Nujum Pa' Blalang
| Nujum Pa' Blalang | |
|---|---|
Poster asal Nujum Pa' Blalang | |
| Pengarah | P. Ramlee S. Sudarmaji (penolong pengarah) |
| Penulis |
|
| Lakon layar | P. Ramlee |
| Cerita oleh | P. Ramlee |
| Dihasilkan oleh | Runme Shaw |
| Dibintangi |
|
| Sinematografi | A. Bakar Ali |
| Muzik oleh | Kassim Masdor P. Ramlee |
Syarikat penerbitan | |
| Diedarkan oleh | Shaw Brothers |
Tarikh tayangan |
|
| Negara | Singapura |
| Bahasa | Melayu |
Nujum Pa' Blalang (kini dieja sebagai Nujum Pak Belalang) ialah sebuah filem Melayu berunsur komedi yang diterbitkan pada 26 Disember 1959 di Singapura. Ia diarahkan dan dilakonkan oleh Tan Sri P. Ramlee. Filem ini berbaur cerita dongeng epik yang berlatarbelakangkan budaya masyarakat Melayu lama. Filem ini turut memenangi "Filem Komedi Terbaik" di Festival Filem Asia ke-7 di Tokyo, Jepun.
Sinopsis
[sunting | sunting sumber]Bermulanya seorang nujum
[sunting | sunting sumber]Filem dimulakan dengan memperkenalkan watak Belalang (Bad Latiff), seorang budak yang sangat rajin dan melakukan kerja ladang serta mengambil upah untuk menyara hidup keluarganya. Beliau mempunyai seorang bapa yang dipanggil Pak Belalang (P. Ramlee), yang merupakan seorang yang sangat malas dan kerjanya hanya tidur siang malam. Apabila orang bertandang ke rumah iaitu Kadok (M. Zain) dan Kacong (M. Rafiee), di dapurnya tiada apa walaupun kopi. Akhirnya, tetamu dijemput minum minuman campuran arang bontot kuali. Rasanya tak sedap. Pak Belalang bertanya apa dia, rasanya sedap. Kadok dan Kacong berminta diri untuk balik rumah.
Pada suatu hari, Belalang terserempak dengan dua orang pencuri atau penyamun, Badan (Aziz Sattar) dan Nyawa (S. Shamsuddin), yang mencuri kambing dan lembu orang kampung. Belalang menakut-nakutkan pencuri tersebut dengan menyamar menjadi "anak jin yang mahu makan darah" sampai Belalang kata: "Hai, manusia. Aku anak jin, aku mau makan darah." Untuk mendapatkan balik lembu dan kambing sebaik pencuri tersebut melarikan diri. Belalang pun membawa lembu dan kambing balik ke rumahnya. Pak Belalang hairan pasal kenapa dengan lembu dan kambing bawa balik di sini. Dan Belalang berterusan terang. Pak Belalang berasa sudah tentu dan suruh Belalang menyembunyikan kambing dan lembu. Di rumah Penghulu, Buntal (H. M. Busra) dan Jambul (Ali Fiji), dua orang pengembala yang kehilangan lembu dan kambing dan orang-orang kampung mencari Penghulu (Malek Sutan Muda) untuk melaporkan hal tersebut. Dalam keriuhan, Belalang muncul dan mengatakan bapanya seorang ahli nujum yang mampu mengetahui kedudukan lembu dan kambing tersebut. Dalam perasaan tidak percaya, Penghulu dan orang kampung yang lain turut ke rumah Pak Belalang.
Pak Belalang yang telah berpakat dengan anaknya, Belalang lalu mengambil "geluk jampi" yang berisi air dan dijampi (walaupun tidak tahu apa jampinya). Air itu kemudiannya ditunjukkan kepada penghulu dan dua pengembala dan jika mereka tidak nampak, diugutnya bahawa mereka adalah anak di luar nikah. Pak Belalang berpura-pura nampak bayangan di dalam air tersebut tetapi tidak tahu di mana kedudukan lembu dan kambing itu. Mujurlah Belalang yang mengetahui kedudukan lembu dan kambing itu dapat memberitahu mereka lalu meyakinkan orang kampung akan kebolehan Pak Belalang.
