Pergi ke kandungan

Palang imbangan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Daniela Silivaș beraksi di atas palang imbangan di Kejohanan Dunia 1987

Palang imbangan (Jawi: ڤالڠ ايمبڠن) atau batang titian (Jawi: باتڠ تيتين) ialah perkakas gimnastik artistik berbentuk segi empat tepat dan merupakan satu acara yang dipersembahkan menggunakan perkakas tersebut. Perkakas dan acara ini kadangkala dipanggil "titian" (beam) sahaja. Singkatan bahasa Inggeris bagi acara ini dalam pemarkahan gimnastik ialah BB (balance beam). Palang imbangan hanya dipertandingkan secara kompetitif oleh gimnas perempuan.

The Apparatus

[sunting | sunting sumber]

Palang ini merupakan sebatang kayu kecil dan nipis yang biasanya ditinggikan dari lantai menggunakan kaki atau dirian pada kedua-dua hujungnya. Ia biasanya dilitupi dengan bahan seakan kulit dan hanya selebar empat inci.[1]

Palang imbangan yang digunakan dalam pertandingan gimnastik antarabangsa mesti mematuhi garis panduan dan spesifikasi yang ditetapkan oleh risalah Norma Perkakas Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG). Beberapa syarikat mengeluarkan dan menjual palang imbangan, termasuk AAI (AS), Janssen-Fritsen (Eropah), dan Acromat (Australia). Kebanyakan sekolah gimnastik membeli dan menggunakan palang imbangan yang memenuhi piawaian FIG, namun ada juga yang menggunakan palang dengan permukaan berkarpet untuk sesi latihan. Semasa mempelajari kemahiran baharu, gimnas sering berlatih di atas palang lantai yang mempunyai dimensi dan permukaan yang sama dengan perkakas rasmi tetapi diletakkan pada jarak yang sangat dekat dengan tanah atau di atas lantai. Mereka juga mungkin berlatih di atas palang sederhana, palang mini, palang jalan, atau sekadar garisan di atas tikar.

Asalnya, permukaan palang adalah kayu licin yang digilap.[2] Pada tahun-tahun awal, sesetengah gimnas bertanding di atas palang yang diperbuat daripada bahan seakan bola keranjang. Walau bagaimanapun, jenis palang ini akhirnya dilarang kerana permukaannya yang sangat licin. Sejak tahun 1980-an, palang telah dilitupi dengan kulit atau suede. Selain itu, ia kini dilengkapi spring untuk menampung tekanan daripada aksi tumbling, putaran, dan sikap-sikap yang mempunyai tahap kesukaran tinggi.

Persekutuan Gimnastk Antarabangsa (FIG) menerbitkan ukuran perkakas tersebut dalam risalah Norma Perkakas.

  • Ketinggian: 125 sentimeter (4.10 ka)
  • Panjang: 500 sentimeter (16 ka)
  • Lebar: 10 sentimeter (3.9 in)
Gimnas China Wei Xiaoyuan bertanding di atas palang di Kejohanan Dunia Junior 2019.

Pertandingan

[sunting | sunting sumber]

Rutin palang mesti terdiri daripada:

  • Sambungan dua elemen tarian, salah satunya ialah loncatan (leap), lompatan (jump), atau lonjakan (hop) dengan kaki dalam keadaan bukaan 180 darjah split.
  • Putaran penuh pada sebelah kaki.
  • Satu siri dua kemahiran akrobatik, salah satunya ialah salto.
  • Elemen akrobatik dalam arah yang berbeza (ke hadapan/ke sisi dan ke belakang).
  • Pendaratan (dismount).

Gimnas boleh naik ke atas titian (mounting) menggunakan papan anjal atau dari tikar. Bagaimanapun, cara naik tersebut mestilah mengikut Kod Mata.[3] Rutin boleh berlangsung sehingga 90 saat.

Pemarkahan

[sunting | sunting sumber]

Untuk maklumat terperinci mengenai penjadualan markah, sila rujuk artikel Kod Mata.

Beberapa aspek persembahan menentukan markah akhir gimnas. Semua elemen dalam rutin, serta semua kesilapan, dicatat oleh juri.

