Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Parti Gerakan Rakyat Malaysia
Malaysian People's Movement Party
马来西亚民政运动党
GERAKAN
KetuaDatuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Diasaskan24 Mac 1968
Ibu pejabatLevel 5, Menara PGRM, 8, Jalan Pudu Ulu, Cheras, 56100 KUALA LUMPUR.

TEL. : +6 03 - 92876868

FAX. : +6 03 - 92878866
Penggabungan nasionalBarisan Nasional (1974-2018)
Bendera parti
Parti Gerakan Rakyat Malaysia Flag.svg
Tapak web
Laman GERAKAN


Parti Gerakan Rakyat Malaysia (bahasa Inggeris: Malaysian People's Movement Party; singkatan: GERAKAN) adalah sebuah parti politik di Malaysia yang dipimpin oleh Presiden, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai. GERAKAN merupakan parti serpihan Persatuan Cina Malaysia (MCA). GERAKAN merupakan komponen bagi Barisan Nasional yang merupakan parti pembangkang di peringkat Persekutuan, Barisan Nasional merupakan parti pemerintah bagi kerajaan negeri Pahang dan Perlis. GERAKAN tidak menubuhkan bahagian di negeri Sarawak. Pada 23 Jun 2018 mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) GERAKAN telah mengumumkan untuk keluar dari Barisan Nasional dan kekal sebagai Parti Bebas di dalam Blok Pembangkang. Parti ini merupakan anggota Majlis Liberal dan Demokrat Asia. Pada tahun 2020, GERAKAN merupakan parti yang memberikan keyakinan dan perbekalan kepada blok kerajaan yang dipimpin oleh Perikatan Nasional.

Sejarah

Parti Gerakan Rakyat Malaysia telah ditubuhkan pada 1968. Antara usaha yang dilakukan oleh Parti Gerakan adalah berusaha membentuk sebuah Negara bernama Malaysia diwarnai oleh keharmonian masyarakat majmuk, keadilan sosial, kesaksamaan ekonomi, demokrasi berpolitik dan liberalisme budaya. Gerakan percaya dan yakin dalam penggunaan strategi yang pragmatik dan pendekatan yang bukan berteraskan satu kelompok masyarakat dan bersiap sedia komited kepada niat-niat murni.

1968 - 1972: Tahun- tahun Awal

Parti Gerakan Rakyat Malaysia telah dibentuk pada 24 Mac 1968. 6 pengasas parti ini adalah Professor Syed Hussein Alatas dari Universiti Singapura; Dr. David Tan Chee Khoon, Ahli Parlimen Batu, Selangor dan bekas ketua Parti Buruh; Dr. J.B.A. Peter, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA); Dr. Lim Chong Eu, Ahli Parlimen Tanjung, Pulau Pinang dan bekas Presiden Parti Demokratik Bersatu (UDP); Profesor Wang Gungwu dari Universiti Malaya, dan V. Veerapan, seorang peguam dan bekas pemimpin Parti Buruh.

Berikutan daripada kelulusan Pendaftar Pertubuhan pada 25 Mei 1968,sebuah Jawatankuasa Pusat pertama yang terdiri daripada 6 orang Melayu (termasuk dua wanita), 6 orang Cina dan 3 orang India telah ditubuhkan. Jumlah keahlian parti pada masa itu adalah 1,400 orang dengan 43 cawangan yang ditubuhkan di kebanyakan kawasan perbandaran bukan Melayu, dengan Dr. Lim Chong Eu memegang tampuk di Pulau Pinang dan Dr. Tan Chee Khoon di Kuala Lumpur. Sebagai langkah untuk mengekalkan penguasaan parti ke atas kerajaan negeri dan merealisasikan pembangunan yang telah dijanjikan dalam manifesto kempen pilihanraya parti untuk Pulau Pinang,sebuah gabungan kerajaan telah dibentuk bersama dengan Parti Perikatan pada 13 Februari 1972.

1973 - 1979: Pengukuhan dan Pertumbuhan

Persidangan Perwakilan Nasional 1973 telah ditundakan kepada Mac 1974 kerana menunggu pengumuman mengenai perkembangan penting dalam parti. Pada 19 Disember 1973, Pemangku Presiden Dr. Lim Chong Eu telah mengumumkan bahawa Dr. Lim Keng Yaik, Paul Leong Khee Seong, Alex Lee Yu Lung, Dr. Tan Teong Hong, Soong Siew Hoong dan ribuan reformis yang juga bekas ahli MCA telah menyertai Gerakan. Akibat dari penyertaan besar-besaran itu, di antara tahun 1974 dan tahun 1975, sejumlah 71 cawangan baru dan 39 bahagian baru telah ditubuhkan di sekitar Pantai Barat Semenanjung Malaysia terutama sekali Perak, Negeri Sembilan dan Selangor dan diserapkan dalam struktur parti.

Pada 1 Jun 1974, Barisan Nasional telah didaftarkan dengan rasmi untuk bersiap sedia bagi menghadapi pilihanraya yang mendatang. Pada hari pencalonan, sejumlah 8 ahli parti Gerakan dicalonkan di atas tiket Barisan Nasional untuk bertanding di kawasan Parlimen dan 18 calon lagi di Dewan Undangan di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah. Gerakan berkempen di atas perpaduan, kesaksamaan dan keadilan.

