Pasukan Kawalan Tempatan (Tanah Melayu)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pasukan Home Guard Persekutuan Tanah Melayu
AktifSeptember 1950 – Julai 1959
Dibubarkan1 Julai 1959
NegaraMalaysia
PerananKawalan keselamatan kawasan tempatan daripada komunis

Pasukan Kawalan Tempatan Persekutuan Tanah Melayu atau Home Guard ialah sebuah pertubuhan sukarelawan yang ditubuhkan oleh British pada 1950 di Persekutuan Tanah Melayu. Ia berperanan untuk mengawal keselamatan samasa darurat dengan mengawal kawasan berisiko yang diancam dan diserang komunis seperti kawasan perkampungan, pekan, ladang getah, penempatan semula dan kampung baru[1]. Ia ditubuhkan di bawah seliaan Leftenan Jeneral Sir Harold Rawdon Briggs selaku Pengarah Operasi di Tanah Melayu[2].

Pasukan kawalan tempatan ini merupakan sebuah unit keselamatan yang dibentuk berasaskan penyertaan secara sukarela, namun dari segi pengurusan pengendalian latihan dalam pasukan sukarelawan ini amat sistematik. Pasukan Home Guard merupakan sebuah pasukan yang anggotanya terdiri daripada penduduk kampung dan diletakkan di bawah bidang kuasa Home Guard Regulations 1950 dan Home Guard Regulations 1951. Menurut peruntukan ini, dengan kuasa yang diberi kepada Menteri Besar dan Pesuruhjaya Residen, mana-mana kawasan yang perlu ditubuhkan sebuah pasukan Home Guard, maka mereka yang berumur antara 18 tahun hingga 55 tahun boleh dikerah untuk menjadi anggota pasukan Home Guard.

Pasukan ini dibubarkan pada 1 Julai 1959 berikutan berkurangnya ancaman komunis[2] yang membawa kepada pembubaran pengisytiharan darurat di Tanah Melayu pada 1960.

Apabila berlaku Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1963-1965, pasukan ini diwujudkan kembali bagi membantu agensi keselamatan menangani pendaratan dan penyusupan pihak Indonesia. Ia dibubarkan kembali selepas konfrontasi ini tamat. Selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei pada 1969, para pemimpin negara menyedari perlunya satu pasukan sukarela yang tetap bagi membantu kerajaan dalam menangani masalah dan ancaman keselamatan. Hasilnya, pada 11 Januari 1972, Ikatan Relawan Rakyat (RELA) ditubuhkan.[3]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Darurat di Malaya Diarkibkan 2011-10-19 di Wayback Machine, Portal 51 tahun MERDEKA 2008. Universiti Utara Malaysia. Dicapai 9 Julai 2009.
  2. ^ a b Mohd Razali Bin Ya'cob @ Jusoh (2017). "PASUKAN HOME GUARD PERSEKUTUAN TANAH MELAYU SEMASA DARURAT, 1948-1960". eJournal UM. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 April 2021. Dicapai pada 21 April 2021.
  3. ^ Ikatan Relawan Rakyat - Pengenalan Diarkibkan 2010-04-29 di Wayback Machine, Kementerian Dalam Negeri Malaysia. Dicapai 9 Julai 2009.