Nur Jahan
| Nur Jahan | |
|---|---|
| Permaisuri Agung Mughal | |
| Pemakaman | Shahdara Bagh, Lahore |
| Pasangan | Sher Afghan Quli Khan Jahangir |
| Anakanda | Ladli Begum |
| Kerabat | Timurid |
| Ayahanda | Mirza Ghias Beg |
| Bonda | Asmat Begum |
| Agama | Islam Syiah |
Begum Nur Jahan ( Parsi / Urdu : نور جہاں) (ejaan alternatif Noor Jahan, Nur Jehan, Nur Jahan, Noor Jehan dll) (1577-1645), nama kelahirannya Mehr-un-Nissa, adalah ratu dari Wangsa Mughal dari Parsi. Makam asalnya terletak di Lahore , Pakistan. Dia adalah ibu saudara kepada Maharani Mumtaz Mahal serta ibu tirinya Maharaja Shah Jahan .
Nur Jahan Begum adalah isteri ke-20 sekaligus isteri terakhir, ketua permaisuri serta isteri kegemarannya Maharaja Mughal, Jahangir yang mana merupakan suami kedua beliau. Begum Nur Jahan merupakan maharani yang paling terkenal dari Empayar Mughal. Beliau memegang gelaran "memerintah dari balik takhta" atau kekuatan sebenar dibalik takhta semasa Maharaja Jahangir berjuang melawan ketagihan serius akan alkohol dan candu di sepanjang pemerintahan beliau. Nur Jahan menjadi wanita paling berpengaruh di empayar Mughal ketika pertengahan abad ke-17 serta dianggap satu-satunya pemerintah wanita 'de facto' dalam sejarah Mughal. Nur Jahan menggenggam hampir seluruh kekuasaan empayar Mughal yang sebelumnya tidak berlaku kepada mana-mana permaisuri Mughal sebelum atau selepasnya dengan diberi keistimewaan serta penghormatan tertinggi, iaitu satu-satunya permaisuri Mughal yang mana koin perak kerajaan dicetak atas namanya. Bersama suaminya Jahangir, Nur Jahan memerintah Mughal yang membentang dari Bengal(kini Bangladesh) di timur sehingga ke dataran Deccan di bahagian selatan, menuju ke Agra dan Kashmir di utara sehingga ke Afghanistan.
Mehrunissa dilahirkan di Kandahar, Empayar Safawiyah ( Afghanistan) pada 1577, merupakan anak keempat dari keluarga bangsawan Parsi, ayahnya Mirza Ghias Beg dan ibunya Asmat Begum. Ketika Mehrunissa dilahirkan, keluarga Ghias Beg sedang bertarung dengan kegawatan ekonomi ditanah air mereka yang menyebabkan kekayaan mereka hilang dalam waktu yang singkat, untuk memperbaiki nasib, Ghias Beg memutuskan berhijrah ke Agra yang ketika itu sedang berkembang menjadi pusat ekonomi dan kebudayaan kerajaan Mughal. Untungnya Ghias Beg diperkenalkan kepada Akbar Agung Maharaja Mughal ke - 4 dan dianugerahkan jawatan bendahara Kabul (wilayah Mughal di Afghanistan) dalam waktu yang singkat. Mehrunissa seperti anak pegawai kerajaan yang lain menerima pendidikan yang baik di bidang kesenian, muzik, kesusteraan dan tarian. Pada usia 17 tahun, Mehrunissa telah dikahwinkan dengan Ali Quli Istalju, seorang perajurit Parsi atas perintah dari Maharaja Akbar. Perkahwinan ini menghasilkan seorang anak perempuan bernama Ladli Begum. Namun, pada tahun 1605, Ali Quli Istalju terbunuh dalam satu perselisihan dengan gabenor Bengal, selepas dua tahun Putera Salim menaiki takhta menjadi Sultan Mughal ke-4.
