Ombak Rindu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Untuk filem, lihat Ombak Rindu (filem).
Ombak Rindu
Ombak Rindu.gif
Kulit novel Ombak Rindu, cetakan pertama pada 2002.
Pengarang Fauziah Ashari
Negara Malaysia
Bahasa Bahasa Melayu
Genre Drama
Penerbit Alaf 21
Tarikh terbitan 2002
Jenis media Cetakan (kulit lembut)
Bil. muka surat 576 ms
ISBN 983-124-029-9
Diikuti oleh Cinta Tiada Akhirnya
Rindu Cintaku

Ombak Rindu adalah sebuah novel berbahasa Melayu karya Fauziah Ashari diterbitkan pada 2002 oleh Alaf 21. Ia berkisarkan tentang kehidupan seorang gadis bernama Izzah yang yatim piatu.

Novel ini telah diadaptasi sebanyak dua kali, iaitu dalam sebuah filem cetera pada 2011 dan satu lagi dalam bentuk pementasan teater pada 2016.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Novel Ombak Rindu merupakan novel sulung yang ditulis oleh Fauziah Ashari dan diterbitkan oleh Alaf 21, anak syarikat Kumpulan Media Karangkraf pada tahun 2002. Novel ini sudah dicetak sebanyak 23 kali dan Fauziah sudah pun mendapat royalti yang berjumlah RM219,000 sejak cetakan pertama novel ini diterbitkan pada tahun 2002. Dan nampaknya strategi penerbitan filem untuk melariskan kembali penjualan novel Ombak Rindu sememangnya berjaya apabila cetakan ke 24 sudah pun terjual 20 ribu daripada 40 ribu yang dicetak.[1]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Izzah adalah seorang gadis yatim piatu yang kematian kedua-dua orang tuanya akibat kemalangan jalan raya. Justeru itu, bapa saudaranya, Taha mengambil tugas memelihara Izzah. Isteri Taha tidak senang dengan kehadiran Izzah dan menuduh Izzah membawa bencana dalam keluarga.

Pak cik Taha banyak berhutang. Disebabkan kesempitan wang dia sanggup menjual anak saudaranya itu kepada seorang tauke kelab malam. Izzah terpaksa mengikut kehendak bapa saudaranya walaupun hatinya tidak rela.

Di situlah dia telah berkenalan dengan seorang pelanggan bernama Hariz. Hariz telah membeli Izzah dengan harga yang mahal dari tauke kelab itu dan membawa dia keluar dari neraka jahanam itu. Di atas permintaan Izzah, akhirnya Hariz berkahwin dengan Izzah tetapi dengan syarat semuanya mesti dirahsiakan.

Kehadiran Mila Amylia, anak Tan Sri Rashdan, iaitu model dan pelakon terkenal tanahair menggugat cinta Izzah yang mula berputik kepada Hariz. Dapatkah Izzah menerima Mila Amylia sebagai madunya? Bagaimana pula penerimaan Mila pada Izzah? Dapatkah Hariz membahagiakan Izzah dan Mila? Bahagiakah rumah tangga yang dibina di atas kehadiran orang lain? Bagaimanakah tindakan Datuk Sufiah setelah mengetahui cerita sebenarnya?

Adaptasi[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Ombak Rindu (filem)

Ombak Rindu diadaptasikan ke filem oleh Tarantella Pictures dan Astro Shaw dan diarahkan oleh Osman Ali pada 2011 dan dibintangi oleh Aaron Aziz, Maya Karin dan Lisa Surihani. Filem ini merupakan satu kejayaan komersial, menerima enam anugerah di Festival Filem Malaysia ke-25 dan enam anugerah di Anugerah Skrin 2012. Ia menjadi filem Malaysia kedua dengan kutipan tertinggi selepas filem KL Gangster.[2]

Teater[sunting | sunting sumber]

