Pasukan Gerakan Marin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Gencana PGM
Gencana PGM

Pasukan Gerakan Marin (PGM) atau Polis Marin Malaysia adalah salah satu pasukan keselamatan di dalam cawangan Polis Diraja Malaysia. Pasukan yang berkhidmat di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam ini berperanan menjaga keselamatan perairan negara daripada sebarang ancaman yang tidak diingini.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pasukan Gerakan Marin ditubuhkan sebagai Pasukan Polis Marin di Pulau Pinang pada tahun 1947 dengan jumlah keanggotaan seramai 90 pegawai dan anggota dan 19 buah bot laju, sumbangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Tentera Laut Simpanan Diraja Persekutuan (kini Tentera Laut Diraja Malaysia yang ketika itu masih di bawah pengaruh British). PPM ditubuhkan untuk mengawal perairan negara dengan mengekalkan keamanan, menegakkan undang-undang dan memberi perlindungan nyawa dan harta benda di laut, membuat serbuan dan operasi di sepanjang pantai dan pulau serta mempertahankan negara dari serangan anasir-anasir laut, khasnya lanun dan pendatang asing tanpa izin serta mencegah penyeludupan dari laut. Peranan PPM pada ketika itu terhad kepada aktiviti pencegahan jenayah dan penyeludupan di perairan Selat Johor dan kawasan Pelabuhan Pulau Pinang sahaja.

PPM telah melalui pelbagai proses pembaharuan dan pembesaran sama ada daripada aspek fungsi, peranan tanggungjawab, infrastruktur mahu pun kemudahan logistik. Pada tahun 1960-an, pembesaran PPM amat ketara dengan penambahan 40 buah bot ronda kelas PX (kayu) dan penambahan bilangan anggota. Pada tahun 1970-an kajian pembesaran PPM diluluskan sejajar dengan pewartaan Zon Ekonomi Ekslusif Negara. Justeru itu bilangan bot dan anggota turut ditambah iaitu ronda kelas PX (besi) dan 15 bot ronda kelas PZ. PPM turut memikul tugas dan tanggungjawab yang lebih luas serta mencabar seperti mencegah dan membanteras kemasukan pendatang haram, pencemaran laut, pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing, penyeludupan dan kegiatan jenayah rompak. Perubahan dan pembaharuan yang dilakukan adalah semata-mata untuk menjadikan PPM sentiasa relevan dengan keadaan semasa demi menjamin keselamatan, ketenteraman dan keamanan masyarakat maritim khususnya dan kedaulatan perairan negara amnya.

Pada 24 November 2008, kemudahan infrastruktur serta sumber tenaga manusianya di mana sebanyak 41 buah Pangkalan Marin di seluruh negara telah ditambah fungsi, peranan, tugas dan tanggungjawabnya menjadi Balai Polis Pantai dan Pondok Polis Pantai yang mana peranan dan fungsinya seperti sebuah balai dan pondok polis biasa.

Kini PPM mempunyai keanggotaan seramai 170 pegawai kanan dan 2,376 Anggota Pangkat Rendah / Konstabel serta 56 kakitangan awam. Pasukan ini memiliki 15 buah bot ronda kelas PZ, 33 kelas PX, 68 PA/PB/PC dan 4 buah bot ronda kelas PSC/PGR/PAR. Dari dua buah pangkalan semasa ditubuhkan, kini cawangan ini mempunyai 5 pangkalan utama, 11 pangkalan kecil dan 24 pangkalan hadapan.

Pada 6 Februari 2009 bertempat di Pusat Latihan Marin Tampoi, Johor, majlis pengistiharan penukaran nama Pasukan Polis Marin kepada Pasukan Gerakan Marin (PGM) telah disempurnakan oleh Dato' Seri Syed Hamid Bin Tan Sri Syed Jaafar Albar, bekas Menteri Dalam Negeri.

Peranan[sunting | sunting sumber]

PDRM berhasrat untuk menjadikan PGM lebih menepati keperluan pasukan. Peranan PGM yang sedia ada dikekalkan dan diperluaskan. Peranan baru adalah melaksanakan tugas kawalan keselamatan dan mencegah jenayah di daratan. Di kawasan pulau, tasik juga sungai yang mempunyai penduduk dan kepentingan negara, di antaranya:-

