Penahanan Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Penahanan YB Profesor Madya Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin adalah tangkapan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap bekas mufti Perlis, Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin pada hari Ahad, 1 November 2009 di rumah banglo ayah Norman Yahya, Lorong 2C, Taman Sri Ukay, Hulu Kelang, Selangor di atas dakwaan ketiadaan tauliah di dalam mengajar agama Islam di Selangor dan bukan untuk cuba menyebarkan fahaman Wahabi di Selangor.

Kronologi peristiwa penahanan[sunting | sunting sumber]

Dato' Dr. Mohd Asri ditahan pada pukul 9 malam di sebuah banglo milik ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang. Turut mendengar ceramah itu ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Adun Hulu Klang, Saari Sungib. 35 petugas JAIS membawa beliau keluar dengan iringan 3 buah van. Beliau dibawa ke Balai Polis Hulu Kelang dan dibebaskan jam 1.10 malam. Dr Asri diminta hadir di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada pukul 9 pagi Isnin 2 November 2009 untuk merakamkan keterangan. [1] Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Abdul Jalil Hassan menyatakan bahawa 25 anggota polis beruniform hanya membantu JAIS dalam operasi itu di dalam penangkapan itu serta tiada gari dan tiada kekerasan digunakan.[2]

Tidak ada tauliah JAIS[sunting | sunting sumber]

Pada 2 November 2009, pihak Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur tidak mengeluarkan sebarang pertuduhan. Turut hadir memberi sokongan ialah Marina Mahathir dan Zainah Anwar, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Azman Shafawi, Saari Sungib dan Zuraida Kamaruddin. Turut hadir ialah wakil kepada Senator Datuk Jamil Khir Baharom, wakil UMNO, PAS ,PKR dan peguam dari pelbagai firma guaman.[3]

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato' Mohammed Khusrin bin Haji Munawi menyatakan bekas mufti itu akan tetap didakwa kerana tidak ada permit menyebarkan agama Islam. Dr Asri akan didakwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Seksyen 119 (1) kerana pendakwah perlu mendapatkan tauliah daripada JAIS. Pesalah akan didenda sehingga RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. Taklimat di Bangunan Sultan Idris, Shah Alam itu turut disertai Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes bin Abd Wahid.

Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah di bawah kuasa Sultan Selangor yang mentadbir hal ehwal ugama Islam. Dr Asri mendakwa dirinya telah menjadi mangsa dendam dan 'sasaran' sejak sekian lama kerana membuka pekung banyak pihak. Pihak Jabatan Agama Islam Selangor {JAIS) pernah memberitahunya semua mufti boleh mengajar di Selangor kecuali Mufti Perlis. Ketika menjadi mufti pun, ruang berceramah tidak dberikan. Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah dilarang memberi ceramah di Selangor era Datuk Dr Mohamad Khir Toyo. Mufti Perak pernah gagal mengadakan ceramah di Johor kerana ditolak oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Amaran itu diberikan ketika JAIS berada di bawah kerajaan negeri Selangor - Barisan Selangor. Kini JAIS dibawah tanggungjawab Exco Pakatan Rakyat Dato Dr Hassan Ali. [4] Peraturan ketat di setiap negeri ini adalah selaras dengan perundangan bahawa di peringkat negeri semua hal ehwal agama terletak di bawah kuasa Sultan.

Agenda tersembunyi[sunting | sunting sumber]

Isu perlantikan pengerusi YADIM[sunting | sunting sumber]

Bekas Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dasuki Ahmad menyifatkan tangkapan ini sebagai ‘agenda tersembunyi’ pihak yang mempunyai kepentingan peribadi dalam isu tersebut. Ini kerana ianya dilakukan ketika Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak bercadang melantiknya sebagai Yang DiPertua YADIM. Tindakan ini seperti cuba menghalang PM melantik beliau.

