Pengakap Raja (Persekutuan Pengakap Malaysia)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pengakap Raja
Lencana Pengakap Raja
Nama lainڤڠاکڤ راج
King's Scout
皇家童军
ராஜாவின் சாரணர்கள்
NegaraMalaysia
PengasasPersekutuan Pengakap Malaysia
PemilikPersekutuan Pengakap Malaysia
Penerima<0.3% daripada keseluruhan ahli pengakap Malaysia (2020)
Dianugerahkan kepadaAhli pengakap yang mendapat pencapaian yang paling tertinggi dalam berpengakapan
Pengeluar Sijil DirajaPersekutuan Pengakap Malaysia
Penurunan tandatangan pada Sijil DirajaYang di-Pertuan Agong dan semua Sultan di Malaysia
PenilaiLembaga Penaraf Pengakap Raja
Portal Pengakap Sedunia

Pengakap Raja (Bahasa Inggeris: King's Scout),[nota 1] atau dikenali juga sebagai Anugerah Pengakap Raja (Bahasa Inggeris: King's Scout Award), merupakan anugerah yang paling tertinggi bagi Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM). Sijil Diraja Pengakap Raja telah ditandatangani oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta semua Sultan di Malaysia.

Anugerah Pengakap Raja ini mempunyai taraf yang sama dengan Eagle Scout di Amerika Syarikat dan Filipina, King's Scout di United Kingdom, Australia dan New Zealand, Dragon Scout di Hong Kong, President's Scout di Singapura, Pramuka Garuda di Indonesia, Tiger Scout di Korea, Fuji Scout di Jepun, Crown Scout di Belgium dan Belanda, King's Scout di Thailand, King's Venturer Award di Kanada dan banyak lagi.[1]

Demi melayakkan diri menerima anugerah yang paling berprestij ini, seseorang pengakap mesti mendapatkan lencana-lencana tertentu dan perlu melalui proses-proses tertentu.[2]

Terminologi[sunting | sunting sumber]

Sebutan yang betul bagi anugerah ini di Malaysia ialah Pengakap Raja (Bahasa Inggeris: King's Scout) dan bukannya Pengakap Diraja atau Pengakap DiRaja (Bahasa Inggeris: Royal's Scout).

Proses kelayakan[sunting | sunting sumber]

Proses awal[sunting | sunting sumber]

Pertama, calon hendaklah lulus semua lencana-lencana dari Lencana Keahlian, Lencana Kemajuan Pengakap Muda (Lencana Usaha, Maju dan Jaya serta 2 Lencana Kegemaran, 3 Lencana Pengetahuan dan 3 Lencana Perkhidmatan) pada peringkat Pengakap Muda (Tingkatan 1, 2 dan 3) sehingga Lencana-Lencana Tertinggi (Lencana Jayadiri, Kemahiran, Kegiatan, Ekspedisi dan Perkhidmatan) pada peringkat Pengakap Remaja (Tingkatan 4 dan 5).[2]

Calon hendaklah merekodkan segala bentuk ilmu pengetahuan, kemahiran atau bukti ke dalam buku log masing-masing.[3][4][5]

Seorang Pengakap Raja sedang bergambar dengan Sijil Diraja Pengakap Raja dan skrol miliknya.

Ujian Sikap Pengakap Raja[sunting | sunting sumber]

Seterusnya, calon yang berkelayakan akan menyerahkan borang permohonannya kepada pesuruhjaya pengakap daerah masing-masing beserta buku log dan sijilnya (semua lencana yang telah diterima). Mereka akan dinilai semasa Ujian Sikap Pengakap Raja (Kem Pentaksiran Pengakap Pra-Raja) dan akan berlangsung selama 4 hari 3 malam yang akan dianjurkan oleh Lembaga Penaraf Pengakap Raja Daerah masing-masing, yang mempunyai komponen-komponen ini:

  1. Tanggungjawab,
  2. Pengembaraan,
  3. Perkhidmatan Masyarakat,
  4. Kegiatan dan;
  5. Berdikari.[6]

Semua dokumentasi dan buku log yang dibuat oleh calon diperiksa sepenuhnya untuk penilaian oleh Lembaga Penaraf Pengakap Raja Daerah.[3][4][5]

Setelah calon melengkapkan dan lulus Ujian Sikap Pengakap Raja, dia diakui dan diberikan keizinan untuk memakai Rambu Pengakap Remaja atau dikenali sebagai Anugerah Ketua Pengakap Negara, yang berwarna kuning diraja.[7] Oleh hal yang demikian, calon mempunyai semua syarat yang siap untuk proses seterusnya.