Dalam beberapa detik waktu ke arah persiapan menghadapi Pilihanraya Umum 1978,perkongsian dalaman dan kekuatan baru yang digapai oleh Barisan Nasional telah dikejutkan dengan beberapa insiden; bermula dengan perkembangan politik UMNO setelah kematian Tun Razak pada tahun 1976, dan diikuti dengan penyingkiran PAS dari Barisan Nasional pada tahun 1978. Hubungan parti Gerakan dengan MCA juga turut berkonlflik atas sebab masalah peruntukan kerusi di Pulau Pinang. Apabila pilihanraya diumumkan, Gerakan bukan sahaja terpaksa berdepan dengan dakwaan oleh pembangkang mengenai DEB, isu Universiti Merdeka dan ketidakcekapan pentadbiran kerajaan, tetapi juga terpaksa menghadapi pengkhianatan daripada “Kumpulan Tujuh” yangsengaja diletakkan oleh MCA untuk bertanding dengan calon-calon Gerakan. Keputusan yang diumumkan pada 8 Julai 1978 tidak begitu memberangsangkan di mana Gerakan telah kecundang 3 daripada 11 kerusi negeri, dan 2 daripada 3 kerusi parlimen yangdiperuntukkan kepadakitadiPulau Pinang.Walaubagaimanapun, Pulau Pinang masih dapat bertahan sebagai kubu kuat Gerakan dan Dr. Lim Chong Eu dilantik sebagai Ketua Menteri untuk penggal yang ketiga.

Jawatankuasa Pusat baru yang dilantik pada Mei 1978 telah berjaya menangani pelbagai cabaran Pilihanraya Umum pada tahun itu. Pada masa itu, ia menghadapi satu lagitugasan yang lebih mencabariaitu untuk berunding bagi mendapatkan lebih banyak perwakilan Generasi Rakyat Malaysia Baru disetiap peringkat.

1980 - 1989: Perpaduan dan Cabaran-cabaran

Persidangan Perwakilan Nasional ke-9 telah diadakan di Port Dickson pada 17 Ogos 1980 di mana dalam pemilihan perwakilan itu, Dr. Lim Keng Yaik telah dipilih sebagai Presiden Parti baru untuk penggal 4 tahun. Sementara itu, Paul Leong Khee Seong, setelah menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden, bersumpah memberi sokongan dan kerjasamanya bersama-sama mereka yang terpilih termasuklah seorang lagi Timbalan Presiden Ong Boon Seong, Teh Ewe Lim sebagai Setiausaha Agung dan Dr. Goh Cheng Teik sebagai Timbalan Setiausaha Agung.

Dalam langkah rapi untuk mengembangkan parti, satu dasar pintu terbuka telah diambil oleh kepemimpinan baru yang bersifat liberal dan demokratik. Ini telah membuka jalan kepada 3 kumpulan untuk menyertai parti Gerakan di antara tahun-tahun 1981 dengan 1985. Kumpulan pertama diketuai oleh Michael Chen 9 Wing Sum dan bekas ahli-ahli MCA. Ini telah menyebabkan peningkatan dalam jumlah keahlian baru dan penubuhan lebih banyak cawangan dan bahagian di Perlis, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Pahang dan Terengganu di antara tahun 1981 dan tahun 1982.

Kumpulan kedua yang merupakan paling penting ialah golongan pendidik Cina yang berkait rapat dengan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia yang dikenali sebagai kumpulan “Dong Jiao Zong atau Dong Zong”. Ini termasuklah Kerk Choo Ting, Dr. Koh Tsu Koon, Ong Tin Kim, Dr. Kang Chin Seng dan lain-lain. Setelah menyertai Gerakan pada 31 Mac 1982, kumpulan ini telah menyatakan pendirian tegasnya mengenai bahasa kebangsaan, pendidikan nasional dan budaya untuk mencipta sebuah Malaysia yang bersatupadu. Satu kenyataan bersama dimeterai antara kumpulan ini dengan kerjasama Jawatankuasa Pusat yang menjanjikan bahawa ia akan dijadikan sebahagian daripada matlamat politik parti Gerakan. Seiring dengan kemunculan kumpulan “Dong Jiao Zong” ini, ia juga mencetuskan kebangkitan sekumpulan intelek muda yang prihatin dan komited yang kemudiannya muncul sebagai “think tank” parti Gerakan memperjuangkan isuisu nasional yang berkaitan dengan sosial, ekonomi dan politik. Kumpulan ketiga terdiri daripada pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja yang diketuai oleh mantan presiden CUEPACS, T. Najendran. Kemasukan kumpulan ini telah membantu mengukuhkan hubungan parti Gerakan dengan golongan pekerja.

