Pergi ke kandungan

Panggung wayang pandu masuk

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kelengkapan tayangan filem terbuka berparkir di Cinquantenaire Brussel, Belgium

Panggung wayang pandu masuk atau pawagam pandu masuk (bahasa Inggeris: drive-in theater atau drive-in cinema) adalah sejenis panggung wayang gambar terbuka terdiri daripada layar filem luar yang besar, tempat pengendalian projektor dan tempat letak kereta yang luas. Di kawasan tertutup ini, para penonton menonton filem dengan selesa tanpa keluar dari kereta mereka sendiri.

Skrin atau layar panggung dibina dengan keluasan yang cukup besar agar membolehkan filem tayangan ditonton sejauh mungkin dari kereta-kereta para penonton yang berderetan. Layar sebegini boleh terbina dari semudah suatu dinding yang dicat berwarna putih sepenuhnya sampailah kepada struktur rangka besi dengan kemasan yang kompleks.

Bunyi filem yang datang dari pembesar suara panggung lazim didengari secara berasingan dari tempat kereta penonton di mana peranti pembesar suara berwayar (lazimnya diperbuat daripada aluminium) dapat diambil dari gagang parkir dan digantung dari tingkap setiap kereta.[1] Sistem-sistem ini kemudiannya digantikan oleh kaedah siar raya mikro berasaskan frekuensi rendah yang membolehkan bunyi stereo diterima dalam sistem radio kereta lalu didengari penonton.

Panggung-panggung ini adakalanya turut menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan kereta sepertimana yang didapati dalam stesen minyak seperti penukaran tayar serta pengisian minyak dan angin kereta.[1]

Panggung wayang pandu masuk pertama dibina adalah Theatre de Guadalupe yang terletak di bandar Las Cruces, New Mexico, ia beroperasi dari 23 April 1915 sehingga Julai 1916.[2]

Tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945 dan kembalinya askar-askar ke tanah air mereka memulakan hidup baru berkeluarga mendorong kepada peningkatan kelahiran anak-anak serta pemilikan kereta dalam kalangan penduduk pinggir bandar dan luar bandar. Hal ini menggalakkan lebih banyak panggung wayang dibuka sehingga beratus-ratusan buah setiap tahun; jumlah panggung pandu masuk ini di Amerika Syarikat telah meningkat dari sebanyak 155 unit pada tahun 1947 menjadi 4,151 unit pada tahun 1951.[3]

Perniagaan panggung-panggung ini melaris lewat 1950-an dan awal 1960s terutamanya di kawasan luar bandar,[4] banyak kunjungan yang dicatatkan kerana ia dilihat sebagai pilihan lebih murah daripada membelanjakan banyak duit jalan jauh di bandar serta kos penyelenggaraan yang lebih murah daripada bangunan panggung wayang pada ketika itu.[5]

Kadar kemasukan mula menurun pada akhir 1960-an dengan bertambahnya pilihan hiburan persendirian yang semakin maju dan pelbagai televisyen warna ke TV kabel, VCR dan penyewaan video. Keadaan ini diburukkan dengan kenaikan harga minyak sedunia berikutan konflik serantau Timur Tengah seperti pada tahun-tahun 1973 dan 1979 menundakan masa operasi atas faktor penjimatan siang serta pengurangan kenderaan ramai menjadikan panggung-panggung ini semakin sukar mendapatkan keuntungan biasa. Kemelesetan ekonomi kecil di Amerika Syarikat pada awal 1980-an turut melonjakkan harga sewa tanah sehingga ia sukar ditampung secara berterusan dan banyak syarikat pemilik panggung lazim beroperasi pada hujung minggu atau musim panas.

Sejak berleluasanya wabak koronavirus yang merebak seluruh dunia pada tahun 2019, bentuk panggung ini menjadi dikenali dan digemari semula di mana kawasan-kawasan ini mampu mengekalkan pembatasan fizikal sesama orang ramai dengan betul.[6][7][8]

  1. ^ a b "Why old drive-in movie theaters were popular, and what they were like". Click Americana. 13 April 2020. Dicapai pada 23 September 2020.
  2. ^ Thomas, David G. (2015). Screen With A Voice - A History of Moving Pictures in Las Cruces, New Mexico. Doc45 Publications. m/s. 43–44, 168. ASIN B018CYWZ4O.
  3. ^ Fox, Mark A. (June 1, 2018). "DRIVE-IN THEATRES, TECHNOLOGY, AND CULTURAL CHA". Gale Academic Onefile.
  4. ^ Nelson, Laura J. (2013-01-19). "Digital projection has drive-in theaters reeling". The Los Angeles Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-01-26. Dicapai pada 2013-01-19.
  5. ^ Fox, Mark A. (June 1, 2018). "DRIVE-IN THEATRES, TECHNOLOGY, AND CULTURAL CHA". Gale Academic Onefile.
  6. ^ Wright, David (15 May 2020). "Rebirth of drive-in movie theaters". YouTube.com. Dicapai pada 29 July 2020.
  7. ^ "The drive-in theater thrives, for a time (Associated Press)". YouTube.com. 21 March 2020. Dicapai pada 29 July 2020.
  8. ^ Hoeller, Sophie-Claire (2020-04-05). "Drive-in movie theaters around the world are having a renaissance amid the coronavirus pandemic". Business Insider Nederland (dalam bahasa Belanda). Dicapai pada 2020-07-29.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
  • DriveInMovie.com - direktori panggung wayang pandu masuk yang masih beroperasi seluruh dunia