Pasukan bola sepak wanita kebangsaan Jerman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pasukan bola sepak wanita kebangsaan Jerman (Jerman: Deutsche Fußballnationalmannschaft der Frauen) mewakili Jerman dalam bola sepak wanita antarabangsa. Pasukan ini ditadbir oleh Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB).

Pasukan kebangsaan Jerman adalah antara pasukan-pasukan yang paling berjaya dalam bola sepak wanita.[1] Mereka adalah juara dunia dua kali, setelah memenangi kejohanan 2003 dan 2007. Pasukan itu telah memenangi lapan daripada tiga belas Kejohanan Eropah UEFA, dengan meraih enam kejuaraan berturut-turut antara 1995 dan 2013. Mereka, bersama-sama Belanda, adalah salah satu daripada dua negara yang telah memenangi kedua-dua kejohanan Eropah wanita dan lelaki. Jerman telah memenangi emas Olimpik pada 2016, selepas tiga pingat gangsa berturut-turut di Kejohanan Bola Sepak Olimpik Wanita, menduduki tempat ketiga pada 2000, 2004 dan 2008. Birgit Prinz memegang rekod bagi penampilan terbanyak dan merupakan penjaring gol terbanyak sepanjang masa pasukan itu. Prinz juga telah mencipta rekod antarabangsa; beliau telah menerima anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA tiga kali dan merupakan penjaring gol kedua keseluruhan terbanyak dalam Piala Dunia Wanita.

Bola sepak wanita telah lama dihadapi dengan perasaan skeptik di Jerman, dan perlawanan rasmi diharamkan oleh DFB sehingga 1970. Bagaimanapun, pasukan kebangsaan wanita semakin popular sejak memenangi Piala Dunia pada 2003 ketika dipilih sebagai Pasukan Sukan Terbaik Jerman. Setakat Jun 2022, Jerman berada di kedudukan kedua dalam Kedudukan Dunia Wanita FIFA.[2]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sejarah awal[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1955, DFB memutuskan untuk melarang bola sepak wanita di semua kelabnya di Jerman Barat. Dalam penjelasannya, DFB memetik bahawa "sukan pertempuran ini pada asasnya terasing dengan sifat wanita" dan bahawa "badan dan jiwa pasti akan mengalami kerosakan". Selanjutnya, "penampilan tubuh badan melanggar tatasusila dan kesopanan."[3] Sungguhpun dengan larangan ini, lebih daripada 150 perlawanan antarabangsa tidak rasmi telah dimainkan pada tahun 1950-an dan 1960-an. Pada 30 Oktober 1970, larangan terhadap bola sepak wanita telah ditarik balik dalam konvensyen tahunan DFB.[4]

Persatuan bola sepak lain telah pun membentuk pasukan kebangsaan wanita rasmi pada 1970-an, DFB telah lama tidak terlibat dalam bola sepak wanita. Pada tahun 1981, pegawai DFB Horst R. Schmidt telah dijemput untuk menghantar satu pasukan ke kejohanan dunia bola sepak wanita tidak rasmi. Schmidt menerima jemputan itu tetapi menyembunyikan fakta bahawa Jerman Barat tidak mempunyai pasukan kebangsaan wanita pada masa itu.[4] Untuk mengelakkan penghinaan, DFB menghantar juara kelab Jerman Bergisch Gladbach 09, yang memenangi kejohanan itu dan mengulangi pencapaian yang sama tiga tahun kemudian pada 1984.[5] Melihat pada keperluan, DFB menubuhkan pasukan kebangsaan wanita pada tahun 1982. Presiden DFB Hermann Neuberger melantik Gero Bisanz, seorang pengajar di Kolej Sukan Cologne, untuk menubuhkan pasukan itu.[6]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ FIFA.com. "FIFA Women's World Cup 2019™ - Germany - Profile - Germany - FIFA.com". www.fifa.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 27 March 2020. Dicapai pada 27 March 2020.
  2. ^ "Women's Ranking". www.fifa.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 August 2022.
  3. ^ Theweleit, Daniel. Mannschaftsporträt Deutschland Diarkibkan 20 Oktober 2021 di Wayback Machine. Bundeszentrale für politische Bildung. 10 September 2007. Retrieved 5 August 2008. "Diese Kampfsportart der Natur des Weibes im wesentlichen fremd ist", "Körper und Seele erleiden unweigerlich Schaden", "verletze es Schicklichkeit und Anstand." (dalam bahasa Jerman)
  4. ^ a b Hoffmann, Eduard and Nendza, Jürgen. Geschichte des Frauenfußballs Diarkibkan 20 Oktober 2021 di Wayback Machine. Bundeszentrale für politische Bildung. 1 May 2006. Retrieved 5 August 2008. (dalam bahasa Jerman)
  5. ^ Hoffmann, Eduard and Nendza, Jürgen. (2005). "Verlacht, verboten und gefeiert – Zur Geschichte des Frauenfußballs in Deutschland", Landpresse, p. 48. (dalam bahasa Jerman)
  6. ^ Kittmann, Matthias. Aus einer Peinlichkeit wurden Weltmeisterinnen Diarkibkan 19 Mac 2012 di Wayback Machine. Die Welt. 22 August 2007. Retrieved 7 August 2008. (dalam bahasa Jerman)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]