Pasukan Ferret

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke pandu arah Pergi ke carian
Pasukan Ferret
AktifJulai ke Disember 1948
NegaraUnited Kingdom United Kingdom
JenisCegah pemberontakan
PerananRonda Jarak Jauh
SaizKompeni
PertempuranDarurat Tanah Melayu
Komander
Komander
terkenal
Leftenan Kolonel Walter Walker

Pasukan Ferret (Bahasa Inggeris: Ferret Force) ialah sebuah unit cegah pemberontakan (counter-insurgency unit) yang ditubuhkan oleh pihak berkuasa British dan Malaya British sebagai tindakan untuk menangani pemberontakan komunis semasa Darurat di Malaya. Unit ini hanya kekal selama enam bulan tetapi berjaya mengasaskan doktrin operasi hutan buat pihak British.

Asal-usul[sunting | sunting sumber]

Semasa Perang Dunia Kedua di Malaya, Eksekutif Operasi Khas (Inggeris: Special Operations Executive, SOE) membentuk pasukan-pasukan kecil yang terdiri daripada operatif British dan gerila Malaya untuk menentang pihak Jepun. Pada asalnya, operasi SOE di Timur Jauh diletakkan di bawah kawalan sebuah unit yang dikenali sebagai GS I(k). Designasi ini kemudiannya ditukar dalam tahun 1944 kepada Force 136.

Pada mulanya, tentangan terhadap angkatan Jepun yang menakluki Malaya datang dari Malayan Peoples' Anti-Japanese Army atau MPAJA yang dibimbing oleh pihak komunis. MPAJA, dan secara amnya Malayan Communist Party (MCP, tapi lebih terkenal dengan akronim bahasa Melayunya, PKM), mendapat sokongan daripada penduduk bangsa Cina. Dengan terdapatnya sokongan British buat operasi gerila di Timur Jauh, pihak British akhirnya dapat menyokong pasukan Lim Bo Seng untuk menentang Jepun.

Pada penghujung Perang, Force 136, sama seperti nasib SOE amnya, telah dibubarkan. Walau bagaimanapun, MPAJA dan PKM tidak dibubaan. Sebaliknya, selepas beberapa penyingkiran, pertubuhan-pertubuhan ini muncul sebagai Malayan Peoples' Anti-British Army (MPABA), kemudiannya dinamakan Malayan Peoples' Liberation Army dan akhirnya PKM. Antara tahun 1945 and 1948, timbul ketegangan antara British dan PKM. Sementara British mencuba untuk memulihkan ekonomi Malaya, pihak PKM mengatur bantahan terhadap keadan pekerja di dalam negara itu.[1] Tunjuk perasaan dan bantahan menjadi lebih berkesan; justeru British bertindak balas dengan cara yang lebih keras. Ini menyebabkan penunjuk-penunjuk perasaan menjadi lebih militan dan berakhir dengan keganasan teratur dan pembunuhan tiga orang pengurus ladang berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak.[2]

Apabila Darurat diisytiharkan di Malaya pada bulan Jun 1948, pihak berkuasa British ketandusan unit yang mampu menentang pengganas komunis yang terlatih dalam pengendalian perang gerila di dalam hutan dan yang beroperasi dari pangakalan-pangkalan dalam hutan yang dibina PKM dan MNLA. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyelesaikan masalah ini, unit-unit kecil ditubuhkan khusus untuk menentang pemberontakan komunis yang berpangkalan di hutan. Pasukan Ferret ialah satu daripada unit-unit tersebut.

Pembentukan[sunting | sunting sumber]

Leftenan Kolonel Walter Walker yang pada masa itu berkhidmat sebagai PSA 1 di Markas Wilayah Malaya di Kuala Lumpur, meminta kebenaran untuk membentuk pasukan khas untuk menentang gerila PKM. Seorang veteran Kempen Burma semasa Perang Dunia Kedua di Asia Tenggara, Walker berharap untuk mengembeling pengalaman yang terdapat pada ahli-ahli Force 136, unit yang baharu dibubarkan. Unit ini dikenali sebagai Ferret Force.[3]

Unit baharu Walker akan bergerak dalam kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada empat tim atau seksyen. Setiap tim terdiri daripada 12 orang tentera, lazimnya anggota daripada Rejimen Askar Melayu Diraja atau rejimen British atau Gurkha, sebuah detasmen daripada Rejimen Semboyan, penjejak Dayak atau Iban dan seorang pegawai perhubungan berbangsa Cina.[4] Pada puncaknya, Ferret Force mengandungi 16 seksyen operasi.[5]

