), Menteri Pertanian (1964-1966), Menteri Pelajaran (1966-1968) dan Menteri Perdagangan dan Industri (1968-1973).

Selain Mohamed Khir, Kabinet pertama Tunku turut dianggotai oleh Tun Abdul Razak, Tun H. S. Lee, Sulaiman Abdul Rahman, Tun V.T. Sambathan, Tun Sardon Haji Jubir, Tun Tan Siew Sin, Abdul Aziz Ishak, Tan Sri Bahaman Samsudin, Datuk Abdul Rahman Talib dan Tun Omar Ong Yoke Lin.

Beliau pernah mengetuai rombongan Malaya ke Persidangan UNESCO di Paris (1958); Presiden Persidangan Jawatankuasa Kerja Pembangunan Semula Kawasan Luar Bandar Afro-Asia (1964); dan mengetuai rombongan Malaysia ke upacara Pembukaan Persidangan Peringkat Menteri-Menteri bagi kerjasama Asia dan Pasifik (ASPAC) di Seoul, Korea Selatan (1966).

Seterusnya, beliau dilantik sebagai Duta Besar Malaysia di Amerika (Februari 1973) dan Duta Besar di PBB, New York (1973-1976). Semasa di AS, beliau memandu kereta sendiri merentas benua Amerika Utara dari New York ke Washington.[4]

Beliau juga dilantik sebagai Presiden 'Malaysia Institute of Directors' dan Naib Pengerusi Magnum Corporation Berhad – sebuah syarikat judi. Khir Johari juga dilantik sebagai Pengerusi Karangkraf bagi menerbitkan semula akhbar Watan.

Nasib tulisan Jawi[sunting | sunting sumber]

Khir Johari terkenal dan tersohor di bawah Kementerian Pelajaran. Beliau telah melakukan satu reformasi dalam pendidikan negara apabila menghapuskan tulisan jawi sebagai tulisan utama dan tulisan pengantar kepada bahasa Melayu pada 1966.[5] Bermula dari itu, semua pelajaran yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ditukar tulisannya ke dalam tulisan rumi. Generasi yang mendapat didikan selepas beliau menjadi menteri di Kementerian Pelajaran telah menjadi generasi yang kurang mahir dalam tulisan jawi. Serentak dengan itu juga akhbar utama orang Melayu ketika itu, Utusan Melayu menjadi semakin malap dan tidak popular. Pada tahun 2005, Utusan Melayu telah terkubur dan pihak kerajaan terpaksa menghidupkannya kembali dengan tajaan daripada pihak-pihak tertentu.[perlu rujukan]

Aktiviti kemasyarakatan[sunting | sunting sumber]

Khir Johari aktif dalam pelbagai aktiviti sosial seperti sukan dan alam sekitar. Beliau menjadi Presiden 'World Wide Fund for Nature Of Malaysia' (WWF), Presiden Persatuan Zoologikal Malaysia, Presiden PATA (1971/1972), ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tunku Abdul Rahman, Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Presiden Penaja Persatuan Sepak Takraw Malaysia selama 15 tahun, Naib Yang Dipertua Gabungan Persatuan Badminton Asia dan Presiden Soft Tennis Association Of Malaysia (STAM) (1994).

Beliau dilantik sebagai Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang kali terakhir dipegangnya pada 1993 sehingga pernah dianugerahkan sebagai Bapa Sepak Takraw oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) setahun kemudian.

Di bawah kepimpinannya dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM), skuad negara berjaya membawa pulang gelaran berprestij berpasukan dunia, Piala Thomas pada 1967 dari Jakarta yang hanya dapat diulangi suku abad kemudian di Kuala Lumpur.

Dalam bidang kebajikan, Khir Johari menjadi penaung kepada Persatuan Kebajikan Pekak dan Pusat Sindrom Down Kiwanis. Sementara dalam pertubuhan Islam, Allahyarham aktif dalam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Yayasan Amanah Pembinaan Islam (A staf).

Selain itu, Khir Johari pernah menjawat Presiden Persatuan Zoologikal Malaysia dan pengasas bersama serta presiden pergerakan pemeliharaan hidupan liar, WWF Malaysia.

Penghormatan[sunting | sunting sumber]

Beliau ialah satu-satunya tokoh yang namanya diabadikan sekurang-kurangnya di lapan buah sekolah di seluruh negara. Antaranya ialah Sekolah Kebangsaan Khir Johari di Prai (Pulau Pinang), Kampung Melayu Majidee (Johor), Sungai Petani (Kedah), Sabak Bernam (Selangor), Tanjung Malim (Perak), Beranang (Selangor) dan Bagan Datoh (Perak). Selaku Menteri Pelajaran, beliau telah merasmikan upacara pembukaan rasmi Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, Kuantan pada 12 Jun 1967 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras pada 27 Mac 1969.

Beliau turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang oleh Universiti Malaya (1966); Ijazah Kehormat Pendidikan dan Sains oleh De La Salle College, Manila (1967); Senatorship oleh 'Junior Chamber International' (1967); 'Langkawi Award - The Highest Tribute To Individual Malaysians for Outstanding Contributions In The Environmental Field' (1995) dan 'Member of Honour of the International WWF Network'.

Beliau menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang membawa gelaran Tan Sri, Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K) yang membawa gelaran Dato' dan P.M.N.[6]

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 19 November 2006 akibat sesak nafas[7] semasa bersarapan pagi di kediamannya di Suasana Sentral Kondominium, Brickfield. Doktor mengesahkan beliau meninggal dunia akibat sakit jantung. Isterinya Puan Sri Cristine Lim ada bersama. Jenazah dimandi dan dikafankan di Masjid Negara dan disembahyangi diketuai imam Datuk Kamaruddin Zakaria. Kemudian, beliau dikebumikan di perkarangan Makam Pahlawan mengikut Istiadat Pengebumian Pembesar Negara pada kira-kira jam 6.45 petang.

Lebih 500 orang hadir di Masjid Negara bagi memberi penghormatan terakhir. Antaranya termasuklah Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid dan Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.[8] Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak dapat hadir kerana berada di Hanoi.

Rujukan[sunting | sunting sumber]