Pergi ke kandungan

Muzik Hindu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Dewi Saraswati ialah penaung muzik dan segala seni dalam tradisi Hindu.

Muzik Hindu merujuk kepada muzik yang dicipta untuk atau dipengaruhi oleh agama Hindu. Ia merangkumi muzik Karnatik, muzik klasik India, muzik klasik Hindustan dan pelbagai genre muzik lain. Raga merupakan satu bentuk muzik Hindu yang biasa dalam tradisi klasik India. Veda menjadi asas tradisi muzik Hindu.

Terdapat pelbagai bentuk muzik Hindu seperti Thirumurai, Divya Prabandham, Stotra, Bhajan, Kirtana, Shyama Sangeet, dan Harikatha.

Etimologi

[sunting | sunting sumber]
Sri Krishna dikatakan pemain seruling yang memikat jiwa dengan iramanya.

Muzik dalam bahasa Sanskrit dikenali sebagai Sangita (Tamil: Sangeetam) bermaksud: ‘dilagukan dengan indah’. Jika lukisan dan gambar dapat memikat pandangan mata, maka sangita atau muzik memiliki kuasa untuk membangkitkan rasa dalam hati. Ia berupaya meluahkan emosi moral dan spiritual pada tahap yang paling tinggi. Muzik bukan sahaja menjadi penawar bagi hati yang terluka, malah ia juga dapat membantu seorang pencari kerohanian mengangkat jiwanya menuju Tuhan. Oleh itu, para resi Hindu sering menamakan muzik sebagai Nada Yoga dan Tuhan sebagai Nada Brahman — Tuhan dalam bentuk getaran suara. Maka tidak hairanlah muzik sering berpadu erat dengan agama dan nilai-nilai kerohanian.[1]

Tiga nada asas dalam ayat-ayat suci Vedaudatta, anudatta, dan svarita — merupakan asas kepada muzik India. Nada-nada ini kemudiannya berkembang menjadi tujuh dalam Samaveda, iaitu: krusta, prathama, dvitiya, trtiya, caturtha, mandra, dan atisvara. Dalam muzik India moden, nada-nada ini bersamaan dengan: pancama (pa), madhyama (ma), gandhara (ga), rsabha (ri), sadja (sa), daivata (da), dan nisada (ni). Justeru itu, Samaveda dianggap sebagai asal-usul muzik India.

Bentuk Muzik Hindu

[sunting | sunting sumber]

Kirtana ialah satu bentuk pemujaan muzik atau ibadat berkumpulan yang diamalkan oleh mazhab Vaisnava di Bengal. Lazimnya, kirtana melibatkan nyanyian bait-bait suci oleh seorang penyanyi solo yang kemudian diulangi oleh korus, diiringi alat muzik perkusi. Ada kalanya, nyanyian ini diselang-seli dengan pembacaan puisi keagamaan, pengulangan nama Tuhan (nama-kirtana), atau tarian sufi.

Lagu-lagu kirtana sering menggambarkan hubungan antara jiwa manusia dan Tuhan melalui kisah cinta ilahi antara Krishna, sang gembala suci, dan kekasihnya, Radha. Sesi kirtana boleh berlarutan selama beberapa jam dan sering membawa para peserta ke dalam keadaan keterangkatan rohani yang mendalam.

Sebagai bentuk ibadat yang bersifat emosional dan langsung, kirtana telah dipopularkan oleh tokoh mistik Bengal abad ke-15 hingga ke-16, iaitu Sri Krishna Caitanya, yang sentiasa mendambakan pengalaman rohani yang terus-menerus dan mendalam dengan Tuhan.[2]