Kem Penarafan Pengakap Raja[sunting | sunting sumber]

Seorang Pengakap Raja sedang bergambar dengan Sijil Diraja Pengakap Raja miliknya.

Setelah itu, calon kemudian perlu menghadiri Kem Penarafan Pengakap Raja (Kem Pentaksiran Pengakap Raja), 5 hari 4 malam yang akan dianjurkan oleh Lembaga Penaraf Pengakap Raja Negeri masing-masing. Penilaian sedemikian mengikut skema kebangsaan dan melibatkan:

  1. Perkhemahan,
  2. Model projek perintis,
  3. Pertolongan cemas,
  4. Perkiraan,
  5. Simpulan dan ikatan,
  6. Pentaksiran peta,
  7. Latihan kawad kaki dan kawad tongkat,
  8. Masakan rimba dari kayu api,
  9. Masakan moden,
  10. Lagu dan tarian tradisional,
  11. Wawancara secara peribadi dan berkumpulan,
  12. Pembuatan Bushman's Thong,
  13. Pembuatan kraftangan dan banyak lagi.[8]

Semua dokumentasi dan buku log yang dibuat oleh calon diperiksa sepenuhnya untuk penilaian oleh Lembaga Penaraf Pengakap Raja Negeri.[3][4][5]

Setelah lulus semua ujian yang diperlukan, calon diberikan dan diizinkan memakai Bushman's Thong berwarna kuning, yang dibuat sendiri pada kem penarafan tersebut dan akan dipakai pada Istiadat Penganugerahan Sijil Pengakap Raja.[9] Setelah calon melalui semua ujian yang telah ditetapkan, calon akan dimaklumkan oleh Lembaga Penaraf Pengakap Raja Negeri melalui pengetua sekolah sama ada mereka lulus atau tidak. Jika calon lulus kesemua ujian, surat rasmi jemputan akan dihantar ke rumah mereka tentang Istiadat Penganugerahan Sijil Pengakap Raja.

Pengambilan semula dan peratusan gagal[sunting | sunting sumber]

Jikalau calon gagal dalam mana-mana ujian tersebut, calon dibenarkan untuk menghadirinya sekali lagi sehingga calon lulus (atas pilihan calon sendiri) selagi tidak melanggar mana-mana syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Penaraf Pengakap Raja. Peratusan untuk calon lulus kesemua ujian adalah sangat tipis kerana kebanyakan calon gagal atau belum menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran berpengakapan.

Syarat kelayakan[sunting | sunting sumber]

Seorang Pengakap Remaja sebelum dianugerahkan Lencana dan Sijil Pengakap Raja hendaklah:

