Muhammad Yusof

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Dato' Haji Muhammad Yusof (1900-1980) adalah seorang pendidik Malaysia yang terpilih sebagai "Tokoh Guru Kebangsaan" pada tahun 1979. Kerana menghargai ketokohannya serta mengenang jasanya terhadap PIBG Sekolah Menengah Linggi, sekolah tersebut telah menukarkan namanya kepada Sekolah Menengah Datuk Muhammad Yusof pada 21 Ogos 1982.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan pada 17 September 1900 di Batu Kikir, Kuala Pilah, Haji Muhammad adalah adik kepada Allahyarham Pendita Za'ba. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Batu Kikir pada tahun 1907. Pada tahun 1908, beliau berpindah ke Sekolah Melayu Linggi apabila bapanya berpindah balik ke tempat asalnya di Kampung Linggi.

Haji Muhammad meneruskan pelajarannya di Kolej Melayu di Kuala Kangsar pada tahun 1909 hingga lulus Senior Cambridge. Atas dorongan R.O Winstedt, beliau melupakan cita-citanya untuk menjadi seorang doktor dan menceburkan diri menjadi seorang pendidik setelah tamat latihan di Maktab Melayu Melaka.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Haji Muhammad menubuhkan Persatuan Guru-Guru Melayu Selangor pada tahun 1921. Antara jawatan penting yang pernah dipegang oleh Allahyarham ialah Penolong Nazirr Sekolah-Sekolah Selangor (1920) dan Penolong Pengetua Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1940). Beliau menyambung semula jawatan tersebut setelah tamat Perang Dunia Kedua hingga bersara pada tahun 1951. Haji Muhammad terlibat dalam Pesuruhjaya Pengakap Persekutuan dari 1957 hingga 1960 dan juga pernah menjadi pensyarah di Sekolah Bahasa Asing di Universiti Tenri di Jepun pada tahun 1943).

Pada tahun 1958, Haji Muhammad menjadi Setiausaha Sulit kepada Yang diPertuan Agong pertama serta menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan. Beliau terpilih sebagai "Tokoh Guru Kebangsaan" pada tahun 1979. Haji Muhammad meninggal dunia pada 22 Disember 1980 di Kampung Linggi.

Walaupun telah bersara dari jawatan, Allahyarham terus bergiat dalam masyarakat tempatan di Linggi yang bertujuan memajukan masyarakat setempat. Selama beberapa tahun, Allahyarham menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola dan juga Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Linggi. Kerana menghargai ketokohannya serta mengenang jasanya terhadap sekolah ini, maka pada 21 Ogos 1982 Sekolah Menengan Linggi dengan rasminya ditukar nama kepada Sekolah Menengah Datuk Muhammad Yusof. Perasmian tersebut telah dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Utama Tan Sri Haji Mohd. Isa bin Dato' Haji Abd. Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan. Dengan ini, Allahyarham telah diabadikan di sekolah ini.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Garis masa[sunting | sunting sumber]

  • 1900: Dilahirkan pada 17 September di Batu Kikir, Kuala Pilah.
  • 1907 (umur 7): Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Batu Kikir.
  • 1908 (umur 8): Berpindah ke Sekolah Melayu Linggi.
  • 1909 (umur 9): Meneruskan pelajarannya di Maktab Melayu Kuala Kangsar hingga lulus Senior Cambridge.
  • 1920 (umur 20): Memegang jawatan Penolong Nazirr Sekolah-Sekolah Selangor.
  • 1921 (umur 21): Menubuhkan Persatuan Guru-Guru Melayu Selangor.
  • 1940 (umur 40): Memegang jawatan Penolong Pengetua Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim.
  • 1943 (umur 43): Menjadi Pensyarah di Sekolah Bahasa Asing di Universiti Tenri, Jepun.
  • 1951 (umur 51): Bersara.
  • 1958 (umur 58): Menjadi Setiausaha Sulit kepada Yang di Pertuan Agung Pertama.
  • 1979 (umur 79): Terpilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan.
  • 1980 (umur 80): Meninggal dunia pada 22 Disember di Kampung Linggi.