Mustapha Hussain

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Mustapha Hussain (lahir 21 Ogos 1910 -15 Januari 1987) dilahirkan di Matang, Taiping , Perak. Mustapha merupakan pejuang kemerdekaaan Tanah Melayu menerusi Kesatuan Melayu Muda (KMM). Beliaulah antara pengasas Kesatuan Melayu Muda (1938) iaitu sebelum Perang Dunia II . Presiden KMM ketika itu ialah cikgu Ibrahim Yaakob.

Timbalan Presiden KMM 1938[sunting | sunting sumber]

Kesatuan Melayu Muda ditubuhkan pada 1938 semasa era British menjajah Tanah Melayu. KMM mirip dengan 'Young Turk' di Turki pada masa itu . Ibrahim Yaakub bersama lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim berhasrat menjatuhkan kerajaan British di Tanah Melayu dan bergabung dengan Republik Indonesia bersama Sukarno. Mustapha Hussein adalah orang pertama menuntut kemerdekaan daripada tentera Jepun. Mustafa menyebut KMM ertinya Kesatuan Malaya Merdeka. Itulah sebab utama KMM diharamkan. Idea penubuhan parti politik ini dari cetusan idea Sutan Jenain[perlu rujukan] , tokoh politik dari Sumatera, Indonesia.

Serangan tentera Jepun mulai 8 Disember 1941 membawa kepada kejatuhan Singapura. Major Fujiwara Iwaichi menjadi ketua pasukan pengintip tentera Jepun. Mejar Fujiwara menerima laporan sulit dari konsul Jepun di Singapura mengenai satu gerakan anti-British anjuran KMM yang telah menjalin hubungan dengan konsul Jepun di Singapura, Ken Tsurumi. Pada April 1941 Tsurumi mendapat izin dari Tokyo untuk menyerahkan wang sebanyak $18,000 kepada Ibrahim Yaakub untuk membeli akhbar Warta Malaya kepunyaan Syed Hussein Ali Alsagoff. Dengan wang tambahan dari Tsurumi kemudiannya Ibrahim membeli sebuah motokar.

Mustapha bercerita mengenai satu kumpulan KMM yang bergerak dari Ipoh ke Tanjung Malim dan seterusnya ke Kuala Lumpur bersama pasukan tentera Jepun. Mereka berupa sayap kelima yang dikenali dengan nama 'KAME' (kura-kura). 'Kame' juga sama maksud dengan KMM . Ketika lain, seorang askar Jepun masuk ke sebuah kedai Cina tempat ia pernah bekerja sebelum meletus perang dan mengambil bendera Jepun yang disembunyikannya di bawah lantai. Bendera itu kemudian dikibar dari sebuah bangunan untuk menandakan bahawa tentera Jepun telah menawan ibu kota Malaya.

Semasa di Kuala Lumpur dari 14 hingga 17 Januari 1942, Mustapha mengambil kesempatan untuk menyerahkan kepada pegawai-pegawai tentera Jepun lirik sebuah lagu KMM. Bahagian akhir berbunyi demikian:

Askar Jepun sudah tiba
Mari kita bantu ia
Askar Jepun sudah tiba
Ia datang memerdekakan kita.

Para pegawai Jepun terkejut manakala Mustapha memberitahu KMM bererti Kesatuan Melayu Merdeka. Kerana tidak terfikir oleh mereka bahawa orang Melayu juga mahu merdeka.

Pemerintahan tentera Jepun tamat Ogos 1945 dan Ibrahim meminta kapal terbang tentera Jepun membawanya ke Jakarta. Ibrahim menukar namanya kepada Iskandar Kamel dan menjadi pengurus Gerakan Kemerdekaan Malaya. Terbit bagi pihak KMM di Jakarta - nombor 4 Jalan Kebahagian, ialah pejabatnya.

Ibrahim Yaakub menuduh Mustapha Hussain bahawa dia telah menjalin hubungan anti-Jepun dengan Subhas Chandra Bose, Ketua Tentera Kebangsaan India yang didirikan oleh pemerintahan Jepun untuk menyerang Burma (kini Myanmar). Dakwaan tersebut dinafikan kemudiannya oleh seorang pegawai kanan Chandra Bose. [1]

Mustapha dua kali dipenjarakan oleh pihak British kerana bekerjasama dengan tentera Jepun pada 1945. Beliau dibebaskan apabila pihak Regimen Melayu / Captain Raja Aman Shah bin Raja Harun Al Rashid menghantar surat kepada British tentang Mustapha menyelamatkan mereka dari tentera Jepun.[2]

Aktif dalam PKMM[sunting | sunting sumber]

Selepas bebas dari Penjara Changi , Mustapha Hussin aktif dalam aktif dalam PKMM selepas Perang Dunia II sebagai penasihat khas Dr. Burhanuddin Al-Helmy. PKMM adalah lanjutan KMM, ditubuhkan pada 17 Oktober 1945.Beliau dibebaskan dengan syarat yang ketat. Kehadiran Mustapha Hussein bersama PKMM dirahsiakan, hanya beberapa orang sahaja yang mengetahuinya. Selepas Perang Dunia II, tentera British menjalankan dasar lebih terbuka berbanding sebelum perang. Oleh itu banyak parti politik telah ditubuhkan.