  1. Telah menjadi ahli pengakap sekurang-kurangnya 3 tahun berturut-turut sebelum memohon untuk menjalani Ujian Sikap Pengakap Raja.[nota 2]
  2. Telah lulus semua lencana-lencana dari Lencana Keahlian, Lencana Kemajuan Pengakap Muda (Lencana Usaha, Maju dan Jaya serta 2 Lencana Kegemaran, 3 Lencana Pengetahuan dan 3 Lencana Perkhidmatan) sehingga Lencana-Lencana Tertinggi (Lencana Jayadiri, Kemahiran, Kegiatan, Ekspedisi dan Perkhidmatan)[2] dan telah memegang Rambu Pengakap Remaja (Anugerah Ketua Pengakap Negara)[7] serta lulus Ujian Sikap Pengakap Raja (Kem Pentaksiran Pengakap Pra-Raja)[6] oleh Lembaga Penaraf Pengakap Raja Daerah (di peringkat pengakap daerah) dan Kem Penarafan Pengakap Raja (Kem Pentaksiran Pengakap Raja) oleh Lembaga Penaraf Pengakap Raja Negeri (di peringkat pengakap negeri).
  3. Telah memegang Rambu Pengakap Remaja (Anugerah Ketua Pengakap Negara) dan berumur tidak kurang daripada tujuh belas tahun semasa memohon untuk menjalani Kem Penarafan Pengakap Raja.
  4. Telah melengkapkan dan lulus dalam penilaian buku log oleh Lembaga Penaraf Pengakap Raja Daerah dan Lembaga Penaraf Pengakap Raja Negeri. Segala rekod dan bukti juga perlu direkodkan ke dalam buku log calon.[3][4][5]
  5. Diakui mempunyai kemahiran pengakap yang secukupnya dan bersedia mengamalkan kemahiran itu untuk masyarakat.
  6. Diakui oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara sebagai seorang pengakap yang berkelakuan baik dan berperibadian sebagai seorang pengakap yang boleh dijadikan teladan.

Syarat-syarat lain yang perlu dipenuhi berbeza mengikut syarat kelayakan daerah dan negeri masing-masing.

Istiadat penganugerahan, lencana dan sijil[sunting | sunting sumber]

Sijil Diraja Pengakap Raja.

Istiadat Penganugerahan Sijil Pengakap Raja[sunting | sunting sumber]

Mereka juga akan dijemput ke Istana Diraja negeri masing-masing (contohnya di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah[10] bagi negeri Kedah atau Istana Maziah, Kuala Terengganu, Terengganu[11] bagi negeri Terengganu) atau dewan yang ditempah khas (contohnya Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor[12] bagi negeri Selangor atau Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak[13] bagi negeri Perak) untuk dianugerahkan Sijil Pengakap Raja yang berprestij oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri di negeri tersebut.

Lencana Pengakap Raja[sunting | sunting sumber]

Sijil Perakuan Pengakap Raja, Lencana Pengakap Raja dan Bushman's Thong milik seorang Pengakap Raja.

Setelah seseorang calon dilayakkan untuk menerima Anugerah Pengakap Raja, calon akan memperoleh Lencana Pengakap Raja yang berwarna kuning, biru dan hijau[8] dan akan dipakai di lengan kiri calon. Lencana ini hanya boleh dikeluarkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) sahaja dan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya atau disalahgunakan oleh pihak lain.

Sijil Pengakap Raja[sunting | sunting sumber]

Dengan ini kamu telah diiktiraf sebagai seorang Pangakap Raja dan telah dilatih supaya taat kepada TUHAN, RAJA dan NEGARA serta berkhidmat kepada Masyarakat. Jadikanlah diri kamu ahli dalam PERSAUDARAAN PENGAKAP yang luas dan dihormati. Mudah - mudahan Tuhan akan sentiasa bersama kamu dalam menjalani hidup dengan selamat dan memperolehi kebahagiaan.[nota 3]

— Sijil Diraja Pengakap Raja

Sijil Diraja Pengakap Raja atau dikenali juga sebagai Sijil Pengakap Raja, telah dikeluarkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dan dianugerahkan oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri atas nama KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Malaysia sebagai Penaung PPM. Sijil ini unik kerana mempunyai 10 tandatangan, didahului oleh KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Malaysia sekarang dan 9 Sultan di negeri-negeri beraja.[14] Setakat ini, tidak ada sijil lain yang boleh menyamai atau menandingi Sijil Pengakap Raja.

Setelah menjadi seorang Pengakap Raja[sunting | sunting sumber]

Seseorang Pengakap Raja telah diharapkan untuk menjadi contoh bagi pengakap lain dan menjadi pemimpin dalam kehidupan yang telah mereka tunjukkan untuk berada dalam pengakap. Oleh hal yang demikian, mereka boleh bergabung dan menjadi ahli Persaudaraan Pengakap Raja Malaysia dan Persatuan Pengakap Berprestasi Tinggi (ATAS).

