Nur (musim 2)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Nur 2)
Nur
Musim 2
Dibintangi
oleh
Negara asalMalaysia
Bil. episod15
Keluaran
RangkaianTV3
Tarikh siaran2 April –
25 April 2019
Kronologi musim
← Sebelumnya
Musim 1

Musim kedua Nur, juga dikenali sebagai Nur 2 memulakan tayangan perdana di Slot Samarinda TV3 pada 2 April 2019 hingga 25 April 2019.[1][2][3][4] Ia mengisahkan tentang kehidupan Nur dan Ustaz Adam selepas mendirikan rumahtangga. Drama ini boleh didapati untuk penstriman dalam talian di iflix.[5][6]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Ujian demi ujian telah datang kepada Ustaz Adam (Syafiq Kyle) dan Nur (Amyra Rosli) dalam menempuhi hidup mereka sebagai suami isteri. Setelah berkahwin Adam dan Nur mengajar kanak-kanak mengaji di rumah lama milik Nur. Pada mulanya niat baik mereka itu tidak menghadapi masalah sehinggalah ada penduduk tidak berpuas hati. Jiran mereka terganggu dengan kelas mengaji yang semakin mendapat sambutan, menyebabkan Adam dan Nur perlu mencari tempat baharu tetapi mereka kekurangan dana.

Adam masih meneruskan aktiviti untuk memberi dakwah di lorong-lorong yang turut mendapat sokongan Nur. Kehadiran Juita (Azar Azmi), seorang pelacur baharu di kawasan itu mengubah segalanya. Juita juga mengimpikan untuk menjadi seperti Nur. Dia inginkan Adam menjadi miliknya. Sejak dari itu, Juita sentiasa cari peluang untuk mendampingi Adam. Malah, Juita menggunakan Nur dengan berpura-pura menjadi sahabat baik Nur untuk mendapatkan Adam. Selain dari konflik rumah tangga, Adam juga perlu menyelesaikan masalah sekolah Darul Mukhsin yang kekurangan dana akibat penyelewengan Syed Hamadi (Azhan Rani). Walaupun meringkuk di dalam penjara, Syed Hamadi masih tidak serik malah mengugut untuk menceraikan Aisyah (Noorkhiriah) jika tidak mencari wang jaminan untuk membebaskannya.

Aisyah tersempit di antara suami dan keluarga. Aisyah menebalkan muka meminta bantuan ibunya. Pada awalnya Ayah Haji tidak bersetuju kerana Syed Hamadi menjadi punca permasalahan keluarga mereka. Oleh kerana kasihankan Aisyah, akhirnya permintaan Aisyah dituruti. Aisyah dan Syed Hamadi turut dihalau keluar dari rumah sewanya dan terpaksa menebal muka untuk tinggal bersama keluarga Aisyah. Kehadiran Syed Hamadi bukan sahaja membuatkan kedua-dua orang mentuanya tidak selesa malah Nur menjadi takut untuk menjejakkan kaki ke rumah itu. Nur masih trauma dan terkesan dengan peristiwa hitam yang pernah terjadi dengan Hamadi dahulu. Adakah Syed Hamadi akan insaf atau terus dengan niat jahatnya untuk mendapatkan Nur? Berjayakan Nur dan Adam mempertahankan rumah tangga mereka daripada orang lain yang sentiasa hadir untuk merosakkan seagalanya?

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Pelakon utama[sunting | sunting sumber]

Pelakon pembantu[sunting | sunting sumber]

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Nelydia Senrose, Nadia Aqilah, Nabila Huda, Nad Zainal dan Mimi Lana ialah pilihan asal untuk menjayakan watak Juita. Namun kesemua mereka menarik diri akibat perbezaan kreatif.[7] Azar Azmi telah dipilih untuk memegang watak Juita.[8][9]

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Wanita rogol lelaki[sunting | sunting sumber]

