Pakubuwana II

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pakubuwana II atau Pakubuwono II atau Raden Mas Prabasuyasa (lahir pada 8 Disember 1711 di Kartasura dan wafat pada 20 Disember 1749 di Surakarta) merupakan raja terakhir Kasunanan Kartasura (1726-1742) dan raja pertama Kasunanan Surakarta (1745–1749).

Biodata[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan sebagai Raden Mas Prabasuyasa (jv: Raden Mas Probosuyoso) merupakan putera Amangkurat IV dari permaisuri keturunan Sunan Kudus. Baginda dilahirkan pada 8 Disember 1711 di Kartasura.

Kehidupan sebagai Sultan Kartasura[sunting | sunting sumber]

Baginda telah menaiki takhta pada 15 Ogos 1726 ketika berusia 15 tahun. Usianya yang masih muda menyebabkan beberapa individu istana cuba menguasainya. Para kerabat Kartasura turut terbahagi kepada dua puak iaitu puak yang bersahabat dengan Belanda yang diketuai oleh Ratu Amangkurat (ibuanda Pakubuwono II) dan puak yang menentang Belanda yang diketuai oleh Patih Cakrajaya.

Pemberontakan masyarakat Cina yang dikenali sebagai Geger Pacinan pada Oktober 1740 telah menyebabkan runtuhnya kerajaan Kartasura. Peristiwa ini tercetus disebabkan pembunuhan beramai-ramai masyarakat Vina oleh Belanda di Batavia (kini, Jakarta) oleh Gabenor Jeneral Belanda, Adriaan Valckenier. Masyarakat Cina yang terselamat telah melakukan serangan ke atas balai-balai Belanda yang ditemui mereka. Puak anti-Belanda telah mendesak Pakubuwana II untuk membantu pemberontakan ini. Pakubuwana II telah menghantar 20,000 orang tentera untuk membantu puak pemberontak mengepung pejabat Belanda di Semarang dan sebelum itu mereka telah menumpaskan Belanda di Kartasura pada Julai 1741.

Kejatuhan Kartasura[sunting | sunting sumber]

Cakraningrat IV dari Madura Barat telah menawar diri untuk membantu Belanda. Masyarakat Cina yang memberontak dan telah menyebabkan Pakubuwana II merasa menyesal kerana memusuhi Belanda yang semakin kuat setelah dibantu Madura. Pakubuwana II akhirnya menyerah kalah dan melakukan perjanjian bersama Belanda yang diketuai oleh Kapten Baron von Hohendorff yang tiba di Kartasura pada Mac 1742. Pendamaian ini menyebabkan pemberontak menjadi marah dan mengangkat Raden Mas Garendi atau Sunan Kuning yang baru berusia 12 tahun menggantikan Pakubuwana II dan sekaligus menjadi Sultan. Majoriti pemberontak pula bukan lagi masyarakat Cina, tetapi orang Jawa yang anti-Belanda.

Pada Jun 1742, para pemberontak menyerbu Kartasura secara besar-besaran setelah Pakubuwana II mengarahkan Patih Natakusuma dibuang negeri. Hal ini menyebabkan Pakubuwana II dan von Hohendorff melarikan diri ke Ponorogo.

Mendirikan Surakarta[sunting | sunting sumber]

Cakraningrat IV berjaya merampas Kartasura pada Disember 1742 dan mendesak Belanda agar membuang Pakubuwana II, namun permintaan Cakraningrat IV ditolak Belanda kerana merasakan Baginda masih bermanfaat kepada Belanda. Hal ini menyebabkan Cakraningrat IV terpaksa menyerahkan Kartasura kepada Belanda kerana khuatir Belanda enggan membantu kemerdekaan Madura.

Sunan Kuning ditangkap pada Oktober 1743 dan sebulan selepas itu, Pakubuwana II kembali ke Kartasura. Perjanjian bersama Belanda semakin membebankan Baginda. Pakubuwana II terpaksa melunaskan bayaran hutang perang kepada Belanda dan Baginda tidak boleh sewenang-wenangnya mengangkat Putera Mahkota dan Patih tanpa persetujuan Belanda.

Memandangkan istana Kartasura sudah musnah, Pakubuwana II memutuskan untuk membina istana baharu di Sala yang diberi nama Surakarta bermula 1745.

Pemberontakan masyarakat Cina belum berakhir. Baki penyokong pemberontak iaitu Raden Mas Said Puta Arya Mangkunegara masih bertahan. Pakubuwana II mengumumkan hadiah tanan Sokawati kepada sesiapa yang berjaya merampas daerah itu dari Raden Mas Said Puta Arya Mangkunegara. Pangeran Mangkubumi, adinda Pakubuwana II telah menyahut seruan itu dan berjaya mendapatkan semula Sokawati pada tahun 1746. Pangeran Mangkubumi merupakan antara mereka yang pernah menyokong pemberontakan masyarakat Cina, namun kembali ke istana dan diampunkan oleh Pakubuwana.

Penyerahan Sokawati kepada Pangeran Mangkubumi dihalang oleh Patih Pringgalaya yang menghasut Baginda agar tidak menyerahkan Sokawati kepada Pangeran Mangkubumi seperti yang dijanjikan. Suasana menjadi keruh apabila Gabenor Jeneral Belanda, Baron van Imhoff mendesak Pakubuwana II agar menyewakan daerah pesisir kepada Belanda. Usul itu ditentang oleh Pangeran Mangkubumi dan menyebabkan van Imhoff memalukan Pangeran Mangkubumi di khalayak umum.

Kejatuhan pemerintahan Pakubuwana II[sunting | sunting sumber]

Pangeran Mangkubumi yang sakit hati telah meninggalkan Surakarta dan bergabung dengan Mas Said pada Mei 1746. Hal ini menyebabkan perang saudara tercetus.

Di saat perang meletus, Pakubuwana II jatuh sakit pada akhir 1749. Baron von Hohendorff, teman lamanya yang kini bergelar Gabenor pesisir Jawa bahagian Timur Laut tiba di Surakarta untuk menjadi saksi penyerahan sepenuhnya kedaulatan Surakarta kepada Belanda. Perjanjian itu ditandatangani pada 11 Disember 1749 dan menjadi titik permulaan hilangnya kedaulatan Kasunanan Surakarta di tangan Belanda. Semenjak dari itu, Belanda mempunyai hak mutlak untuk melantik raja-raja keturunan Mataram (Surakarta, Yogyakarta, Mangkunegaran, dan Pakualaman). Peraturan ini berterusan sehinggalah Indonesia mencapai kemerdekaan.

Pakubuwana II mangkat pada 20 Disember 1749 dan digantikan dengan Pakubuwana III.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Miksic, John (general ed.), et al. (2006) Karaton Surakarta. A look into the court of Surakarta Hadiningrat, central Java (First published: 'By the will of His Serene Highness Paku Buwono XII'. Surakarta: Yayasan Pawiyatan Kabudayan Karaton Surakarta, 2004) Marshall Cavendish Editions Singapore ISBN 981-261-226-2
  • Ricklefs, M.C. (1974) Jogjakarta under Sultan Mangkubumi, 1749–1792: A history of the division of Java . London Oriental Series, vol. 30. London : Oxford University Press, (Revised Indonesian edition 2002)
  • Ricklefs, M.C. (1998) The seen and unseen worlds in Java, 1726–49: History, literature and Islam in the court of Pakubuwana II. St. Leonards NSW: The Asian Studies Association of Australia in association with Allen and Unwin; Honolulu : The University of Hawai'i Press.