Mongol (filem)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Mongol
Mongol poster.jpg
Poster filem Mongol
Pengarah Sergei Bodrov
Penerbit Sergei Selyanov
Sergei Bodrov
Anton Melnik
Penulis Arif Aliyev
Sergei Bodrov
Dibintangi oleh Tadanobu Asano
Sun Honglei
Khulan Chuluun
Odnyam Odsuren
Muzik oleh Tuomas Kantelinen
Sinematografi Sergey Trofimov
Rogier Stoffers
Disunting oleh Valdís Óskarsdóttir
Zach Staenberg
Pengedar Picturehouse
Sony Pictures Releasing International (Malaysia)
Mula ditayangan
20 September 2007 (Rusia)
6 Jun 2008 (AS)
13 Jun 2008 (UK)
7 Mei 2009 (Malaysia)
Tempoh tayangan
125 min
Negara Jerman
Kazakhstan
Rusia
Mongolia
Bahasa Mongol
Mandarin
Perbelanjaan $20,000,000 (anggaran)

Mongol (Bahasa Rusia: Монгол) (2007) ialah filem separa sejarah arahan Sergei Bodrov mengisahkan zaman kanak-kanak Genghis Khan. Ia dirancang sebagai siri pertama dalam filem trilogi mengenai kehidupan Temujin (Genghis Khan).[1]

Filem ini adalah hasil usaha sama antarabangsa antara syarikat-syarikat di Jerman, Kazakhstan, Mongolia dan Rusia. Sebahagian besar penggambaran dibuat di Wilayah Autonomi Mongolia Dalam, China, dan juga di Kazakhstan. Penggambaran bermula pada bulan September 2005 dan berakhir pada November 2006. Filem ini dicalonkan oleh Kazakhstan dalam kategori Filem Asing Terbaik, Anugerah Akademi 2007.[2]

Sekuel kedua dalam trilogi ini, yang diberi judul The Great Khan (Khan yang agung) sedang dalam proses pra produksi dan bakal ditayangkan pada 2010.[3]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Filem ini merupakan kisah epik tentang kehidupan awal Temujin (Genghis Khan) dan bagaimana beliau bangkit menjadi seorang penakluk agung.

Temujin yang berusia 9 tahun adalah anak Esugei, seorang Khan. Bapanya ingin mengahwinkannya dengan gadis dari puak Merkit sebagai tanda perdamaian. Dalam perjalanan, Temujin bertemu dengan Börte yang mengatakan dialah yang patut dipilih Temujin. Temujin akhirnya memilih Börte, walaupun bapanya agak keberatan menerimanya. Temujin berjanji akan mengahwini Börte dalam masa lima tahun.

Dalam perjalanan pulang, bapanya diracun oleh puak musuh dan meninggal dunia. Seorang daripada pahlawan bapanya, Targutai enggan mengiktiraf Temujin sebagai Khan yang baru, sebaliknya mengarahkan semua harta keluarga Temujin dirampas. Targurai membiarkan Temujin hidup kerana mengikut adat mongol, kanak-kanak tidak boleh dibunuh. Temujin disuruh melarikan diri oleh ibunya.

Ketika dalam pelarian, Temujin berkenalan dengan Jamukha yang kemudiannya menjadi saudara sedarahnya setelah mengadakan satu ritual tradisional.

Ketika dewasa, Targutai berjaya menangkap Temujin dan berhasrat membunuhnya sekarang kerana dia bukan lagi kanak-kanak. Bagaimanapun, Temujin berjaya melarikan diri sekali lagi dan pergi mencari Börte lalu mengahwininya.

Ketua puak Merkit, Chiledu kemudiannya merampas Börte dari Temujin sebagai membalas dendam perbuatan Esugei merampas isterinya Oelun (ibu Temujin). Temujin yang cedera diserang pulang kepada keluarganya dan bersumpah akan mengambil kembali isterinya.

Temujin pergi meminta bantuan dari saudaranya, Jamukha. Jamukha yang kini menjadi Khan, bersetuju membantunya menyerang puak Merkit. Puak Merkit akhirnya dihapuskan dan Temujin berjaya selamatkan Börte.

Permusuhan Temujin dan Jamukha bermula apabila dua orang kanan Jamukha pergi menjadi pengikut Temujin. Walaupun diberi amaran oleh Jamukha, Temujin mempertahankan tindakan mereka kerana menurutnya orang Mongol bebas memilih tuan mereka. Saudara kandung Jamukha, Taichar kemudiannya telah dibunuh ketika cuba mencuri kuda-kuda Temujin. Ini mengakibatkan Jamukha yang bergabung dengan Targutai mengisytiharkan perang ke atas Temujin. Tentera Temujin yang lebih kecil berjaya dikalahkan dengan mudah. Temujin ditawan dan dijual sebagai hamba.

