Osman Affan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Osman Affan adalah seorang pengarang buku-buku berbentuk motivasi tersohor di Malaysia. Beliau adalah anak kelahiran Kuala Lumpur. Dilahirkan pada 16 Februari 1976 di Hospital Besar Kuala Lumpur. Ayah beliau pada masa itu berkhidmat sebagai tentera bersama Tentera Diraja Malaysia. Jadi, sejak kecil beliau dibesarkan di beberapa tempat berlainan seperti di Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor, dan Sarawak. Apabila ayah beliau bersara dari tentera semasa beliau berumur lapan tahun, keluarga beliau berpindah ke Terengganu dan menetap di sana.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Tahun 1988 adalah tahun pertama peperiksaan UPSR diperkenalkan. Osman Affan adalah salah seorang daripada pelajar yang menduduki peperiksaan itu. Berkat usaha dan restu ibu bapa, beliau berjaya mendapat "5A" dan meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring. Tiga tahun kemudian, beliau sekali lagi mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan SRP dan ditawarkan ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang. Di situ bakat beliau semakin menyerlah dalam bidang akademik dan juga kurikulum. Beliau berjaya mendapat enam agregat dalam peperiksaan SPM pada tahun 1993 lalu ditawarkan bagi melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam bidang Perakaunan dan Kewangan.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda, beliau bekerja dalam bidang pemasaran selama lapan bulan dan kemudian diterima bekerja di sebuah syarikat perakaunan terbesar di dunia iaitu Pricewaterhouse Chartered Accountant. Beliau menimba pengalaman selama tiga tahun di syarikat itu. Satu perkara yang mengejutkan beliau sewaktu bekerja adalah, beliau mula rasakan yang minat beliau adalah bukan dalam bidang perakaunan. Sejak kecil lagi, beliau sudah meminati bidang psikologi. Namun, beliau tidak pasti sama ada bidang psikologi mempunyai peluang pekerjaan yang baik. Setelah difikirkan dengan teliti, Osman Affan membuat keputusan bagi meninggalkan bidang perakaunan dan meneruskan minat beliau dalam bidang psikologi. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana di Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling.

Kini, beliau mempunyai perniagaan sendiri dalam bidang pendidikan. Selain mengendalikan 'Learning Center' ini, beliau banyak membuat program-program kemahiran belajar dan motivasi di peringkat sekolah, kolej, dan universiti. Beliau juga terlibat dengan 'Student Learning Enhancement Unit(SLEU)' di Universiti Islam Antarabangsa yang berperanan bagi membina modul kemahiran belajar dan jati diri bagi pelajar pada peringkat sarjana muda.

Zaman kanak-kanak dan remajanya[sunting | sunting sumber]

Semasa usia remaja, Osman Affan adalah seorang pelajar yang aktif. Di sekolah rendah, selain menjadi ketua pengawas, beliau banyak mewakili sekolah dalam aktiviti seperti perkhemahan pengakap, bola sepak, menghafaz Al-Quran dan drama bahasa Inggeris. Di sekolah menengah pula, beliau aktif dan mewakili sekolah ke pertandingan hoki, catur, bola keranjang, silat olahraga, dan lontar peluru. Di tingkatan dua, beliau pernah terpilih mewakili Terengganu ke peringkat catur yang diadakan di Sabah.

Penghargaan[sunting | sunting sumber]

Di Kolej Islam Sultan Alam Shah, beliau dianugerahkan dengan Anugerah Emas. Anugerah ini diberikan sempena kecemerlangan beliau di dalam peperiksaan SPM dan peperiksaan Sijil Khas Kolej. Kecemerlangan beliau dalam aktiviti sukan iaitu sukan lontar peluru, bola keranjang, dan silat olahraga dan kecemerlangan kepimpinan kerana memegang jawatan sebagai Ketua Pelajar dan Presiden Persatuan Silat Seni Gayung Malaysia. Keaktifan beliau tidak terhenti setakat itu sahaja. Di Pusat Pendidikan Persediaan (PPP) ITM Shah Alam, beliau terpilih sebagai presiden bagi persatuan pelajar ke United Kingdom dan mewakili PPP ITM dalam sukan catur, bola keranjang dan juga dalam pertandingan drama antara matrikulasi.

Minat beliau dalam penulisan berputik apabila beliau cuba menyampaikan mesej kemahiran belajar kepada para pelajar beliau. Beliau sedar agak sukar bagi membuat pelajar sedar kepentingan mempunyai kemahiran belajar. Usaha ini dapat menjadi berkesan apabila pelajar diberikan cerita-cerita menarik yang berkaitan dengan kemahiran belajar dan motivasi. Di situlah mulanya Osman Affan menulis cerita-cerita pendek bagi pelajar beliau. Kini, beliau kumpulkan hasil penulisan beliau ke dalam sebuah buku lebih mudah difahami.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]