Dengan rekod kekuatan dan pencapaian itu, parti Gerakan tidak mempunyai banyak masalah dalam menempuhi pilihan raya umum yang berikutnya pada tahun 1982 dan tahun 1986. Kepimpinan yang jujur, ikhlas, berkemampuan dan bertanggungjawab telah mendapat keyakinan dan sokongan rakyat dalam Pilihanraya yang ke-6 pada tahun 1982. Biarpun diperuntukan jumlah kerusi yang kecil di negeri Pulau Pinang, parti ini telah berjaya merangkul 100% kejayaan dengan memenangi kesemua 8 kerusi negeri. Parti Gerakan juga telah menang besar di negeri Kedah, Perak, Selangor, Pahang dan Johor dengan membawa balik 7 kerusi dari negeri-negeri ini. Dalam pertandingan kerusi Parlimen, 100% kemenangan juga diperolehi di Perak di mana Gerakan memenangi 3 kerusi yang diperuntukkan manakala di Pulau Pinang, Gerakan telah berjaya merampas 2 daripada 3 kerusi yang diperuntukkan termasuk satu kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Dr. Koh Tsu Koon di Parlimen Tanjung, sebuah kubu kuat parti pembangkang iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP). Ini adalah pencapaian terbaik parti Gerakan setelah menjadi parti komponen Barisan Nasional. Ia juga telah membuktikan penerimaan rakyat terhadap Gerakan.

Pilihan raya umum ke-7 diadakan pada Ogos 1986 dibayangi oleh beberapa isu yang berkaitan dengan skandal korporat, penyelewengan pentadbiran kerajaan, masalah toleransi budaya dan kegawatan ekonomi, sertadiselubungi oleh sentimen anti- kerajaan di kawasan bandar. Parti Gerakan telah tewas 4 daripada 9 kawasan parlimen yang diperuntukkan di seluruh negara. Di kerusi negeri, walaupun memenangi 9 daripada 11 kerusi di Pulau Pinang, parti ini telah mengalami kekalahan teruk di negeri-negeri lain, dengan hanya mendapat 4 daripada 11 kerusi yang dipertandingkan.

Pemilihan parti yang diadakan pada 29 September 1984 di Kuala Lumpur telah menyaksikan satu pertandingan yang sengit. Penyandang jawatan utama diuji sepenuhnya sebelum muncul pemenang dalam pemilihan baru itu. Dr. Lim Keng Yaik dan Paul Leong Khee Seong telah masing-masing dipilih semula sebagai Presiden dan Timbalan Presiden dengan Kerk Choo Ting sebagai Setiausaha Agung yang baru.

Dengan rekod pencapaian 95 cawangan baru dan 28 bahagian baru yang 11 ditubuhkan pada tahun 1985, Parti Gerakan mara ke hadapan dengan lebih yakin untuk menangani beberapa masalah serius yang mengancam parti dan masyarakat. Walau bagaimanapun, usaha tersebut telah tercela kerana berlakunya insiden perebutan jawatan-jawatan utama parti pada Jun 1987. Oleh kerana itu, ahli-ahli parti pada masa itu mempunyai kematangan politik dan pemahaman yang lebih mantap mengenai asas-asas demokrasi, persidangan perwakilan tahunan ke-16 berjalan lancar dan kepemimpinan pada masa itu diberikan mandat sekali lagi untuk memimpin parti untuk penggal 3 tahun lagi.

1990 - 1995: Ujian Getir dan Kemenangan

Kelancaran dan ketenangan dalam pemilihan parti tahun 1990 tidak mencerminkan gelora di dalam pilihan raya umum yang dihadapi oleh Gerakan dan parti komponen pada 21 Oktober 1990. Bagi kerusi Parlimen, Gerakan memenangi 5 daripada 9 kerusi manakala bagi kerusi negeri, Gerakan hanya mampu memenangi 11 daripada 23 kerusi yang dipertandingkan. Di Pulau Pinang, Gerakan hanya memenangi 7 daripada 11 kerusi yang dipertandingkan. Kekalahan mengejut adalah di Padang Kota, di mana Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. Lim Chong Eu telah tewas kepada Sdr. Lim Kit Siang dari DAP. Bagaimanapun, parti ini masih mampu mengekalkan jawatan Ketua Menteri dan Dr. Koh Tsu Koon telah dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ke-3.

Dibantu oleh kejayaan ekonomi Malaysia yang mencatat lebih dari 8% dan berkekalan selama 7 tahun, Kerajaan Barisan Nasional telah mendapat kemenangan besar pada 25 April 1995. Daripada 27 kerusi negeri yang diperuntukkan kepada Gerakan pada pilihan raya Umum 1995, Gerakan telah memenangi 23 kerusi.

1996 - 2000: Ke Arah Millenia Baru

Menara PGRM, sebuah bangunan 22 tingkat yang merupakan ibu pejabat baru parti di Cheras, Kuala Lumpur telah dibuka dengan secara rasminya oleh Presiden parti pada 25 Mei 1996 oleh Dr. Lim Keng Yaik. Pada 1 Mac 1998, Gerakan telah menyambut ulang tahunnya ke-30 dengan satu slogan yang mudah difahami: “Satu Hati, Satu Negara, Satu Wawasan” yang menggesa semua rakyat Malaysia untuk bekerjasama bagi memacu negara berada pada landasan menuju Wawasan 2020.

Pada 8 Januari 1999, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah dilantk sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dipecat dan dipenjarakan. Di Pulau Pinang, Dr. Koh Tsu Koon telah menundukkan cabaran daripada Dr. Goh Cheng Teik dan mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri Gerakan Pulau Pinang di dalam Persidangan Perwakilan Negeri Pulau Pinang pada 8 Mei 1999.

