Pembuangan sisa kimia Sungai Kim Kim 2019

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Pembuangan sisa kimia Sungai Kim Kim 2019
Tarikh7 Mac 2019; 43 hari yang lalu (2019-03-07)
LokasiSungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, Malaysia
Koordinat1°27′52″N 103°56′21″E / 1.464548°N 103.939289°E / 1.464548; 103.939289
PenyebabPembuangan 2.43 tan sisa kimia oleh lori tangki[1][2]
Kecederaan2,775 orang awam menerima rawatan, 7 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).[3]
SuspekDua pemilik syarikat dan seorang pekerja yang berusia antara 40 hingga 50 tahun.[4][5]

Pada 7 Mac 2019, satu kejadian pembuangan sisa kimia telah berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, Malaysia yang disyaki akibat pembuangan bahan kimia oleh sebuah lori tangki yang membawa minyak. Minyak ini dikatakan menjadi punca penyebaran gas metana. Dianggarkan 2,775 orang awam telah dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan susulan insiden pembuangaan toksik terbabit.[3]

Kronologi[sunting | sunting sumber]

  • 8 Mac : Jumlah mangsa yang dirawat ialah seramai 39 orang.[6]
  • 9 Mac : Jumlah mangsa yang mendapatkan rawatan meningkat sebanyak 40 orang kepada 79 orang.
  • 10 Mac:
    • Penduduk Kampung Bukit Pulai, Pasir Putih mendakwa pencemaran di Sungai Kim Kim masih belum pulih sepenuhnya walaupun pembersihan sudah dilakukan.[7]
    • guru-guru SMK Pasir Putih dan SK Pasir Putih menjalankan aktiviti gotong-royong bagi membersihkan sekolah susulan kejadian pencemaran udara akibat pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim. Jumlah mangsa akibat insiden ini semakin meningkat iaitu kepada 82 orang.
  • 11 Mac : tiga individu iaitu seorang pekerja dan dua pemilik kilang telah ditahan kerana disyaki membuang sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim. Sekolah-sekolah telah dibuka pada pukul 7 pagi dan proses pembelajaran berjalan dengan baik seperti biasa. Menjelang 11.30 pagi, insiden gelombang kedua telah berlaku apabila kedua-dua pengurusan sekolah melaporkan kes murid pening kepala. Pihak sekolah telah mengarahkan sekolah dikosongkan kerana disyaki akibat pembuangan sisa kimia dan pelajar-pelajar sekolah terbabit dibenarkan pulang. Pada jam 11 malam, seramai 29 orang telah dihantar ke Klinik Kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut rentetan pencemaran udara manakala 77 lagi dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru. Jumlah keseluruhan mangsa yang mendapat rawatan meningkat kepada ialah 260 orang.
  • 12 Mac :
    • Dua buah sekolah iaitu SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung Puteri dalam daerah Pasir Gudang diarah ditutup apabila 50 pelajar dari SMK Tanjung Puteri dan lima murid SK Tanjung Puteri Resort mengalami simptom-simptom akibat terhidu bahan kimia. Kemudiannya sebanyak 13 sekolah di sekitar Pasir Gudang diarah tutup namun belum dimaklumkan tarikh pembukaannya sehingga kini.[8] Sekolah-sekolah yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih; SK Tanjung Puteri Resort; SMK Tanjung Puteri Resort; SK Pasir Putih; SK Kota Masai 2; SMK Kota Masai 2; SK Kota Masai 3; SMK Kota Masai; SK Kota Masai; SK Perigi Acheh; Sekolah Agama Kampung Pasir Putih; dan Sekolah Agama Taman Pasir Putih.
    • Sejumlah 306 orang telah dirawat hari Selasa,12 Mac.
  • 13 Mac :
    • Sebanyak 111 buah sekolah di daerah Pasir Gudang telah diarah untuk ditutup.[9] Tambahan juga, sejumlah 947 orang telah dirawat dengan sembilan daripadanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI dan 166 orang telah dirawat di HSI.
    • Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM6.4 juta sebagai bantuan segera untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan kepada mangsa dan keluarga serta kakitangan keselamatan yang terdedah dengan bahaya pencemaran itu.[10]
    • Tiga orang termasuk dua pemilik kilang ditahan.
  • 14 Mac : Sehingga 12 tengah hari, seramai 2,775 orang awam telah menerima rawatan, tujuh dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).[3]
    • 92 tadika dan taska di kawasan terjejas juga ditutup bagi mengelakkan peningkatan jumlah mangsa.
    • 51 laporan polis diterima berhubung kes pencemaran bahan kimia.
    • Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM1 juta bagi memperhebatkan operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang.
    • Keputusan analisis ke atas sampel yang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dari Sungai Kim Kim menunjukkan sisa kimia yang terdapat dalam Sungai Kim Kim mengandungi pelarut organik benzena, toluena, xilena, etil benzena dan D-Limonene.[11]
    • Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mendapatkan bantuan daripada tentera dan Petronas untuk menghantar sumber mereka daripada segi jentera, alat dan pakar untuk membantu menangani krisis itu.
    • Sebilangan penduduk di Pasir Gudang mula mengambil inisiatif meninggalkan kediaman mereka buat sementara.
    • Dewan Rakyat membahaskan usul tergempar isu pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang pada 4.30 petang.
    • Pasukan Tinjau Biologi Kimia, Radiologi dan Nuklear (CBRN) dan Pasukan Unit Pemindahan Mangsa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan ke kawasan terjejas untuk mengesan, mengenalpasti dan menyahkan sisa kimia itu.
  • 20 Mac - Sungai Kim Kim diisytihar bebas daripada pencemaran sisa kimia.[12]
  • 24 Mac - Tiga suspek kes pembuangan bahan kimia beracun di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang 7 Mac dihadapkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.[13]
  • 26 Mac - Mahkamah Tinggi Johor Bahru membenarkan jaminan terhadap pemandu lori dan seorang pengarah syarikat dikurangkan kepada RM30,000 dan RM150,000 bagi pertuduhan membuang dan bersubahat melupuskan bahan sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.[14]
  • 28 Mac - Kesemua mangsa kes pembuangan sisa toksik Sungai Kim Kim yang dimasukkan ke hospital kerana menyedut asap toksik telah dibenarkan keluar dari hospital.[15]
  • 6 April - Seramai 120 mangsa pembuangan bahan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang membuat laporan polis di balai polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam pada jam 4 petang bagi menuntut ganti rugi.[16]

