Monokotiledon

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Bunga Hemerocallis yang terdiri daripada tiga bahagian dalam satu pusaran
Gandum, sejenis monokot yang penting dari segi ekonomi

Monokotiledon atau monokot ialah sekumpulan tumbuhan berbunga yang mendominasi sebahagian besar bumi ini dengan antara 50,000 hingga 60,000 spesies; mengikut IUCN, bilangannya 59,300 spesies. Dari segi biomassa yang dihasilkan, monokot terdiri daripada kebanyakan tumbuhan pertanian.

Famili yang terbesar dalam kumpulan ini (dan dalam kumpulan tumbuhan berbunga) ialah orkid (biasa dianggap sebagai famili Orchidaceae, tetapi kekadang diolah pada peringkat susunan) yang mempunyai 20,000 spesies. Famili ini mempunyai bunga yang amat rumit dan menarik yang diadaptasikan untuk pendebungaan serangga yang amat khusus.

Dari segi ekonomi, famili yang paling penting dalam kumpulan ini (dan dalam kumpulan tumbuhan berbunga) ialah rumput-rumput dalam famili Poaceae (Gramineae). Famili ini termasuk biji-bijian benar (padi, gandum, jagung, dll), rumput ternak dan buluh. Famili rumput-rumput benar ini dievolusi dalam arah yang lain, dan mengkhusus dalam pendebungaan angin. Rumput-rumput menghasilkan bunga yang lebih kecil yang dikelompokkan dalam kepulan yang amat ketara (perbungaan). Lagi sebuah famili yang amat penting dari segi ekonomi ialah famili palma Arecaceae (Palmae).


Nama dan ciri-ciri[sunting | sunting sumber]

Nama "monokotiledon" berasal daripada nama botani tradisi, iaitu Monocotyledones yang dirinya berasal daripada fakta bahawa kebanyakan ahli dalam kumpulan ini mempunyai satu kotiledon atau daun embrio dalam biji-bijinya. Ini adalah bertentangan dengan dikotiledon tradisional yang mempunyai dua kotiledon. Dari sudut pandangan diagnostik, bilangan kotiledon bukan suatu ciri yang mudah atau boleh diharap dengan sepenuhnya untuk membezakan monokotiledon daripada dikotiledon, disebabkan kotiledon hanya wujud pada tempoh yang amat singkat dalam kehidupan tumbuhan.

Bagaimanapun, monokot merupakan sebuah kumpulan tersendiri. Salah satu daripada ciri-cirinya yang ketara adalah bahawa bunga monokot mempunyai tiga bahagian atau bilangan angka kandungan tiga. Umpamanya, bunga monokotiledon biasanya mempunyai tiga, enam atau sembilan kelopak bunga. Banyak monokot juga mempunyai daun-daun yang mengandungi vena-vena selari.

Hypoxis decumbens L. dengan perigon monokot yang tipikal dan vena-vena daun yang selari

Morfologi, berbanding dengan dikotiledon (dahulu)[sunting | sunting sumber]

Perbezaan antara monokotiledon dan dikotiledon yang disenaraikan secara tradisi adalah seperti berikut:

  • Bunga: Bunga monokot mempunyai tiga bahagian dalam satu pusaran, sedangkan bunga dikot mempunyai empat atau lima bahagian.
  • Debunga: Debunga monokot mempunyai satu alur atau pori, sedangkan dikot mempunyai tiga.
  • Biji: Embrio monokot mempunyai satu kotiledon, sedangkan dikot embrio mempunyai dua.
  • Tangkai: Berkas vaskular untuk tangkai monokot bertaburan, sedangkan yang untuk dikot diatur dalam lingkaran.
  • Akar: Monokot mempunyai akar adventitius, sedangkan dikot dikembangkan daripada radikel.
  • Daun:: Vena utama untuk daun monokot adalah selari, sedangkan yang untuk dikot adalah berselirat.
Hiris bawang yang menunjukkan vena-vena selari.

Perbezaan-perbezaan di atas hanya merupakan suatu gambaran yang umum, dan harus tidak diambil secara literal kerana terdapat banyak kekecualian. Perbezaan-perbezaan yang dikemukakan adalah lebih benar antara monokot dan eudikot, mengikut sistem APG II.

Perbezaan-perbezaan ini tidak tegas dan ketat: sebilangan monokot mempunyai ciri-ciri yang lebih serupa dengan dikot, dan sebaliknya. Ini sebahagian disebabkan bahawa "dikot" merupakan kumpulan parafili untuk monokot, dan sebilangan dikot mungkin mempunyai perhubungan yang lebih rapat dengan monokot, berbanding dengan dikot. Terdapat banyak cabang asal-usul dikot awal yang mempunyai ciri-ciri "monokot". Ini menunjukkan bahawa ciri-ciri di atas bukannya ciri-ciri yang mentakrifkan monokot. Apabila monokot dibandingkan dengan eudikot, perbezaannya adalah lebih konkrit.

Taksonomi[sunting | sunting sumber]

Monokot dianggap merupakan sebuah kumpulan monofili yang telah wujud awal-awal lagi dalam sejarah tumbuhan berbunga. Fosil terawal yang dianggap sebagai pertinggalan monokot adalah daripada Zaman Batu Kapur.

Ahli taksonomi mempunyai banyak kebebasan untuk menamakan kumpulan ini, disebabkan bahawa monokot merupakan kumpulan yang berperingkat lebih tinggi daripada famili. Perkara 16 dalam ICBN membenarkan pilihan daripada dua nama, iaitu nama botani deskriptif ataupun nama yang dibentukkan daripada nama famili yang terlibat.

Secara sejarah, monokotiledon telah dinamakan sebagai:

Setiap sistem yang disebut di atas menggunakan taksonomi dalaman tersendiri untuk kumpulan itu. Monokotiledon adalah termashyur sebagai sebuah kumpulan yang mempunyai sempadan luaran yang amat stabil (kumpulan ini merupakan kumpulan yang jelas dan tegas, sedangkan taksonomi dalamannya amat tidak stabil (secara sejarah, tidak terdapat dua sistem berwibawa yang pernah bersetuju mengenai bagaimana monokotiledon-monokotiledon dikaitkan dengan satu sama lain).

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Chase MW, Soltis DE, Soltis PS, Rudall PJ, Fay MF, Hahn WJ, Sullivan S, Joseph J, Molvray M, Kores PJ, Givnish TJ, Sytsma KJ, Pires JC (2000). Higher-level systematics of the monocotyledons: An assessment of current knowledge and a new classification. In: Wilson KL, Morrison DA, eds. Monocots: Systematics and Evolution.. CSIRO, Melbourne. 3-16. ISBN 0-643-06437-0

Pautan luar[sunting | sunting sumber]