Mohammad Kassim Abdul Rashid

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Mohammad Kassim Abdul Rashid
Dato' Klana Petra
Undang Luak Sungai Ujong
Tempoh27 Mac 1946 - 28 Oktober 1983
Kemahkotaan25 Januari 1951
Didahului olehMaamor Kasim
Diikuti olehMubarak Dohak
Keputeraan (1902-10-13) 13 Oktober 1902 (umur 121)
Seremban, Negeri Sembilan, Malaya
Pemakaman28 Oktober 1983
Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia
PasanganRafeah binti Kassim
KerabatWaris Hilir
AyahandaDatuk Nika Abdul Rashid
BondaNoresah
AgamaIslam

Mohammad Kassim bin Datuk Nika Haji Abdul Rashid merupakan bekas penyandang Dato' Undang Luak Sungai Ujong, salah satu daerah pentadbiran adat (luak) di Negeri Sembilan, Malaysia. Beliau ditabalkan pada 25 Januari 1951 bagi mengantikan Datuk Kelana Ma'amor bin Kassim[1] yang meninggal dunia.

Pengisytiharan Datuk Kelana Putera telah dilakukan sebelumnya iaitu pada 27 Mac 1946 selepas daripada kemangkatan Almarhum Datuk Kelana Ma'amor bin Kassim.Istiadat pertabalan dimulakan dengan sembilan das tembakan meriam. Seterusnya istiadat bersiram telah dimulakan oleh Dato' Batin dari Ulu Beranang dan Jenang diikuti pula oleh Dato' Mandika, Dato' Seri Maharaja Diraja dan lain-lain ahli waris. Istiadat diteruskan apabila Dato' Syahbandar mengisytiharkan pekerjaan kerajaan dan meriwayatkan riwayat hidup Undang yang baru.

Dato' Laksamana dan Dato' Panglima Besar kemudiannya mengisytiharkan istiadat mengadap yang didahului oleh Dato' Mandika dan 25 orang Dato'-Dato' yang lain, Kadi-kadi termasuk Naib-naib Kadi, Penghulu, Buapak-buapak, dan waris-waris yang lain. Istiadat ini adalah mengikut aturan Adat Pepatih yang diamalkan di Negeri Sembilan telah ditentukan dan bacaan doa telah menamatkan istiadat.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Beliau berkelulusan darjah empat Sekolah Melayu Pantai sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sehingga tamat persekolahan.[perlu rujukan] Semasa di maktab, beliau mengambil bahagian cergas dalam permainan dan gerak kerja kumpulan. Permainan yang beliau gemari ialah bola sepak dan sepak raga.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Undang Datuk berkhidmat selama 37 tahun dan pernah kerja di pejabat elektrik, pejabat tanah, Seremban; pejabat daerah. Kuala Pilah; pejabat hutan serta di seksi akaun jabatan elektrik di Kuala Lumpur. Beliau juga berkhidmat dalam pasukan volunteer pada tahun 1934 hingga tamat perang duniaⅡ. Undang Datuk juga mengambil bahagian dalam pergerakan sukarela dan persatuan belia dan cergas dalam syarikat kerjasama Melayu.

Perkahwinan[sunting | sunting sumber]

Undang Datuk berkahwin dengan Toh Puan Rafeah binti Kassim, berketurunan orang-orang besar Pulau Tawar dekat Jerantut. Perkongsian beliau berdua dikurniakan Allah dengan enam cahaya mata, dua lelaki dan empat perempuan. Beliau mempunyai 12 cucu.

Semasa hayatnya beliau dikenali oleh semua golongan. Beliau banyak berkhidmat meninggikan taraf hidup rakyatnya terutama mereka yang tinggal di luar bandar. Satu daripada projeknya ialah rancangan perumahan di Ampangan dikenali dengan nama Kampung Datuk Kelana Mohammad Kassim. Beliau sentiasa menggalakkan rakyatnya supaya berkecimpung dalam bahagian pembangunan dan perniagaan. Beliau juga sangat-sangat mengambil berat tentang bidang pertanian dan ternakan.

