Pergi ke kandungan

Nekropolis

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kubur-kubur di Nekropolis Glasgow, Scotland

Nekropolis (Jawi: نيکروڤوليس) ialah kawasan perkuburan besar yang direka dengan monumen-monumen makam yang berhias. Nama ini berasal daripada bahasa Yunani Purba νεκρόπολις nekropolis (har. 'kota orang mati').

Istilah ini biasanya merujuk kepada tapak-tapak pengebumian khas yang terletak jauh dari bandar, berbeza dengan makam-makam dalam kawasan bandar yang lazim di pelbagai tempat dan dalam era sejarah. Ia juga berbeza dengan padang kubur yang tidak ada struktur-struktur atau penanda di atas tanah. Walaupun perkataan ini paling kerap digunakan untuk tempat-tempat purba, nama ini dihidupkan kembali pada awal abad ke-19 dan diterapkan untuk tanah-tanah perkuburan bandar terancang seperti Nekropolis Glasgow.

Dalam dunia purba

[sunting | sunting sumber]
Mastaba di Nekropolis Giza dengan latar belakang piramid Khufu dan Khafre
Pintu masuk makam terukir batu di Lembah Raja-raja, Nekropolis Thebes

Mesir purba terkenal dengan pelbagai nekropolis yang menjadi tapak arkeologi besar dalam bidang Egiptologi. Amalan pengebumian Mesir purba dan kepercayaan alam akhirat Mesir purba mendorong kepada pembinaan beberapa buah nekropolis yang besar untuk melindungi dan menyediakan keperluan orang mati di alam baqa.

Mungkin yang paling terkenal ialah Nekropolis Giza. Terkenal kerana Piramid Agung Giza yang termasuk dalam Tujuh Keajaiban Dunia Purba, nekropolis ini menempatkan tiga piramid utama sebagai makam raja-raja Kerajaan Lama serta beberapa buah piramid kecil yang berkaitan dengan pengebumian diraja, di samping mastaba (makam diraja tipikal zaman Dinasti awal yang terus digunakan untuk golongan bangsawan rendah, bangsawan tinggi dan pegawai kanan hingga Tempoh Perantaraan Pertama) serta kuburan untuk orang kebiasaan.[perlu rujukan] Piramid di Giza, terutamanya Piramid Agung Khufu, ialah sebuah struktur mengagumkan yang telah bertahan ribuan tahun.

Hampir setaraf Giza ialah Nekropolis Thebes di tebing barat Sungai Nil di Thebes (Luxor moden). Nekropolis ini terkenal dengan makam batu tarah di Lembah Raja-raja, Lembah Ratu-ratu, serta pelbagai makam bangsawan dan lain-lain dari Kerajaan Baru dan selepasnya. Nekropolis Thebes menempatkan beberapa makam Mesir purba yang masih utuh hinggalah ditemui oleh ahli arkeologi moden, seperti Makam Tutankhamun dan Makam Kha dan Merit.

Nekropolis Mesir purba lain yang penting termasuk nekropolis Saqqara dengan Piramid Berperingkat Djoser; nekropolis Dahshur dengan Piramid Merah Sneferu, piramid "sebenar" yang tertua; dan Abydos, tapak sebuah nekropolis yang mempunyai makam-makam dari Zaman Pra-Dinasti hingga Zaman Akhir. Sepasang nekropolis kecil makam batu tarah gaya Thebes mula terbentuk di wadi-wadi timur Akhetaten (Amarna moden) semasa Zaman Amarna Kerajaan Baru; walaupun makam ini nampaknya tidak digunakan untuk pengebumian akibat kejatuhan rejim Amarna kira-kira 20 tahun selepas pengasasan Akhetaten, hiasan-hiasan makam ini memberikan banyak maklumat tentang era tersebut.

Tumulus disusun sepanjang jalan di nekropolis Banditaccia, Cerveteri, Itali.

