Pendidikan di Jerman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Tanggungjawab terhadap pendidikan di Jerman diserahkan kepada negeri-negeri sementara kerajaan persekutuan hanya memiliki peranan kecil. Pendidikan pra-sekolah yang tidak diwajibkan disediakan untuk kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun. Selepas itu, mereka diwajibkan menghadiri pengajian di sekolah selama sekurang-kurangnya sembilan tahun. Pendidikan rendah selalunya berlangsung selama empat tahun dan sekolah-sekolah awam tidak disusun mengikut kategori pada tahap ini.[1][2] Berbeza pula di peringkat menengah, sistem persekolahan dibahagikan kepada empat jenis berlandaskan kemahiran atau keupayaan murid-murid seperti yang dicadangkan oleh guru, iaitu: Gymnasium, yang turut dihadiri oleh murid-murid yang berbakat besar yang menyediakan mereka ke arah pengajian di universiti dengan kehadiran sekitar lapan atau sembilan tahun bergantung kepada tahap murid-murid; Realschule, yang menawarkan pengajian lebih terbuka dan meluas bagi murid-murid tahap pertengahan yang berlangsung sehingga enam tahun; Hauptschule, yang menawarkan pengajian vokasional; dan juga Gesamtschule atau sekolah komprehensif yang menggabungkan ketiga-tiga jenis sekolah menengah di bawah satu bumbung.[1][2]

Perpustakaan Universiti Heidelberg. Universiti ini ditubuhkan pada tahun 1386.

Rancangan Penilaian Murid-murid Antarabangsa (PISA) yang dikendalikan oleh OECD, menilai kemahiran murid-murid berumur 15 tahun di negara-negara ahli dan beberapa negara-negara rakan. Pada tahun 2006, murid-murid memperbaiki kedudukan mereka dari tahun-tahun sebelumnya dengan menduduki tangga ke-13 (atas purata) dalam kemahiran sains, tangga ke-20 dalam kemahiran matematik dan tangga ke-18 dalam kemahiran membaca.[3][4] Memandangkan tahap kecerunan sosio-ekonomi di Jerman lebih tinggi, pencapaian di Jerman dipengaruhi kuat faktor-faktor sosio-ekonomi berbanding negara-negara lain.[3][4]

Untuk memasuki sebuah universiti, murid-murid sekolah menengah perlulah menduduki peperiksaan Abitur, yang menyamai Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Namun, murid-murid yang memiliki sijil daripada sekolah vokasional boleh juga memohon. Sebuah sistem perantisan yang dipanggil Duale Ausbildung membolehkan murid-murid menghadiri latihan vokasional dengan bekerja (belajar) di syarikat-syarikat perusahaan selain sekolah latihan khas yang dikendalikan kerajaan.[1] Kebanyakan universiti di Jerman dimiliki oleh kerajaan negeri dan mengenakan yuran pengajian yang berbeza-beza dari €50 hingga ke €500 bagi satu semester pengajian.[5]

Universiti-universiti Jerman diakui di peringkat antarabangsa, sekaligus menonjolkan nilai pengajian yang tinggi di negara ini. Di dalam "Kedudukan Universiti Dunia THES-QS" pada tahun 2007, tiga buah universiti awam Jerman menduduki tangga 100 utama dunia, manakala 11 yang lain menghuni kedudukan 200 utama.[6]


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c "Profil negara=Jerman" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Bahagian Kajian Persekutuan, Perpustakaan Kongres AS. April 2008. Dicapai pada 2008-09-10.
  2. ^ a b "Pendidikan di Jerman: Rangka asas sistem pendidikan di Republik Persekutuan Jerman" (PDF) (dalam bahasa Jerman & Inggeris). Kementerian Persekutuan bagi Pendidikan dan Kajian. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2008-09-16. Dicapai pada 2008-09-10.CS1 maint: unrecognized language (link)
  3. ^ a b Rancangan Penilaian Murid-murid Antarabangsa (2007). Ringkasan eksekutif: PISA 2006: Kemahiran sains untuk dunia akan datang Jilid 1: Analisa (PDF). Perancis: OECD. ISBN 978-92-64-04000-7. Dicapai pada 2008-09-10.
  4. ^ a b Rancangan Penilaian Murid-murid Antarabangsa (2007). PISA 2006: Kemahiran sains untuk dunia akan datang Jilid 1: Analisa (PDF). Perancis: OECD. ISBN 978-92-64-04000-7. Dicapai pada 2008-09-10.
  5. ^ "Belajar dan Mengkaji di Jerman" (dalam bahasa Inggeris). Perkhidmatan Pertukaran Akademik Jerman (DAAD). Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-09-10. Dicapai pada 2008-09-10.
  6. ^ "Kedudukan Universiti Dunia THES-QS: 400 universiti utama". Quacquarelli Symonds. Dicapai pada 2008-09-10.