  • Memelihara undang-undang dan ketenteraman awam di perairan negara termasuk pulau-pulau yang berpenduduk, pelabuhan-pelabuhan, sungai-sungai dan juga tasik-tasik dan Empangan Hydro negara serta memastikan ketenteraman awam sentiasa terjaga;
  • Menjaga keamanan dan keselamatan di perairan termasuk pulau-pulau, sungai-sungai yang berpenduduk dan juga tasik-tasik kawasan pelancongan dan "hidro";
  • Menjalankan tugas operasi mencegah serta mengesan jenayah di perairan wilayah negara, termasuk pulau-pulau yang berpenduduk, sungai-sungai, pelabuhan-pelabuhan dan juga tasik-tasik bagi melaksanakan kehendak Kanun Prosedur Jenayah (Akta 953)
  • Menangkap dan mendakwa pesalah-pesalah yang melakukan jenayah dan perlanggaran undang-undang di perairan Malaysia termasuk pulau-pulau yang berpenduduk, sungai-sungai, pelabuhan-pelabuhan dan juga tasik-tasik bagi tujuan melaksanakan kehendak Akta Polis 1967;
  • Mengumpul semua risikan berkaitan keselamatan di kawasan perairan negara termasuk pulau-pulau yang berpenduduk , sungai-sungai, pelabuhan-pelabuhan dan juga tasik-tasik yang berpenduduk dan menyalurkan kepada Ketua Polis Daerah untuk tindakan bersepadu;
  • Mengendalikan tugas pejabat pertanyaan menerima aduan polis (police report), melaksanakan tugas ketua polis balai dan ketua pondok polis bagi balai-balai dan pondok-pondok polis pantai seperti diarahkan oleh Ketua Polis Negara;
  • Menjalankan siasatan jenayah mengikut kehendak Bab xiii Kanun Prosedur Jenayah bagi kes-kes yang berlaku di perairan Malaysia termasuk pulau-pulau yang berpenduduk, pelabuhan-pelabuhan, kawasan di persisiran pantai negara, sungai-sungai dan juga tasik-tasik yang dilaporkan kepada PDRM;
  • Melaksanakan tugas-tugas pencegahan mengikut peruntukan Bab xii Kanun Prosedur Jenayah (Akta 539), di perairan wilayah negara, pulau-pulau yang berpenduduk, pelabuhan-pelabuhan, kawasan di persisiran pantai negara, sungai-sungai dan juga tasik-tasik;
  • Menjalankan Siasatan Forensik bawah air dan dasar laut bagi mengumpulkan bahan bukti di dalam siasatan kes-kes jenayah bagi PGM dan juga lain-lain cawangan di dalam PDRM untuk pendakwaan di Mahkamah;
  • Mewujudkan sistem kepolisan masyarakat untuk memberi perkhidmatan kepada semua golongan penduduk-penduduk di persisiran pantai, pulau-pulau, pelabuhan-pelabuhan, sungai-sungai dan tasik-tasik;
  • Mengendalikan siasatan di bawah undang-undang pencegahan jenayah (crime preventive law) terhadap individu dan sindiket yang terlibat dengan aktiviti haram yang tidak dapat dibuat pendakwaan di Mahkamah Jenayah;
  • Membuat tugas rondaan mencegah jenayah secara berjalan kaki (foot patrol) di pulau-pulau dan di daratan pantai-pantai bagi tujuan mencegah jenayah dan mengawal ketenteraman awam;
  • Mencegah dan menyuraikan rusuhan bagi menjaga ketenteraman awam jika berlaku di perairan dan daratan pantai negara termasuk di pulau-pulau yang berpenduduk, pelabuhan-pelabuhan sungai-sungai dan tasik-tasik apabila diperlukan;
  • Menubuhkan Unit Gempur Marin (UNGERIN) bertujuan sebagai 'first responder' bagi menangani jenayah atau keganasan samada di daratan mahupun di perairan;
  • Mengambil langkah proaktif melaksanakan beberapa kaedah peningkatan perkhidmatan dengan menyusun semula sektor rondaan di laut kepada 156 sektor yang dibahagikan kepada dua lapisan, iaitu 'inner cordon' (jaraknya sejauh 5 batu nautika dari pantai dan 'outer cordon' (jaraknya antara 5 hingga 12 batu nautika dari pantai);
  • Mengiringi dan menjaga keselamatan VVIP yang menggunakan laluan air;
  • Mengiringi peti undi pilihan raya di Kawasan Pilihanraya yang hanya boleh melalui jalan air; dan
  • Menjalankan siasatan laporan mati mengejut (sudden death report) yang berlaku di kawasan perairan negara, pulau-pulau, pelabuhan-pelabuhan, sungai-sungai, tasik-tasik.

Pasukan Gerakan Marin adalah satu unsur penting diletakkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) yang bertanggungjawab sebagai pasukan bertindak pertama (first line response unit) untuk menghadapi apa juga bentuk ancaman di perairan wilayah negara termasuk sungai-sungai, tasik-tasik, dan juga pelabuhan-pelabuhan negara, di mana tindakan polis adalah diperlukan.

Operasi[sunting | sunting sumber]

  • 2005 - PGM dibantu Lima pegawai dan 32 anggota dari Pasukan Anti-Pengganas 69 Komando PGK Ulu Kinta telah berjaya merampas semula kapal MV Paulijing yang ditelah dilarikan di perairan Bertam, Indonesia pada tahun 2003. PGM berjaya mengesan semula kapal tersebut setelah kapal tersebut memasuki perairan Selat Melaka dan hasilnya pihak Polis telah mengesahkan bahawa nama sebenar kapal tersebut ialah MV Natris setelah menemui buku log milik MV Natris. Pihak PDRM telah bekerjasama dengan INTERPOL dan IMB bagi mengesan 'pemilik baru' Kapal tersebut yang telah mendaftarkan kapal tersebut di Belize.


  • Dalam tempoh 15 tahun kebelakangan PGM, Polis Diraja Malaysia telah menghasilkan kejayaan dengan melakukan tangkapan dan pendakwaan banyak kes jenayah dan pelanggaran undang-undang.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]