Bhajan ialah lagu pujaan Hindu yang bersifat kerohanian dan sering kali berasal daripada zaman purba. Bhajan lazimnya terdiri daripada lagu-lagu mudah dalam bahasa yang puitis, yang meluahkan perasaan cinta terhadap Tuhan — sama ada kepada satu dewa atau dewi tertentu, atau kepada pelbagai aspek ketuhanan. Banyak bhajan memuatkan pelbagai nama dan sifat dewa yang disanjung, khususnya dalam bentuk sahasranama Hindu, iaitu senarai 1008 nama sesuatu dewa. Kepentingan besar diberikan kepada nyanyian bhajan yang disampaikan dengan bhakti, iaitu pengabdian yang penuh kasih sayang. Ungkapan "Rasanam Lakshanam Bhajanam" membawa maksud perbuatan yang membuatkan seseorang merasa lebih dekat dengan diri batinnya atau Tuhan — itulah bhajan. Segala perbuatan yang dilakukan demi Tuhan disebut sebagai bhajan.

Shyama Sangeet

[sunting | sunting sumber]

Secara umumnya, semua muzik yang didedikasikan kepada Dewi Kali disebut sebagai Shyama Sangeet dalam bahasa Benggali. Dua penyanyi terkenal dalam genre Shyama Sangeet Bengali ialah Pannalal Bhattacharya dan Dhananjay Bhattacharya. Abang sulung Pannalal, Prafulla Bhattacharya, dan abang tengahnya, Dhananjay Bhattacharya, merupakan guru muzik pertama kepada seniman sufi itu. Dhananjay berhenti menyanyi lagu kerohanian selepas menyedari semangat pengabdian yang mendalam dalam diri adiknya, Pannalal. Namun, selepas pemergian Pannalal, Dhananjay kembali menyumbang kepada muzik Bengali dengan pelbagai lagu pujaan yang dilantunkan dengan suara yang merdu dan lunak.

Teks-teks Utama

[sunting | sunting sumber]

Pada zaman terawal, sangita atau muzik dianggap sebagai bahagian yang tidak terpisah daripada nrtya (tarian) atau natya (lakonan). Tarian, muzik dan drama (nataka) dilihat sebagai satu kesatuan—Natyasastra atau ilmu lakonan. Karya Natyasastra oleh Bharata (sekitar tahun 100 Masihi) dianggap sebagai risalah sistematik yang pertama mengenai bidang ini. Beberapa karya penting lain yang sering dirujuk termasuk:

  • Sangitaratnamala oleh Mammata (sekitar tahun 1100 M)
  • Sangitaratnakara oleh Sarngadhara (sekitar tahun 1260 M)
  • Sangitasara oleh Vidyaranya (sekitar tahun 1380 M)
  • Sangitadarpana oleh Damodara (sekitar tahun 1380 M)
  • Svaramelakalanidhi oleh Ramayamatya Todaramalla (sekitar tahun 1600 M)

Asas Muzik India: Nada, Raga dan Tala

[sunting | sunting sumber]

Dalam muzik India, terdapat dua nada asas yang tetap, iaitu sa (ṣaḍja) dan pa (pañcama). Nada-nada lain—ri (rsabha), ga (gandhara), ma (madhyama), da (dhaivata), dan ni (niṣada)—mempunyai dua variasi masing-masing, menjadikan jumlah keseluruhan 12 nada. Kadangkala, 16 nada disebutkan, namun bagi kebanyakan amalan muzik, 12 sudah mencukupi.

Gabungan dan susunan pelbagai nada ini menghasilkan kepelbagaian raga atau lagu-lagu melodi. Raga yang menggunakan kesemua tujuh nada disebut melakarta atau janaka raga (raga induk). Raga yang berasal daripada rāga induk ini dikenali sebagai janya raga (raga turunan).

Venkatamakhi (sekitar tahun 1600 Masihi), dalam karya agungnya Chaturdandiprakashika[3] yang ditulis dalam bentuk syair Sanskrit, telah mengelompokkan 72 janaka raga kepada dua kumpulan yang terdiri daripada 36 raga setiap satu. Dalam karya ini, beliau turut membincangkan pelbagai aspek asas dalam teori muzik, menjadikannya sumber rujukan yang amat bernilai bagi para pemuzik.