Sejarah operasi[sunting | sunting sumber]

Ferret Force mula beroperasi dalam bulan Julai 1948. Beroperasi di dalam hutan, tim atau seksyen menggunakan khidmat penjejak Dayak untuk mengesan kem-kem komunis. Sebaik sahaja kem ditemui, seluruh tim akan dibawa masuk untuk menghapuskan para pengganas.[6] Sekiranya kubu komunis tidak diketemui tim Ferret Force akan membuat serang hendap, dan menunggu jujukan gerila yang melalui jalanan di hutan. Matlamat unit bukannya untuk mengalahkan PKM, akan tetapi menyebarkan perasaan takut di kalangan gerila komunis dengan tindakan-tindakan yang membuat gerila-gerila tersebut hilang imbangan.[7]

Pada penghujung kewujudannya, Ferret Force mengambil bahagian dalam sebuah operasi besar yang mengambil bentuk yang disukai markas pemerintahan tinggi British pada masa itu. Ferret Force digabungkan dengan unit biasa British, termasuk 1st Devons, 1st Seaforths, 1st Inniskillings, 1/2 Gurkhas, dan 1/10 Gurkhas. Dalam penyapuan besar-besaran, 12 kem komunis dimusnahkan, 27 orang gerila dibunah dan sebilangan besar materiel dirampas.[5] Sebagai perbandingan, kurang daripada setahun kemudian, angkatan-angkatan British mencuba melaksanakan operasi yang seakan rupa, akan tetapi, tanpa bantuan Ferret Force hasilannya amat berbeza dengan hanya seorang gerila terbunuh tanpa ada yang yang menyerah diri, dan tanpa apa-apa perampasan material.[8]

Walaupun kumpulan-kumpulan Ferret Force amat berjaya menetang gerila PKM, mush utama mereka sebenarnya ialah pemerintahan tinggi British. Terdapat perdebatan hebat di kalangan para komander yang cenderung terhadap operasi penyapuan besar-besaran dan komander yang cenderung terhadap operasi yang menggunakan taktik unit kecil yang menumpukan perhatian terhadap sasaran khusus ataupun memujuk gerila komunis agar berpaling tadah.[8] Tambahan lagi, terdapat keraguan pada pihak pemerintahan tinggi tentera British tentang ketaatsetiaan ahli-ahli Ferret Force. Sebilangan ahli Ferret mempunyai perhubungan dengan MPAJA, khususnya Chin Peng, leluhur musuh mereka kini, ekoran penugasan mereka dengan Force 136 semasa Perang Dunia II.[9] Akhirnya Ferret Force dianggap terlalu luar biasa oleh Panglima Tertinggi British di Timur Jauh (Commander-in-Chief, British forces in the Far East C-in-C FARELF), Jeneral Sir Neil Ritchie; Ferret Force dibubarkan dalam bulan Disember, 1948.[10]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Michael Morgan,"The Rise and Fall of Malayan Trade Unionism, 1945-50", in Mohamed Amin and Malcolm Caldwell, ed's, Malaya, The Making of a Neo Colony (Nottingham, UK: Spokesman Books, 1977) p. 165.
  2. ^ Barbara Watson, Leonard Y. Andaya, A History of Malaysia (Hawaii: University of Hawaii Press, 2001). p. 271.
  3. ^ John A. Nagl, Counterinsurgency Lessons from Malaya and Vietnam: Learning to Eat Soup with a Knife, (Wesport: Greenwood Publishing Group, 2002) p. 68.
  4. ^ Nagl, p. 69.
  5. ^ a b John Scurr, The Malayan Campaign, 1948-60 (New York: Osprey Publishing, 1982) p. 9.
  6. ^ "Malaya 1948–1960". Diarkibkan daripada yang asal pada 2001-04-06. Dicapai pada 2013-12-23.
  7. ^ Joseph Cummins, History's Great Untold Stories: Larger Than Life Characters & Dramatic Events That Changed the World (Washington, D.C.: National Geographic Society, 2006) p. 340.
  8. ^ a b Nagl, p. 78
  9. ^ Nagl, p. 84 n.48.
  10. ^ Nagl, p. 193.