Mokhtar Ahmad

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tuan Guru

Haji Mokhtar Ahmad
Kelahiran
Mokhtar bin Ahmad

1907 (1907)
Meninggal dunia10 November 1979(1979-11-10) (umur 71–72)
Terkenal keranaMenjadi pentadbir agama Islam di institusi dan pertubuhan Islam di Kelantan dan Pahang
Tuan guru Pondok Bunut Payong, Kelantan
SaudaraTuan Guru Haji Abdullah Tahir Ahmad

Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad merupakan salah seorang tokoh Parti Islam Se-Malaysia yang ternama pada dekad 1950-an[1]. Walaupun berasal dari Kota Bharu, beliau pernah menjadi kadi di Pasir Mas antara 1935 hingga 1939. Lantaran itu, dalam Pilihan Raya Umum 1955, PAS menamakan beliau sebagai calon di kawasan Pasir Mas. Selain menjadi calon PAS, sejak 1936, Haji Mokhtar Ahmad adalah antara segelintir ulamak pondok yang aktif dalam politik di Kelantan.

PAS Kelantan terlibat dalam Pilihan Raya Umum Persekutuan sebelum merdeka pada 27 Julai 1955. PAS Kelantan meletakkan tiga calon dalam pilihan raya ini iaitu Haji Mohd Noor Yusof (Kelantan Selatan), Mohd Asri Haji Muda (Kelantan Timur) dan Haji Mokhtar Ahmad (Pasir Mas). Daripada tiga calon ini, Haji Mokhtar Ahmad mendapat pungutan undi tertinggi, apabila beliau memperolehi 7,507 undi walaupun tewas kepada calon Perikatan, Tengku Ahmad Panglima Raja Tengku Abdul Ghafar dengan majoriti 13,456 undi.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Haji Mokhtar Ahmad dilahirkan dalam tahun 1907 di Kampung Sireh, Kota Bharu. Ayah beliau, Haji Ahmad Awang Ludin adalah seorang tokoh agama yang terkenal dan merupakan Imam Tua Masjid Langgar. Ayahnya pernah berguru di Mekah dengan Sheikh Mokhtar Atarid, Tuan Padang dan Tok Jerulong. Manakala abangnya, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Ahmad adalah murid tua Tok Kenali, pengasas Pondok Bunut Payung yang masyhur itu. Pada usia mudanya, beliau menerima asuhan agama dari ulamak-ulamak di Kota Bharu, sebelum belajar pondok di Kedah. Kemudian beliau memasuki Madrasah al-Attas, Johor Bahru dan akhirnya bermukim di Mekah selama selama 16 tahun sebelum pulang pada 1933.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Haji Mokhtar Ahmad mula berkhidmat di Pasir Mas sebagai Kadi Percubaan pada awal 1935, kemudian dilantik Naib Kadi pada akhir 1935 dan Kadi pertama di Pasir Mas sebelum 1939. Beliau telah dilantik sebagai anggota Jemaah Ulamak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 1935. Beliau kemudian menjadi Kadi Bachok (1939-1941) dan Kadi Kuala Krai (1941-1948). Setelah itu, beliau bergiat dalam politik di samping mengajar di Pondok Bunut Payung. Pada 1950, beliau dilantik sebagai Pengetua (Mudir) Kulliah Al-Lughah Waddin, Pekan oleh Sultan Pahang sehingga 1956.

Selepas menamatkan khidmat di kuliah tersebut, beliau dilantik sebagai Kadi Pekan sehingga merdeka. Beliau kemudiannya menjadi peguam syarie yang pertama di Kelantan mulai 1 Oktober 1957. Sepanjang tahun 1960-an, beliau berkhidmat pula sebagai Sheikh Haji di Pelabuhan Kelang. Setelah hampir 10 musim beliau menguruskan jemaah haji, pada awal 1970-an, beliau telah kembali ke Kota Bharu untuk berkhidmat di Pondok Bunut Payung terutama setelah kematian Tuan Guru Haji Abdullah Tahir pada 15 Ogos 1961 dan menantunya, Tuan Guru Haji Hussain Rahimi Mat Saman pada 17 November 1971. Di samping itu, beliau turut mengajar di Surau Jalan Raja Laut, Kota Bharu sehingga akhir hayatnya.