Pak Belalang Ahli Nujum Negara
[sunting | sunting sumber]Pada suatu malam, Badan dan Nyawa telah menggunakan ilmu pukau untuk menidurkan seluruh warga Istana Negeri Beringin Rendang lalu mencuri harta istana termasuk satu peti syiling emas, kalung kepunyaan Puteri Si Bujur Sirih (Hashimah Yon) dan mahkota milik Sultan Shahrul Nizam ibni Almarhum Sultan Malik Shah (Ahmad Nisfu). Selepas seluruh isi istana sedar, Sultan telah murka dan kemudian Penghulu menyatakan tentang kebolehan Pak Belalang sebagai nujum. Pak Belalang telah dibawa ke istana dan diperintahkan untuk mencari tempat harta tersebut disembunyikan. Seperti biasa, Pak Belalang tidak dapat melakukan apa-apa dan meminta untuk diberikan masa itu. Sebagai balasan sekiranya Pak Belalang tidak menemui harta tersebut, baginda Sultan akan memancung Pak Belalang dan memenjarakan Penghulu.
Pak Belalang pulang dan melarikan diri bersembunyi di dalam sebuah gua di Bukit Tunggal atas cadangan Belalang. Secara kebetulan, beliau terdengar Badan dan Nyawa sedang mengira-ngira harta istana. Pak Belalang mengugut mereka sebagai "penunggu gua" dan menyuruh mereka meninggalkan harta tersebut supaya tidak mati. Sementara itu, Belalang telah dibawa menghadap Sultan untuk menggantikan Pak Belalang yang tiada di rumah. Sultan bertanyakan khabar tentang harta istana kepada Belalang. Belalang membuat helah bahawa bapanya telah ke "Gunung Cinerama" yang terletak di negara Jepun. Sultan terlihat bekalan yang dipegang Belalang dan menuduh Belalang menipu, sama seperti ayahnya. Belalang membuat dalih bahawa bekalan itu adalah untuk 'jin lapar'. Disebabkan Sultan tahu bahawa semuanya hanya temberang, Sultan mahu menghukum Belalang. Mujur Pak Belalang muncul dan memberitahu kedudukan harta istana itu yang disembunyikan oleh 'jin miskin' (helahnya). Pak Belalang memberitahu, untuk memasuki gua tersebut, hanya empat orang sahaja yang dibenarkan untuk memasuki gua iaitu Sultan, Permaisuri (Sa'amah), Perdana Menteri (Kemat Hassan) dan Puteri. Mereka juga perlu masuk ke dalam dengan cara merangkak dan tidak dibenarkan berdiri. Mereka dibawa ke sana dan memasuki gua tersebut (sambil mengikut syarat Pak Belalang).
Sultan sangat gembira dengan 'kebolehan dan hasil tilikan' Pak Belalang dan melantik beliau sebagai Ahli Nujum Negara.
Cabaran Ahli Nujum Negara
[sunting | sunting sumber]Ketika Sultan dan para penghulu Beringin Rendang sedang membincangkan masalah kerajaan dan rakyat, Inang (Habsah Buang) telah meluru masuk ke balai penghadapan dalam keadaan menangis teresak-esak dan mengatakan Puteri Si Bujur Sirih telah rebah tidak sedarkan diri. Baginda Sultan Shahrul Nizam memerintahkan agar Nujum Pak Belalang dipanggil untuk memeriksa keadaan tuan puteri yang jatuh gering. Ketika Pak Belalang tiba di kamar peraduan puteri, beliau mendapati bahawa tuan puteri berpura-pura pengsan. Sebagai helah untuk mengetahui hal sebenar daripada tuan puteri itu, Pak Belalang mengatakan bahawa puteri telah dijangkiti penyakit "angau" dan pemeriksaan harus dilakukan oleh Pak Belalang seorang diri bersama puteri di dalam bilik tanpa orang lain.