Kesan dan impak[sunting | sunting sumber]

Seramai 2,775 orang awam telah menerima rawatan di hospital sususlan insiden pembuangan sisa toksik tersebut.[3][17]

111 buah sekolah di sekitar Pasir Gudang telah diarahkan ditutup akibat gas metana yang semakin merebak.[9] Pembuangan sisa bahan kimia itu telah menyebabkan pembelajaran serta tahap kesihatan murid-murid dan penduduk setempat terjejas.[8]

Sehingga jam 4 petang 15 Mac, kawasan seluas 680 meter daripada 1.5 kilometer paling tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihkan. Kerja-kerja pembersihan dijalankan selama 24 jam oleh tiga kontraktor dilantik membabitkan 90 pekerja bermula 13 Mac.[18]

Penduduk berhampiran Sungai Kim Kim menganggap sungai itu sudah lama ‘mati’ berikutan pencemaran berlaku lebih 10 tahun di sungai itu, sejak 2009.[19]

Pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim bagaimanapun, tidak menjejaskan keyakinan pelancong untuk ke Johor. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri Liow Cai Tung, pihaknya tidak mendapat sebarang aduan mengenai kebimbangan pelancong untuk datang ke Johor ekoran pencemaran di sungai itu, "Kita menyasarkan seramai 16.6 juta pengunjung akan datang ke Johor sepanjang tahun ini, yang mana lapan juta daripadanya menetap di Johor sekurang-kurangnya satu malam,".[20]

Tindakan[sunting | sunting sumber]

  • Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah mengaktifkan jawatankuasa kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa tersebut yang bertujuan menyelaras dan memantau kejadian tumpahan bahan kimia yang berlaku.[10]
  • Kerajaan negeri Johor telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 6.4 juta (

AS$1,565,184) melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk meningkatkan proses pembersihan Sungai Kim Kim yang akan dilakukan dengan segera di sepanjang 1.5 kilometer (0.93 batu).

  • Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah melantik kontraktor yang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melakukan kerja-kerja pembersihan pembuangan minyak di Sungai Kim Kim.[21][10]
  • Dua pemilik syarikat dan seorang pekerja yang berusia antara 40 hingga 50 tahun telah ditangkap kerana disyaki menjadi dalang kepada pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim.[4] Namun demikian, perbicaraan terhadap suspek yang sepatutnya dijalankan pada 14 Mac telah ditangguhkan kerana kertas siasatan belum siap dilengkapkan bagi mendakwa tertuduh.[22][23]
  • Kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim telah dilakukan sejauh 500 meter selama 24 jam sehari dengan pekerja pembersihan melebihi 20 orang bagi membersihkan sungai daripada sisa toksik.[9]
  • Sebanyak 150 tan metrik air sungai dan 300 tan metrik tanah bercampur sisa kimia dari Sungai Kim Kim telah dilupuskan. Kesemua sisa kimia bertoksik itu dihantar ke kilang pelupusan berlesen.[24]
  • Polis meminta bantuan Interpol bagi menjejaki seorang warga Singapura berhubung insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. Lelaki dalam lingkungan berusia 30-an itu dikenal pasti sebagai pemilik kilang memproses tayar terpakai yang dikatakan terlibat dalam insiden itu.[25]

Reaksi[sunting | sunting sumber]

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar murka dan kesal terhadap mereka yang didapati terlibat dalam kes pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sehingga memberi kesan buruk kepada murid, pelajar sekolah serta orang awam. Baginda turut bertitah mahu pihak berkuasa melakukan siasatan secara terhadap insiden itu.[26][27][28][29][30]

Pada 14 Mac, Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat mangsa di hospital dan menegaskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana memandangkan situasi pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim masih terkawal.[31]

Penyanyi Indah Ruhaila meluahkan perasaan bimbang berhubung insiden tersebut, memandangkan ibu bapanya tinggal di Pasir Gudang. Beliau turut memujuk ibu bapanya agar meninggalkan kediaman mereka bagi mengelakkan kejadian pencemaran sisa kimia berlaku.[32]

Syarikat kimia Lotte Chemical Titan Holdings Bhd telah menafikan khabar angin bahawa mereka terlibat dalam pencemaran Sungai Kim Kim. Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Lotte Chemical Titan menyatakan secara terperinci: "Syarikat ini dengan ini menafikan khabar angin dan ingin mengumumkan bahawa ia tidak mempunyai sebarang penglibatan dengan insiden tersebut".[33][34]

Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM, Rosmidzatul Azila Mat Yamin meluahkan pandangan beliau mengenai insiden ini: "Apabila bencana seumpama ini berlaku, pastinya sedikit sebanyak mencalarkan imej dan mengundang persepsi negatif terhadap peranan badan-badan berkaitan pengurusan alam sekitar yang terlibat di negara ini. Antara persoalan yang pastinya timbul adalah membabitkan kelemahan dari sudut penguatkuasaan dan pemantauan badan-badan alam sekitar terlibat,".[35]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ 2.43 tan sisa bahan kimia dari Sungai Kim Kim (METROTV). Harian Metro. Diterbitkan pada 14 Mac 2019. Dicapai pada 14 Mac 2019.
  2. ^ Lori tangki buang bahan kimia dalam sungai. Berita Harian. Diterbitkan pada 7 Mac 2019. Dicapai pada 14 Mac 2019.
  3. ^ a b c d Kronologi terkini pencemaran kimia di Sungai Kim Kim Pasir Gudang. BERNAMA. Diterbitkan pada 14 Mac 2019. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  4. ^ a b Dalang pencemaran sisa kimia berbahaya Sungai Kim Kim didakwa esok. Berita Harian. Diterbitkan pada 13 Mac 2019. Dicapai pada 14 Mac 2019.
  5. ^ Tiga suspek dalang Sungai Kim Kim dicekup. Astro Awani. Diterbitkan pada 11 Mac 2019. Dicapai pada 14 Mac 2019.
  6. ^ Kronologi pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim Pasir Gudang sejak 7 Mac lalu. BERNAMA. Diterbitkan pada 13 Mac 2019. Dicapai pada 14 Mac 2019.
  7. ^ Zulhisham Isahak (10 Mac 2019). Sungai Kim Kim masih tercemar Utusan Malaysia. Dicapai pada 3 April 2019.
  8. ^ a b Tangani segera isu pembuangan sisa toksik Sungai Kim Kim - MCCF. Utusan Melayu. Diterbitkan pada 13 Mac 2019. Dicapai pada 14 Mac 2019.
  9. ^ a b c Pencemaran: Kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim.KOSMO!. Diterbitkan pada 14 Mac 2019. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  10. ^ a b c Kes pencemaran bahan kimia: 13 sekolah sekitar Pasir Gudang diarah tutup.mSTAR. Diterbitkan pada 13 Mac 2019. Dicapai pada 14 Mac 2019.
  11. ^ Sisa toksik:Pengusaha kilang jangan lakukan pembuangan panik. BERNAMA. Diterbitkan pada 14 Mac 2019. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  12. ^ Sungai Kim Kim bebas sisa kimia Berita Harian (20 Mac 2019). Dicapai pada 20 Mac 2019.
  13. ^ 3 suspek kes Sungai Kim Kim didakwa Berita Harian (24 Mac 2019). Dicapai pada 24 Mac 2018.
  14. ^ Mohamad Faizal Hashim (27 Mac 2019). Pencemaran toksik: 3 tertuduh dibenar ikat jamin Utusan Malaysia. Dicapai pada 3 April 2019.
  15. ^ Rizalman Hammim (28 Mac 2019). All Sungai Kim Kim victims released from hospital New Straits Times. Dicapai pada 7 April 2019.
  16. ^ Rizalman Hammim (28 Mac 2019). 120 mangsa bencana Sungai Kim Kim mahu saman Kerajaan Negeri Johor Astro Awani. Dicapai pada 6 April 2019.
  17. ^ Kronologi terkini pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. Astro Awani. Diterbitkan pada 15 Mac 2019. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  18. ^ Mohamed Farid Noh (15 Mac 2019). Seluas 680 meter sudah dibersihkan Berita Harian. Dicapai pada 20 Mac 2019.
  19. ^ Mohd Faizal Hashim (28 Mac 2019). Sungai Kim Kim sudah lama ‘mati’ Utusan Malaysia. Dicapai pada 3 April 2019.
  20. ^ Pencemaran Sungai Kim Kim tidak jejaskan keyakinan pelancong ke Johor Astro Awani. Dicapai pada 6 April 2019.
  21. ^ Mangsa gas sisa kimia Sungai Kim Kim meningkat 79 orang. KOSMO!. Diterbitkan pada 9 Mac 2019. Dicapai pada 14 Mac 2019.
  22. ^ Pendakwaan kes buang sisa kimia Sungai Kim Kim ditangguh. Sinar Harian. Diterbitkan pada 14 Mac 2019. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  23. ^ Pendakwaan suspek pencemaran Sungai Kim Kim ditangguh. Berita Harian. Diterbitkan pada 14 Mac 2019. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  24. ^ Mohamed Farid Noh dan Mohd Fahmi Mohd Yusof (17 Mac 2019). 450 tan metrik sisa kimia Sungai Kim Kim dilupus Berita Harian. Dicapai pada 11 April 2019.
  25. ^ Sg Kim Kim: Polis minta Interpol kesan warga S'pura Malaysiakini (18 April 2019). Dicapai pada 19 April 2019.
  26. ^ Sultan Johor murka kes pembuangan bahan kimia. mSTAR. Diterbitkan pada 12 Mac 2019. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  27. ^ Pencemaran Sungai Kim Kim: Sultan Johor murka. Berita Harian. Diterbitkan pada 12 Mac 2019. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  28. ^ Pencemaran: Sultan Johor murka. KOSMO!. Diterbitkan pada 12 Mac 2019. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  29. ^ Pencemaran toksik: Sultan Johor murka, kesal. Utusan Malaysia. Diterbitkan pada 12 Mac 2019. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  30. ^ Sultan Johor murka!. Sinar Harian. Diterbitkan pada 12 Mac 2019. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  31. ^ Pencemaran kimia: Kronologi terkini. Sinar Harian. Diterbitkan pada 14 Mac 2019. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  32. ^ Farhana Ab Rahman (13 Mac 2019). Indah pujuk ibu bapa tinggalkan Pasir Gudang Berita Harian. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  33. ^ Lotte Chemical refutes rumours about polluting Sungai Kim Kim The Star Online (20 Mac 2019). Dicapai pada 21 Mac 2019.
  34. ^ Lotte Chemical denies rumours of its involvement in Sg Kim Kim pollution New Straits Times (20 Mac 2019). Dicapai pada 21 Mac 2019.
  35. ^ Rosmidzatul Azila Mat Yamin (9 April 2019). Iktibar bencana Sungai Kim Kim Utusan Malaysia. Dicapai pada 11 April 2019.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]