Di Pulau Pinang, Gerakan menang besar dengan 10 daripada calonnya memenangi kerusi negeri. Parti ini juga memenangi 12 kerusi negeri di negeri-negeri lain dan 7 kerusi parlimen. Kemenangan yang dicapai oleh Chia Kwang Chye dan Lee Kah Choon ke atas peminpin terbuka DAP Lim Kit Siang dan Karpal Singh di kerusi-kerusi parlimen sesungguhnya telah memberi kekuatan kepada Gerakan. Begitu juga dengan kemenangan Dr. Teng Hock Nan ke atas Lim Kit Siang dalam pertandingan untuk merebut kerusi negeri Kebun Bunga.

Sementara itu, Presiden parti Dr. Lim Keng Yaik telah dilantik sebagai Menteri Perusahaan Utama untuk penggal keempat berturut-turut, manakala Timbalan Presiden Kerk Choo Ting telah dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa. Naib Presiden Dr. Tan Kee Kwong telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi manakala Setiausaha Agung parti, Chia Kwang Chye dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia.

2000 - 2005: Kemenangan Terbaik Dalam Pilihanraya

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasarmencatatkan 11.7%, kenaikan dalam angka dua digit untuk kali kedua sejak krisis kewangan 1997.Dalammemainkan peranan untukmembantu pemulihan keseluruhannya, Gerakan meneruskan perjuangan politiknya yang bukan berteraskan kaum seiring dengan semangat yang termaktub dalam Wawasan 2020. Gerakan telah melancarkan projek “Gerakan IT 2000” bagi memenuhi maksud untuk menghubungkan parti kita dengan generasi muda Malaysia. Pada 13 Ogos 2000, Pergerakan Pemuda Gerakan melancarkan program “Anak Malaysia” untuk memajukan satu generasi anak-anak muda Malaysia yang bersatu padu, progresif, dinamik, berkeyakinan diri dan inovatif. Pada bulan September tahun yang sama, Gerakan telah mengadakan “New Millennium NDC” di Pulau Pinang, persidangan perwakilan nasional buat pertama kalinya diadakan di luar Kuala Lumpur dalam tempoh masa 15 tahun.

Di antara tahun 2000 hingga 2004, Gerakan perlu memastikan Pulau Pinang dapat terus berjaya dalam penyampaiannya biarpun MCA bermain muslihat politik. Pada tahun 2003, perbincangan untuk tujuan penggabungan telah diadakan dengan MCA dan kedua-dua pihak telah menubuhkan jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikan secara bersama oleh ketua parti masing-masing bagi mencari kata sepakat. Dr. Lim Keng Yaik telah melancarkan menara berkembar Gerakan, iaitu Menara PGRM 2, yang terletak bersebelahan dengan ibu pejabat parti di Cheras pada 25 Mei 2003. Menara tersebut telah siap dibina pada tahun 2006.

Pada November 2003, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Dato’ Seri Abdullah telah memimpin Barisan Nasional untuk meraih kemenangan besar pada Pilihan raya Umum 2004. Gerakan memenangi 30 daripada 31 kerusi negeri dan 10 daripada 12 kerusi parlimen yang ditandinginya di bawah tiket Barisan Nasional.

Pada 27 Ogos 2005, parti ini mengadakan pemilihan parti yang memperlihatkan kedudukan Dr Lim Keng Yaik sebagai presiden dicabar oleh timbalannya, Kerk Choo Ting. Dr Lim mengukuhkan kedudukannya sebagai presiden parti selepas memenangi 983 undi berbanding 628 undi yang diperoleh oleh Kerk. Dr Koh Tsu Koon menjadi Timbalan Presiden yang baru selepas beliau menang tanpa bertanding pada hari pencalonan bagi pilihan raya parti.

Pada November 2006, presiden parti Barisan Nasional yang lain, Parti Progresif Penduduk (PPP), M. Kayveas, mengusulkan penggabungan antara Gerakan dan PPP. Koh menyambut baik cadangan tersebut.[1]

Pada 2006, kira-kira 80% ahli Gerakan ialah etnik China, sementara 15% yang lain ialah etnik India, etnik Melayu, atau etnik yang lain.[1]

2008: Kekalahan Teruk Titik Hitam Dalam Sejarah Gerakan

Parti ini mencatat rekod pilihan raya terburuk semasa berlangsungnya Pilihan Raya Umum 2008, yang memperlihatkan Gerakan hanya memenangi 2 kerusi, berbanding kemenangan 10 kerusi pada pilihan raya sebelumnya. Jadi, parti ini kehilangan beberapa portfolio kabinet kerajaan pusat. Parti ini juga kehilangan kerajaan negeri Pulau kepada DAP. Berikutan kekalahan parti dalam Pilihan Raya Umum 2008, presidennya iaitu Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menawarkan diri untuk letak jawatan bagi mengambil tanggungjawab dalam kekalahan tersebut. Daripada 12 kawasan parlimen dan 31 kerusi negeri yang diperuntukkan kepada Gerakan oleh Barisan Nasional, Gerakan telah kehilangan semua kerusi di Pulau Pinang dan hanya dapat mempertahankan 2 kerusi parlimen di Gerik (Perak) dan Simpang Renggam (Johor) termasuk 4 kerusi dari 18 kerusi peringkat negeri antaranya di Derga (Kedah), Ketari (Pahang), Bukit Batu (Johor) dan Pemanis (Johor). Apabila perlantikan kabinet baru diumumkan, hanya Tan Lian Hoe (Gerik) dan Senator A. Kohilan dilantik sebagai Timbalan Menteri. Sesungguhnya,ia adalah titik hitam di dalam sejarah parti Gerakan. Pilihan raya umum 2008 merupakan rekod pencapaian terburuk tiga penggal berturut-turut apabila tewas di semua kerusi parlimen yang ditandingi.