Setelah semua orang keluar, Puteri Si Bujur Sirih bangun dan mengatakan dia ingin berjumpa dengan Pak Belalang di Taman Istana pada jam 11 malam. Memandangkan perkara tersebut berbahaya untuk dilakukan oleh Pak Belalang, beliau mencari akal dan memberitahu Sultan bahawa cara untuk puteri berubat adalah dengan membiarkan puteri keluar ke taman pada malam itu berseorangan tanpa dikawal oleh pengawal juga. Maka, itulah peluang Pak Belalang untuk berjumpa puteri tanpa diketahui sesiapa (walaupun semua ini adalah rancangan Inang pada asalnya). Keesokan harinya, puteri berkata bahawa dia sudah sembuh setelah "berubat" pada malam itu.
Setelah lega dengan keadaan tuan puteri, Sultan kembali ke Istana Besar untuk menyambungkan perbincangan dengan penghulu yang tergendala hari sebelumnya. Ketika dalam perbincangan, mereka terdengar berdas-das tembakan meriam. Kemudian dikhabarkan bahawa kapal dari Masai telah tiba. Sultan ragu-ragu dengan kedatangan mereka dan mengatakan sediakan bala tentera. Sekiranya rombongan dari Masai ingin berperang, mereka akan diserang oleh tentera Beringin Rendang. Sekiranya mereka datang dengan aman, kedatangan mereka akan dialu-alukan.
Pertaruhan Dua Sultan
[sunting | sunting sumber]Mereka melihat rombongan Sultan Masai (Shariff Dol) adalah untuk jalan damai iaitu tiada satu bala tentera pun yang dibawanya. Hal itu disebabkan mereka tahu mereka tidak mempunyai kekuatan tentera untuk menentang Beringin Rendang, maka mereka datang ke sana untuk bertanding kepintaran. Di istana, kedua-dua orang sultan pun bertemu.
Sultan Masai pun mengutarakan pandangannya untuk beradu akal antara kedua-dua ahli nujum negara dan untuk itu, baginda sedia mempertaruhkan negaranya. Sultan Shahrul Nizam berfikir sejenak sebelum meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada Pak Belalang yang sebenarnya tiada kepintaran akal. Setelah menandatangani perjanjian antara dua negara, ahli nujum Masai pun mengajukan soalan:
- "Sebatang kayu yang diraut cantik-cantik. Bagaimana kita hendak mengetahui yang mana hujungnya dan yang mana pangkalnya?"
- "Dua ekor anak itik yang baru menetas. Bagaimana kita hendak mengetahui yang mana jantannya dan yang mana betinanya?"
- "Ada sebuah masalah. Satu, banyak-banyak. Dua, sikit-sikit. Tiga, jarang-jarang. Empat, kadang-kadang. Apa itu?"
- "Di manakah terletaknya kekuatan Datuk Laksamana Hang Tuah. Di kerisnya kah? Atau di tenaganya kah?"
Setelah mendengar dan melihat sendiri keadaan di istana, Pak Belalang gerun kerana Sultan sanggup mempertaruhkan negara kerana meletakkan kepercayaan penuh kepada beliau yang sebenarnya tidak mengetahui apa-apa. Dia pulang dan menyuruh Belalang mencari perahu untuk melarikan diri sementara dia mengemas barang keperluan. Di kuala, Belalang cuba mengambil perahu Sultan Masai tetapi ketika ingin menolak perahu itu, rombongan Sultan Masai tiba. Belalang memasuki perahu itu dan bersembunyi di bawah tempat duduk dan berlayar bersama rombongan itu untuk pulang ke kapal baginda Masai. Dalam perjalanan, Sultan Masai memujuk ahli nujumnya untuk memberitahu jawapan teka-teki dan walaupun baginda melarang semua anak kapal yang mendengarnya dari turun ke darat, semua jawapan itu telah didengar oleh Belalang. Belalang berenang pulang dan memberitahu bapanya semua jawapan yang didengarnya.
Pada hari yang ditetapkan, Pak Belalang sudah bersedia dengan jawapan yang diberikan Belalang dengan yakin. Berikut merupakan penyelesaiannya:
- Soalan 1: "Wahai ahli nujum di negara Beringin Rendang, di tangan hamba ada sebatang kayu. Tolong tunjukkan yang manakah hujungnya dan yang manakah pangkalnya?"