Potongan markah dikenakan bagi setiap kesilapan yang dilakukan semasa di atas palang, termasuk kegagalan kawalan, semakan imbangan (seperti bergoyang atau terhuyung-hayang untuk mengekalkan keseimbangan), teknik dan pelaksanaan yang lemah, serta kegagalan memenuhi elemen Kod Mata yang diperlukan. Jatuh secara automatik akan dikenakan potongan markah bergantung pada tahap gimnas tersebut.

Dorina Böczögő melakukan one-arm press hold semasa sesi naik, 2012.

Peraturan

[sunting | sunting sumber]

Gimnas boleh bertanding dengan berkaki ayam atau memakai kasut khas palang jika mahu. Mereka juga boleh menyapu kapur pada tangan dan/atau kaki untuk kestabilan tambahan pada perkakas. Penanda kecil juga boleh diletakkan pada palang.

Sebaik sahaja senaman bermula, jurulatih gimnas tidak dibenarkan membantu (spot) atau campur tangan. Satu-satunya masa gimnas boleh ditemani di atas podium adalah semasa sesi naik yang melibatkan papan anjal. Dalam keadaan ini, jurulatih boleh mengalihkan papan anjal dari kawasan tersebut dengan cepat. Sekiranya jatuh, sebaik sahaja atlet berdiri semula, dia mempunyai masa 10 saat untuk naik semula ke palang dan meneruskan rutin. Jika mereka tidak kembali ke palang dalam had masa ini, mereka tidak boleh meneruskan rutin.

Di bawah peraturan FIG, masa maksimum yang dibenarkan untuk rutin palang imbangan ialah 1:30 minit. Rutin tersebut diukur menggunakan pemasa papan skor yang boleh dilihat oleh gimnas dan juri. Selain itu, nada amaran atau loceng akan dibunyikan pada minit ke 1:20. Jika gimnas belum meninggalkan palang menjelang 1:30, loceng lain akan dibunyikan, dan potongan skor sebanyak 0.1 akan dikenakan.

Daniele Hypólito beraksi di atas palang imbangan pada tahun 2007.

Idea palang imbangan datang daripada guru pendidikan jasmani abad ke-19, Johann Christoph Friedrich GutsMuths dari Jerman dan Pehr Henrik Ling dari Sweden.[4] Ia pada asalnya bertujuan untuk digunakan oleh lelaki. Pada masa itu, idea gimnastik Jerman memfokuskan kepada persediaan lelaki untuk peranan ketenteraan, dan apabila wanita mula disertakan, mereka diajar senaman berbeza yang memfokuskan kepada sifat-sifat yang dianggap feminin.[5]

GutsMuth mencadangkan satu senaman di mana kanak-kanak berjalan di atas batang pokok yang diletakkan secara mendatar dan disokong oleh dua tiang. Ling pula mencipta palang bulat yang dipasang pada bongkah kayu, yang boleh diletakkan rendah ke tanah atau tinggi. Memandangkan palang Ling sukar untuk berdiri di atasnya, palang kayu yang rendah dan rata juga digunakan.[4] Palang ini biasa digunakan dalam gimnastik Sweden untuk melatih keseimbangan dan kemahiran fizikal yang lain.[5]

Friedrich Ludwig Jahn, salah seorang pengasas gimnastik di Jerman, menyahut cadangan GutsMuth untuk menggunakan batang pokok; dia mendedikasikan empat halaman dalam buku gimnastik yang diterbitkan pada 1816 khusus untuk palang dan senaman yang boleh dilakukan di atasnya, yang dicadangkannya harus dipelajari di atas lantai terlebih dahulu demi keselamatan. Batang pokok yang digunakannya adalah sepanjang kira-kira 12 meter (39 kaki).[5] Perkakas lain yang serupa dengan palang imbangan moden juga dicipta di Sepanyol, Perancis, dan Switzerland.[4]

