Pergi ke kandungan

Orpheus dan Eurydice

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Dewangga Mesir dengan Orpheus dan Apollo, abad ke-5–6 M

Dalam mitologi Yunani, legenda Orpheus dan Eurydice (Greek: Ὀρφεύς, Εὐρυδίκη, rumi: Orpheus, Eurydikē; Jawi: اورفييوس; يوريديکي) berkisah tentang cinta sedih Orpheus dari Thrace, terletak di timur laut Yunani, terhadap Eurydice yang jelita. Orpheus ialah anak kepada Oeagrus dan mousai Calliope. Kisah ini mungkin tambahan kepada mitos-mitos Orpheus yang terkemudian, kerana ia ada hubung kaitan dengan Persephone. Subjek ini antara mitos Yunani yang paling kerap diceritakan semula, muncul dalam majalah, permainan video, dan rujukan budaya pop.

Orpheus dan Eurydice di Palais Garnier, Paris. Nama mereka dalam bahasa Yunani, ΟΡΦΕΥΣ (Orpheus) dan ΕΥΡΥΔΙΚΗ (Eurydice).

Dalam versi klasik legenda oleh Virgil, ia melengkapkan karyanya Georgica, sebuah puisi tentang pertanian. Di dalamnya nama Aristaeus, atau Aristaios, seorang penjaga serangga-serangga terbang, dan penamat tragisnya diperkenalkan buat julung kalinya.[1]

Versi mitos oleh Ovid, dalam Metamorphoses, diterbitkan beberapa puluh tahun kemudian dan menggunakan penekanan dan tujuan puitis yang berbeza. Ia menyatakan bahawa kematian Eurydice bukannya disebabkan dia melarikan diri daripada Aristaeus, tetapi kerana menari bersama para nimfa pada hari perkahwinannya.[2]

Dalam Bibliotheca oleh Pseudo-Apollodorus, Eurydice cuma dipatuk oleh ular sebelum mati dan Orpheus pergi berjumpa Hades untuk mendapatkannya semula.[3]

Penulis kuno lain menyifatkan lawatan Orpheus ke alam bawah tanah dengan lebih negatif. Menurut Phaedrus dalam Symposium oleh Plato,[4] dewa-dewi neraka itu cuma "menunjukkan lembaga" Eurydice kepadanya. Plato merepresentasikan Orpheus sebagai seorang pengecut; daripada memilih untuk mati untuk bersama kekasihnya, dia menghina dewa-dewa dalam usaha untuk mengunjungi Hades, untuk menghidupkan Eurydice kembali. Oleh sebab cintanya bukan "sejati"—bermakna dia tidak sanggup mati untuknya—dia dihukum oleh para dewa, pertama dengan hanya memberikan penampakan lembaga isterinya di alam bawah tanah kemudian dengan membiarkannya dibunuh oleh perempuan.[4]

Apollo memberikan Orpheus sebuah kecapi lira dan mengajar cara memainnya. Kononnya, "tiada apa yang dapat menahan melodi indah Orpheus, musuh mahupun binatang." Orpheus jatuh cinta dengan Eurydice, seorang wanita yang cantik dan anggun, yang dikahwininya dan hidup bersama dengan gembira untuk seketika. Walau bagaimanapun, apabila Hymen dipanggil untuk merestui perkahwinan itu, dia meramalkan bahawa kesempurnaan mereka tidak akan kekal.

Orpheus Mourning the Death of Eurydice, lukisan 1814 oleh Ary Scheffer.

Tidak lama selepas ramalan ini, Eurydice sedang berjalan-jalan di hutan bersama para Nimfa. Dalam beberapa versi cerita, seorang penggembala Aristaeus ternampaknya dan, terpesona dengan kecantikannya, mendekatinya dan mula mengejarnya. Versi lain cerita ini menyatakan bahawa Eurydice cuma menari bersama para Nimfa. Sama ada melarikan diri atau menari, dia dipatuk oleh ular dan terus mati. Orpheus menyanyikan kesedihannya dengan kecapi dan berjaya menggerakkan segala sesuatu, hidup atau tidak, di dalam dunia; kedua-dua manusia dan dewa mengetahui tentang kesedihan dan dukacitanya.

Pada suatu ketika, Orpheus memutuskan untuk turun ke Hades dengan muzik untuk melihat isterinya. Mana-mana manusia lain pasti akan mati, tetapi Orpheus, dilindungi oleh para dewa, pergi ke Hades dan tiba di alam Styx, melepasi hantu dan jiwa orang yang tidak dikenali. Dia juga berjaya menarik perhatian Cerberus, anjing berkepala tiga, yang menyukai muziknya. Dia menghadap dewa alam bawah tanah Yunani, Hades, dan isterinya, Persephone.

Orpheus memainkan kecapi dia dengan lagu yang begitu menyayat hati sehingga Hades sendiri terharu. Dewa itu memberitahu Orpheus bahawa dia boleh membawa Eurydice pulang bersamanya tetapi dengan satu syarat: Eurydice mesti mengikutnya dari belakang semasa mereka berjalan keluar dari gua alam bawah tanah, dan dia tidak boleh menoleh untuk melihatnya sepanjang perjalanan.

Orpheus glances back at Eurydice, lukisan minyak 1806 oleh Christian Gottlieb Kratzenstein Stub.

Menyangka ia tugas mudah bagi seseorang yang sabar seperti dirinya, Orpheus gembira; dia berterima kasih kepada Hades dan pergi untuk naik kembali ke dunia hidup. Namun, kerana tidak dapat mendengar derapan kaki Eurydice, dia mula takut bahawa dewa-dewa telah memperdayakannya. Eurydice mungkin berada di belakangnya, tetapi sebagai bayangan (roh orang mati yang tinggal di alam bawah tanah), yang perlu kembali ke cahaya untuk menjadi manusia sepenuhnya lagi. Hanya beberapa kaki dari pintu keluar, Orpheus hilang kepercayaannya dan menoleh untuk melihat Eurydice di belakangnya, menyebabkan Eurydice perlu balik ke Hades selama-lamanya.

Orpheus cuba kembali ke alam bawah tanah tetapi tidak boleh, mungkin kerana seseorang tidak boleh memasuki alam Hades dua kali semasa masih hidup. Menurut pelbagai versi mitos, Orpheus memainkan lagu berkabung dengan kecapi, menyeru ajal supaya dia dapat bersatu dengan Eurydice semula selama-lamanya. Dia kemudian dibunuh sama ada oleh dirobek oleh binatang atau oleh para Maenad yang mengamuk. Kepala Orpheus tetap utuh dan masih menyanyi sambil ia terapung dalam air sebelum terdampar di pulau Lesbos. Menurut versi lain, Zeus memutuskan untuk memanahnya dengan petir, mengetahui Orpheus mungkin akan mendedahkan rahsia alam bawah tanah kepada manusia. Dalam versi ini, para mousai memutuskan untuk menyelamatkan kepala dia dan menyimpannya di kalangan orang hidup untuk menyanyi selama-lamanya, mempesona semua orang dengan dendangannya. Mereka juga melemparkan kecapinya ke langit sebagai buruj.

  1. ^ Lee, M. Owen (1996). Virgil as Orpheus: A Study of the pundits. Albany: State University of New York Press. m/s. 9.
  2. ^ Ovid Metamorphoses 10.1-39.
  3. ^ Pseudo-Apollodorus Bibliotheca 1.3.2.
  4. ^ a b "Symposium 179d-e". Perseus @ tufts.edu.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]