Noor Suzaily Mukhtar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Noor Suzaily Mukhtar
Noor Suzaily Mukhtar.jpg
Gambar fail Noor Suzaily.
Kelahiran(1976-06-09)9 Jun 1976
Kangar, Perlis, Malaysia
Meninggal dunia7 Oktober 2000(2000-10-07) (umur 24)
Klang, Selangor, Malaysia
Sebab kematianDibunuh dengan kejam
Nama lainSuzy
PekerjaanJurutera komputer
PasanganRudy Shahrin (tunang)
Ibu bapaMukhtar Ibrahim (bapa)
Harisun Hussin (ibu)

Noor Suzaily Mukhtar (9 Jun 1976–7 Oktober 2000)[1] merupakan seorang jurutera komputer Malaysia yang menjadi mangsa pembunuhan kejam pada 7 Oktober 2000.[2] Beliau dirogol, diliwat dan dibunuh di dalam sebuah bas persiaran ketika dalam perjalanan untuk ke tempat kerjanya.[3][4]

Biografi[sunting | sunting sumber]

Noor Suzaily dilahirkan pada 9 Jun 1976 di Kangar, Perlis bekerja sebagai jurutera komputer di Kuala Lumpur dan merupakan anak ketiga dan anak perempuan tunggal kepada Mukhtar Ibrahim dan Harison Husin, beliau lebih dikenali Suzy dan merupakan anak yang paling manja dalam keluarganya. Beliau turut menjadi harapan ibubapanya yang sanggup berbuat apa sahaja demi membiayai pelajarannya di United Kingdom.[3][5]

Pembunuhan dan kematian[sunting | sunting sumber]

Noor Suzaily, yang ketika itu berusia 24 tahun, bekerja sebagai jurutera komputer telah menaiki sebuah bas awam ke tempat kerjanya, Pusat Perubatan Pantai bagi melaporkan diri untuk memulakan kerjaya impiannya. Sebaik mengesyaki sesuatu yang mencurigakan, Noor Suzaily mula panik. Beliau dikatakan menjerit untuk meminta bantuan, tetapi telah ditampar dan ditumbuk oleh penyerangnya ketika pergelutan.[6]

Malang tidak berbau, Noor Suzaily telah dirogol dan diperlakukan dengan kejam di dalam sebuah bas ekspres oleh pemandunya, sekaligus meragut nyawanya. Selain dirogol dan diliwat, mangsa turut dipukul tanpa belas kasihan sehingga menyebabkan 44 kesan kecederaan pada tubuhnya. Mayat mangsa kemudiannya dicampakkan di sebuah kawasan perumahan di Bukit Tinggi, Klang dan ditemui oleh pihak polis dan pakar sains forensik, dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya.

Jenazah Allahyarhamah Noor Suzaily telah dikebumikan di tanah perkuburan di tempat kelahirannya di Kangar, Perlis pada hari berikutnya.

Hanafi Mat Hassan[sunting | sunting sumber]

Pelaku utama bagi kes rogol dan bunuh Noor Suzaily ialah Hanafi Mat Hassan (1966-2008) yang bekerja sebagai pemandu bas, Hanafi berasal dari Kampung Renek, Kota Bharu, Kelantan dan pernah berkahwin sebanyak empat kali, dan bercerai tiga kali. Anak bongsu beliau hasil dari perkahwinannya yang keempat meninggal dunia. Beliau ditahan oleh pihak polis di terminal bas Klang, 3 hari selepas kejadian.[7]

Hanafi yang ketika itu berusia 34 tahun didapati bersalah dan dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 April 2002 kerana membunuh Noor Suzaily, 24, di antara Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dan tapak pembinaan projek perumahan di Taman Bukit Tinggi, Klang di antara jam 8.50 pagi hingga 9.15 pagi pada 7 Oktober 2000.[8]

Beliau juga menerima hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan atas tuduhan merogol mangsa. Hukuman penjara yang dikenakan itu adalah maksimum mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.[9]

Kes berkenaan mendapat liputan meluas sejak mayat Noor Suzaily ditemui dalam keadaan bogel dengan 44 kesan kecederaan di tepi jalan kawasan pembinaan Bukit Tinggi Klang pada petang hari yang sama. Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat dijerut.[9]

Perbicaraan kes itu bermula pada 12 Mac 2001 di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan rayuan terakhir Hanafi ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 12 Disember 2006.[9][10]

Berdasarkan dari fail Polis Diraja Malaysia, Hanafi pernah terlibat dan dikehendaki bagi kes merogol yang melibatkan bekas isterinya di Mentakab, Pahang pada tahun 1988. Tertuduh juga pernah terbabit dalam kes pecah amanah di Subang Jaya, Selangor pada 1994 di samping didapati bersalah bagi kes samun dan dikenakan dua kali sebatan di Chukai, Terengganu pada 1996.[9][11]

Pada subuh 19 Disember 2008, Hanafi maut di tali gantung di Penjara Sungai Buloh, Selangor. Ketika itu, beliau berusia 42 tahun, jenazahnya dibawa ke Hospital Kajang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Binjai, Kelantan. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kubur Datu, Binjai, kira-kira jam 6 petang.[12]

Di dalam media[sunting | sunting sumber]

TV3 menerusi rancangan KES: Kronologi. Eksklusif. Siasatan terbitannya menyiarkan kes pembunuhan Noor Suzaily.[3]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Peristiwa dirogol dan dibunuh 16 tahun lalu masih tidak dapat dilupakan ibu bapa Buletin Media (16 Mac 2016). Dicpai pada 23 Julai 2016.
  2. ^ Jurutera komputer diperkosa, dibunuh dalam bas Utusan Malaysia (11 Oktober 2000). Diperoleh pada 8 Julai 2018.
  3. ^ a b c KES - Noor Suzaily Mukhtar
  4. ^ Aizat Sharif (9 Mac 2016). Pedih masih terasa Harian Metro. Dicapai pada 9 Julai 2018.
  5. ^ Suzaily, Kisah Tragik Mangsa Bunuh Kejam Di Malaysia Mynewshub (2 November 2017). Dicapai pada 23 Julai 2018.
  6. ^ Kisah pembunuhan Noor Suzaily Mukhtar, graduan kejuruteraan dari United Kingdom menggemparkan negara sekitar tahun 2000 Oh My Media (3 November 2017). Diperoleh pada 8 Julai 2018.
  7. ^ Bus driver’s appeal dismissed The Sun, Malaysia (13 Ogos 2004). Diperoleh pada 9 Julai 2014.
  8. ^ Hanafi dihukum gantung -- Didapati bersalah membunuh jurutera komputer, Noor Suzaily dua tahun lalu Norazlita Mohd. Sies. Utusan Malaysia. 27 April 2002. (19 Julai 2016)
  9. ^ a b c d Peguam: Hanya niat rogol Suzaily, bukan bunuh mStar. 12 Disember 2006. (19 Julai 2016)
  10. ^ Death sentence upheld in rape and murder case The Star Online (13 Ogos 2005). Diperoleh pada 8 Julai 2010.
  11. ^ Tiada maaf untuk Hanafi Dewan Masyarakat. Diperoleh pada 8 Julai 2014.
  12. ^ Noor Suzaily's killer hanged Malaysiakini (19 Disember 2008). Diperoleh pada 19 Julai 2016.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]