Pendidikan rendah di Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Murid-murid sekolah rendah di Malaysia.

Pendidikan rendah di Malaysia adalah program pendidikan yang ditawarkan kepada kanak-kanak bermula umur tujuh tahun dan berterusan sehingga mereka mencapai umur 12 tahun[1]. Ini merupakan peringkat pendidikan secara formal pertama yang akan dilalui oleh kanak-kanak di Malaysia, walaupun terdapat sebahagian daripada mereka telah mengakhiri pendidikan prasekolah sebelum itu.

Pendidikan rendah di Malaysia dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Pendidikan rendah merupakan pendidikan wajib yang perlu diberikan kepada kanak-kanak di Malaysia apabila mereka mencapai umur yang diperlukan[2]. Proses pendaftaran kanak-kanak ke pendidikan rendah bermula apabila mereka mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari[2].

Terdapat dua jenis aliran pendidikan rendah yang dikendalikan di sekolah-sekolah kerajaan iaitu aliran perdana bagi murid-murid biasa dan aliran pendidikan khas bagi murid-murid berkeperluan khas. Bermula tahun 2021, murid-murid Tahun 6 tidak lagi menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), sebaliknya prestasi mereka sepanjang sesi persekolahan rendah dinilai berdasarkan kepada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang ditambahbaik[3]. Selain sekolah kerajaan, terdapat juga sekolah swasta, persendirian dan antarabangsa yang mengendalikan program pendidikan rendah di Malaysia.


Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sebelum kemerdekaan[sunting | sunting sumber]

Sistem persekolahan di Malaysia bermula ketika zaman penjajahan British sekitar tahun 1824[4]. Terdapat empat aliran pendidikan yang ditubuhkan berdasarkan kepada polisi "pecah dan perintah" (bahasa Inggeris: Divide and Rule) iaitu sekolah Inggeris, sekolah Melayu, sekolah Tamil dan sekolah Cina[4]. Tiap-tiap aliran ini menggunakan amalan pembelajaran yang sangat berbeza; sekolah Inggeris menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan menggunakan kurikulum dari empayar British, sekolah Melayu pula menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan memfokuskan kepada pengajian Islam. Sekolah Tamil dan Cina pula masing-masing menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar dan kurikulum pula diimport dari negara ibunda mereka masing-masing.

Selepas Perang Dunia Kedua, pihak British ditentang hebat oleh orang Melayu pada ketika itu yang mendesak supaya mutu pendidikan Melayu diperbaiki, ekoran semangat nasionalisme yang semakin memuncak[5], lebih-lebih lagi selepas kerajaan Malayan Union dibatalkan akibat tentangan hebat daripada orang Melayu.

Hasilnya, Laporan Barnes diterbitkan pada bulan Jun 1951. Dalam laporan ini, jawatankuasa Barnes mencadangkan penubuhan sekolah kebangsaan untuk semua kaum di peringkat pendidikan rendah[6] dan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan[7]. Walaupun Laporan ini diterima di kalangan orang Melayu, kaum lain seperti Tamil dan Cina membantah cadangan ini[8] kerana berpendapat bahawa penubuhan sekolah kebangsaan akan menyebabkan sekolah-sekolah Cina dan Tamil serta sistem pendidikan mereka akan dihapuskan[9].

Murid sekolah rendah pada tahun 1957.

Disebabkan bantahan ini, pihak British mempelawa Dr. William P. Fenn dan Dr. Wu Teh-yao ke Tanah Melayu[10] bagi mengkaji dan mencadangkan penambahbaikan terhadap sistem pendidikan vernakular terutamanya Cina di Tanah Melayu[11]. Hasil dapatan kajian dan soal selidik ini, Laporan Fenn-Wu diterbitkan pada bulan yang sama Laporan Barnes diterbitkan. Antara cadangan yang dikemukakan ialah penggubalan buku teks Cina untuk pendidikan rendah supaya nilai-nilai murni dan etika dimasukkan, selain daripada isi kandungan yang lebih memfokuskan kepada suasana di Tanah Melayu[12].