Persaudaraan Pengakap Raja Malaysia[sunting | sunting sumber]

Lencana Persaudaraan Pengakap Raja yang dikeluarkan oleh Persaudaraan Pengakap Raja Malaysia (PPRM).

Setelah lulus dan diiktiraf sebagai seorang Pengakap Raja, calon boleh mendaftarkan diri untuk menjadi ahli Persaudaraan Pengakap Raja Malaysia (PPRM) (Bahasa Inggeris: The King's Scout Brotherhood of Malaysia).[15]

Persatuan Pengakap Berprestasi Tinggi[sunting | sunting sumber]

Lencana Persatuan Pengakap Berprestasi Tinggi (ATAS).

Calon yang telah mendapat Anugerah Pengakap Raja layak untuk memohon untuk menjadi ahli Persatuan Pengakap Berprestasi Tinggi (ATAS) (Bahasa Inggeris: Association of Top Achiever Scouts) dan mendapatkan lencana yang dikeluarkan oleh ATAS.[16] Lencana ini dipakai di lengan kiri calon dan di bawah Lencana Pengakap Raja.

Dalam Persekutuan Pengakap Malaysia, untuk melayakkan diri memakai lencana ATAS, seseorang calon hendaklah menerima salah satu anugerah ini, sama ada:

  1. Anugerah Pengakap Raja[17] (untuk peringkat Pengakap Remaja) ataupun;
  2. Anugerah Baden-Powell[18][19] (untuk peringkat Pengakap Kelana).

Anugerah-anugerah[sunting | sunting sumber]

Persaudaraan Pengakap Raja Malaysia (PPRM) telah mengasaskan anugerah-anugerah yang akan diberikan kepada seorang Pengakap Raja yang telah berkhidmat di dalam kepakarannya dan berbakti kepada komuniti, masyarakat, bangsa dan negara. Idea ini telah diilhamkan pada 2016 oleh Pemangku Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Profesor Dato' Dr. Haji Mohd Zin bin Bidin yang juga merupakan seorang Pengakap Raja. Anugerah-anugerah ini kemudiannya digazetkan pada 1 Januari 2023. Terdapat enam anugerah iaitu:

  1. Anugerah Kenyalang (Bahasa Inggeris: The Hornbill Award)
  2. Anugerah Harimau Malaya Perak (Bahasa Inggeris: The Silver Malayan Tiger Award)
  3. Anugerah Harimau Malaya Gangsa (Bahasa Inggeris: The Bronze Malayan Tiger Award)
  4. Anugerah Perkhidmatan Baik (Bahasa Inggeris: Good Service Award)
  5. Anugerah Perkhidmatan Lama (Bahasa Inggeris: Long Service Award)
    1. 15 Tahun
    2. 10 Tahun
    3. 5 Tahun
  6. Sijil Khidmat Terpuji (Bahasa Inggeris: Certificate of Commendable Service)

Penerima terkenal untuk anugerah ini termasuklah Mejar Jeneral (B.) Profesor Dato' Dr. Haji Mohd Zin bin Bidin, pemangku Ketua Pengakap Negara Malaysia terkini; Dato' Syed Ahmad Idid bin Syed Abdullah, bekas hakim Mahkamah Tinggi Malaysia; dan Eric Khoo Heng-Pheng, bekas Ahli Jawatankuasa Pengakap Dunia yang telah disampaikan dengan Anugerah Harimau Malaya Gangsa.[nota 4]

Penerima[sunting | sunting sumber]

Penerima Anugerah Pengakap Raja yang terkenal termasuklah:

