Pembunuhan Siti Kharina Mohd Kamarudin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pembunuhan Siti Kharina Mohd Kamarudin
Tarikh8 Mei 2019
LokasiCyberjaya
PenyebabDibunuh
SasaranSiti Kharina Mohd Kamarudin
Penahanan3 rakyat Nigeria dan seorang rakyat Pakistan
SuspekAlowonle Oluwajuwon Gilbert
Hukuman
  • Penjara
  • Hukuman gantung sampai mati

Siti Kharina Mohd Kamarudin, seorang jururawat di Hospital Serdang dilaporkan hilang pada 8 Mei 2019 dan mayatnya dijumpai pada 15 Mei 2019 di sebuah kondominium di Cyberjaya, dipercayai akibat dibunuh.[1]

Latar belakang dan pembunuhan[sunting | sunting sumber]

Siti Kharina telah bertugas Hospital Serdang selama lima tahun dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun. Suami dan tiga anaknya menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.[2] Pada 8 Mei 2019, Siti Kharina dilaporkan hilang, beliau dilihat kali terakhir berada di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu dan memandu kereta Honda City berwarna putih.[3] Kehilangan Siti Kharina hanya disedari apabila rakan serumahnya menghubungi ahli keluarganya bertanya mengenai keadaannya apabila tidak pulang ke rumah dan melapor diri bertugas di tempat kerja.[2] Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan mengesahkan Siti Kharina tidak hadir bertugas. Polis menjalankan inkuiri berhubung kehilangan Siti Kharina dan mengklasifikasikan sebagai kes Orang Hilang.[3] Keluarga Siti Kharina meminta orang ramai berhenti menyebar maklumat palsu kononnya Ketua Jururawat itu sudah ditemui.[3][4][5]

Peristiwa sebelum pembunuhan[sunting | sunting sumber]

Sebelum pembunuhan Siti Kharina, mangsa dipercayai telah mengenali suspek utama warga Nigeria. Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, hasil siasatan awal polis mendapati mangsa mengenali suspek menerusi media sosial sejak beberapa tahun lalu.[6]

Penemuan mayat[sunting | sunting sumber]

Pada Rabu, 15 Mei, mayat Siti Kharina ditemui di sebuah kondominium di Cyberjaya, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan. Mayat beliau ditemui oleh pemilik unit kondominium berkenaan yang datang ke unit itu bersama dua pekerja penyelenggara untuk membaiki mesin basuh yang rosak, kira-kira jam 2.30 petang.[2] Menurut sumber: "Pemilik rumah dikatakan cuba menghubungi penghuninya sejak beberapa hari lalu, tetapi gagal dan terpaksa masuk ke rumah menggunakan kunci pendua. Sebaik masuk, mereka ternampak ada darah mengalir keluar dari bawah pintu sebuah bilik yang berkunci sebelum melaporkan perkara itu kepada polis,".[2] Pegawai polis yang menjalankan pemeriksaan kemudian menemui mayat Siti Kharina dalam keadaan tubuhnya sudah mula mereput dengan kesan kelar dileher. Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan fizikalnya yang sudah mula mereput. Mayat Siti Kharina dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.[2] Hasil pemeriksaan di sekitar kondominium terbabit membawa kepada penemuan beberapa bahan bukti termasuk pisau dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.[7]

Perbicaraan[sunting | sunting sumber]

Pada 17 Mei 2019, dua warga Nigeria, seorang lelaki dan seorang perempuan serta seorang lelaki warga Pakistan telah ditahan reman selama seminggu berhubung kes tersebut. Pada 23 Mei 2019, Mahkamah Majistret Sepang memerintahkan tempoh tahanan reman seorang lelaki warga Nigeria disambung tujuh hari berkuat kuasa 24 Mei hingga 30 Mei bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Kharina.[8] Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, tempoh reman wanita Nigeria dan lelaki Pakistan disambung tujuh hari mulai 23 hingga 29 Mei.[9]

Suspek utama kes, Alowonle Oluwajuwon Gilbert (Aliwajuwon Gilbertalowonle), dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabit kesalahan. Mahkamah menetapkan 31 Julai 2019 untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, forensik rakaman litar tertutup (CCTV), laporan data telefon bimbit dan laporan kimia.[10]

Reaksi[sunting | sunting sumber]

Menurut jiran Siti Kharina, beliau dilihat mesra dan menyapa penghuni lain. Beliau turut menyifatkan Siti Kharina seorang yang peramah dan pemurah.[11]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Nurul Hidayah Bahaudin dan Noor Atiqah Sulaiman (16 Mei 2019). "Siti Kharina dibunuh?". Harian Metro. Dicapai pada 1 Jun 2019.
  2. ^ a b c d e Nor Azizah Mokhtar; Safeek Affendy Razali dan Noor Atiqah Sulaiman (16 Mei 2019). "Misteri kehilangan jururawat hampir terungkai, mayat wanita ditemui di Cyberjaya". Berita Harian. Dicapai pada 1 Jun 2019.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  3. ^ a b c "Kronologi kehilangan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin". Berita Harian. 16 Mei 2019. Dicapai pada 1 Jun 2019.
  4. ^ Hafidzul Hilmi Mohd Noor (16 Mei 2019). "Usah buat spekulasi pembunuhan jururawat". Harian Metro. Dicapai pada 1 Jun 2019.
  5. ^ Noor Atiqah Sulaiman (14 Mei 2019). "'Henti sebar maklumat palsu kakak saya' - Adik Siti Kharina". Harian Metro. Dicapai pada 1 Jun 2019.
  6. ^ Nor Idayu Bosro, Malinda Abdul Malik (18 Mei 2019). "Berkenalan melalui laman sosial". Kosmo!. Dicapai pada 19 Jun 2019. Siti Kharina, lelaki Nigeria saling mengenali sejak beberapa tahun lalu
  7. ^ Fareez Azman (16 Mei 2019). "Siti Kharina dikelar, darah mengalir sampai ke pintu". Astro Awani. Dicapai pada 7 Jun 2019.
  8. ^ "Suspek bunuh Siti Kharina bakal didakwa". Harian Metro. 23 Mei 2019. Dicapai pada 1 Jun 2019.
  9. ^ "Kes Siti Kharina: Reman suspek utama akan dilanjut". Utusan Malaysia. 22 Mei 2019. Dicapai pada 1 Jun 2019.
  10. ^ Nur Hasliza Mohd Salleh (27 Mei 2019). "Suspek bunuh ketua jururawat berdepan hukuman mati". Free Malaysia Today. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-06-07. Dicapai pada 7 Jun 2019.
  11. ^ "Siti Kharina mesra dan pemurah - Jiran". Astro Awani. 17 Mei 2019. Dicapai pada 7 Jun 2019.