Pelarian

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Jumlah pelarian pada 2017[1]
Jumlah populasi
s. 25.4 juta
(19.9 juta di bawah UNHCR dan 5.4 juta di bawah UNRWA)
Kawasan ramai penduduk
Afrika Sub-Sahara6.236 juta
Eropah dan Asia Utara6.088 juta
Asia Selatan/Timur dan Oceania4.153 juta
Asia Barat dan Afrika Utara2.653 juta
Amerika Utara/Selatan484,261

Pelarian atau pengungsi (Tulisan Jawi: ڤلارين dan ڤڠوڠسي masing-masing) secara umumnya ialah seseorang yang dipaksa untuk merentasi sempadan antarabangsa dan tidak dapat pulang ke negara atau petempatan asal. Orang tersebut mungkin dirujuk sebagai pencari suaka sehingga mendapat status sebagai pelarian. Jabatan antarabangsa yang menguruskan perlindungan pelarian ialah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian (UNHCR). Selain itu, pihak PBB juga mempunyai UNRWA, satu jabatan khas untuk menguruskan perlindungan pelarian Palestin.[2] Sebuah hari khas telah diasaskan oleh pihak PBB untuk meningkatkan kesedaran kepada golongan pelarian, iaitu Hari Pelarian Sedunia pada setiap 20 Jun.

Takrifan rasmi[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan Perkara 1.A.2 dalam Konvensyen berkenaan Status Pelarian oleh PBB pada 1951, seorang pelarian ditakrifkan sebagai seorang yang:[3]

"akibat ketakutan kukuh akan ditindas disebabkan oleh sebab-sebab berkaitan kaum, agama, kewarganegaraan, keahlian kumpulan sosial tertentu atau fahaman politik, berada di luar negara kewarganegaraannya dan tidak dapat atau akibat ketakutan tersebut, tidak rela untuk mendapatkan perlindungan negara itu; atau mereka yang tidak berwarganegara dan berada di luar negara petempatannya akibat perkara-perkara tersebut dan tidak dapat atau akibat ketakutan tersebut, tidak rela untuk pulang ke negara itu."

Takrifan ini disahkan pada 1967 melalui Protokol berkenaan Status Pelarian oleh pihak PBB. Istilah "kumpulan sosial tertentu" mempunyai pelbagai kontroversi dan perdebatan disebabkan oleh takrifan yang dilihat terlalu umum.[4] Contoh-contoh kumpulan sosial yang pernah ditakrifkan terhadap istilah ini termasuk pelbagai jenis golongan wanita, kumpulan orientasi seksual tak lazim, keluarga-keluarga tertentu dan golongan miskin.[5]

Setakat 2011, pihak UNHCR masih mengekalkan takrifan di atas serta takrifan di bawah:[6]

"mereka yang berada di luar negara kewarganegaraan atau petempatan lazim dan tidak dapat pulang ke situ akibat ancaman yang serius dan tanpa diskriminasi tehadap nyawa, integriti fizikal atau kebebasan akibat pengganasan awam atau peristiwa-peristiwa yang mengganggu ketenteraman awam secara serius."

Selain itu, orang pelarian dalaman, yakni orang yang terpaksa melarikan diri daripada petempatan asal tetapi masih berada dalam negara asal juga lazim disifatkan sebagai pelarian, tetapi tidak tertakluk terhadap takrifan perundangan rasmi pelarian.[7][8]

Hak sebagai pelarian[sunting | sunting sumber]

Seorang pelarian yang menetap di negara yang menandatangani Konvensyen berkenaan Status Pelarian 1951 berhak mendapat peluang pekerjaan. Selain itu, seorang pelarian mempunyai hak untuk pulang ke negara asal, tetapi proses pemulangan pelarian ke negara asal adalah sukar meskipun dalam keadaan pascakonfilk.[9] Pihak PBB juga menetapkan bahawa pelarian juga berhak pulang ke hartanah asal.[9] Hak penyatuan semula pelarian dengan ahli-ahli keluarga ialah hak yang lazim diiktiraf oleh kebanyakan negara. Di samping itu, golongan pelarian berhak untuk tidak pulang ke negara asal apabila terdapat kebimbangan tentang potensi penindasan di negara asal.[10] Menurut Perkara 28 dalam Konvensyen berkenaan Status Pelarian, negara yang menandatangani konvensyen tersebut wajib mengeluarkan dokumen perjalanan khas kepada golongan pelarian yang menetap di negara tersebut dengan sah.

