Parti Rakyat Brunei

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Parti Rakyat Brunei (PRB) yang dipimpin oleh A.M. Azahari adalah sebuah parti politik yang diharamkan di Brunei. Pada tahun 1956, PRB diasaskan sebagai parti berhaluan kiri yang bermatlamat untuk memberi Brunei kemerdekaan penuh daripada United Kingdom (UK). Parti tersebut berusaha untuk mendemokrasikan negara dengan mengalihkan kepimpinan daripada istana kepada rakyat.

Pada tahun 1961, PRB telah menolak cadangan untuk keahlian dalam Persekutuan Malaysia yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaya pada masa itu, Tunku Abdul Rahman. Pada 12 Januari 1962, pemimpin PRB iaitu A.M. Azahari telah dilantik ke dalam Majlis Undangan Brunei kerana parti beliau telah memenangi hampir majoriti kerusi dalam dewan perundangan.

Pada 5 Disember tahun 1962, mesyuarat pertama Majlis Perundangan Brunei berlangsung dan PRB bercadang untuk mengemukakan resolusi bagi mengembalikan British Borneo Utara dan Sarawak ke dalam Brunei untuk menjadi sebuah negara baru, bebas dan merdeka yang dikenali sebagai Persekutuan Borneo Utara. Bahagian-bahagian lain resolusi tersebut termasuklah penolakan kemasukan ke dalam Malaysia dan kemerdekaan Brunei pada tahun 1963.

Sultan Omar Ali Saifuddin III menangguhkan pembukaan Majlis Undangan sehingga 19 Disember tahun1962, selepas menolak resolusi yang dicadangkan oleh PRB. Pada tahun yang sama juga pemberontakan Brunei berlaku, Parti Rakyat Brunei tekad untuk mengugurkan kuasa pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddin III. Dengan pengaruh kuat parti PRB di dalam Majlis Undangan, A.M. Azahari sebagai seorang ahli politik berhaluan kiri dan sosialis menentang kuat idea Sultan untuk keahlian dalam Persekutuan Malaysia. Matlamat beliau adalah kemerdekaan penuh Brunei dan lebih menggemari penyatuan dengan British Borneo Utara dan Sarawak. Ketika pemberontakan Brunei berlaku A.M. Azahari berada di Manila. Kemudian pada tahun 1963, beliau melarikan diri ke Jakarta dan tinggal dalam buangan di Kalimantan serta tidak pernah kembali ke Brunei lagi.