Penerbangan 93 United Airlines

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Penerbangan 93 United Airlines
Laluan penerbangan UA 93 dari New Jersey ke Pennsylvania.
perampasan
Tarikh11 September 2001 (2001-09-11)
RingkasanHijacking
Tapak kejadianStonycreek Township,
Somerset County, Pennsylvania
Pesawat
Jenis pesawatBoeing 757–222
PengendaliUnited Airlines
Kod pendaftaranN591UA
Asal penerbanganLapangan Terbang Antarabangsa Newark (kini Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty)
DestinasiLapangan Terbang Antarabangsa San Francisco
Penumpang37 (termasuk 4 perampas)
Anak kapal7
Kematian44 (semua)
Terselamat0

Penerbangan 93 United Airlines ialah penerbangan rentas benua berjadual pagi oleh United Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Newark di Newark, New Jersey, ke Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco di California. Pada 11 September 2001, sebuah pesawat Boeing 757–222 yang terbang mengikut laluan ini dirampas oleh empat orang pengganas al-Qaeda sebagai sebahagian serangan 11 September, lalu terhempas di sebuah padang dekat Shanksville, Pennsylvania dalam cubaan penumpang merampas balik pesawat.

Perampas memecah masuk kokpit pesawat lalu mengatasi juruterbang dan pembantu-pembantunya kira-kira 46 minit selepas berlepas. Ziad Jarrah, seorang juruterbang terlatih, kemudian menguasai pesawat lalu menghalakannya balik ke pantai timur Amerika Syarikat. Walaupun masih belum dibuktikan, ramai yang beranggapan bahawa sasarannya ialah Kapitol Amerika Syarikat di Washington, D.C.[1] ataupun Rumah Putih, mungkin dengan tujuan membunuh Presiden George W. Bush. Bagaimanapun, pada masa itu, Presiden sedang melawat sebuah sekolah rendah di Florida.

Selepas para perampas menawan pesawat, beberapa orang penumpang dan pramugara sempat membuat panggilan telefon dan mendapat tahu bahawa serangan telah pun dilakukan terhadap World Trade Center di New York dan Pentagon di Virginia. Oleh itu, sesetengah penumpang memutuskan untuk cuba merampas balik pesawat itu. Bagaimanapun, kapal terbang ini terhempas di sebidang padang di Kawasan Perbandaran Stonycreek dekat Shanksville di Kaunti Somerset, Pennsylvania, kira-kira 80 batu (130 km) di tenggara bandaraya Pittsburgh dan 150 batu (240 km) di barat laut Washington, D.C. Kesemua penumang, termasuk keempat-empat perampas, terkorban. Hempasan ini disaksikan oleh ramai orang di darat dan dilaporkan oleh agensi berita dalam masa sejam selepas kejadian.

Analisa susulan pada kotak hitam yang diambil dari tapak hempasan mendapati tindakan-tindakan yang diambil oleh penumpang untuk menghalang pesawat itu daripada mencapai sasarannya. Daripada keempat-empat pesawat yang ditawan pada 11 September – yang lain ialah Penerbangan 11 American Airlines, Penerbangan 77 American Airlines dan Penerbangan 175 United Airlines – Penerbangan 93 United Airlines sahajalah yang gagal menemui sasaran perampas.

Sebuah tugu peringatan tetap di tapak hempasan dijadualkan siap pada tahun 2011.[2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ United 93 Target Unknown
  2. ^ "September 11, 2011 Weekend". National Park Service. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-06-29. Dicapai pada 6 Julai 2011.