Politeknik Brunei

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari PB)

Politeknik Brunei (PB; Jawi: ڤوليتيكنيك بروني) merupakan politeknik pertama di Brunei.[1] Ianya ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun 2008 dan kemudiannya pengambilan pertama bagi penuntut bermula pada Januari 2012.[2] Penuntut yang telah tamat program dianugerahkan Diploma.

Sekolah[sunting | sunting sumber]

Terdapat empat sekolah di bawah Politeknik Brunei, iaitu:

  • Sekolah Perniagaan
  • Sekolah Teknologi Maklumat
  • Sekolah Sains dan Kejuruteraan
  • Sekolah Sains Kesihatan

Kampus[sunting | sunting sumber]

Politeknik Brunei mempunyai tiga kampus. Kampus utama dan kampus bagi Sekolah Sains Kesihatan terletak di Daerah Brunei-Muara manakala kampus bagi Sekolah Sains dan Kejuruteraan terletak di Daerah Belait.

Kampus Utama[sunting | sunting sumber]

Kampus utama Politeknik di Brunei-Muara merupakan kampus sementara yang ditempatkan di salah sebuah kondominium di Jalan Ong Sum Ping di Bandar Seri Begawan, iaitu bekas tempat penginapan atlit semasa Sukan Asia Tenggara pada tahun 1999.[3]

Kampus ini menempatkan Sekolah Perniagaan dan Sekolah Teknologi Maklumat. Pejabat Pengarah serta bahagian pentadbiran yang lain juga boleh didapati di sini.

Kampus satelit[sunting | sunting sumber]

Kampus bagi Sekolah Sains Kesihatan ditempatkan sebagai sebahagian daripada Institut Sains Kesihatan PAPRSB, Universiti Brunei Darussalam. Program di bawah sekolah ini dahulunya dikendalikan di bawah UBD namun sejak tahun 2016 ianya diterapkan dalam pengurusan Politeknik Brunei.

Sementara kampus Belait terletak di Lumut, kira-kira 91 kilometer dari kampus utama, dan menempatkan Sekolah Sains dan Kejuruteraan. Program yang dijalankan di sini adalah terdiri dari kejuruteraan, reka bentuk dalam dan seni bina.

Program[sunting | sunting sumber]

Kesemua program mengambil masa dalam tiga tahun.[4] Pelajar akan dianugerahkan Diploma setelah tamat program.

Program di bawah sekolah selain dari Sekolah Sains Kesihatan adalah bertaraf Tahap 5 mengikut Rangkaian Kelayakan Kebangsaan manakala program Diploma dalam Sains Kesihatan adalah berkelulusan tahap 4.

Program-program yang ditawarkan merangkumi kejururawatan, kejuruteraan, paramedik, perbidanan, perniagaan, reka bentuk dalaman, seni bina, dan teknologi maklumat.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "About". Politeknik Brunei. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-11-30. Dicapai pada 2016-06-26.
  2. ^ "About". Politeknik Brunei. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-11-30. Dicapai pada 2016-06-26.
  3. ^ "Welcome Message | Director Office". Politeknik Brunei. Dicapai pada 2016-06-26.
  4. ^ a b "Edu.bn" (PDF). hecas.edu.bn. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2016-08-12. Dicapai pada 2016-06-26.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]