Cadangan-cadangan daripada Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu kemudian menjadi asas kepada penerbitan Penyata Razak 1956. Dalam Penyata Razak, pendidikan rendah di Tanah Melayu terbahagi kepada dua jenis iaitu aliran sekolah kebangsaan (SK) untuk semua kaum[13], menggantikan sekolah rendah dan aliran sekolah jenis kebangsaan (SJK) untuk Tamil dan Cina. Selain itu, bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar di sekolah kebangsaan[13] manakala bahasa Tamil dan bahasa Cina menjadi bahasa pengantar di sekolah jenis kebangsaan masing-masing[14].

Selepas kemerdekaan[sunting | sunting sumber]

Akta Pelajaran 1961 merupakan undang-undang pendidikan pertama yang dikuatkuasakan di Tanah Melayu pasca-kemerdekaan. Akta ini banyak berpandukan kepada hasil kajian dan cadangan yang terdapat dalam Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib[15].

Menurut akta ini, sistem pendidikan kebangsaan meliputi pendidikan rendah, pendidikan menengah rendah, pendidikan menengah atas dan pendidikan tinggi. Di peringkat pendidikan rendah, akta ini menyatakan bahawa tempoh pendidikan rendah adalah selama 6 tahun tetap dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan subjek wajib diajar di sekolah kebangsaan.

Rentetan dari peristiwa 13 Mei 1969 merupakan detik di mana Menteri Pelajaran pada ketika itu, Abdul Rahman Ya'kub mengambil langkah drastik dengan mengumumkan penukaran kesemua sekolah Inggeris kepada sekolah kebangsaan bermula Tahun 1 pada 1 Januari 1970[16].

Selepas peristiwa hitam tersebut, Kementerian Pelajaran pada ketika itu memberi fokus kepada pengstrukturan semula dasar pendidikan yang bermatlamat untuk mewujudkan perpaduan di antara kaum serta mengecilkan jurang keciciran kanak-kanak mendapatkan akses pendidikan rendah. Dari sini, Laporan Jawatankuasa di atas Kajian Pendapat mengenai Pelajaran dan Masyarakat atau Laporan Keciciran 1973[17] dibentangkan oleh Tan Sri Murad Mohamed Noor selaku Pengarah Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran pada ketika itu[18].

Hasil laporan ini mendapati berlakunya keciciran kanak-kanak ke pendidikan rendah yang sangat serius bermula tahun 1960-an[18]. Kadar peratusan keciciran kanak-kanak semakin tinggi di kawasan luar bandar, di mana kemiskinan tegar merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada trend ini[19]. Bagi memastikan kanak-kanak luar bandar mendapatkan akses ke pendidikan rendah, laporan ini mencadangkan agar buku-buku teks diedarkan secara percuma. Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) ditubuhkan pada tahun 1975 bagi membantu kanak-kanak memiliki buku teks sebagai rujukan semasa sesi persekolahan mereka[20].


Penilaian dan peperiksaan[sunting | sunting sumber]

Pentaksiran Berasaskan Sekolah[sunting | sunting sumber]

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan penilaian utama yang dilakukan ke atas murid-murid berpendidikan rendah di Malaysia bermula tahun 2021. Ia menggantikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah dimansuhkan. PBS mula diperkenalkan sekitar tahun 2011 sebagai kayu ukur bagi menilai tahap keperibadian murid-murid seperti aspek emosi, rohani dan jasmani[3].

Menerusi PBS, murid-murid akan dinilai berdasarkan kepada tiga komponen utama iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi)[21]. Penilaian berdasarkan komponen-komponen ini akan memberi gambaran yang lebih jelas terhadap pencapaian dan kelemahan murid-murid[22].

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah[sunting | sunting sumber]

Sebelum tahun 2021, peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) merupakan peperiksaan utama yang diambil oleh murid-murid Tahun 6 sebagai persediaan ke pendidikan menengah. Peperiksaan UPSR mula diperkenalkan pada tahun 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima[23]. Keputusan UPSR digunakan sebagai kelayakan murid ke sekolah yang menawarkan program pendidikan menengah khusus seperti Sekolah Berasrama Penuh kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia atau Maktab Rendah Sains MARA kelolaan Majlis Amanah Rakyat[23].