Bagi janya raga, bilangannya tiada batasan. Bahkan hingga kini, para pemuzik yang berbakat masih terus mencipta Raga-raga baharu.

Setiap Raga mempunyai kemampuan unik untuk menyampaikan pelbagai jenis perasaan dan emosi, seperti kasih sayang, kemarahan, kelembutan, dukacita, kekecewaan, belas kasihan, kegembiraan dan sebagainya.

Satu lagi keistimewaan dalam muzik India ialah peruntukan Raga bagi waktu-waktu tertentu dalam sehari. Sebagai contoh, Raga seperti Mayamalava-gauḷa (dikenali juga sebagai Bhairav) sesuai dipersembahkan pada waktu subuh, manakala Kalyani (atau Yaman) pula dilagukan pada waktu malam. Suasana semula jadi pada waktu-waktu tertentu dipercayai dapat memperkuatkan kesan emosi yang dibangkitkan oleh Raga tersebut.

Jika symphony merupakan inti kepada muzik Barat, maka asas kepada muzik India ialah Sruti (dron atau bunyi asas yang berterusan seperti yang dihasilkan oleh tanpira), Raga (melodi), Tala (bilangan ketukan tetap dalam satu unit muzik) dan Laya (tempo atau kelajuan yang konsisten). Dalam tradisi ini, sebanyak 35 jenis Tala telah dibentuk dan digunakan.

Perkembangan dan Aliran Muzik India

[sunting | sunting sumber]

Meskipun muzik India selama berabad-abad kekal sebagai satu kesatuan, pengaruh Parsi yang kuat semasa zaman pemerintahan Mughal secara beransur-ansur telah menyebabkan pemisahan kepada dua aliran utama: aliran uttaradi atau India Utara, dan daksinadi atau India Selatan (juga dikenali sebagai muzik Karnatik). Kedua-dua aliran ini berkongsi banyak persamaan, namun juga memiliki perbezaan yang ketara. Aliran uttaradi kemudian terbahagi lagi kepada pelbagai gharana (tradisi muzik turun-temurun), yang masih wujud dan aktif hingga ke hari ini.

Walaupun improvisasi memainkan peranan penting dalam muzik Karnatik, repertoirnya juga merangkumi sejumlah besar karya yang telah digubah, terutamanya kriti atau kirtana, iaitu lagu-lagu kerohanian yang kompleks hasil ciptaan para komposer dari abad ke-16 hingga abad ke-20. Antara yang paling terkenal ialah Purandaradasa dan "triniti" komposer agung awal abad ke-19: Tyagaraja, Muthuswami Dikshitar, dan Syama Sastri.

Pusat utama bagi muzik Karnatik masa kini terletak di negeri Tamil Nadu, Karnataka, Andhra Pradesh, dan Kerala. Tumpuan terbesar pemuzik Karnatik serta persembahan yang paling cemerlang terdapat di bandar Chennai (dahulunya dikenali sebagai Madras).[4]

Hindustani

[sunting | sunting sumber]

Persembahan Muzik Klasik

[sunting | sunting sumber]

Dalam persembahan muzik klasik India, vokalis biasanya menjadi pusat utama. Dalam muzik klasik India Selatan, vokalis biasanya diiringi oleh pemain biola dan seorang lagi yang memainkan mridangam (alat perkusi tradisional). Sudah menjadi kelaziman bahawa tanpura, alat bertali yang menghasilkan nada asas berterusan (drone), sentiasa digunakan sebagai sokongan nada. Kadangkala, alat perkusi tambahan seperti ghatam (bekas tanah liat), khanjira (alat berbentuk cakera yang dipalu), dan morsing (alat bertali kecil yang dimainkan dengan mulut) juga disertakan dalam persembahan.

