Nasi goreng tomyam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Nasi goreng tomyam ialah salah satu masakan Malaysia yang terkenal dan mudah didapati di warung-warung dan restoran Melayu yang menjual secara à la carte. Nasi goreng tomyam adalah salah satu jenis variasi atau kepelbagaian menu nasi goreng yang boleh didapati di Malaysia.

Jenis masakan[sunting | sunting sumber]

Nasi goreng tomyam dililhamkan daripada perisa tomyam iaitu makanan yang diilhamkan dari Thailand. Nasi goreng tomyam dapat dikenali dengan rasanya yang mempunyai kemiripan tomyam itu sendiri. Lazimnya, rasa tomyam tersebut timbul daripada penggunaan rencah pes tomyam beserta penggunaan cili api atau cili padi, serai dan daun limau purut. Penggunaan daun ketumbar juga membantu menaikkan aroma dan bau yang unik. Hirisan limau juga turut menambahkan aroma dan pada masa yang sama memberi sedikit kemasaman untuk meniru rasa tomyam.

Tukang masak juga lazim meletakkan daging ayam, daging lembu, sotong, udang atau isi ketam ke dalam nasi goreng untuk memberi rasa dan sebagai sumber protein untuk nasi goreng itu.

Kepelbagaian jenis nasi goreng ini bergantung kepada tukang masak itu sendiri.

Hidangan[sunting | sunting sumber]

Nasi goreng tomyam secara lazimnya dihidang begitu sahaja. Namun, menjadi kebiasaan untuk nasi goreng dihidang bersama hirisan timun. Terdapat juga yang dihidangkan bersama beberapa racik daun selada dan hirisan tomato. Ada juga yang meletakkan sup sebagai sampingan.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]