Hobi[sunting | sunting sumber]

Undang Datuk adalah peminat sukan dan pintar menembak. Hobinya suka memburu binatang liar. Kerjaya beliau yang cemerlang ialah menembak seekor harimau yang pernah dihadiahkan kepada Muzium Negara untuk tatapan rakyat. Beliau adalah pengasas dan bekas Pengerusi Kelab Menembak Negeri Sembilan serta bekas Naib Pengerusi Persatuan Menembak Kebangsaan.[perlu rujukan]

Kemangkatan[sunting | sunting sumber]

Pada hari Jumaat 28 Oktober 1983,bersamaan 23 Muharam, jam 8:30 pagi, Yang Teramat Mulia Datuk Undang Luak Sungai Ujung, Datuk Kelana Putra Mohammad Kassim bin Datuk Nika Haji Abdul Rashid,81, Undang yang ke-9 telah kembali ke rahmatullah di Rumah Sakit Besar,Seremban,Negeri Sembilan. Yang Teramat Mulia Undang Datuk Kelana Putera Mohammad Kassim bin Datuk Nika Haji Abdul Rashid telah dilantik menjadi Undang Luak Sungai Ujung oleh Lembaga mengikut adat istiadat pada 27 Mac 1946 dan dikerjankan (ditabalkan) pada 25 Januari 1951. Yang Teramat Mulia diputerakan di Kampung Pantai pada 13 Oktober 1902, anak bongsu Cik Noresah binti Balai dan Datuk Andulika Mendika, Tiang Balai Sungai Ujung. Beliau adalah dari Waris Hilir Kampung Godang dalam salasilah dan terombo Sungai Ujung. Datuknya sebelah bondanya ialah Datuk Laksamana Nadin. Beliau ialah keturunan Datuk Kelambu atau Datuk Tumbu yang mana kesan-kesan makamnya terdapat di Rahang. Ayahanda beliau, Undang Datuk telah meninggal sewaktu beliau berumur 6 tahun. Sepeninggalan ayahandanya Undang Datuk menolong bondanya di bendang, mencari rotan di hutan dan mengail ikan di sungai.

Krisis Perlantikan Undang Luak[sunting | sunting sumber]

Terdapat sedikit krisis selepas kemangkatan Yang Teramat Mulia Datuk Kelana Putera untuk pengganti Undang Luak Sungai Ujung yang baru. Setelah dua tahun Undang Luak Sungai Ujung tiada pengganti, pada 08.03.1986 Raja Abdul Rahim Raja Abdul Razak dari Rumpun Bayu diisytihar oleh anak warisnya sebagai Datuk Kelana Putera ke-10. Pada 02.07.1987 pula seorang warga adat dari Rumpun Dusun, Lenggeng diistiharkan oleh warisnya sebagai Datuk Kelana Putera ke-10 dan menganggap perlantikan Raja Abdul Rahim tidak sah. Dewan Keadilan Negeri yang bertanggungjawab mengesahkan perlantikan semua Undang tidak mengeluarkan sebarang persetujuan berhubung kedua-dua perlantikan individu berkenaan sebagai Undang Luak Sungai Ujung yang baru. Dewan ini dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan serta dianggotai oleh kesemua Undang yang empat bersama Tunku Besar Tampin dan Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai ex-officio. Dewan ini tidak ada kuasa melantik Undang tetapi mempunyai kuasa merestui dan mengesahkan perlantikan Undang yang dibuat oleh Tua Waris Hulu, Tua Waris Hilir dan Waris Nan Tuo. Disebabkan tiada restu dan pengesahan daripada Dewan Keadilan Negeri berhubung perlantikan kedua-dua individu berkenaan sebagai Undang Luak Sungai Ujung kerana perlantikan mereka tidak mengikut adat yang sah, maka satu kata muafakat telah dibuat oleh tiga waris tua berkenaan berhubung isu ini. Akhirnya ketiga-tiga Waris Tua Berkenaan telah memilih Yang Teramat Mulia Dato' Mubarak bin Tahak @ Dohak[2], [3] sebagai Datuk Kelana Putera ke-10 iaitu Undang Luak Sungai Ujung yang baru pada 29.12.1993 telah menyelesaikan kemelut Perlantikan Undang Luak Sungai Ujung yang berlanjutan selama 10 tahun. Sepatutnya pengganti Undang yang baru harus dibuat selepas kemangkatan penyandangnya.

Rujukan:[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]