Satu ukiran dari tahun 1846 menunjukkan kanak-kanak perempuan berjalan di atas palang, dan ahli pasukan Sweden Anton Santesson, seorang penyokong gimnastik untuk wanita, mencadangkan pada tahun 1866 agar wanita berlatih dengannya untuk membina keanggunan (grace). Wanita juga kadangkala menggunakannya dalam pameran berpasukan atau festival gimnastik.[5] Walau bagaimanapun, palang imbangan biasanya tidak dilatih oleh wanita sehingga Kejohanan Dunia 1934, iaitu Kejohanan Dunia pertama di mana wanita dibenarkan bertanding. Palang imbangan yang digunakan ketika itu adalah lebih sempit daripada palang moden.[4] Seorang gimnas Hungary, Gaki Mezsaros, menarik perhatian dengan melakukan aksi split di atas titian.[5]

Pada hari-hari awal gimnastik artistik wanita, palang lebih berasaskan tarian berbanding tumbling. Malah di peringkat elit, rutin terdiri daripada kombinasi lompatan, sikap tarian, dirian tangan, gulingan, dan walkover.[4] Selaras dengan idea bahawa wanita tidak sepatutnya melakukan aksi kekuatan, peraturan untuk Sukan Olimpik Musim Panas 1948 menyatakan bahawa rutin tidak sepatutnya menunjukkan penggunaan daya, dan gimnas menunjukkan sedikit risiko atau kekompleksan pada perkakas pada masa itu. Aksi cartwheel pertama yang dilakukan di atas palang imbangan dalam pertandingan telah dilakukan oleh Eva Bosáková di Sukan Olimpik Musim Panas 1956.[5]

Sepanjang tahun 1960-an, elemen pra-akrobatik menjadi lebih biasa dalam rutin pilihan (bebas), walaupun palang itu sendiri yang diperbuat daripada kayu berlapis yang licin dan diletakkan di atas tikar yang jauh lebih nipis daripada hari ini, tidak sesuai untuk melakukan aksi akrobatik yang lebih sukar. Rutin wajib (tetap) terus memfokuskan kepada koreografi dan elemen tarian. Sepanjang dekad ini, kemahiran akrobatik paling sukar yang dilakukan oleh gimnas Olimpik ialah hambur tangan belakang (back handspring), yang pertama kali dilakukan oleh Erika Zuchold pada tahun 1964.[5]

Kesukaran palang imbangan mula meningkat secara mendadak pada tahun 1970-an. Olga Korbut dan Nadia Comăneci merintis kombinasi hamburan maju dan kemahiran udara di atas palang, atlet dan jurulatih lain mula mengikut jejak langkah mereka. Perubahan ini juga dipermudah dengan peralihan daripada titian kayu kepada model yang lebih selamat dan kurang licin dengan permukaan dilitupi sued serta pelapik elastik.[2] Menjelang pertengahan 1980-an, gimnas terkemuka secara rutin melakukan siri penerbangan dan pelbagai elemen udara di atas titian.

Hari ini, rutin palang imbangan masih terdiri daripada campuran kemahiran akrobatik, elemen tarian, lompatan, dan sikap-sikap, tetapi tahap kesukarannya jauh lebih tinggi. Ia juga merupakan pertandingan pingat individu dalam Sukan Olimpik.

  1. ^ "Everything You Need To Know About Balance Beam in Gymnastics". Rockstar Academy (dalam bahasa Inggeris). 8 April 2024. Dicapai pada 26 July 2024.
  2. ^ a b "History of Balance Beam" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-06-18. Dicapai pada 2009-10-04.
  3. ^ "WAG Code of Points 2009-2012". FIG. m/s. 26. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada February 12, 2009. Dicapai pada 2009-10-02.
  4. ^ a b c d e "Balance Beam: The apparatus of physical skill and psychology". International Gymnastics Federation (dalam bahasa Inggeris). 2020-12-18. Dicapai pada 2025-07-03.
  5. ^ a b c d e f g Oliveira, Mauricio Santos; Souza, Anna Stella Silva de; Costa, Andrize Ramires; Nunomura, Myrian (2023-06-29). "The Balance Beam as an Artistic Gymnastics Apparatus for Women: From Origin to Consolidation". Science of Gymnastics Journal (dalam bahasa Inggeris). 15 (2): 269–284. doi:10.52165/sgj.15.2.269-284. ISSN 1855-7171.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]