Kajang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Mukim Kajang)
Kajang juga merujuk kepada hamparan, atau kertas kajang.
Kajang
Selangor Darul Ehsan

كاجڠ، سلاڠور دارالإحسان
Pemandangan Kajang Selangor Darul Ehsan
Pemandangan Kajang
Selangor Darul Ehsan
Moto: Kajang Bandar Pilihan Untuk Didiami
Negara Malaysia Malaysia
Negeri Selangor Selangor
Diasaskan 1994
Kerajaan
 - Yang di-Pertua MP Kajang Yang Berbahagia Dato' Hasan Nawawi bin Abd Rahman
Kepadatan ((tahun 2003))
 - Jumlah 561,593
Zon masa MST (UTC+8)
Laman web: http://www.mpkj.gov.my

Kajang (Jawi: كاجڠ) ialah sebuah mukim dan bandar di daerah Hulu Langat, Selangor, Malaysia. Mukim ini berada bersebelahan dengan mukim Semenyih, mukim Hulu Langat dan mukim Ampang. Kajang ditadbir di bawah Majlis Perbandaran Kajang.

Kajang terletak lebih kurang 21 km (14 batu) di sebelah tenggara Kuala Lumpur. Dari Kuala Lumpur, Kajang dihubungkan melalui jalan raya seperti Lebuhraya Silk dan jalan kereta api. Kajang juga dapat dihubungkan dengan pusat pentadbiran Putrajaya, Cyberjaya dan Bandar Baru Bangi. Di sebelah baratnya pula terletak Bandar Puchong, Batu 3 dan Klang.

Jika dilihat dari sudut topografinya pula, mukim Kajang terletak di kawasan tanah tinggi iaitu lebih kurang 76,250 sm dari paras laut. Kebanyakan permukaan buminya adalah berbukit-bukau. Tanah datarnya terdapat di kawasan-kawasan lembangan sungai seperti Sungai Langat, Sungai Bangi, Sungai Semenyih dan Sungai Chua. Kawasan-kawasan inilah yang merupakan tempat-tempat awal yang mula diterokai untuk penempatan di mukim Kajang.

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Asal usul nama Kajang[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa pendapat tentang asal usul nama Kajang:[1]

Pendapat pertama:

Dipercayai Kajang mulanya diterokai oleh orang asli dari suku Temuan kira-kira tahun 1580 lagi. Suku inilah yang memberi nama Kajang berdasarkan sejenis mengkuang hutan yang digunakan untuk membuat atap yang tumbuh dengan banyaknya di kawasan itu.

Pendapat kedua:

Seorang pembesar di Sungai Ujong bernama Batin Berenggai Besi, pernah mendirikan beberapa pondok di pinggir sungai yang terletak di kawasan Kajang sekarang dengan menggunakan atap mengkuang yang dilipat kajang. Kemudian, beliau berkesimpulan tempat ini sesuai untuk dijadikan penempatan. Sempena bentuk atap mengkuang yang dilipat kajang.

Pendapat ketiga:

Menurut satu riwayat, maksud perkataan 'berkajang' bagi orang Mendailing ialah berpondok/berteduh. Manakala bagi orang Bugis 'bertikam atau bergaduh'. Kedua-dua Kaum ini pernah bertikaman di salah sebuah kawasan bukit berhadapan stesen keretapi yang ada sekarang, kerana salah faham maksud perkataan 'berkajang'. Peristiwa ini berlaku semasa kedua-dua golongan ini menghulu ke Sungai Langat kerana melarikan diri dari perang saudara yang berlaku di Kelang di antara tahun 1867 hingga 1873. Setelah peristiwa tersebut, tempat ini diberi nama Kajang.

Pendapat keempat:

Ada sumber lain mengatakan Kajang telah dibuka oleh Encik Lili juga dikenali sebagai Toh Lili yang datang dari Riau pada tahun 1776. Beliau adalah pengikut Sultan Mohamed Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim Shah yang berasal dari Riau. Dengan kebenaran Sultan, beliau bersama enam orang rakan telah membuka tanah untuk penanaman padi di Bukit Sungai Merbau dan membuka lombong Sungai Merbau yang kini dikenali sebagai Kajang.

Pendapat kelima:

Raja Berayun dari Kaum Mandailing bersama sekumpulan pengikutnya berhijrah ke Tanah Melayu pada awal tahun 1800. Kumpulan ini belayar memasuki Tanah Melayu melalui Kuala Sungai Langat. Setelah beberapa hari berlayar, mereka berteduh atau 'berkajang' disuatu kawasan yang sekarang ini dipanggil Jalan Mandailing. Sebahagian pengikut-pengikut Raja Berayun telah menerokai kawasan Kampung Batu 14 sekarang dengan penanaman padi. Penempatan mereka ini akhirnya dimasyhurkan dengan nama Kajang oleh Raja Alam.

