Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan
ڤجابت ڤڠاره تانه دان ڬلين ولايه ڤرسكوتوان
Kerajaan Malaysia
Intisari agensi
Dibentuk1975; 49 tahun yang lalu (1975)
JenisKerajaan
Ibu pejabatAras G-6, Rumah Persekutuan, Jalan Sultan Hishamudin, 50678 Kuala Lumpur
Kakitangan303 (2018)
Belanjawan tahunanMYR 19,392,700 (2018)
Eksekutif Kerajaan
  • Sharez Izuan Md Zaidi, Ketua Pengarah
Agensi induk
Jabatan Perdana Menteri Malaysia
Laman sesawang
www.ptgwp.gov.my

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (Tulisan Jawi: ڤجابت ڤڠاره تانه دان ڬلين ولايه ڤرسكوتوان) yang asalnya dikenali sebagai Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Kuala Lumpur (PPTGWPKL) mengambil alih tanggungjawab sepenuhnya pentadbiran tanah Wilayah Persekutuan pada tahun 1975 apabila Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1 Februari 1974. Ia berkuat kuasa di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) tahun 1973 (Akta A206). Berikutan itu, segala urusan pentadbiran tanah yang dahulunya terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor telah diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan. Kanun Tanah Negara telah diubahsuai bagi membolehkannya digunakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Satu kaedah tanah yang dikenali dengan nama Kaedah-Kaedah Tanah Wilayah Persekutuan 1975 kemudiannya telah digubal. Ia telah diwartakan melalui Warta Kerajaan P.U. (A) 98 bertarikh 17 April 1975.

Semasa penubuhannya, Pejabat ini diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan sehinggalah pada bulan Mei 1987. Sejak dari itu sehinggalah 31 Disember 2006, PPTG WPKL berada di bawah Jabatan Perdana Menteri. Apabila Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan semula, Pejabat ini diletakkan di bawah Kementerian tersebut bermula tahun 2007. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meliputi kawasan seluas 40,593.14 hektar dan dibahagikan kepada 8 mukim iaitu Mukim Batu, Mukim Setapak, Mukim Hulu Klang , dan Mukim Kuala Lumpur yang terletak di sebelah utara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Di sebelah selatan pula, terletak Mukim Ampang, Mukim Cheras dan Mukim Petaling. Terdapat juga dua buah bandar iaitu Bandar Kuala Lumpur dan Bandar Petaling dan beberapa buah pekan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Persempadanan kawasan bandar, pekan dan mukim masih tidak diubah walaupun pentadbiran tanah diasingkan. Namun persempadanan bagi Bandar Kuala Lumpur telah diperluaskan pada tahun 1999.

Sementara itu, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Labuan juga diletakkan di bawah pentadbiran PPTGWPKL. Ini berikutan penubuhan Wilayah Persekutuan Labuan pada 16 April 1984 menurut Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2 ) tahun 1984 (Akta A585). Ordinan Tanah Sabah dan Kaedah-Kaedah Tanah Sabah telah diubahsuai bagi membolehkannya terus digunakan di Wilayah Persekutuan Labuan. Keluasan Wilayah Persekutuan Labuan ialah 8,935 hektar dan mempunyai beberapa pulau antaranya Pulau Labuan, Pulau Daat, Pulau Burong, Pulau Keraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil.

Berhubung dengan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Putrajaya pula, ia ditubuhkan pada 24 Ogos 2001 berdasarkan kelulusan YAB Perdana Menteri selaku Menteri yang bertanggungjawab bagi tanah di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Ini berikutan pembentukan Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 1 Februari 2001 melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 (Akta A1095). Kanun Tanah Negara telah diubahsuai untuk membolehkannya digunakan di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Satu kaedah tanah iaitu Kaedah-Kaedah Tanah Wilayah Persekutuan Putrajaya telah digubal pada 2001 dan diwartakan melalui P.U. (A) 76 bertarikh 28 Februari 2002.

Asalnya pentadbiran tanah dijalankan oleh Bahagian Pentadbiran Tanah Perbadanan Putrajaya selaku Pentadbir Tanah Daerah Putrajaya, Selangor. Daerah Putrajaya, Selangor seluas 4,390 hektar telah diperluaskan kepada 4,931 hektar menjadi Wilayah Persekutuan Putrajaya. Keseluruhannya telah diwartakan sebagai kawasan Bandar pada tahun 2003.

Pada peringkat awal penubuhannya, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Putrajaya diletakkan di bawah pentadbiran Bahagian Kemajuan Wilayah Persekutuan dan Perancangan Lembah Klang (BKWPPLK), Jabatan Perdana Menteri. Apabila BKWPPLK membentuk Kementerian Wilayah Persekutuan pada tahun 2004, Pejabat ini dikekalkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Pada tahun 2007, Pejabat ini diletakkan semula di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. Hasil penstrukturan semula pentadbiran tanah di Wilayah Persekutuan yang berkuat kuasa pada 27 November 2008, Pejabat ini diserapkan di bawah satu organisasi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan. Mulai 1 Julai 2013, Pejabat ini diserap semula di bawah organisasi Wilayah Persekutuan (Jabatan Perdana Menteri).

Pautan luar[sunting | sunting sumber]