Filem Ombak Rindu telah dipentaskan pula dalam versi teater di Istana Budaya (IB), mulai 22 April hingga 1 Mei 2016. Diterbitkan oleh CTRA Production, teater Ombak Rindu bagaimanapun berbeza dengan versi filem arahan Osman Ali, lakonan Maya Karin dan Aaron Aziz. Penerbitnya, Siti Rohaya Attan, berkata bagi persembahan pentas, mereka akan menggabungkan ketiga-tiga novel daripada siri berkenaan dalam sebuah cerita.[3][4][5]

Begitu juga dengan watak Izzah yang kali ini sangat berat berbanding filem.[3] Teater ini akan menggunakan dua watak Izzah yang berbeza, seperti tertulis di dalam novel berkenaan apabila seorang lagi muncul dengan menggunakan nama Suri. Begitupun, buat ketika ini Rohaya belum mampu mengumumkan nama pelakon wanita yang akan memegang watak utamanya walaupun tarikh pementasan hanya tinggal beberapa minggu lagi. Watak Hariz dalam versi teater terbabit akan dilakonkan oleh Keith Foo bagi menggantikan Aaron menolak tawaran kerana belum bersedia untuk membawa watak Hariz semula.[3] Antara pelakon lain yang terbabit dalam teater hasil skrip tulisan Rosminah Mohd Tahir itu ialah Zarina Zainoordin, Karl Shafek, Izzue Islam, Zaidi Omar, Aris Lufias dan Ameer (Forteen).[3]

Kesinambungan[sunting | sunting sumber]

Cinta Tiada Akhirnya[sunting | sunting sumber]

Cinta tiada Akhirnya adalah sambungan dari Ombak Rindu. Selepas perkahwinan rahsia diantara Hariz dan Izzah diketahui oleh umum, mereka hidup bahagia. Namun takdir sekali lagi menduga mereka berdua apabila kehadiran pakcik Izzah, Pak Taha mengugat kebahagian mereka. Izzah sekali lagi ditipu oleh Pak Taha sehingga akhirnya dia terpisah dari Hariz. Kehilanggan Izzah membuatkan Hariz hidup dalam terumbang-ambing. Setelah Hariz bertemu semula dengan Izzah, kekuatan cinta mereka sekali lagi teruji apabila Izzah hilang ingatan ketika cuba melepaskan diri dari gengaman Pak Taha. Walaupun Izzah sudah kembali kepangkuan Hariz, namun ingatannya terhadap Hariz dan masa silamnya masih lagi kabur. Hariz sabar menghadapi situasi ini, malah berusaha untuk memulihkan semula ingatan Izzah. Akhirnya Izzah kembali mengingati masa silamnya bersama Hariz. Disini juga Izzah mendapat tahu dia mempunyai saudara kembar bernama Suri.

Rindu Cintaku[sunting | sunting sumber]

Setelah Hariz bertemu semula dengan Izzah, kekuatan cinta mereka sekali lagi teruji apabila Izzah hilang ingatan ketika cuba melepaskan diri dari gengaman Pak Taha. Hariz pula terpaksa keluar dari Sufiah Holdings yang kini diterajui oleh adiknya Hazirah. Kemunculan Kelvin juga adalah kerana ingin membalas dendam kepada Hariz. Izzah sekali lagi terluka apabila Elin, adik kepada Mila menyintai Hariz dalam diam. Elin sanggup memfitnah Hariz kerana tidak mahu orang lain tahu yang dia sebenarnya telah dirogol ketika bercuti diluar negara. Izzah akhirnya membawa diri ke London untuk tinggal bersama Suri disana. Setelah beberapa tahun disana, rindu Izzah kepada Hariz tidak dapat dibendung lagi. Rasa rindu cintanya terhadap Hariz membawanya pulang kembali ke tanahair. Setelah sekian lama menyimpan rindu dihati akhirnya sekali lagi mereka berdua dipertemuakan semula dalam keadaan yang berbeza. Hariz kini telah menjadi petani moden yang berbakti kepada tanah dan juga telah bergelar Haji Hariz Bin Abdullah. Dan Izzah masih seperti dahulu, tetapi menyintai dan merindui cintanya kepada Haji Hariz Bin Abdullah. Alhamdullilah setelah mereka bersama kembali, Allah telah mengurniakan mereka 2 orang cahayamata setelah hampir 12 tahun mereka mengharungi badai kehidupan.

