Noor Azizah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Nor Azizah)

Noor Azizah
Kelahiran
Noor Azizah binti Dato' Seri Azizul Hassan

1947
PekerjaanPelakon
Tahun aktif1965–2000
PasanganDatuk Nik Hussein
Ibu bapaDato' Seri Azizul Hassan bin Haji Abdul Rani (bapa)
Toh Puan Datin Seri Hasiah (ibu)
Julie Faridah (ibu tiri)
SaudaraNoor Aziah Jasmin binti Azizul Hassan

Datin Noor Azizah binti Dato' Seri Azizul Hassan atau lebih dikenali sebagai Noor Azizah merupakan seorang pelakon di Malaysia.

Pengenalan[sunting | sunting sumber]

Noor Azizah dilahirkan pada tahun 1947 di Kinta, Ipoh, Perak, merupakan anak kepada O.K.K Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja Dato' Seri Azizul Hassan Bin Haji Abdul Rani yang merupakan seorang pegawai kanan polis dan Orang Besar Jajahan Kinta.

Penglibatan dan Kerjaya Seni[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1965 bermulalah sejarah pembabitannya dalam dunia filem. Beliau menjadi pelakon pembantu dalam filem sulungnya iaitu Dayang Senandong arahan Jamil Sulong. Sebaik selesai filem itu, beliau ditawarkan pula filem Sri Andalas (1966) arahan S. Kadarisman. Kemudian, muncul dalam filem ketiga, A-Go-Go '67 (1967). Untuk filem ini beliau 'dinaikkan pangkat' apabila disenaraikan sebagai pelakon utama. Filem A Go Go '67 arahan Omar Rojik membariskan Ahmad Nisfu, Aziz Jaafar, Normah Zainal, S. Shamsuddin, Kuswadinata, Ali Fiji, M. Rafiee, Ibrahim Pendek dan Habsah Buang. Sejak itulah, beliau tidak menoleh ke belakang lagi terhadap dunia lakonan.

Ketika berada dalam zaman keemasannya itu, secara tiba-tiba beliau menyatakan hasrat menarik diri daripada dunia filem. Niatnya itu dibatalkan selepas dipujuk Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Almarhum) yang kemudian memilihnya berlakon dalam filem Raja Bersiong (1968). Bagi Noor Azizah, beliau berasa bertuah kerana Tunku sudi memilihnya untuk memegang watak penting bersama Sarimah, Zaiton, Rahmah Rahmat dan Normadiah.

Apabila studio Malay Film Productions, Jalan Ampas Singapura ditutup pada lewat tahun 60-an, kerjaya seni beliau seolah-olah terhenti kerana penghijrahan pelakon dan pengarah ke Kuala Lumpur. Beliau kemudian dilamar Omar Rojik untuk muncul dalam filem arahan pertamanya di Kuala Lumpur. Beliau yang masih menetap di Johor Bahru dipujuk oleh Jaafar Abdullah supaya menetap di Kuala Lumpur. Kebetulan, bapanya yang ketika itu pegawai polis ditukarkan ke Klang. Ini mencerahkan harapannya untuk meneruskan kerjaya seninya.

Menerusi Studio Merdeka di Hulu Klang, Noor Azizah muncul dalam banyak filem seperti Kembang Layu (1970) dan Durjana (1971). Semasa di puncak kegemilangannya, Noor Azizah sering digandingkan dengan Ahmad Mahmud atau Ed Osmera selain P. Ramlee. Pada tahun 1969, Noor Azizah diberi penghormatan oleh P. Ramlee kerana diberikan dua watak dalam filem Enam Jahanam keluaran Studio Merdeka, Kuala Lumpur iaitu sebagai Masmera dan Mastika. Masmera ialah isteri kepada seorang peniaga dan pendekar terkenal bernama Tantari (P. Ramlee). Turut berlakon dalam filem tersebut ialah seniman Yusof Latiff sebagai Damburi.

Selain Enam Jahanam, P. Ramlee mengambilnya berlakon dalam filem Dr. Rushdi (1970) dan Jangan Tinggal Daku (1971). Sebelum itu, Jins Shamsuddin menggandingkannya bersama P. Ramlee dalam filem arahan pertamanya Di-Belakang Tabir (1969). Filem lain yang pernah dibintanginya ialah Perintah Seri Paduka (1970), Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh (1971), Sayang Anakku Sayang (1976), Cinta dan Lagu (1976) dan Pendekar (1977).

Selain filem terbitan tempatan, beliau pernah membintangi filem Thailand bertajuk Vendetta, selain dua filem terbitan Indonesia iaitu Jangan Kau Tangisi dan Malim Kundang selain pernah muncul dalam siri TV Australia, Bailey's Birds.

Hinggalah pada era 80-an, Noor Azizah masih mewarnai dunia filem dan drama TV. Namun sejak sedekad lalu, namanya semakin sepi sehinggalah tampil semula sebagai artis undangan dalam filem Soal Hati arahan Othman Hafsham pada 2000.

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Catatan
1965 Dayang Senandong Puteri Mawarni Filem pertama
1966 Sri Andalas Melor
1967 A-Go-Go '67 Fauziah
1968 Raja Bersiong Nangti
1969 6 Jahanam Masmera / Mastika
Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh
1970 Di-Belakang Tabir Faridah / Hamidah
Kembang Layu Normala
Perintah Seri Paduka
Dr. Rushdi Karmila
1971 Jangan Tinggal Daku Tahirah
Durjana
Malin Kundang ditemukan dengan bintang filem utama Indonesia, Rano Karno
1972 Belang Pertanda
1976 Sayang Anakku Sayang Noraini
Cinta dan Lagu
1977 Pendekar
1979 Ceritaku Ceritamu
1989 Pertarongan Digua Siluman Filem usahasama Malaysia-Indonesia
2000 Soal Hati Puan Zaiton Filem terakhir

Drama[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Saluran TV
1977 Bailey's Bird Doktor Susan Lim Seven Network

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]