Nasi goreng cina

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Nasi goreng cina ialah salah satu masakan Malaysia yang terkenal dan mudah didapati di warung-warung dan restoran Melayu dan Cina yang menjual secara à la carte. Nasi goreng cina adalah salah satu jenis variasi atau kepelbagaian menu nasi goreng yang boleh didapati di Malaysia.

Jenis masakan[sunting | sunting sumber]

Nasi goreng cina mempunyai kepelbagaian bergantung kepada masakannya. Variasi nasi goreng cina versi Melayu dan Cina dapat dilihat dalam kegunaan rencah asasnya. Selain bahan tumis lazim iaitu bawang, didapati nasi goreng cina dimasak dengan menggunakan rencah kicap cair, stok ikan, minyak bijan, halia atau lain-lain bahan yang biasa digunakan dalam masakan cina. Telur juga menjadi sebahagian daripada rencah lazim bagi nasi goreng cina.

Nasi goreng cina juga sering memasukkan sayur yang pelbagai, ketulan ayam, sotong, udang, itik, daging lembu ataupu daging babi. Walau bagaimanapun, restoran dan warung yang peniaganya Melayu dan Islam tidak menggunakan daging babi dan jarang sekali menggunakan daging itik. Perkara yang lazim dalam nasi goreng cina ialah tidak mempunyai kepedasan di dalam nasi goreng tersebut.

Kepelbagaian jenis nasi goreng ini bergantung kepada tukang masak itu sendiri.

Hidangan[sunting | sunting sumber]

Nasi goreng cina secara lazimnya dihidang begitu sahaja. Namun, menjadi kebiasaan untuk nasi goreng dihidang bersama hirisan timun. Terdapat juga yang dihidangkan bersama beberapa racik daun selada, hirisan tomato, bersama sos cili ataupun kicap bercili terutama bagi mereka yang sukakan kepedasan. Ada juga yang meletakkan sup sebagai sampingan.

Sesetengah restoran Cina juga mengukus nasi goreng di dalam daun teratai dan dihidang bersama daun tersebut.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]