Kes saman[sunting | sunting sumber]

Pada Februari 2015, penulis novel ini, Fauziah Ashari mengambil tindakan terhadap Grup Buku Karangkraf dengan mendakwa beliau adalah pemilik hak cipta karya Ombak Rindu dan Grup Buku Karangkraf telah dengan salah memberikan Tarantella Pictures kebenaran untuk mengadaptasikan karya itu kepada filem. Fauziah mendakwa Tarantella Pictures telah mengubahsuai jalan cerita Ombak Rindu tanpa kebenarannya. Sehubungan itu beliau menuntut beberapa perintah mahkamah, termasuk deklarasi mahkamah bahawa Karya Ombak Rindu adalah milik mutlak beliau seorang, selain keuntungan dan ganti rugi untuk ditaksirkan oleh mahkamah.[6][7]

Pada 18 Oktober 2016, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak kes saman yang dikemukakan oleh Fauziah terhadap Grup Buku Karangkraf dan Tarantella Pictures tahun lepas. Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menolak saman Fauziah selaku plaintif atas alasan plaintif telah menyerahkan hak cipta karya Ombak Rindu kepada Grup Buku Karangkraf yang ketika itu dikenali sebagai Alaf 21 Sdn Bhd.[6] Dalam penghakimannya, Amelia memutuskan melalui perjanjian yang ditandatangani oleh Fauziah dengan Alaf 21 pada 2002, Fauziah telah menyerahkan hak cipta karya Ombak Rindu kepada Alaf 21.[6]

Mahkamah juga memutuskan berdasarkan perjanjian tersebut, Alaf 21 mempunyai hak mutlak untuk mengedit, menerbitkan dan menjual karya tersebut dalam apa juga bentuk, termasuk memberikan kebenaran kepada Tarantella Pictures untuk mengadaptasikan karya Ombak Rindu kepada filem. Amelia turut memerintahkan Fauziah membayar kos RM40,000 kepada Grup Buku Karangkraf dan Tarantella Pictures Sdn Bhd masing-masing selaku defendan pertama dan kedua.[6]

Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd diwakili peguam Zuwita Kamaruzaman, manakala Tarantella Pictures (M) Sdn Bhd diwakili peguam Vasanthi Rasathurai. Berdasarkan pernyataan tuntutan, pada 2002 Fauziah menandatangani perjanjian dengan Alaf 21 berkenaan karya Ombak Rindu.[6]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Wahba (13 Januari 2013). Penghargaan pada novel cinta Utusan Malaysia. Dicapai pada 14 Januari 2013.
  2. Ombak Rindu Adaptasi dari Novel ke Filem Ruby.my (5 November 2011).
  3. 3.0 3.1 3.2 3.3 Rodzan Mazalan (28 Februari 2016). Teater Ombak Rindu masih mencari Izzah BH Online. Dicapai pada 1 Mac 2016.
  4. Teater Ombak Rindu: Tonton Tak Jemu Tapi Keliru, Celaru My News Hub. 23 April 2016.
  5. Ramlah Zainal (15 Mac 2016). Ombak Rindu dipentaskan di IB Harian Metro. Diperoleh pada 19 Mac 2016.
  6. 6.0 6.1 6.2 6.3 6.4 Siti Azielah Wahi (19 Oktober 2016). Saman penulis Ombak Rindu ditolak Sinar Harian. Dicapai pada 19 Oktober 2016,
  7. Mahkamah Tolak Saman Novelis Ombak Rindu BeautifulNara (19 Oktober 2016). Dicapai pada 20 Oktober 2016.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]