Pada 8 April 2009, Presiden parti Dr. Koh Tsu Koon telah dilantik sebagai Senator oleh Yang Di-Pertuan Agong dan mengangkat sumpah pada hari berikutnya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan memegang portfolio Perpaduan Negara dan Pengurusan Prestasi. Beliau dipertanggungjawabkan untuk mengetuai misi baru Perdana Menteri dalam mempromosikan semangat 1Malaysia dengan slogan komitmen Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Dr. Koh memberi fokus dalam memperbaiki sistem penyampaian dengan menubuhkan Indeks Pencapaian Utama (KPI) serta menubuhkan sebuah unit dikenali sebagai PEMANDU (PErformance MANagement and Delivery Unit) yang diketuai oleh seorang Menteri baru bertaraf Senator iaitu Dato’ Seri Idris Jala sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk menjana beberapa Program Transformasi Kerajaan.

2011 – 2018: Belayar Menentang Angin Yang Kuat

Pada 22 Disember 2012, bekas Presiden Parti Gerakan Tun Dr. Lim Keng Yaik meninggal dunia di kediamannya di Petaling Jaya pada umur 73 tahun. Beliau banyak berjasa kepada negara selama 27 tahun menjadi Presiden dari 1980 dan 2008. Pilihanraya Umum ke-13 yang diadakan pada 5 Mei 2013 menyaksikan angin perubahan yang lebih kencang daripada yang sebelumnya. Parti Gerakan bertanding di 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Negeri namun hanya memenangi 1 kerusi Parlimen di Simpang Renggam (Johor), dan 3 kerusi Negeri di Tanjong Papat (Sabah), Elopura (Sabah) dan Pemanis (Johor). Ini merupakan kali kedua Parti Gerakan kalah kesemua kerusi Negeri di Pulau Pinang.

Pada 31 Mei 2014, pilihanraya kecil Teluk Intan telah diadakan setelah kematian penyandangnya Seah Leong Peng dari parti DAP pada 1 Mei 2014. Detik ini telah membuka ruang kepada Gerakan untuk menambah satu lagi kerusi dalam dewan rakyat, menjadikan Sdr Mah Siew Keong dipilih sebagai ahli parlimen bagi kawasan Teluk Intan. Pada tahun 2016, Gerakan dilihat maju ke hadapan dengan pembaharuan dalaman yang dilakukan di bawah kepimpinan Sdr Mah Siew Keong. Manakala di peringkat kerajaan pusat, suatu rombakan kabinet yang telah berlaku pada Jun 2016 melihatkan Sdr Mah Siew Keong, yang merupakan Menteri JPM ditukar kepada portfolio kanan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Pengikthirafan ini penting kerana Gerakan dilihat sebagai sebuah parti yang senantiasa menumpukan kepentingan pengusaha kecil dan sederhana dalam sektor komoditi dan pekerja perladangan.

Pada 9 Mei 2018, pilihanraya umum ke-14 telah memberi tamparan yang hebat kepada Gerakan dan Barisan Nasional secara umum. Gerakan kalah semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Negeri yang ditandingi. Di Pulau Pinang, Gerakan telah gagal memenangi sebarang kerusi dalam 3 pilihanraya. Ini juga kali pertama Barisan Nasional hilang kuasa dan gagal menubuhkan kerajaan selepas 60 tahun. Rakyat Malaysia membuka lembaran baharu dalam sejarah negara di mana Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir menubuhkan Kerajaan Baharu, dan secara rasminya membuka laluan kepada ‘2 party system’ di peringkat pusat. Gerakan sebagai sebuah parti yang berprinsipkan ‘people’s first’ menerima keputusan pengundi dan sedia menerima mesej yang ingin disampaikan oleh rakyat secara terbuka.

2018 – 2020: Titik Permulaan Yang Baru

Kekalahan Barisan Nasional di PRU-14 jelas menunjukkan bahawa rakyat menolak pemerintahan BN. Oleh itu, pada 23 Jun 2018, kepimpinan Gerakan di bawah Sdr Mah Siew Keong telah membuat keputusan untuk meninggalkan Barisan Nasional dan membuat pendirian untuk mewujudkan blok ketiga secara bebas. Pada 16 September 2018, Sdr. Mah Siew Keong telah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai presiden parti ketika Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Sembilan yang ke-43. Pemilihan parti telah diadakan pada bulan November 2018 dan menyaksikan lebih banyak ahli anak muda mengambil bahagian, jelas sama sekali ia menunjukkan komitmen tinggi untuk membina semula Gerakan. Lantaran itu, pada 17 November 2018, Sdr. Dr. Dominic Lau Hoe Chai telah dilantik sebagai presiden parti yang ke-6 dan beliau berjanji untuk membina semula Gerakan dan mewujudkan kuasa ketiga yang bebas dalam politik Malaysia di bawah pucuk kepimpinannya. Pada Mac 2019, Parti Gerakan Rakyat Malaysia menyambut ulang tahun penubuhan yang ke-51 yang bertemakan Menghidupkan Semula Gerakan, Belayar ke Arah yang Baru (Revitalize Gerakan, Sail Anew’). Pelbagai program telah dianjurkan di peringkat negeri dan pusat yang menekankan halatuju, pembaharuan dan pergerakan kuasa ketiga. Lantaran itu, Sdr. Dr. Dominic Lau Hoe Chai berikrar untuk mengembalikan semula kegemilangan parti dan menawan semula negeri Pulau Pinang.