Temujin dibeli oleh seorang ketua garison di negeri Tangut yang berniat untuk menghina bangsa Mongol dengan memasukkan Temujin ke dalam kandang yang diletakkan di tengah-tengah kota Tangut. Seorang Sami Buddha yang dapat meramal apa yang akan berlaku, meminta maaf kepada Temujin dan meminta agar tentera Mongol tidak memusnahkan Kuil-kuil di masa depan. Sebagai balasan, sami itu pergi ke mongolia untuk menyampaikan mesej Temujin kepada Börte. Ketika berada sangat hampir dengan dataran mongolia, Sami itu meninggal dunia kerana perjalanan yang sangat jauh. Börte yang akhirnya mendapat mesej Temujin, pergi ke negeri Tangut untuk selamatkan Temujin.

Setelah bebas, Temujin bertekad untuk menyatukan semua bangsa Mongol dan menetapkan undang-undang untuk orang Mongol.

Dalam pertempuran terakhir, Temujin berjaya mengalahkan Jamukha dan sekaligus menyatukan semua puak-puak Mongol. Selepas kemenangannya, Temujin diisytiharkan sebagai Khan untuk semua bangsa Mongol dan diberi gelaran Genghis Khan.

Produksi[sunting | sunting sumber]

Dalam temubual bersama Zoom in Online pada Jun 2008, pengarah Sergei Bodrov mengakui betapa sukarnya membikin filem ini kerana kurangnya sejarah Mongol pra Genghis Khan yang direkodkan. Cuma terdapat sejarah lisan yang diturunkan kepada setiap generasi. Inspirasinya untuk filem ini datang dari sebuah buku The Secret History of the Mongols (Sejarah Rahsia Bangsa Mongol) yang ditulis dalam Bahasa Mongol, diterjemahkan ke dalam Bahasa Mandarin dan kemudiannya ke dalam Bahasa Rusia 100 tahun yang lalu, yang mengisahkan zaman kanak-kanak Temujin dan perkahwinannya dengan Borte. Sergei mengakui ada sedikit tokok tambah dibuat untuk menambah elemen seni, tetapi sebagai seorang penulis, dia mendakwa sangat memahami perwatakan Genghis Khan.

Satu lagi cabaran utama filem ini adalah bajetnya yang rendah (dianggarkan berjumlah $20 juta dolar, berbanding filem epik seperti Braveheart yang bajetnya berjumlah $53 juta dolar pada tahun 1995) di lokasi penggambaran yang sangat terasing dari dunia luar dengan krew yang datang dari 40 negara.[4]

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Pelakon Watak
Tadanobu Asano Temujin
Sun Honglei Jamukha
Khulan Chuluun Borte, Isteri Temujin
Sun Ben Hou Sami
Ba Sen Esugei, Ayah Temujin
Aliya Oelun, Ibu Temujin
Sai Xing Ga Chiledu, suami pertama Oelun
Amadu Mamadakov Targutai
Ba Ren Taichar, Adik Jamukha
He Qi Dai-Sechen
Bao Di Todoen
Odnyam Odsuren Temujin ketika kecil
Bayertsetseg Erdenebat Borte ketika kecil
Amarbold Tuvshinbayar Young ketika kecil
You Er Sorgan-Shira
Zhang Jiong Ketua garison Tangut

Penerimaan[sunting | sunting sumber]

Mongol dilancarkan di negara barat pada Jun 2008 dan menerima ulasan positif dari para pengkritik filem. Laman pengumpul ulasan filem Rotten Tomatoes memberi Mongol 88% rating untuk "Kesegaran diakui" (Certified Fresh).[5] Di Metacritic, filem ini mendapat rating 74 daripada 100.[6] Roger Ebert memberi filem ini rating 3.5 daripada 4 bintang, yang menurutnya Mongol adalah sangat hebat sehingga memberi malu besar kepada filem-filem epik terbaru dari Hollywood.[7] Beliau disokong A.O. Scott dari The New York Times yang memuji Mongol sebagai "satu epik yang besar dan sarat, rakaman landskapnya yang disusun dengan cantik digegarkan dengan deruan kuda berlari dan turutan pertarungan berdarah gerak perlahan.[8]