Petempatan[sunting | sunting sumber]

Sebuah kem pelarian ialah petempatan yang dibina oleh pihak kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menempatkan pelarian, orang pelarian dalaman atau golongan migran lain. Kem pelarian biasanya dibina sebagai petempatan dan perkhidmatan sementara dan segera, dan prasarana-prasarana yang lebih kekal lazimnya diharamkan. Kumpulan pelarian boleh menetap di kem-kem pelarian selama bertahun-tahun sehingga keadaan mengizinkan mereka untuk pulang ke negara asal. Kira-kira 700 buah kem pelarian telah ditubuhkan di seluruh dunia.[11] Selain itu, sesetengah dalam golongan pelarian juga menetap di kawasan bandar.[12]

Krisis pelarian[sunting | sunting sumber]

Sebuah krisis pelarian merujuk kepada pergerakan kumpulan besar masyarakat, termasuk pelarian, orang pelarian dalaman dan golongan migran lain. Istilah ini juga boleh merujuk kepada insiden di negara asal atau masalah ketika pengungsian, termasuk masalah di negara tiba yang melibatkan kumpulan besar-besaran. Pada 2018, pihak PBB menganggarkan bahawa 68.9 juta orang dipaksa meninggalkan petempatan asal termasuk kira-kira 25.4 juta orang pelarian. Turki ialah negara dengan jumlah pelarian tertinggi dengan kira-kira 3.5 juta orang pelarian kini hadir dalam sempadan Turki. 57% daripada 68.9 juta orang tersebut berasal dari Syria, Afghanistan dan Sudan Selatan.[13]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Populations | Global Focus".
  2. ^ "UNRWA | United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East". UNRWA. Dicapai pada 2017-08-23.
  3. ^ Convention and Protocol relating to the Status of Refugees (PDF), Geneva, Switzerland: Office of the United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR), Communications and Public Information Service, 1967
  4. ^ "Hot Topics in Asylum: An Examination of Particular Social Group and Other Serious Harm" (dalam bahasa Inggeris). Jabatan Keselamatan Tanah Air Amerika Syarikat. 29 Jun 2012. Dicapai pada 11 Julai 2015.
  5. ^ "Chapter 4: Grounds of Persecution" (dalam bahasa Inggeris). Immigration and Refugee Board of Canada. Dicapai pada 31 Ogos 2015.
  6. ^ Office of the United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) (Julai 2011). "UNHCR Resettlement Handbook" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). m/s. 19.
  7. ^ "Internally Displaced Persons". UNHCR (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 10 Julai 2017.
  8. ^ IJR Center. "Who is a Refugee".
  9. ^ a b Sara Pantuliano (2009) Uncharted Territory: Land, Conflict and Humanitarian Action Overseas Development Institute
  10. ^ "Convention relating to the Status of Refugees". www.ohchr.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2015-09-28.
  11. ^ United Nations High Commissioner for Refugees. "The UN Refugee Agency". UNHCR. Dicapai pada 2015-12-18.
  12. ^ Learn. "Raising the voice of the invisible Urban Refugees | Raising the voice of the invisible". Urban Refugees. Dicapai pada 2015-12-18.
  13. ^ "UNHCR Figures at a Glance". UNHCR (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 21 Mei 2020.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  • Media berkenaan Pelarian di Wikimedia Commons
  • Takrifan kamus pelarian di Wikikamus