Makam tipikal di nekropolis Banditaccia Cerveteri terdiri daripada tumulus atau gundukan yang menutupi satu atau lebih makam bawah tanah batu tarah. Makam-makam ini mempunyai bilik berganda dan dihias indah seperti rumah-rumah dari zamannya. Susunan tumulus dalam sebuah grid jalan memberikan penampilan mirip kota orang hidup.[1] Sejarawan seni Nigel Spivey menganggap istilah "kuburan" tidak mencukupi dan berhujah hanya istilah "nekropolis" dapat mewakili tapak pengebumian canggih ini dengan tepat.[2][3] Nekropolis Etruria biasanya terletak di bukit atau lereng bukit.[4]

Dalam zaman Yunani Mycenae sebelum Yunani purba, pengebumian boleh dilakukan di dalam kawasan bandar. Di Mycenae contohnya, makam-makam diraja terletak dalam kawasan berpagar dalam tembok bandar. Ini berubah semasa zaman Yunani purba apabila nekropolis biasanya berbaris di jalanan luar bandar. Namun, terdapat variasi dalam dunia Yunani purba. Sparta terkenal kerana meneruskan amalan pengebumian dalam bandar.[5]

Naqsh-e Rostam. Susunan makam dari kiri ke kanan: Darius II, Artaxerxes I, Darius I, Xerxes I.

Tidak jauh dari Persepolis terletak Naqsh-e Rostam, di mana raja-raja Parsi seperti Darius I dan II, Xerxes dan Artaxerxes dikebumikan dalam makam-makam yang ditarah ke tebing berbatunya.[6]Naqsh-e Rostam ialah nekropolis purba yang terletak kira-kira 12 km (7.5 bt) barat laut Persepolis, di wilayah Fars, Iran. Ukiran tertua di Naqsh-e Rustam bertarikh sekitar 1000 SM. Walaupun rosak teruk, ia menggambarkan imej samar seorang lelaki dengan tutup kepala asing dan dipercayai berasal dari Elam. Gambaran ini sebahagian daripada imej yang lebih besar yang kebanyakannya dibuang atas perintah Bahram II. Empat makam milik raja Achaemenid diukir pada ketinggian yang jauh dari paras tanah. Makam ini dikenali oleh orang tempatan sebagai "salib-salib Parsi" berdasarkan mukaan-mukaan makamnya. Pada zaman kemudian, raja-raja Sassan menambah beberapa ukiran timbul di bawah makam-makam.

Tumulus Lydia di Bin Tepe, nekropolis Sardis

Tapak Bin Tepe berfungsi sebagai nekropolis untuk Sardis, ibu kota Lydia. Ia terdiri daripada lebih 100 tumulus termasuk Tumulus Alyattes yang besar yang disebut oleh penulis-penulis purba seperti Herodotus dan masih menjadi ciri utama landskapnya hari ini. Walaupun golongan elit Lydia juga menggunakan gaya pengebumian lain, tumulus begitu banyak di seluruh Lydia sehingga digunakan untuk mengesan corak-corak petempatan. Gaya ini diterima pakai sekitar 600 SM, mungkin diilhamkan oleh makam-makam Phrygia yang serupa di Gordion. Ia berterusan selepas Parsi menakluk Lydia, hingga zaman Helenistik dan Rom.[7]:{{{1}}}[8][9]

Myra ialah sebuah bandar purba di Lycia dengan dua kawasan yang penuh dengan makam batu tarah. Makam ini diukir pada tebing dan menyerupai muka kuil. Dua tapak pengebumian ini dipanggil nekropolis sungai dan nekropolis lautan. Nekropolis lautan terletak di barat laut teater purbanya.[10]

Nekropolis 'Vila de Madrid' terletak di Barcelona, Catalonia. Penggalian arkeologi pertama pada 1950-an menemui banyak kubur di sepanjang jalan kecil yang merupakan sebahagian tanah perkuburan barat bandar Rom Barcino.[11]