Desas-desus mengenai pemansuhan peperiksaan UPSR mula timbul sejak tahun 2009 oleh kerana ramai berpendapat bahawa murid-murid hanya fokus kepada keputusan peperiksaan UPSR sebagai kayu ukur pencapaian mereka[24]. Pada 28 April 2021, Menteri Pendidikan Malaysia pada ketika itu, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan bahawa peperiksaan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (peperiksaan di peringkat menengah) dimansuhkan.

Penilaian Tahap Satu[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1996 sehingga 2000, murid-murid Tahun 3 menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Satu (PTS) sebagai pra-syarat peluang untuk melangkau ke Tahun 5 untuk tahun persekolahan seterusnya[25]. Murid-murid yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini tidak akan menduduki Tahun 4, sebaliknya mereka akan ke kelas-kelas Tahun 5 bermula tahun berikutnya[26]. Ini menjadikan tempoh mereka berada di pendidikan rendah hanya lima tahun sahaja, berbanding murid-murid lain selama enam tahun[25]. Peperiksaan PTS ini dimansuhkan kerana terdapat alasan bahawa murid-murid yang cemerlang dalam PTS tidak mendapat keputusan yang bagus dalam peperiksaan UPSR[26].


Jenis sekolah[sunting | sunting sumber]

Sekolah kebangsaan[sunting | sunting sumber]

Warna bertemakan putih/biru gelap digunakan sebagai kod warna pakaian rasmi pelajar sekolah kebangsaan.

Sekolah kebangsaan (SK) ialah sekolah awam utama yang menjalankan program pendidikan rendah di Malaysia. Cadangan penubuhan sekolah kebangsaan mula diketengahkan menerusi Laporan Barnes, di mana jawatankuasa Barnes berpendapat bahawa penubuhan SK mampu menyatupadukan kesemua kaum di Tanah Melayu pada ketika itu[27]. Sekolah Umum Permatang Janggus yang terletak di Seberang Perai, Pulau Pinang merupakan sekolah pertama yang beralih kepada Sekolah Kebangsaan sekitar tahun 1959[28].

Bahasa Melayu merupakan bahasa utama yang dipertuturkan oleh murid-murid di sekolah kebangsaan. Selain itu, murid-murid juga menuturkan bahasa Inggeris terutamanya ketika pembelajaran subjek bahasa Inggeris. SK diselia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Daerah dan setakat Jun 2022, terdapat sebanyak 5,868 buah sekolah kebangsaan di seluruh Malaysia[29].

Selain sekolah kebangsaan, terdapat juga sekolah yang pada awalnya dikhususkan kepada kaum Cina dan India iaitu sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina (SKJC) dan Tamil (SJKT). Namun begitu, tidak semua SJK dikawalselia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, dimana terdapat 2 jenis SJK yang beroperasi iaitu sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan[30]. SJK biasanya tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama[31].


Sekolah swasta[sunting | sunting sumber]

Sekolah swasta merupakan jenis sekolah yang ditubuhkan dan dikawalselia oleh institusi pendidikan swasta (IPS) yang perlu berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia[32]. Sekolah swasta biasanya tidak dibiayai oleh pihak kerajaan Malaysia dan kos operasi ditanggung sepenuhnya oleh sektor swasta yang terlibat dalam menguruskan sekolah swasta ini. Sekolah swasta juga lebih bebas dalam menentukan pedagogi, kurikulum pelajaran dan dasar-dasar sekolah[33]. Ada juga sekolah swasta yang menggunakan kurikulum piawai Kementerian Pendidikan Malaysia, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), sebagai kurikulum asas di sekolah mereka[34].

Tidak seperti kesemua Sekolah Kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, tiap-tiap sekolah swasta menggunakan bahasa pengantar yang berbeza. Bahasa Inggeris, Melayu, Arab[35] dan Cina merupakan antara bahasa pengantar rasmi yang banyak digunakan. Antara jenis sekolah swasta yang dijalankan untuk tahap pendidikan rendah (ISCED tahap 1) adalah:

  • Sekolah rendah akademik
  • Sekolah persendirian Cina
  • Sekolah rendah agama Islam
  • Sekolah ekspatriat

Statistik[sunting | sunting sumber]

Statistik kadar kemasukkan kanak-kanak ke pendidikan rendah di Malaysia[36].