Dalam buku tulisannya, Mustapha menceritakan tentang Persidangan PUTERA-AMCJA di markas besar Malayan New Democratic Youth League (MNDYL) di Kuala Lumpur pada bulan Julai 1947. Tujuan persidangan ini ialah membahaskan rangka Perlembagaan Rakyat yang sudah siap disusun oleh John Eber dari Malayan Democratic Union (MDU). Antara yang hadir ialah Taha Kalu, John Eber (MDU), Ahmad Boestamam (API), Lim Kean Chye (MDU) dan John Thivy (MIC). Lain-lain ialah Gerald de Cruz (MDU), Sir Tan Cheng Lock (AMCJA) , wakil New Democratic Youth League (NDYL), Malayan People's Anti-Japanese Ex-Comrades Association (MPAJECA) dan Cheng Loo dari Pan-Malayan Federation of Trade Union (PMFTU) .

Perisik British dengan kod 'Sparrow' sangat bimbang dengan para haji yang balik dari Mekah dan menggelarkan Dr Burhanuddin Al-Helmy sebagai 'Ghandhi di Malaya' . British bimbang dengan pemimpin Melayu seperti Mustapha Hussain, Ahmad Boestamam, Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh serta Khadijah Sidek. Slogan mereka ialah 'Merdeka Dengan Darah' dan 'Jalan chepat radical dan serantak'.[3]

Menentang Tunku dalam UMNO 1951[sunting | sunting sumber]

Semasa Darurat (1948-1960) banyak parti telah diharamkan termasuk PKMM tetapi UMNO tidak diharamkan. Oleh itu Mustapha Hussain dan lain-lain pemimpin menyertai UMNO bagi meneruskan perjuangan . Beliau bertanding menentang Tunku Abdul Rahman untuk jawatan presiden UMNO selepas perletakan jawatan Dato' Onn Jaafar pada tahun 1951. Onn Jaafar hendak membuka pintu UMNO kepada semua kaum , tidak terhad kepada orang Melayu sahaja . Semasa pengundian , Mustapha hampir menang dan hanya kalah dengan satu undi.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Mustapha menerima pendidikan di Sekolah King Edward VII di Taiping (1921-1928). Sekolah itu mempunyai patung Virgin Mary dan Jesus Christ. Kemudian belajar di Kolej Pertanian Serdang (sekarang UPM). Bapanya bekerja sebagai juruukur tanah di negeri Perak. Beliau amat cenderung dengan perjuangan Mahatma Ghandhi, Jawaharlal Nehru dan Edgar Snow.

Mustapha Hussain anak Haji Hussain bin Hj Aminudin b Nakhoda Sulong (Hj Abd Kadir) b Hj Mohd Kaul b Raja Natan b YDPS Raja Bagewang II, 27th Minangkabau Sultan . Isterinya dua orang iaitu Saadiah bt Mat Itam b Mat Amin. Keturunannya berhijrah dari Batu Bara, Sumatera Utara pada 1840an. Setelah berhijrah ke Tanah Melayu, mereka tidak lagi menggunakan gelaran yang asal. Datuknya menjadi penghulu di Sungai Tinggi, Perak.

Mustapha Hussain adalah anak saudara Tun Yusof Ishak (Presiden Singapura yang pertama) dan Aziz Ishak - Menteri Pertanian Malaysia. Aziz Ishak telah disumbat ke dalam tahanan .Mustapha berkahwin dengan Mariah binti Haji Abdul Hamid (Dorothy Aida Fenner) pada 1934. Isterinya berusia 14 tahun sementara Mustapha berusia 25 tahun . Anaknya Insun Mustapha dan Dr.Jomo K Sundram telah menulis tentang autibiografinya. [4]

Meninggal dunia[sunting | sunting sumber]

Beliau meninggal dunia pada 1987 pada usia 76 tahun di Hospital Tawakkal, Jalan Pahang, Kuala Lumpur, Malaysia dan dikebumikan berhampiran Masjid Al-Ridzwan, Ampang, Selangor, Malaysia.

Penulisan dan penghargaan[sunting | sunting sumber]

Mulai tahun 1976, Mustapha Hussain telah menulis memoir tentang dirinya . Tajuk buku itu ialah Memoir Mustapha Hussain: Kebangkitan Nasionalisme Melayu Sebelum UMNO. Versi bahasa Inggeris diterjemahkan oleh anaknya Insun Sony Mustapha dengan tajuk 'Malay Nationalism Before UMNO: The Memoirs of Mustapha Hussain'.

Pada 1974, Mustapha telah memberi ceramah tentang perjuangan politik menuntut kemerdekaan kepada mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia. "Memoir Mustapha Hussein" pernah dipentaskan oleh kumpulan teater ABAD Pulau Pinang dengan kerjasama DBP Wilayah Utara dan Pusat Pengajian Seni USM di Perak dan USM Pulau Pinang.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Di sebalik Memoir Mustapha Hussein
  2. ^ 'Malay Nationalism Before Umno: The Memoirs of Mustapha Hussain' oleh Mustapha Hussain ,hlm 9-14
  3. ^ 'Forgotten Armies: Britain's Asian Empire and the War with ' oleh Tim Harper dan ‎Christopher Bayly
  4. ^ Malay Nationalism Before UMNO: The Memoirs of Mustapha Hussain oleh Mustapha Hussain (1910-1987)(diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris oleh Insun Sony Mustapha)