Pada tahun 1611, ketika sambutan Nowruz iaitu tahun baru musim Bunga, Mehrunissa dan Jahangir telah bertemu secara tidak sengaja, Mehrunissa yang menjanda ketika itu berkhidmat sebagai pelayan kepada Permaisuri Balu Ruqayya Begum, ibu tiri Jahangir. Ratu Ruqayya dalam diam telah merancang pertemuan ini, lagi pula Jahangir telah lama menaruh hati kepada Mehrunissa sebelum bergelar Maharaja Mughal. Mehrunissa ketika itu berusia 34 tahun dan Jahangir berusia 41 tahun. Jahangir melamarnya dan menikah tiga bulan kemudian dengan Mehrunissa menjadi isteri kedua puluh baginda serta menjadi perkahwinan terakhir diantara Jahangir dan Mehrunissa.
Perkahwinannya dengan Jahangir mengubah hidup Mehrunissa sepenuhnya dari seorang wanita biasa sehingga menjadi permaisuri kepada maharaja Mughal, meskipun dia adalah isteri terakhir, Mehrunissa menerima layanan dan diistimewakan oleh suaminya Jahangir melebihi isteri-isterinya yang lain oleh kerana perkahwinan yang didirikan atas dasar cinta, berbeza dengan pernikahan politik dan aliansi antara kerajaan seperti sebelum itu. Dia memperoleh hak keistimewaan seperti memegang kunci perbendaharaan negara dan mengelola kewangan istana serta diberi penghormatan memegang cap mohor kerajaan dan mengeluarkan Farman atau titah diraja.
Pengaruh dan kehormatannya semakin meningkat hari demi hari, atas kesempatan ini beliau merangkul dan meletakkan ahli keluarganya ke beberapa jawatan penting di istana, ayahnya Mirza Ghias Beg dilantik menjadi ketua menteri kerajaan, ibunya Asmat Begum menjadi ketua matron harem, abangnya Asaf Khan menjadi ketua rumah tangga diraja ( Khandan e Shahi ). Nur Jahan telah mengatur perkahwinan anak perempuannya Ladli Begum dengan Shahryar, putera bongsu Jahangir, dan menjodohkan anak saudaranya Arjumand Banu (Mumtaz Mahal) dengan putera Khurram (Shah Jahan I). Arjumand adalah anak perempuan abangnya Asaf Khan. Kesemua ini dilakukannya untuk memperkuatkan serta memastikan keberlangsungan pengaruh keluarganya didalam kerajaan.
Menjadi rakan pemerintah(co-ruler) dengan suaminya Jahangir, Nur Jahan selalu menyertai suaminya di dalam pertemuan kerajaan di dewan kerajaan. Dia menjadi sangat aktif dalam hal ehwal politik istana dan akan memimpin mesyuarat negara jika Jahangir berada dalam keuzuran, Jahangir mengalami ketagihan berat terhadap candu dan opium yang membuatkan Jahangir tidak berupaya menguruskan masalah negara dan meletakkan kebergantungan penuh kepada Nur Jahan. Pun begitu, Nur Jahan berjaya mengimbangi tuntutan pengurusan empayar dan penjagaan suaminya yang sakit, dia menjauhkan suaminya dari hal-hal yang tidak perlu, apabila sebarang kesulitan dikemukakan kepadanya, dia segera menyelesaikan.
Urusan perdagangan juga tidak terlepas dibawah kendalian Nur Jahan. Dia berperanan memainkan persaingan perdagangan diantara pedagang Portugis, Inggeris dan Belanda, selain itu dia memiliki kapal dagangnya sendiri yang belayar merentasi Arab, Afrika, Eropah dan Parsi yang menjual rempah ratus, minyak wangi, seramik dan perhiasan seperti mutiara. Untuk menambahkan pundi kekayaan, dia dengan pintar mengubahkan tanah yang dikurniakan Jahangir menjadi pusat keuntungan dan bisnes. Selain itu, Nur Jahan mengawal konsesi perdagangan terutamanya untuk nila dan tekstil dengan bayaran cukai yang besar.