Pada 16 November 2019, pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjong Piai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik dari Pakatan Harapan (PPBM). Parti Gerakan meletakkan timbalan setiausaha agung Saudari Wendy Subramaniam sebagai calon parti pada PRK itu bagi memberi pilihan alternative kepada pengundi Tanjung Piai. Ini merupakan kali pertama Gerakan bertanding menggunakan logo, bendera, serta nama parti sendiri setelah hampir lima dekad. Inilah julung kalinya, sebagai sebuah parti yang bebas, Gerakan membuat keputusan sendiri untuk bertanding dalam PRK tersebut.

Pada Mac 2019, Gerakan mengumumkan bahawa parti Gerakan akan menerbitkan laporan suku tahunan serta laporan tahunan untuk memantau dasar dan keputusan kerajaan Pakatan Harapan bermula dari Januari 2019. Tujuan 'kad laporan' ini adalah untuk menyediakan kayu ukur untuk meneliti dan menilai dalam membuat keputusan, membuat dasar dan pernyataan kerajaan PH secara suku tahunan untuk memantau komitmen dan penerimaan mereka oleh orang awam.

Gerakan juga telah membuat pendirian tertentu mengenai perkara pendidikan kerana Gerakan percaya pendidikan adalah masa depan negara. Pada Julai 2019, Sin Chew telah melaporkan bahawa tulisan Jawi akan diajar di sekolah vernakular bermula tahun 2020 dan seterusnya. Berikutan itu, Gerakan melancarkan kempen tandatangan di seluruh negara pada bulan Ogos untuk mendapatkan tandatangan orang-orang yang menentang cadangan ini dan membentangkannya kepada kerajaan. Bagaimanapun, kerajaan masih memutuskan untuk meneruskan dasar itu. Seterusnya, Gerakan memfailkan saman terhadap Kerajaan Persekutuan untuk mencabar keputusan daripada kerajaan untuk menguatkuasakan pengajaran skrip Jawi pada September 2019 dengan harapan dapat menyelesaikan masalah ini. Walau bagaimanapun, pada November 2019, mahkamah memutuskan bahawa skrip Jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Malaysia dan boleh diajar kepada pelajar di sekolah Cina dan Tamil. Pada Disember 2019, Gerakan telah melancarkan satu lagi kempen poskad mengenai kontroversi skrip Jawi di mana lebih daripada lima ribu poskad telah diedarkan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai tentang dasar Jawi ini yang kemudiannya dihantar kepada Kementerian Pendidikan.

Pada Februari 2020, Gerakan telah menyertai tuntutan undang-undang yang berkaitan dengan cabaran perlembagaan sekolah vernakular di Malaysia. Di samping itu, Gerakan juga memutuskan untuk membuat laporan polis terhadap seorang Ustaz yang menyeru penghapusan kata-kata Cina. Gerakan juga menentang kerajaan PH kerana kegagalan dalam mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14.

Gerakan juga membela nasib graduan muda dalam mendapatkan perkerjaan. Gerakan telah mencadangkan kepada kerajaan agar memainkan peranan yang aktif dalam mewujudkan kepelbagaian ekonomi dan sektor pekerjaan baharu. Gerakan juga menggesa kepada kerajaan PH agar mengkaji semula pelaksanaan PPSMI yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri untuk mengelakkan penyesalan kerana ia membabitkan masa depan negara.

Sempena sambutan Tahun Baru Cina 2020, Gerakan telah menjemput Perdana Menteri yang ketika itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad serta Menteri Kanan, Azmin Ali. Kehadiran mereka amat bermakna kerana ia adalah tradisi Gerakan untuk menjemput Perdana Menteri ke Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PGRM setiap tahun walaupun parti Gerakan bukan ahli gabungan pemerintah. Pada 24 Mac 2020, Gerakan menyambut ulang tahun ke-52 parti berikutan penubuhannya. Walau bagaimanapun, sambutan itu dibatalkan kerana penularan wabak COVID-19 adalah sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) kerajaan. Gerakan juga melancarkan kempen "Satu Hati & Lawan COVID-19" untuk mempromosikan perjuangan menentang koronavirus dengan mendermakan sumber kepada pihak barisan hadapan. Selain itu, Gerakan juga telah mengedarkan topeng muka percuma, botol air mineral dan hand sanitizer kepada orang ramai berhubung dengan COVID-19.

Pada bulan April 2020, Gerakan telah merangka kertas cadangan Prosedur Kendalian Standard ‘Back to Work’ yang menyenaraikan langkah-langkah yang harus diambil untuk membantu organisasi kembali beroperasi susulan pandemik COVID-19. Pada bulan yang sama juga, Gerakan telah melancarkan #BforB (Business for Business) platform untuk membantu usahawan tempatan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan. Inisiatif ini berfungsi sebagai platform penasihat perniagaan yang bertujuan untuk persekitaran yang kolaboratif dalam perniagaan di Malaysia.