- Pak Belalang mengambil sebatang kayu yang diraut cantik dan meletakkannya ke dalam air dan dilihat kayu terdapat hujung yang timbul dan yang satu lagi tenggelam. Pak Belalang mengatakan bahawa yang hujung itu timbul dan yang pangkal itu tenggelam disebabkan "Sebabnya, tiap-tiap yang hujung adalah lebih ringan daripada yang pangkal".
- Soalan 2: "Ini dia. Dua ekor anak itik yang baru menetas. Seekor jantan, seekor betina. Bagaimana kita hendak mengetahui yang mana jantannya dan yang mana betinanya?"
- Pak Belalang membawa dua ekor anak itik jantan dan betina yang baru menetas dan dibiarkan kedua-duanya berenang di permukaan air. Didapati seekor itik berenang di hadapan dan seekor lagi mengikut di belakang. Pak Belalang mengatakan yang di hadapan itik betina dan yang di belakang itulah itik jantan. Alasan yang diberikan adalah "lumrah dunia" kerana si jantan akan mengekori yang betina.
- Soalan 3: Ada sebuah masalah. Satu, banyak-banyak. Dua, sikit-sikit. Tiga, jarang-jarang. Empat, kadang-kadang. Apa itu?
- Pak Belalang menjawab "kahwin" kerana "Satu, banyak, ertinya, orang yang kahwin satu, banyak di dalam dunia ini. Dua, sikit-sikit, ertinya, orang yang kahwin dua sikit bilangannya dari orang yang kahwin satu. Tiga, jarang-jarang, ertinya, orang yang kahwin tiga jarang-jarang yang kita dengar. Empat, kadang-kadang, ertinya, orang yang kahwin empat kadang-kadang baru kita dengar sekali.
- Soalan 4: Di manakah terletaknya kekuatan Datuk Laksamana Hang Tuah. Di kerisnya kah? Di tenaganya kah?
- Pak Belalang menjawab "kekuatan Datuk Laksamana Hang Tuah bukan terletak di keris atau di tenaganya tetapi terletak di atas pada huruf huruf Ta nya. Kerana huruf Ta yang menguatkan ejaan nama Tuah, Ta - Wau - Alif - Ha: 'Tuah' (ﺗﻮﺍﻩ)." Jika ditukar Ta, Pak Belalang memberitahu ahli nujum Masai itu kepada Ba, bunyinya akan jadi 'Buah' (بواه).
Tuah Pak Belalang
[sunting | sunting sumber]Dengan negara Beringin Rendang beroleh kemenangan, Sultan Masai tidak berpuas hati kerana mengesyaki ahli nujumnya (Udo Omar) berpakat dengan pihak Beringin Rendang untuk menjatuhkan baginda. Baginda lalu mengajukan satu lagi persoalan. Pak Belalang tidak bersetuju tetapi Sultan Shahrul Nizam memujuk untuk menyahut cabaran baginda Masai. Sultan Masai mengeluarkan sesuatu dari uncang ke dalam genggamannya dan menyuruh Pak Belalang meneka apakah itu. Pak Belalang mengetahui bahawa dia tidak dapat menjawabnya lalu merintih dan merungut sambil memanggil nama "Belalang" dan menyalahkan anaknya yang berdegil untuk berlawan. Sultan Masai yang mendengarnya terduduk. Sultan Shahrul Nizam bertanya sebab dan baginda menjawab bahawa jawapan Pak Belalang itu betul kerana yang digenggamnya adalah seekor belalang. Maka, dengan itu, Beringin Rendang beroleh kemenangan mutlak dan negara Masai jatuh ke tangan Beringin Rendang.