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Institut Perangkaan UNESCO, terdapat seramai 2,997,712 kanak-kanak yang sedang menjalani pendidikan rendah pada tahun 2020. Semenjak tahun 2012 hingga 2020, kadar kemasukkan kanak-kanak ke pendidikan rendah di Malaysia berada pada paras 98% ke atas, di mana kadar kemasukan 100% dicatatkan oleh kanak-kanak lelaki pada tahun 2014.

Walaupun peratusan tinggi dicatatkan bagi kadar kemasukan ke pendidikan rendah, terdapat juga bilangan kanak-kanak yang tidak bersekolah. Pada tahun 2020, terdapat seramai 47,580 kanak-kanak di seluruh Malaysia yang tidak mendaftar ke pendidikan rendah. Kanak-kanak lelaki membentuk jumlah yang lebih besar iaitu seramai 27,915 orang[36].

Menurut laporan Dokumen Keciciran Pendidikan Malaysia 2023 yang dikeluarkan oleh badan bukan kerajaan, "Untuk Malaysia", terdapat seramai 175,304 kanak-kanak di Malaysia yang hampir menamatkan pendidikan rendah tidak mahir membaca[37]. Selain itu, laporan ini juga menyebut bahawa seramai 62,800 kanak-kanak Orang Asli berdepan masalah keciciran belajar[37].


Pautan Luar[sunting | sunting sumber]


