Mohd Khair bin Mohd Taib

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Tuan Haji Mohd. Khair Bin Hj. Mohd Taib adalah seorang ahli astronomi Malaysia. Beliau lahir pada 8 September 1922 di Kampung Bakar Bata, 3 km dari Alor Setar, Kedah, utara Malaysia.

Beliau belajar di Madrasah al-Hamidiah ( Limbung Kapal ) pada 1936. Antara gurunya ialah Ku Arifin yang kaedah pengiraan waktu solat. Kemudian di Ma’had Mahmud, Kedah beliau belajar ilmu falak syarie dan Rubu’ Mujayyab.

Seterusnya belajar di al-Mahsyur, Pulau Pinang. Di Kuala Kangsar, beliau berguru dengan Muhammad Tahir Bin Syeikh Muhammad Bin Ahmad Jalaluddin .Beliau diberi sebuah peti besi bersama semua peralatan ilmu falak. Disamping itu belajar secara sambilan di Sekolah Agama Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Syeikh Tahir pernah belajar ilmu falak di Universiti Al Azhar, Mesir dan pernah menghasilkan buku Pati Kiraan dan Natijatul Ummi.

Bersama sahabatnya Haji Salleh Shamsuddin, beliau mengumpul dan mengajar 15-20 pelajar yang berminat dengan ilmu falak.Dengan kerjasama Tuan Guru Haji Yahya Junid (abang iparnya) pengasas Madrasah al-Taufiqiyah, beliau mengajar ilmu falak di situ. Buku rujukan beliau ialah buku tulisan tangan Muhammad Tahir bin Syeikh Muhammad bin Ahmad Jalaluddin. Lain-lain ialah Nautical al-Manac yang diterbitkan di England dan buku berbahasa Arab.

Pada 27-30 November 1978, kerajaan Malaysia menghantar beliau ke persidangan falakiah di Istanbul, Turki. Turut serta ialah Datuk Syeikh Abdul Mohsin, Mufti Wilayah Persekutuan dan Profesor Abdul Hamid Tahir, Pensyarah Fakulti Ukur, Universiti Teknologi Malaysia. Antara hasilnya ialah Ijtimak matahari dan bulan tidak kurang dari 8 jam sebelum ghurub matahari. Ia akhirnya diterima sebagai salah satu dari kriteria kenampakan hilal.

Tahun 1978 beliau dilantik oleh Institut Dakwah (INDAH), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyiapkan modul kuliah dan memberi kuliah ilmu falak kepada pegawai-pegawai kerajaan, orang awam dan pelajar-pelajar yang berminat mempelajari ilmu falak. Modul tersebut mengandungi:

  1. Pengenalan ilmu falak Syarie dan perkembangan pengajian dalam sejarah tamadun Islam.
  2. Nas-nas Naqliah dan pandangan ulama berkaitan dengan falak syarie.
  3. Penentuan Tarikh/ Takwim.
  4. Pengiraan waktu solat.
  5. Penentuan arah kiblat.
  6. Pengiraan Hilal.
  7. Penentuan Gerhana.
  8. Hisab Pergerakan Cakerawala/Planet Sistem Suria.
  9. Astronomi Fizikal.
  10. Penggunaan Peralatan Falak.

Pada 6 Okt 1981, Mohd Khair dilantik secara rasmi sebagai Karyawan Tamu di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Antara tugasnya ialah membimbing pelajar dan prensyarah menentukan waktu solat, kenampakan hilal dan penentuan arah kiblat, menghasilkan karya dalam bidang falak syarie dan menyusun kalendar

Pada 22-24 Januari 1982 dalam Seminar Falak Syarie anjuran Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, beliau membentangkan satu kerja “ Perkembangan Ilmu Falak Syarie Selepas Zaman Rasulullah SAW ”. Beliau mencadangkan penubuhan Persatuan Falak Syarie Malaysia agar dapat mengumpulkan semua pakar dan peminat ilmu falak dan medan bertukar-tukar fikiran.

Persatuan ini dapat ditubuhkan pada 7 Oktober 1983 di Dewan Kuliah II, Fakulti Pengajian Islam, UKM dan beliau menjadi penasihat.

Pada 28 Oktober 1989 beliau meninggal dunia di Hospital Ipoh kerana barah. Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Jaya, Gunung Rapat, Ipoh, Negeri Perak. [1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Tokoh Falak : Tuan Haji Mohd. Khair Bin Hj. Mohd Taib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-12-23. Dicapai pada 2008-10-17.