Disebabkan tiada negara, Sultan Masai menetap di atas kapalnya. Suatu hari, Badan dan Nyawa datang mengadap Sultan (kononnya mereka abang ipar Sultan) dan mengutarakan cadangan untuk memperoleh semula negara baginda. Mereka berdua akan menculik Tuan Puteri Si Bujur Sirih dan menyembunyikannya. Kemudian dicadangkan apabila Sultan mengumumkan baginda akan memperkenankan apa sahaja permintaan sesiapa yang memulangkan tuan puteri itu, Sultan Masai akan muncul dan memulangkan puteri lalu meminta untuk dikembalikan negara serta mengahwini puteri itu.
Mereka kemudian bersembunyi di Gua Bukit Tunggal sementara Badan dan Nyawa menculik puteri. Setelah itu, seperti yang dijangka, Sultan Shahrul Nizam mengumumkan yang baginda memperkenankan apa sahaja permintaan sesiapa yang memulangkan tuan puteri itu. Mujur, Perdana Menteri sempat mengingatkan Sultan bahawa mereka sudah mempunyai Ahli Nujum Negara. Lalu, Pak Belalang dipanggil mengadap Sultan dan dipaksa untuk 'meramalkan' sehingga jumpa tempat puteri disembunyikan atau dia akan dihukum pancung. Semangkuk air disediakan dan seperti biasa, Pak Belalang tidak tahu apa hendak buat dan berlakon seolah-olah berjampi. Tiba-tiba, secara ajaib, muncul dari dalam air bayangan puteri yang diikat oleh Sultan Masai, penculik Badan dan Nyawa serta pengikut baginda. Ketika Sultan menanyakan tempat persembunyian itu, Pak Belalang telah hilang.
Mereka semua menuju ke gua Bukit Tunggal dan menumpaskan kumpulan itu. Penculik Badan dan Nyawa dijatuhkan hukuman pancung manakala Sultan Negeri Masai dan pengikutnya dihukum penjara seumur hidup. Pak Belalang yang berpelukan dengan Puteri Si Bujur Sirih dilihat oleh Sultan lalu baginda 'menghukum' mereka untuk berkahwin. Sebelum tamat, muncul Belalang mengatakan dia akan tidur situ kerana dirungutnya bapanya tak mahu memperbesarkan rumah dan dia tiada tempat tidur (mengetahui dia akan mendapat 'ibu baru').
Barisan pelakon
[sunting | sunting sumber]Pelakon utama
[sunting | sunting sumber]- P. Ramlee sebagai Pak Belalang (Ahli Nujum Negeri Beringin Rendang)
- Hashimah Yon sebagai Tuan Puteri Si Bujur Sireh
- Bad Latiff sebagai Belalang
Pelakon pembantu
[sunting | sunting sumber]- Ahmad Nisfu sebagai Sultan Shahrul Nizam ibni Almarhum Sultan Malik Shah
- Sa'amah sebagai Permaisuri
- Kemat Hassan sebagai Perdana Menteri Negeri Beringin Rendang
- Aziz Sattar sebagai Badan
- S. Shamsuddin sebagai Nyawa
- Shariff Dol sebagai Sultan Negeri Masai
- Udo Omar sebagai Ahli Nujum Negeri Masai
- M. Babjan sebagai Perdana Menteri Negeri Masai
- Malek Sutan Muda sebagai Penghulu
- Habsah Buang sebagai Inang
- M. Rafiee sebagai Kacong
- M. Zain sebagai Kadok
- H. M. Busra sebagai Buntal
- Ali Fiji sebagai Jambul
Penampilan khas
[sunting | sunting sumber]- Rahmah Rahmat sebagai ketua penari lagu "Katipang Payong" (Ketipang Payung)
Pelakon tambahan
[sunting | sunting sumber]- Mahmud Hitam & Makcik Kamariah sebagai penduduk kampung yang memberi upah tebu kepada Belalang
- A. Galak sebagai penduduk kampung
Runut
[sunting | sunting sumber]- "Nujum Pa' Blalang" nyanyian P. Ramlee
- "Kami Penyamun" nyanyian Aziz Sattar & S. Shamsuddin
- "Katipang Payong" nyanyian oleh Rahmah Rahmat
- "Kalau Kacha Menjadi Intan" nyanyian P. Ramlee & Hashimah Yon