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Memasuki Sekolah Rendah Kerajaan, Malaysia: MyGovernment, dicapai pada 26 Januari 2023
  2. ^ a b Dasar Pengoperasian Pendidikan Rendah Wajib, Malaysia: Kementerian Pendidikan Malaysia, dicapai pada 26 Januari 2023
  3. ^ a b Azil, Firdaus (1 Ogos 2022). "Pentaksiran Berasaskan Sekolah sudah diperkenalkan sejak 2011 - Radzi". Astro Awani. Dicapai pada 26 Januari 2023.
  4. ^ a b Sivalingam, Ananda Devan (20 November 2020). "History of Malaysian Education System: Year 1824 to 2025". Social Sciences Education eJournal. doi:10.2139/ssrn.3735372. ISSN 1556-5068. Dicapai pada 16 Disember 2022.
  5. ^ Mior Jamaluddin, Mior Khairul Azrin (25 Oktober 2016). "Sistem Pendidikan di Malaysia: Dasar, Cabaran, dan Pelaksanaan ke Arah Perpaduan Nasional". Sosiohumanika. 4 (1 (2011)): 33–48. Dicapai pada 26 Januari 2023.
  6. ^ Brown, Graham (30 November 2021). "Making ethnic citizens: The politics and practice of education in Malaysia". International Journal of Educational Development. 27 (3 (Mei 2007)): 318–330. doi:10.1016/j.ijedudev.2006.12.002. ISSN 0128-164X. Dicapai pada 26 Januari 2023.
  7. ^ VERNACULAR EDUCATION IN MALAYSIA (PDF), Centre for Public Policy Studies, dicapai pada 13 Disember 2022
  8. ^ Balakrishnan, Pravindharan (15 Ogos 2019). "Create education system that's ours". NST. Dicapai pada 12 Disember 2022.
  9. ^ Abu Hassan, Muhammad Ikram. "Education in Malaysia Before Independence and Its Implications for The Unification of Malaysian Society". Turkish Journal of Computer and Mathematics Education. 12 (7 (2019)): 3381–3386. ISSN 1985-0611. Dicapai pada 13 Disember 2022.
  10. ^ The Fenn-Wu Report Is Published Jun 1951, National Library Board Singapore, dicapai pada 18 Disember 2022
  11. ^ Kia Soong, Kua (14 Ogos 2019). "Celebrating 200 years of Chinese education". MalaysiaKini. Dicapai pada 18 Disember 2022.
  12. ^ "'Malaya Must Keep Chinese Culture'". The Straits Times. 28 Februari 1951. m/s. 8. Dicapai pada 5 Januari 2023.
  13. ^ a b Hasan, Mohd Azizee (27 Ogos 2019). "Penyata Razak kian malap, kita dibakar api perkauman". MalaysiaKini. Dicapai pada 26 Januari 2023.
  14. ^ Tun Razak Penggerak Pembangunan Rakyat / Negara, Malaysia: Arkib Negara Malaysia, dicapai pada 26 Januari 2023
  15. ^ "Sekolah VERNAKULAR adalah TUBA dalam SUSU?". Perak Today. 17 November 2010. Dicapai pada 26 Januari 2023.
  16. ^ Pan Dan, Pin (24 Ogos 2007). "How English-medium schools vanished overnight". MalaysiaKini. Dicapai pada 26 Januari 2023.
  17. ^ Sulaiman, Noor Atiqah (19 Julai 2022). "KPM akan teliti semula data keciciran murid". Berita Harian. Dicapai pada 26 Januari 2023.
  18. ^ a b Tan Sri Murad bin Mohd. Noor, Malaysia: Arkib Negara Malaysia, dicapai pada 26 Januari 2023
  19. ^ Titrek, Prof. Dr. Osman; Gültekin, Gözde Sezen; Zembrzuska, Agniezska (2018). 4th International Conference on Lifelong Education and Leadership for ALL-ICLEL 2018. Turki: ICLEL Publications. ISBN 978-605-66-4953-0.
  20. ^ Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Malaysia: Kementerian Pendidikan Malaysia, dicapai pada 26 Januari 2023
  21. ^ "Pentaksiran Berasaskan Sekolah nilai pelajar secara holistik". Berita Harian. 14 Oktober 2022. Dicapai pada 29 Januari 2023.
  22. ^ "Pentaksiran Berasaskan Sekolah lebih inklusif, menyeluruh". Harian Metro. 8 Jun 2022. Dicapai pada 29 Januari 2023.
  23. ^ a b "Selamat tinggal UPSR". Sinar Harian. 29 April 2021. Dicapai pada 29 Januari 2023.
  24. ^ "Kementerian mungkin mansuh UPSR dan PMR". MalaysiaKini. 20 Jun 2010. Dicapai pada 26 Januari 2023.
  25. ^ a b Nik Pa, Nik Azis; Idris, Noraini (2008). Perjuangan memperkasakan pendidikan di Malaysia: pengalaman 50 tahun merdeka. Malaysia: Utusan Publications. m/s. 347. ISBN 978-967-61-2156-1.
  26. ^ a b "A note of regret". The Star. 20 Mei 2007. Dicapai pada 26 Januari 2023.
  27. ^ Brown, Graham (30 November 2021). "Making ethnic citizens: The politics and practice of education in Malaysia". International Journal of Educational Development. 27 (3 (Mei 2007)): 318–330. doi:10.1016/j.ijedudev.2006.12.002. ISSN 0128-164X. Dicapai pada 15 Disember 2022.
  28. ^ "2 September 1959, Sekolah Kebangsaan Pertama Diumumkan". Rggt. 2 September 2020. Dicapai pada 1 Februari 2023.
  29. ^ Senarai sekolah, Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia, dicapai pada 1 Februari 2023
  30. ^ "Belanjawan 2021: Formula baru tambah peruntukan SK, SJKC". MalaysiaKini. 25 November 2020. Dicapai pada 5 Julai 2023.
  31. ^ Yahaya, Khairulanuar (29 November 2021). "Sekolah jenis kebangsaan Tamil, Cina tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan". Suara Merdeka. Dicapai pada 5 Julai 2023.
  32. ^ Institusi Pendidikan Swasta, Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia, dicapai pada 5 Julai 2023
  33. ^ "Mana lebih baik, sekolah swasta atau sekolah kebangsaan?". Berita Harian. 23 November 2015. Dicapai pada 5 Julai 2023.
  34. ^ Abdullah, Madiha (12 Mei 2023). "Sekolah swasta vs sekolah kebangsaan: Ibu bapa lebih pentingkan hasil, keputusan". Berita Harian. Dicapai pada 5 Julai 2023.
  35. ^ Pengenalan, Bangi: Sekolah Sri Al-Amin Bangi, dicapai pada 5 Julai 2023
  36. ^ a b Malaysia, Perancis: UNESCO Institute for Statistics, dicapai pada 26 Januari 2023
  37. ^ a b Rahim, Faida (13 Januari 2023). "Lebih 170,000 murid sekolah di Malaysia tidak mahir membaca". Astro Awani. Dicapai pada 26 Januari 2023.