Bagaimanapun, pengkritik dari The Guardian', Peter Bradshaw berasa kecewa dengan apa yang didakwanya "epik yang hebat, yang digagalkan oleh kemegahannya sendiri" dan "gerombolan askar berkuda Mongol yang didigitalkan merentasi dataran".[9] Menurut USA Today "Sementara kesahihan sejarahnya boleh dipertikaikan, Mongol adalah epik yang cacamerba dan kuasi-mistik..."[10]

Lakonan pelakon China Sun Honglei telah dikritik ramai pengulas seperti New York Daily News yang menyifatkan: "Honglei Sun yang berperanan sebagai Jamukha, banyak membuat bunyi patahan tengkuk, suara yang garau dan senyuman berkonspirasi membuatkannya kelihatan seperti Marlon Brando versi China."[11]

Christianity Today memberi ulasan positif terhadap filem ini dan menyifatkannya sebagai Braveheart versi timur jauh, yang mengandungi elemen pseudo sejarah, keperwiraan filem dan keagungan yang memberi inspirasi. [12] Bagaimanapun, Boxoffice Magazine menyelar filem tersebut: "Genghis Khan: seorang yang romantik, ayah yang penyayang, pemimpin yang memberi inspirasi? Um… penyemakan semula sejarah kehidupan awal Genghis Khan ini membuatkan seseorang menjadi terpinga-pinga dan tidak yakin."[13] Menurut Globe and Mail : "Sebagai filem aksi epik, Mongol cukup memuaskan. Fikirkan Braveheart. Fikirkan 300. Cuma jangan fikir terlalu banyak."[14]

Filem ini muncul dalam beberapa senarai 10 teratas pengkritik untuk filem terbaik pada tahun 2008. Mike Russell dari The Oregonian menamakannya sebagai filem ke-5 terbaik pada 2008. [15], Lawrence Toppman dari The Charlotte Observer dan V.A. Musetto dari New York Post menamakannya sebagai filem ke-8 terbaik pada 2008[15][15]

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Menang:

  • Anugerah Helang Emas untuk Pereka Kostum Terbaik: Karin Lohr, SFK
  • Anugerah Helang Emas untuk Pereka Bunyi Terbaik: Stephan Konken
  • Anugerah Nika untuk Filem Terbaik
  • Anugerah Nika untuk Pengarah Terbaik: Sergei Bodrov
  • Anugerah Nika untuk Sinematografi Terbaik: Sergey Trofimov, R.G.C., Rogier Stoffers, NSC
  • Anugerah Nika untuk Pereka Produksi Terbaik: Dashi Namdakov
  • Anugerah Nika untuk Pereka Kostum Terbaik - Karin Lohr, SFK
  • Anugerah Nika untuk Bunyi Terbaik - Stephan Konken
  • Anugerah Filem Asia untuk Aktor Pembantu Terbaik: Sun Hong-Lei

Pencalonan:

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Mongols protest Khan project
  2. ^ "80th Academy Awards Nominations Announced" (Press release). Academy of Motion Picture Arts and Sciences. 2008-01-22. Dicapai pada 2008-01-22. 
  3. ^ Birchenough, Tom (2008-05-14). "Bodrov kicks off production unit". Variety Asia. Dicapai pada 11 November 2008. 
  4. ^ On the Circuit: Mongol | Zoom In - News, Events, Training and Community for Creatives
  5. ^ Mongol Movie Reviews. Rottentomatoes
  6. ^ "Mongol (2008): Reviews.". Metacritic. Dicapai pada 2008-07-22. 
  7. ^ "Mongol (R)". Roger Ebert. Dicapai pada 2008-07-22. 
  8. ^ Scott, A.O. (6 Jun 2008). "Forge a Unity of Purpose, Then Conquer the World". Dicapai pada 2008-07-22. 
  9. ^ Bradshaw, Peter (6 Jun 2008). "Mongol (2008)". The Guardian. Dicapai pada 2008-07-22. 
  10. ^ Claudia Puig (2008-06-12). "'Mongol': A sweeping historical tale". USA Today. Dicapai pada 2008-07-21. 
  11. ^ "Short takes: More movies out this week.". New York Daily News. Dicapai pada 2008-07-22. 
  12. ^ Reviews: Mongol. Christanity Today Movies
  13. ^ Movie Reviews - Mongol. Boxoffice
  14. ^ "Genghis Khan as a cuddly family man?" The Globe and Mail
  15. ^ a b c "Metacritic: 2008 Film Critic Top Ten Lists". Metacritic. Dicapai pada 11 Januar 2009. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]