Nekropolis moden

[sunting | sunting sumber]
Lorong di Tanah Perkuburan La Recoleta, Buenos Aires, Argentina

Pada zaman lebih kini, sesetengah tanah perkuburan juga dipanggil nekropolis kerana menyerupai kota yang terdiri daripada makam atas tanah, terutamanya di kawasan seperti New Orleans di mana tanah terlalu basah untuk pengebumian tradisional.[12] Nekropolis terbesar dunia yang masih beroperasi dari zaman Victoria, contohnya, ialah Nekropolis Rookwood di New South Wales, Australia.

Contoh-contoh dari era moden ialah Colma, California, Amerika Syarikat. Dikenali sebagai "Kota Jiwa" atau City of Souls, Colma ialah sebuah pekan kecil dengan kira-kira 1,600 penduduk tetapi hampir 1.5 juta dikuburkan di tanah perkuburannya. Meliputi 5.2 km persegi, pekan ini lebih banyak kubur daripada rumah. Upacara pengebumian sering menyebabkan kesesakan lalu lintas paling teruk, dan penduduk menerima amaran automatik apabila perarakan pengebumian besar diadakan.[13]

  1. ^ Gardner, Helen; Kleiner, Fred S. (2010). Gardner's Art Through the Ages: The Western Perspective. Boston, MA: Cengage Learning. m/s. 148. ISBN 9780495573555.
  2. ^ Worpole, Ken (2003). Last Landscapes: The Architecture of the Cemetery in the West. London: Reaktion Books. m/s. 79–84. ISBN 9781861891617.
  3. ^ Spivey, Nigel; Squire, Michael (2004). Panorama of the Classical World. London: Thames & Hudson Ltd. m/s. 17. ISBN 9781606060568.
  4. ^ Erasmo, Mario (2012). Death: Antiquity and Its Legacy. London: I.B. Tauris. m/s. 76–77. ISBN 9781848855571.
  5. ^ Erasmo, Mario (2012). Death: Antiquity and Its Legacy. London: I.B. Tauris. m/s. 74. ISBN 9781848855571.
  6. ^ Stanley, Dave (26 Jun 2013). "Iran: Time for travelers to return?". CNN. Dicapai pada 26 Jun 2013.
  7. ^ Greenewalt, Crawford (2011). "Sardis: A First Millenium B.C.E. Capital in Western Anatolia". Dalam Steadman, Sharon; McMahon, Gregory (penyunting). The Oxford Handbook of Ancient Anatolia. Oxford University Press. doi:10.1093/oxfordhb/9780195376142.013.0052.
  8. ^ Baughan, Elizabeth (2010). "Adat Pengebumian Lydia". The Lydians and Their World.
  9. ^ "Bin Tepe, The Tumulus of Alyattes, and Karnıyarık Tepe". Sardis Expedition. Dicapai pada 14 Mac 2023.
  10. ^ Fanizza, Irene. "Myra – Ocean Necropolis". World History Encyclopedia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-12-07.
  11. ^ Salazar-García, Domingo C.; Colominas, Lídia; Jordana, Xabier (2022-08-24). Bondioli, Luca (penyunting). "Food for the soul and food for the body. Studying dietary patterns and funerary meals in the Western Roman Empire: An anthropological and archaeozoological approach". PLOS ONE (dalam bahasa Inggeris). 17 (8): e0271296. Bibcode:2022PLoSO..1771296S. doi:10.1371/journal.pone.0271296. ISSN 1932-6203. PMC 9401112 Check |pmc= value (bantuan). PMID 36001535 Check |pmid= value (bantuan).
  12. ^ "Definition of NECROPOLIS". Merriam-Webster. 9 November 2024. Dicapai pada 17 November 2024.
  13. ^ Branch, John (17 November 2024). "The town of Colma, where San Francisco's dead live". The New York Times (Online) New York Company. Dicapai pada 17 November 2024.