Demografi[sunting | sunting sumber]

Terdapat seramai 342,657 orang penduduk Kajang yang terdiri daripada 60.4% Melayu, 19.3% Cina, 9.7% India dan 10.6% kumpulan etnik lain.[2]

Pusat Tumpuan[sunting | sunting sumber]

Pusat tumpuan utama penduduk Kajang adalah Kampung Sungai Balak , Taman Saujana Impian, Sungai Kantan, Sungai Jelok, Sungai Ramal, Sungai Chua, Sungai Sekamat, Bandar Mahkota Cheras, Jalan Reko, Jalan Bukit, Bandar Sungai Long, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Perdana, Taman Prima Saujana, Taman Kantan Permai, Taman Kajang Perdana, Taman Sri Ramal Taman Kajang Prima, dan Taman Bukit Mewah.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Bandar Kajang membangun kerana terletak berhampiran dengan Sungai Langat dan cawangannya iaitu Sungai Jelok atau Sungai Jerloh. Sungai Langat merupakan laluan utama pedagang dan pelombong mengangkut bijih timah dan getah ke luar negara, khususnya ke negara Britain. Jadi Kajang boleh membangun kerana adanya faktor bijih timah dan getah.

Kajang terletak hanya 22 km dari Kuala Lumpur, 8 km dari Semenyih dan 12 km dari Bandar Baru Bangi.

Pada masa dahulu 'pusat' Kajang ialah di pejabat pos. Tetapi kini 'pusat' Kajang beralih kepada bangunan Plaza Metro.

Kajang merupakan bandar utama dan bekas pusat pentadbiran daerah Hulu Langat sebelum dipindahkan ke Bandar Baru Bangi. Di sini terletak semua pejabat kerajaan yang utama. Antaranya:

  1. Hospital Kajang
  2. Radio Televisyen Malaysia (cawangan dan tapak pemancar gelombang pendek)
  3. Jabatan Imigresen Malaysia
  4. Balai Polis Kajang
  5. Ibu pejabat UMNO daerah Hulu Langat
  6. Pejabat pos
  7. Pepustakaan Awam Kajang
  8. Masjid Kajang
  9. Arked MARA
  10. Balai Bomba Kajang
  11. Jabatan Penjara Malaysia
  12. Stesen kereta api KTM dan KTM Komuter
  13. Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat (PKDHL).
Perhentian MRT berhadapan Pintu Utama Stadium Kajang

Mercu Tanda[sunting | sunting sumber]

Kajang adalah pekan lama yang sibuk, di mana banyak jalan raya bertembung. Kebanyakan bangunan zaman kolonial dibina sekitar tahun 1920-an hingga 1930-an. Banyak seni bina rumah kedai adalah gabungan reka bentuk tradisional Cina dan Eropah. Aras tanah kebanyakannya digunakan untuk kegiatan komersial dan tingkat atas sebagai penempatan suku keluarga atau lebih dikenali sebagai 'rumah kedai'.

Salah satu mercu tanda Kajang ialah Stadium Kajang yang terletak di tengah-tengah bandar. Stadium ini dapat menampung sehingga 5,000 orang pada satu-satu masa. Pernah juga digunakan untuk beberapa perlawanan bola sepak bertaraf kebangsaan dan masih digunakan sepanjang tahun untuk pertandingan sepak bola masyarakat. Perhentian kereta api MRT (Mass Rapid Transport) yang terletak di Bandar Kajang berada berhadapan pintu utama Stadium Kajang.

Masjid Jamek Kajang

Satu lagi mercu tanda ialah Masjid Jamek Kajang yang mudah dikenali dengan warna kuning yang terang. KK Hotel Kajang (65 bilik) terletak di antara Stesen Bandar Kajang dan Stesen Saujana Impian.

Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang (SMKTK) atau Sekolah Tinggi Kajang (STK) atau nama asal dan Inggerisnya, Kajang High School (KHS) adalah sekolah tertua di Kajang dan daerahnya, Hulu Langat. Diasaskan oleh 5 orang cendikia dan dermawan tempatan iaitu Raja Mohamed bin Raja Alang, Law Ti Kok, Kindersley, Buck dan Haji Jalil (nama-nama yang kemudiannya dijadikan nama rumah sukan) pada tahun 1919. Senibina bangunan utama sekolah ini banyak dipengaruhi oleh senibina kolonial Inggeris. Sehingga kini, sekolah ini masih lagi mendahului dalam pelbagai aspek di daerah Hulu Langat terutamanya di Kajang.

Tempat Tumpuan Ramai[sunting | sunting sumber]

  • Metro Point
  • Metro Kajang
  • Arked MARA
  • Lotus's Saujana Impian

Tarikan[sunting | sunting sumber]

Sekolah di Kajang[sunting | sunting sumber]

● Sekolah Rendah Agama Sungai Ramal Dalam

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Asal usul nama Kajang; laman sesawang rasmi Majlis Perbandaran Kajang[pautan mati kekal]
  2. ^ "Population Distribution by Local Authority Areas and Mukims, 2010". Department of Statistics, Malaysia.