Nur 2 menjadi subjek kontroversi apabila babak akhir yang memperlihatkan Ustaz Adam membuat laporan dirogol Juita sehingga menyebabkan Juita ditangkap, menjadi perhatian peguam, Nor Zabetha Mohd Nor yang menyifatkan wanita tidak boleh didakwa atas tuduhan merogol.[10] Pengarahnya, Shahrulezad mengakui khilafnya kerana tidak peka dengan klausa undang-undang melibatkan tuduhan rogol terhadap wanita, namun menerima teguran itu dengan hati terbuka. Beliau berkata: "Terima kasih kepada peguam, Zabetha yang memberi komen terhadap babak Adam membuat laporan polis mengatakan dia dirogol dan adegan polis menahan Juita atas tuduhan merogol. Ya, betul kalau mengikut klausa undang undang Malaysia tidak ada istilah perempuan merogol lelaki. Tak pernah dalam sejarah perundangan Malaysia seorang wanita dituduh merogol".[11][12]

Kesilapan bacaan Al-Quran[sunting | sunting sumber]

Pasukan penerbitan termasuk pengarah dan pelakon Nur 2 menyedari kesilapan bacaan Al-Quran pada babak episod pertama dan merakam semula bacaan ayat al-Quran itu dengan betul. Sebagai pengarah, Shahrulezad mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan berkenaan yang dianggapnya memang tidak wajar berlaku sama sekali, terutama membabitkan bacaan al-Quran. Beliau berkata: "Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kesilapan yang tak sepatutnya berlaku. Ayat al-Quran bukan sesuatu yang boleh dibuat silap. Salah sebutan pun jadi lain maksudnya, esok bakal ditanya... takutnya,".[13]

Siaran semula[sunting | sunting sumber]

Nur 2 ditayang secara dalam talian melalui laman sesawang iflix dari April 2019 dan kemudiannya diulang siar di TV9 bermula 28 Mei 2019.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Drama Nur 2". MyInfotaip. 2 April 2019.
  2. ^ Tahir Alhamzah (12 April 2019). #Showbiz: Nur returns with a second season New Straits Times. Dicapai pada 13 Apri 2019.
  3. ^ Ilya Syiqreen (4 April 2019). Drama Nur 2 kembali cipta fenomena Diarkibkan 2020-02-16 di Wayback Machine Stail.my. Dicapai pada 5 April 2019.
  4. ^ Sudirman Mohd Tahir (3 April 2019). Nur 2 bikin ‘spoil’ di episod 1 Harian Metro. Dicapai pada 3 April 2019.
  5. ^ Rebecca Hawke (2 April 2019). iflix to stream Malaysian drama Nur 2 Rapid TV News. Dicapai pada 3 April 2019.
  6. ^ Norhayati Nordin (14 April 2019). Platform digital Nur 2 Harian Metro. Dicapai pada 30 April 2019.
  7. ^ Feride Hikmet Atak (30 Disember 2018). Nabila Huda antara pelakon pilihan bawa watak Juita Berita Harian. Dicapai pada 16 Februari 2019.
  8. ^ Zaidi Mohamad (4 Januari 2019). Watak jahat drama Nur 2 milik Azar Azmi Berita Harian. Dicapai pada 16 Februari 2019.
  9. ^ Zaidi Mohamad (6 Januari 2019). Azar gementar jadi wanita jahat dalam Nur 2 Berita Harian. Dicapai pada 16 Februari 2019.
  10. ^ Dennis Chua (26 April 2019). #Showbiz: Woman cannot be charged for raping men, says lawyer New Straits Times. Dicapai pada 30 April 2019.
  11. ^ Aqmar Mustaza (28 April 2019)Wanita rogol lelaki? Pengarah Nur 2 beri penjelasan Sinar Harian. Dicapai pada 30 April 2019.
  12. ^ Ramieza Wahid (27 April 2019). Shahrulezad pertahan babak akhir Nur 2 Malaysiakini. Dicapai pada 30 April 2019.
  13. ^ Pengarah, pelakon Nur 2 akui kesilapan bacaan Quran Malaysiakini (3 April 2019). Dicapai pada 3 April 2019.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]