Di sebelah India Utara pula, vokalis sering diiringi oleh pemain harmonium dan tabla (alat perkusi berkembar). Kadangkala alat bertali seperti sarangi atau dilruba, yang mirip kepada biola, turut digunakan. Seperti dalam muzik India Selatan, penggunaan tanpura tetap menjadi keperluan asas.

Alat Muzik

[sunting | sunting sumber]

Selain muzik vokal, sistem muzik India turut kaya dengan kepelbagaian alat muzik. Bahkan dalam kesusasteraan Veda dan karya berkaitan, terdapat rujukan kepada alat seperti vina (alat bertali seakan gambus), vana (alat bertali dengan 100 tali), dhanurvina, dundubhi (gendang), adambara dan lain-lain. Dhanurvina pula dipercayai sebagai nenek moyang kepada biola moden yang kini berasal dari Barat.

Sepanjang sejarahnya, pelbagai alat muzik lain turut diperkenalkan dan menjadi sebahagian daripada tradisi muzik India, antaranya: bansuri (seruling buluh), flute, sitar, sarod, gotuvadyam, pakhvaj, khol, clarionet, nadaswaram, dan shehnai. Semua ini memperkayakan lagi warisan muzik India, menjadikannya antara yang paling halus dan pelbagai di dunia.

Peranan Ahli Muzik Wanita

[sunting | sunting sumber]

Dewi Saraswati, dengan veena di tangannya, ialah personifikasi muzik, ilmu, dan kebijaksanaan. Ramai penyanyi wanita Hindu menganggap seni mereka sebagai penyambung warisan Saraswati, bukan sekadar kemahiran, tetapi sebagai jalan menuju penyucian diri dan hubungan rohani dengan Yang Esa.

Dalam agama Hindu, muzik dianggap sebagai persembahan kepada Tuhan, dan wanita sering memainkan peranan penting dalam seva (perkhidmatan) melalui muzik di kuil, rumah ibadat, dan festival. Ramai wanita Hindu juga mengajar muzik secara turun-temurun sebagai warisan keluarga (parampara), menyebarkan nilai dharma dan seni kepada generasi baharu.

Dalam muzik klasik India, ramai wanita telah muncul sebagai guru (guru), penggubah (vaggeyakara), dan penghibur (gayika) yang tersohor. Wanita Hindu dalam muzik bukan sekadar penghibur – mereka adalah penyampai rasa rohani, pembina budaya, dan penjaga suara ilahi. Dalam setiap nada dan raga yang mereka nyanyikan, terselit kekuatan Shakti yang menyentuh hati, membangkitkan jiwa, dan mengangkat seluruh tradisi Hindu kepada langit.

Gerakan Bhakti (abad ke-6 ke atas) membuka ruang besar kepada wanita dalam bidang muzik dan puisi. Dalam gerakan ini, ekspresi cinta terhadap Tuhan disampaikan melalui nyanyian devosi (bhajan, kirtan, abhang, dan lain-lain). Beberapa tokoh wanita terkenal dalam gerakan Bhakti ialah Andal, Mirabhai, dan Akka Mahadevi.

Muzik Karnatik:

[sunting | sunting sumber]
  • M.S. Subbulakshmi – legenda abadi, penyanyi devosi dan klasik yang menjadi wanita pertama menerima anugerah Bharat Ratna. Suaranya dianggap ilahi, dan beliau dikenang sebagai “Goddess of Carnatic Music.”
  • D.K. Pattammal dan M.L. Vasanthakumari – pelopor wanita dalam persembahan awam muzik yang dulunya didominasi lelaki.

Muzik Hindustani:

[sunting | sunting sumber]
  • Kesarbai Kerkar, Gangubai Hangal, dan Kishori Amonkar – tokoh wanita yang membawa gaya khayal, thumri, dan dhrupad ke pentas tertinggi. Suara mereka menggabungkan ragam (melodi) dan bhava (perasaan) dengan sempurna.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]