Pihak JAIS menyatakan bahawa mereka bertindak atas aduan iaitu penduduk Taman Sri Ukay yang tidak senang dengan ratusan kereta memenuhi kawasan taman perumahan mereka. Ceramah itu dikatakan telah diadakan beberapa kali sebelum ini di rumah ahli perniagaan tersebut. Datuk Dasuki Ahmad pula menyifatkan JAIS sepatutnya perlu bermuzakarah bagi mencari jalan penyelesaian sebelum tindakan diambil. [5]

Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim turut menggesa Dr Asri jangan menerima perlantikan jawatan YDP YADIM. Namun akaun YADIM perlulah diaudit segera untuk menangkis sangkaan buruk orang ramai. Shahidan Kassim menyatakan semasa menjadi mufti Perlis, Dr Asri hanya meneruskan peruntukan undang-undang yang ada dan tidak ada perubahan. Shahidan sendiri pernah difitnah dengan Wahabi dan jawatan pengerusi Tabung Haji terpendam begitu sahaja.[6]

Memorandum Persatuan Peguan Syarie Malaysia[sunting | sunting sumber]

Pada 12 Oktober 2009, Persatuan Peguan Syarie Malaysia (PGSM) telah menyiarkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong membantah Perdana Menteri Malaysia melantik Dr Asri sebagai Yang diPertua YADIM. Memorandum ini dirangka oleh Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralib. YADIM terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu di bawah menterinya Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom. Di peringkat negeri hal ehwal agama terletak di bawah kuasa Sultan tetapi tidak di peringkat persekutuan dan wilayah persekutuan. Datuk Nakhaei Ahmad akan tamat jawatan pada 1 November 2009 walaupun tarikh sebenar ialah 2012.

  1. Perlantikan Dr Asri sebagai mufti Perlis dikira terlalu muda , 36 tahun sahaja.Beliau dilantik menjadi mufti pada 1 November 2006. Kemudian Dr Asri menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Perlis. Beliau lantang mengeluarkan pandangan menarik dalam isu agama dan hingga membawa kepada perdebatan agama. Suasana debat sebegini dirasakan tidak kena dan tidsak menampakkan kesyumulan Islam.
  2. Perlantikan Dr Asri sebagai YDP Yadim akan menyebabkan hubungan baik Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) dengan YADIM akan pincang. Beliau terlalu muda , tidak beradab dan tidak memahami metodologi dakwah ilmuan dan agamawan di Malaysia yang berpegang teguh kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  3. Pandangan Dr Asri dalam 'Bahtera Perubahan' tidak selaras dengan pandangan arus perdana. Solat hajat seperti sebelum peperiksaan UPSR, PMR dan SPM yang menjadi aktiviti wajib Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sekolah sebagai sia-sia dan maksiat.
  4. Dr Asri tepengaruh dengan ulama tertentu di luar negara. Beliau sering bertentang pendapat dengan ulama dan mufti negeri lain. Semasa menjadi mufti Perlis, beliau membelakangkan Jawatankuasa Mufti Peringkat Kebangsaan dan menampakkan kepincangan dalam Islam. Agamawan lebih selesa berdiam diri dan tidak memberi respon terhadap penganiyaan wanita, isu-isu global, peperangan , internet dan sebagainya.
  5. Ramai mufti dan tokoh agama tidak menyenangi kritikan terbuka Dr Asri. Antaranya ialah Prof.Datuk Dr.Ismail Ibrahim, Tan Sri Syeikh Ghazali Abd Rahman bekas Ketua Pengarah JKSM, Dato’ Hashim Yahya bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan Dato’ Nooh Gadot. JAIS telah mengambil tindakan terhadap Dr Abdullah Yasin.
  6. Kritikan Dr Asri memang cedokan Wahabi di Arab Saudi selama ini.Antaranya tidak perlu baca qunut, tidak perlu baca Yaasin setiap malam Jumaat, tahlil, zikir dan lain-lain.[7]
  7. Hentikan tindakan memberikan sagu hati yang biasanya diberikan selepas selesai perbicaraan sesuatu kes khalwat kerana menyalahi prinsip Islam.
  8. Tindakan mengintip dan menyerbu bilik-bilik hotel untuk menangkap pasangan yang berkhalwat dan dihebahkan di media patut dihentikan . Amalan itu bukan cara yang betul untuk mencegah kemungkaran.
  9. Pameran alam misteri bertemakan "Hantu & Jin...?" anjuran Muzium Negeri Sembilan dihentikan kerana “ia hanya mengkhayalkan masyarakat.
  10. Hasrat Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir untuk menanam al-Quran semasa Ekspedisi Kutub Utara tidak wajar .
  11. Orang bukan Islam yang memeluk agama Islam boleh mengekalkan nama asal bapa atau nama keturunan mereka pada dokumen pengenalan. Mengubah nama kepada bin atau binti Abdullah hanyalah tradisi dan bukannya termasuk dalam syariat serta tidak diwajibkan dalam Islam.[8]

Rujukan[sunting | sunting sumber]