Mohd Salleh Abdul Majid

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Datuk Mohd Salleh Abdul Majid (1 Julai 1949 - 2 Januari 2012) ialah bekas Presiden Bursa Malaysia dan pakar ekonomi tersohor di Malaysia. Salleh mengemudikan bursa saham tempatan dalam menghadapi krisis kewangan Asia pada tahun 1997 hingga 1998.

Beliau sering menulis rencana melibatkan isu-isu ekonomi dan kewangan seperti belanjawan tahunan, pasaran saham dan sebagainya. Wartawan sering berjumpa dengannya untuk mendapatkan pandangan tentang prospek ekonomi negara. Wartawan harus bersedia memberi pandangan kerana akan disoal semula oleh beliau. "Kau faham tak apa yang aku cakap ni."[1]

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Beliau lahir pada 1 Julai 1949 di Hulu Kelang, Selangor. Bapanya, Abdul Majid Arifin meninggal dunia ketika Salleh Majid berusia tiga tahun. Ibunya, Halijah Mohd. Jamil, ialah anak jati Ulu Klang. Salleh ialah orang Minang dan tidak ada langsung darah Jawa seperti yang dikatakan oleh rakan-rakannya dari UiTM yang memanggilnya dengan gelaran 'Wak Salleh' atau 'Wak' sahaja.

Salleh dan adiknya dipelihara oleh moyang mereka, Abdul Manan dan Fatemah. Ketika itu, Ulu Klang adalah sebuah kampung walaupun hanya 7½ batu sahaja dari Kuala Lumpur tetapi tidak ada elektrik dan air paip. Setiap rumah memiliki perigi yang digali sendiri untuk mendapatkan air dan menggunakan pelita minyak tanah ataupun lampu karbida. Kemudian mereka menggunakan lampu gasolin. Rumah pasung (balai polis) di Batu 7 akan mengetuk bulatan besi untuk menandakan waktu pada setiap jam dan bunyi tongtong (atau ketuk-ketuk) dari Masjid Ulu Klang untuk waktu sembahyang.[2]

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Salleh Majid bersekolah di SMC1 (1958), Batu Road School (2) bersama Ambrin Buang dan Prof. Dr. Abdul Razak Salleh.

Beliau memperoleh Master of Business Administration dari Northern Illinois University, Amerika Syarikat sekitar 1971. Beliau seangkatan dengan Dato Ibrahim Ali semasa di UiTM tetapi beliau tidak memilih bidang politik, sebaliknya memilih bidang profesional.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Mohd Salleh memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Pengurusan, Institut Teknologi Mara di Shah Alam, Selangor.

Setelah berkhidmat dalam sektor awam selama kira-kira enam tahun, beliau memasuki sektor swasta dengan memulakan kariernya sebagai Pengurus, Udasaha Management Sdn Bhd, sebuah anak syarikat UDA.

Selepas bersara, beliau menjadi Felo Utama Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Motor besar[sunting | sunting sumber]

Hobi beliau ialah menunggang motosikal kuasa tinggi. Ketika zaman e-mel belum wujud, beliau pernah bermotosikal datang ke Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin untuk menghantar bahan tulisannya.

Pakar ekonomi[sunting | sunting sumber]

Sebagai ahli kehormat Persatuan Bahasa, Mohd Salleh mempunyai kolumnya sendiri di beberapa akhbar tempatan bagi melontarkan pandangan beliau berkaitan isu-isu ekonomi terkini.

Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan beliau sebagai tokoh ekonomi yang sangat menggalakkan pembelian emas sebagai pelaburan alternatif. Malaysia dan semua negara di dunia berhadapan turun naik nilai emas terutama semasa krisis 97/98. Ketika itum mata wang Malaysia dikatakan menjadi bahan spekulator dan pernah jatuh ke paras serendah RM4.50 untuk satu dolar Amerika. Mata wang dunia tidak lagi disokong oleh emas dan negara seperti Amerika Syarikat didapati boleh mengeluarkan seberapa banyak wang sesuka hati mereka.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Datuk Moehamad Izat Emir menyifatkan beliau seorang tokoh yang konsisten dan tidak pernah teragak-agak dalam membuat keputusan. Beliau sentiasa memperjuangkan ekonomi orang Melayu.Beliau berhasrat menubuhkan Bursa Saham Islam.[3]

Semasa beliau menerajui BSKL, harga saham melambung berbanding sekarang. Masa itu harga saham melambung naik sehingga ada yang mencecah paras RM140 untuk kaunter-kaunter tidak terkenal berbanding harga saham sekarang yang lebih murah daripada harga roti canai, tidak meningkat lagi. Itulah zaman kegemilangannya.[4]

Penulisan[sunting | sunting sumber]

Beliau menjadi kolumnis Berita Harian sejak Mac 2001. Tulisan hasil buah fikiran beliau turut tersiar di majalah Dewan Masyarakat (1980-an) , akhbar Utusan Malaysia (1990-an) dan Business Times. Judul artikel pertama kolumnya ialah “Tegas, tepat dan seimbang” mengenai Kabinet baru Datuk Seri Najib Tun Razak. Artikel terakhirnya yang disiarkan 10 Disember 2011 pula berjudul “Dilema mengimbangi kewangan awam.”

Dahulu orang Melayu mengelak untuk membeli insuran tetapi kini telah berubah. Artikel beliau turut menyentuh tentang kesan apabila hutang tidak dibayar.Beliau mempersoalkan pemikiran pembaca mengenai sumbangan mereka terhadap ekonomi negara melalui amalan berbelanja. Tidak ketinggalan, kesan tragedi 11 September 2001 di Amerika Syarikat yang mengubah landskap ekonomi dunia.

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Pada 2 Januari 2012, beliau meninggal dunia pada usia 62 tahun, pada jam 10.20 pagi di Hospital Kuala Lumpur akibat penyakit kanser usus / rektum dan kegagalan buah pinggang. Adiknya Ibrahim Abdul Majid mendedahkan bahawa Mohd Salleh menghidap penyakit buah pinggang sejak 1990-an. Jenazah dibawa ke rumah ibunya di 1055 Jalan Haji Mokhtar, Kampung Pasir, Ulu Kelang, Selangor dan disembahyangkan di Masjid Kampung Pasir, Hulu Kelang.[5] Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Klang.

Turut ziarah ialah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Abdul Rahman Sulaiman.[6]

Rujukan[sunting | sunting sumber]