Nur Jahan sangat mencintai kesenian dan budaya, dia menggunakan pengaruh yang besar dan kekayaannya dengan menjadi penaung dan patron kepada pelukis, penyair dan pemuzik. Selain itu, dia juga meminati bidang seni bina dan ukiran halus serta berkebolehan dalam bidang arkitek. Ini dibuktikan ketika dia menjadi arkitek utama dan pencetus idea pembinaan "Itmad ad Daulah", iaitu makam indah dengan gabungan seni ukiran Parsi Dan Moor yang dibina khas untuk kedua Ibu bapanya iaitu Asmat Begum dan Mirza Ghias Beg di Agra, Nur Jahan adalah anak terlalu taat dan mengabdikan diri kepada orang tuanya, dia menghabiskan hampir keseluruhan hartanya untuk pembinaan makam ini dan Nur Jahan sentiasa mengawasi perkembangan makam ini sehinggalah siap dibina. Nur Jahan juga telah mencetus pembinaan beberapa taman-taman indah di empayar Mughal, antara yang paling terkenal adalah Taman Shalimar dan Taman Achabal di wilayah Kashmir yang selalu dikunjungi Nur Jahan dan Jahangir ketika musim bunga. Dia juga membina sebuah taman peribadi berhampiran tebing sungai di Agra dan mendanai pembinaan Masjid Pattar di Pakistan. Dia juga memerintahkan pembinaan " sarais " atau tempat persinggahan untuk para pedagang dan pengembara untuk berehat dibeberapa daerah.
Nur Jahan juga mampu mengendalikan dan mengetuai pasukan perang secara sendirian, bahkan beliau satu-satunya Permaisuri Mughal yang melakukan perkara ini. Pada tahun 1626, Jahangir telah diculik dan ditawan oleh sahabat sendiri yang juga komandan angkatan perang tertinggi Mughal iaitu Mahabat Khan. Apabila Mahabat Khan berjaya memulihkan hubungan antara Jahangir dan Khurram pada tahun sebelumnya, Nur Jahan menjadi iri atas kemampuan jeneral itu dan menganggap Mahabat Khan menjadi ancaman baginya. Nur Jahan dan Khurram diketahui dari awal tidak memiliki hubungan yang baik, Khurram tidak menyukai pengaruh berlebihan ibu tirinya dalam urusan empayar. Mahabat Khan difitnah oleh Nur Jahan atas kelakuan tidak setia dan mempengaruhi Jahangir menghukum Mahabat Khan menjadi gabenor di Bengal (Bangladesh), iaitu sebuah wilayah sebelah timur yang sangat jauh dari ibu negara (Agra). Merasa diri dibuang oleh sahabat sendiri kerana tuduhan tidak berasas, Mahabat Khan yang muak dengan tindakan berleluasa Nur Jahan, dia melampiaskan amarahnya dengan menculik Jahangir di tebing Sungai Jhelum ketika sultan Mughal itu sedang dalam perjalanan menuju ke Kabul. Nur Jahan yang mendengar berita tersebut tidak membiarkan suaminya begitu saja, ditambah dengan kebencian yang membara, beliau bersama dengan para menteri Mughal merencanakan penyelamatan Jahangir serta ingin menumpaskan Mahabat Khan. Paling mengejutkan semua, Nur Jahan menawarkan dirinya mengetuai angkatan tentera, usulan ini mendapat sokongan padu dan sangat mengharukan kesemua yang mendengarnya. Dengan penuh keberanian, beliau mengepalai ribuan tentera menuju ke kubu Mahabat Khan, pertarungan tidak dapat dielakkan, Mahabat Khan tidak pernah menjangka Nur Jahan akan menjadi seberani dan setekad ini, sambil mengendarai gajah, Nur Jahan melepaskan panah dan melawan tanpa henti. Namun sayangnya, kekurangan pengalaman bertempur dan kelemahan strategi pertahanan, kubu Nur Jahan tewas.
Namun, Nur Jahan seorang yang bijak, beliau berpura-pura tewas dengan menyerahkan dirinya untuk ditawan dan dibawa langsung ke hadapan Mahabat Khan. Dia dihumban ke penjara di mana suaminya ditempatkan, yang sebenarnya beliau sengaja berubat demikian kerana ingin bertemu dengan Jahangir.