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: ڤڠاکڤ راج
    Mandarin: 国王的侦察兵
    Tamil: ராஜாவின் சாரணர்கள்
  2. ^ Hampir kesemua calon Pengakap Raja memulakan aktiviti berkepengakap mereka dari Darjah 4 (di peringkat sekolah rendah) atau Tingkatan 1 (di peringkat sekolah menengah).
  3. ^ Diterjemahkan sebagai "With this you have been recognized as a King's Scout and have been trained to obey GOD, KING and NATION as well as serve the Community. Become a member of a broad and respected SCOUT BROTHERHOOD. Hopefully God will always be with you in living a safe and happy life."
  4. ^ Eric Khoo Heng-Pheng telah dianugerahkan secara anumerta.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Highest Rank/Award/Badge in Scouting & Guiding". Adventure! Troop 97 Website. Dicapai pada 9 October 2020.
  2. ^ a b c "Ke Arah Pengakap Raja!!". Scout41panindah Website. Dicapai pada 11 September 2020.
  3. ^ a b c d "PANDUAN MEMBUAT BUKU LOG". 01 Seremban Timur Blogspot. Dicapai pada 11 September 2020.
  4. ^ a b c d "Persediaan Untuk Pengakap Raja". Scribd. Dicapai pada 11 September 2020.
  5. ^ a b c d "PANDUAN MENYEDIAKAN BUKU LOG PENGAKAP". Scouting in Sabah Blogspot. Dicapai pada 11 September 2020.
  6. ^ a b "UJIAN SIKAP PENGAKAP RAJA". Pengakap Remaja Blogspot. Dicapai pada 11 September 2020.
  7. ^ a b "ANUGERAH KETUA PENGAKAP NEGARA". Pengakap Remaja Blogspot. Dicapai pada 11 September 2020.
  8. ^ a b "PENTARAFAN PENGAKAP RAJA". Pengakap Remaja Blogspot. Dicapai pada 11 September 2020.
  9. ^ "Penarafan Pengakap Raja (Temuduga A & Bushmanthong) Negeri Kedah". Scout Website. Dicapai pada 11 September 2020.
  10. ^ "15 TERIMA ANUGERAH PENGAKAP RAJA 2010". Blogspot. Dicapai pada 11 September 2020.
  11. ^ "Pemangku Raja Kurnia Bintang Pengakap". Terengganu Govt Website. Dicapai pada 11 September 2020.[pautan mati kekal]
  12. ^ "256 remaja terima Sijil Pengakap Raja". Berita Harian. Dicapai pada 11 September 2020.
  13. ^ "287 terima sijil Pengakap Raja". PressReader. Dicapai pada 11 September 2020.
  14. ^ "Sijil Diraja Pengakap Raja". Pengakap SMK Kuala Nerang Blogspot. Dicapai pada 16 September 2020.
  15. ^ "Menjadi Ahli Persaudaraan". Persaudaraan Pengakap Raja Malaysia Negeri Perak. Dicapai pada 18 Januari 2021.
  16. ^ "Association of Top Achiever Scouts (ATAS)". Scouts Australia. Dicapai pada 16 September 2020.
  17. ^ "How To Register To Be ATAS (Association of Top/Achiever Scouts) World Member". Kokonian Blogspot. Dicapai pada 11 September 2020.
  18. ^ "ANUGERAH B-P". Pengakap Remaja Blogspot. Dicapai pada 11 September 2020.
  19. ^ "UJIAN KELAYAKAN BADEN POWELL AWARD DAN MAJLIS ISTIADAT PERBARISAN DAN PENGANUGERAHAN BADEN POWELL (BP-AWARD)". Scout Website. Dicapai pada 12 September 2020.
  20. ^ "PPM mohon dana khas baiki 12 kem pengakap". PressReader. Dicapai pada 11 September 2020.
  21. ^ "Bekas hakim, Dato Syed Ahmad Idid dinobatkan sebagai penerima pertama Anugerah Harimau Gangsa oleh Pengakap Raja Malaysia". Dagang News. Dicapai pada 11 October 2023.
  22. ^ "Majer (B) Mior Rosli (ARBS 1969–1973)". Aroba. Dicapai pada 11 September 2020.
  23. ^ "Slide Organisasi PPM". Slideshare. Dicapai pada 11 September 2020.