Selaras dengan kemelut ekonomi akibat pandemik ini, Gerakan telah mencadangkan beberapa perkara kepada kerajaan dalam usaha membantu rakyat mengatasi impak COVID-19 kepada kitaran sosial ekonomi. Ini juga termasuk melanjutkan tempoh moratorium sebagai usaha mengurangkan beban kewangan rakyat. Kenaikan bil elektrik yang mendadak ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini juga membimbangkan ramai pihak dan Gerakan bertindak dengan menghantar surat aduan kepada Tenaga Nasional Berhad agar meneliti semula tarif elektrik.  

Dalam pada itu, Gerakan mengedarkan lebih 1000 pek makanan percuma serta kad penghargaan kepada penghantar makanan sebagai tanda terima kasih ke atas perkhidmatan mereka kepada masyarakat ketika Perintah Kawalan Pergerakan. Untuk membantu golongan B40, Gerakan telah melancarkan “Projek Meja Komuniti” dengan menyediakan catuan makanan kering. Program ini diadakan secara berperingkat di seluruh Malaysia sebagai usaha membantu golongan berpendapatan rendah.  

Satu lagi program yang perlu direkodkan adalah Gerakan Coffee Talk yang diadakan secara atas talian untuk membincangkan topik-topik semasa terutamanya yang berkaitan dengan sosial politik. Ia bermula dengan bicara 509 Anniversary, what lies ahead? pada 5 Mei 2020 kemudian “Back to the Roots” bersama Dr. Sharifah Munirah Alatas dan Dr. Syed Farid Alatas, kedua-duanya merupakan anak kepada pengasas Gerakan, Prof. Syed Hussein Alatas. Program ini direka khas untuk ahli parti.

Pada bulan Mei 2020, Gerakan telah mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tanda menghormati usaha beliau dalam membawa negara memerangi wabak COVID-19 dan inisiatif – inisiatif yang berpaksikan kerakyatan yang diambil oleh beliau terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

Pada 4 Jun 2020, Gerakan melancarkan kempen ‘Demi Rakyat GERAKAN Berjuang, Bersatu Hati dan Setia Berkhidmat’ untuk membantu golongan B40, masyarakat kelainan upaya, ibu tunggal serta warga emas di Malaysia yang terkesan dengan “norma baharu” diikuti dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang sudah berlangsung selama 78 hari. Parti Gerakan Rakyat Malaysia sedar bahawa ramai telah kehilangan pekerjaan atau dipotong gaji akibat pandemik ini. Oleh itu, parti telah bersetuju untuk mengagihkan lebih daripada 5000 bungkus barangan keperluan asas yang terdiri daripada beras 5kg, sepapan telur (yang mengandungi 30 biji) dan barang keperluan harian yang lain. Ia seiring dengan ideologi Gerakan yang berjuang untuk membela nasib rakyat dan anggota di peringkat akar umbi. Program ini telah diadakan di pejabat perhubungan parti di Pulau Pinang serta di tempat lain yang terkesan seperti Bukit Bendera, Bayan Baru, Jelutong, Bukit Gelugor, Tanjong, Batu Feringgi dan Bukit Mertajam. m ini telah diadakan di pejabat perhubungan parti di Pulau Pinang serta di tempat lain yang terkesan seperti Bukit Bendera, Bayan Baru, Jelutong, Bukit Gelugor, Tanjong, Batu Feringgi dan Bukit Mertajam.  

Sebagai aktiviti lanjutan, Gerakan telah menganjurkan lagi beberapa sesi Coffee Talk bersama beberapa jemputan seperti Dr. Lau Tze Wei yang bertajuk ‘Gerakan’s Road to Revival’ pada 13 Jun dan juga bersama Cik Ivlynn Yap Cheng Theng yang bertajuk ‘Communication Strategies in Politics’ pada 20 Jun.

Pada 20 Jun 2020, Gerakan mengaktifkan jentera mereka sebagai persiapan untuk pilihanraya umum yang akan datang. Selaras dengan itu, mereka merancang untuk menubuhkan mekanisme jurucakap dalam kluster yang berbeza yang dikenali sebagai 5E.

Manakala bagi pendidikan peringkat sekolah menengah, Gerakan telah melancarkan kelas tuisyen atas talian secara percuma pada 24 Jun 2020 untuk pelajar yang bakal menduduki SPM di seluruh negara. Program ini akan diadakan secara berterusan dan Gerakan menggalakkan agar ramai pelajar menyertai kelas ini. Kelas tuisyen diadakan melalui aplikasi zoom, dan diajar oleh guru-guru yang berpengalaman untuk membantu calon-calon SPM yang jauh ketinggalan dalam sukatan pelajaran mereka ekoran pandemik COVID-19.

Antara kemuncak agenda parti pada bulan Jun, termasuklah penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, YB. A. Sivasubramaniam ke dalam Parti Gerakan Rakyat Malaysia pada 26 Jun. Berikutan dengan penyertaannya, Gerakan kini mempunyai satu kerusi DUN di Perak. Sebagai nota tambahan, pada bulan Mac yang lalu, YB. A Sivasubramaniam telah keluar dari DAP untuk menjadi wakil bebas dan diikuti dengan kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Harapan.