Penglibatan dalam politik[sunting | sunting sumber]

Dalam dunia politik, Haji Mokhtar Ahmad mempunyai pengalaman yang menarik. Beliau mula berkecimpung dalam politik setelah abangnya, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir mengasaskan Jabhah ad-Diniyah al-Islamiyah Kelantan pada 1936 di mana beliau adalah Yang Dipertua pertama jabhah, sebelum beliau bergilir-gilir dengan abangnya memimpin persatuan ulamak terawal di Semenanjung Tanah Melayu ini antara 1936 hingga 1948. Ketika Jawatankuasa Penggubal Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan diwujudkan oleh Sultan Kelantan pada 1938, Haji Mokhtar Ahmad dilantik menganggotainya mewakili Jabhah ad-Diniyah al-Islamiyah. Ketika menjadi Kadi Pasir Mas pula, muncul tokoh ulamak muda, Maulana Abdullah Noh dari Pasir Puteh tetapi mengajar di Bandar Pasir Mas. Beliau sangat aktif berpolitik dan mengajak umat Islam kembali kepada politik Islam. Hasilnya, pada Mei 1947, Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) dan sayap ekonominya, Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya (PEPERMAS) telah membuka cawangannya di Kelantan di mana Haji Mokhtar Ahmad selaku Kadi Kuala Krai dilantik mengetuai MATA Kelantan. Pada awal 1948, MATA dan PEPERMAS menjadi sayap agama dan ekonomi kepada Hizbul Muslimin setelah parti Islam itu ditubuhkan pada 14 Mac 1948.

Menyertai parti politik[sunting | sunting sumber]

Perpindahan beliau ke Pekan, Pahang pada 1950 setelah Hizbul Muslimin dilumpuhkan penjajah pada Ogos 1948 telah menghentikan sementara kegiatan politik beliau. Walau bagaimanapun, penyertaan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dalam PAS pada 1954 telah membawa beliau untuk bersama-sama PAS. Pada 1955 ini beliau bertanding dalam Pilihan raya umum Tanah Melayu 1955 mewakili PAS. Namun begitu, dengan pengaruh sahabatnya, Haji Nik Mustafa Fadhil Datuk Perdana Nik Mahmud, beliau bertanding mewakili Parti Negara di DUN Bachok Selatan tetapi tewas kepada calon PAS, Haji Othman Ismail dalam Pilihan raya umum Tanah Melayu 1959. Pada Pilihan raya umum Malaysia 1964, beliau bertanding pula di Pasir Mas Hilir, tetapi sebagai calon Perikatan di mana beliau tewas kepada Cikgu Muhammad Fakhruddin Abdullah dari PAS dengan majoriti 8,215 undi.

Pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Kerusi Yang Ditandingi oleh Haji Mokhtar Ahmad
Tahun Kawasan Individu Undi Lawan Undi Peratusan Mengundi Majoriti
1955 Parlimen Pasir Mas, Kelantan Haji Mokhtar Ahmad (PAS) 7,507 Tengku Ahmad Tengku Abdul Ja'afar (Perikatan-UMNO) 20,963 54.6% 13,456
1959 DUN Bachok Selatan, Kelantan Haji Mokhtar Ahmad (Parti Negara) 40 Haji Othman Ismail (PAS) 4,498 78% 3278
Nik Abdul Majid Nik Abdul Rahman (Sosialis) 105
Othman Adam (Bebas) 65
Ismail Haji Ahmad (Perikatan-UMNO) 1,220
1964 Parlimen Pasir Mas Hilir, Kelantan Haji Mokhtar Ahmad (Perikatan-UMNO) 5,261 Muhammad Fakhruddin Abdullah (PAS) 13,476 78.02% 8,215

Menyedari pengaruhnya dalam politik tidak berkesan, beliau telah memilih untuk aktif dalam aktiviti pengurusan haji dan mengajar di pondok sahaja dalam menghabiskan usia tuanya di Bunut Payung sepanjang dekad 1970-an.

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Pegawai agama yang terkenal ini kemudiannya telah kembali kepada Allah dalam usia 72 tahun pada 10 November 1979. Walaupun beliau tidak lagi bersama PAS selepas merdeka, namun seluruh warga Pondok Bunut Payung adalah pendukung utama PAS seperti Tuan Guru Haji Hussain Rahimi Mat Saman (menantu Tuan Guru Haji Abdullah Tahir) selaku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (1964-1968) dan Ustaz Yahya Othman (menantu Tuan Guru Haji Hussain Rahimi) selaku Murabbi PAS.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Mohd Fadhli Ghani (20 Mei 2017). "Biografi PAS: Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad: Calon PAS 1955 Di Pasir Mas". Pusat Penyelidikan PAS. Dicapai pada 22 Mei 2020. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)