Oren (buah)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Buah oren—dalam bentuk penuh, dibelah dua dan dikupas

Buah oren, juga dipanggil buah oren manis untuk membezakannya daripada oren pahit Citrus × aurantium, merupakan sejenis buah pokok dalam keluarga Rutaceae. Secara botani, buah ini terhasil daripada spesies hibrid yang dikenali sebagai Citrus × sinensis, dan spesies ini merupakan kacukan spesies limau bali (Citrus maxima) dan limau mandarin (Citrus reticulata). Genom kloroplas serta susur galur dari sebelah betina adalah dari limau bali. Buah oren manis mempunyai urutan genom penuhnya.

Oren ini berasal dari wilayah yang merangkumi Selatan China, Timur Laut India, dan Myanmar; sebutan paling awal tentang oren manis adalah dalam kesusasteraan Cina pada 314 SM. Sehingga ke tahun 1987, pokok oren didapati sebagai pokok buah-buahan yang paling kerap ditanam di dunia. Pokok oren ditanam secara meluas di iklim tropika dan subtropika untuk buahnya yang manis. Buah pokok oren boleh dimakan segar, atau diproses untuk jus atau kulitnya yang harum. Pada 2022, 76 juta tan oren ditanam di seluruh dunia, dengan Brazil menghasilkan 22% daripada jumlah keseluruhan, diikuti oleh India dan China.

Oren telah wujud dalam budaya manusia sejak zaman pertengahan. Buah-buahan ini mula-mula muncul dalam seni Barat dalam Potret Arnolfini oleh Jan van Eyck, tetapi mereka telah digambarkan dalam seni Cina berabad-abad sebelumnya, seperti dalam lukisan kipas dinasti Song oleh Zhao Lingrang bertajuk Oren Kuning dan Tangerin Hijau. Menjelang abad ke-17, buah oren telah menjadi barang prestij di Eropah, seperti yang dilihat di Versailles Orangerie. Pada masa yang lebih terkini, pelukis-pelukis seperti Vincent van Gogh, John Sloan, dan Henri Matisse memasukkan oren dalam lukisan mereka.

Penerangan[sunting | sunting sumber]

Pokok oren ialah pokok malar hijau yang agak kecil, berbunga, dengan ketinggian purata 9 hingga 10 m (30 hingga 33 ka), walaupun beberapa spesimen yang sangat lama boleh mencapai 15 m (49 ka).[1] Daunnya yang bujur, disusun berselang-seli, mempunyai panjang 4 hingga 10 cm (1.6 hingga 3.9 in) serta margin berkrenulat.[2] Oren manis tumbuh dalam pelbagai saiz dan bentuk berbeza dari bentuk sfera sehingga ke bentuk bujur. Di dalam dan melekat pada kulitnya terdapat tisu putih berliang yang merupakan mesokarp yang putih dan pahit rasanya. [3] Oren manis ini mengandungi beberapa karpel yang berbeza (keratan, bahagian buahan dari segi botani) di dalamnya, biasanya kira-kira sepuluh, dengan setiap satu dibatasi oleh membran, dan mengandungi banyak vesikel berisi jus dan biasanya mengandungi beberapa biji. Apabila belum masak, buahnya berwarna hijau. Kulit buah masak yang tidak sekata dan berbutir boleh mempunyai warna berjulat oren terang sehingga kuning keorenan, tetapi selalunya mengekalkan tompok hijau atau, jika keadaan iklim panas kekal hijau sepenuhnya. Seperti semua buah sitrus yang lain, oren manis bersifat bukan klimakterik yakni tidak masak sewaktu di atas pokok. Kumpulan Citrus sinensis dibahagikan kepada empat kelas dengan ciri yang berbeza: oren biasa, oren darah atau berpigmen, oren berpusat dan oren kurang berasid.[4][5][6] Buahnya merupakan sejenis hesperidium yakni buah beri yang diubah suai; ia dilitupi dengan kulit yang dibentuk oleh penebalan dinding ovari yang tahan lasak.[7][8]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Hodgson, Willard (1967–1989) [1943]. "Chapter 4: Horticultural Varieties of Citrus". Dalam Webber, Herbert John; rev Walter Reuther and Harry W. Lawton (penyunting). The Citrus Industry. Riverside, California: University of California Division of Agricultural Sciences. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-02-05.
  2. ^ "Sweet Orange – Citrus sinensis (L.) Osbeck (pro. sp.) – Overview – Encyclopedia of Life". Encyclopedia of Life. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-12-04. Dicapai pada 2011-01-18.
  3. ^ "Pith dictionary definition – pith defined". www.yourdictionary.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-05-12. Dicapai pada 2011-01-17.
  4. ^ Kimball, Dan A. (June 30, 1999). Citrus processing: a complete guide (ed. 2d). New York: Springer. m/s. 450. ISBN 978-0-8342-1258-9.
  5. ^ Webber, Herbert John; Reuther, Walter; Lawton, Harry W. (1967–1989) [1903]. "The Citrus Industry". Riverside, California: University of California Division of Agricultural Sciences. Diarkibkan daripada yang asal pada 2004-06-04.
  6. ^ Sauls, Julian W. (December 1998). "Home Fruit Production – Oranges". Texas A&M University. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 May 2023. Dicapai pada 30 November 2012.
  7. ^ Bailey, H. and Bailey, E. (1976). Hortus Third. Cornell University MacMillan. N.Y. p. 275.
  8. ^ "Seed and Fruits". esu.edu. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-11-14.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]