Barisan kepimpinan

  • Penasihat:
  • Presiden:
    • Dominic Lau Hoe Chai
  • Timbalan Presiden:
    • Oh Tong Keong
  • Naib Presiden:
    • Baljit Singh Jigiri Singh
    • David Chong Vee Hing
    • Koo Shiaw Lee
    • Soo Kay Ping
    • Gan Peng Lam
    • Parameswaran a/l Ganason
    • Ranndy Yap Kim Heng
  • Ketua wanita:
    • Janice Wong
  • Ketua pemuda
    • Ooi Zhi Yi
  • Setiausaha Agung:
    • Mak Kah Keong
  • Bendahari:
    • Hng Chee Wey
  • Speaker:
    • Asharuddin Ahmad
  • Timbalan Setiausaha Agung:
    • Wendy a/p Subramaniam
  • Timbalan bendahari:
    • Teo Lee Ho
  • Timbalan speaker:
    • Prabagaran a/l Vythilingam
  • Pemerhati:
    • Lim Heng Tee
    • Chang Khee Choong
    • Lim Thuang Seng
    • Kuhan a/l Arasatnam
    • Teoh Chin Wan

  • Ahli jawatankuasa pusat:
    • Ngoh Kwee Meng
    • Marimuthu Selvan a/l Muniandy
    • Wong Kim Su
    • Ang John Sun
    • Lim Teong Khim
    • Teo Lee Ho
    • Ker Ching Sheng
    • Chia Phen Fong
    • Lee Ban Fatt
    • Azmar binti Md Ilias
    • Jimmy Chew Jyh Gang
    • Lim Thuang Seng
    • Lum Weng Keong
    • Teoh Hang Chong
    • David Ang Chin Tat
    • Lim Soon Teng
    • Tan Heng Choon
    • Adrian Ong Ching Woo
    • Chang Soon Tiew
    • Loke Ah Hong
    • Ching Su Chen
    • Edward a/l Tharmaraj
    • Jordan Tiew Hock Huat
    • See Tean Seng
  • Pengerusi negeri:
    • Johor : Teo Kok Chee
    • Kedah : Marimuthu Selvan a/l Muniandy
    • Kelantan : Ng Chiang Chin
    • Wilayah Persekutuan : Mak Kah Keong
    • Melaka : Michael Gan Peng Lam
    • Negeri Sembilan : David Choong Vee Hing
    • Pahang : Ranndy Yap Kim Heng
    • Pulau Pinang : Oh Tong Keong
    • Perak : See Tean Seng
    • Sabah : Gordon Leong Vui Vheung
    • Selangor : David Ang Chin Tat
    • Terrenganu : Wong Kim Su

Perwakilan

Dewan Negara (Senat)

Senator

  1. Ng Chiang Chin – diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong
  2. Teo Eng Tee – diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong

Dewan Rakyat (Parlimen)

Ahli parlimen

  • Tiada

Dewan Undangan Negeri

Perak

  1. A. Sivasubramaniam - Ahli Dewan Undangan Negeri Perak N30 Buntong, (berpindah dari Parti Tindakan Rakyat (DAP))

Senarai presiden

Nama Mula berkhidmat Akhir berkhidmat
Professor Syed Hussein Alatas 1968 1969
Tun Dr. Lim Chong Eu 1969 1980
Tun Dr. Lim Keng Yaik 1980 8 April 2007
Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon 8 April 2007 16 Mei 2013
Tan Sri Chang Ko Youn 16 Mei 2013 26 Oktober 2013
Datuk Seri Mah Siew Keong 26 Oktober 2013 17 November 2018
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai 17 November 2018 Kini

Analisis

Pilihan raya umum Kerusi menang Jumlah undi Perkongsian undi Komposisi Pemimpin parti
1969
8 / 144
178,971 7.5% 1 seat; Pembangkang Lim Chong Eu
1974
5 / 144
3 seats; Kerajaan gabungan (Barisan Nasional) Lim Chong Eu
1978
4 / 154
1 seat; Kerajaan gabungan (Barisan Nasional) Lim Chong Eu
1982
5 / 154
1 seat; Kerajaan gabungan (Barisan Nasional) Lim Keng Yaik
1986
5 / 177
; Kerajaan gabungan (Barisan Nasional) Lim Keng Yaik
1990
5 / 180
; Kerajaan gabungan (Barisan Nasional) Lim Keng Yaik
1995
7 / 192
2 seats; Kerajaan gabungan (Barisan Nasional) Lim Keng Yaik
1999
7 / 193
; Kerajaan gabungan (Barisan Nasional) Lim Keng Yaik
2004
10 / 219
257,763 3.7% 3 seats; Kerajaan gabungan (Barisan Nasional) Lim Keng Yaik
2008
2 / 222
184,548 2.27% 8 seats; Kerajaan gabungan (Barisan Nasional) Koh Tsu Koon
2013
1 / 222
191,019 1.73% 1 seat; Kerajaan gabungan (Barisan Nasional) Koh Tsu Koon
2018
0 / 222
128,973 1.07% 1 seat; Tiada Mah Siew Keong

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ a b Suthakar, K. (Nov. 20, 2006). PPP menawarkan tawaran Gerakan bergabung. The Star.

Bacaan lanjut


Pautan luar