Pengangkutan di Sarawak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Struktur geografi Sarawak yang landai serta berbukit bukau diselangi dengan jaringan sungai-sungai yang berselirat menjadi faktor mengapa pengangkutan paling utama di negeri ini adalah melalui sungai dan juga udara. Tambahan pula negeri Sarawak ialah negeri terbesar di Malaysia.

Walau bagaimanapun kini pengangkutan darat melalui jalan raya semakin penting dengan terbinanya Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan ibu negeri Kuching dengan bandar-bandar utama yang lain seperti Sri Aman, Sibu, Sarikei, Bintangor, Bintulu, Mukah, Miri dan Limbang. Bandar Sibu juga boleh dihubungi melalui pengangkutan sungai dan amat sinonim dengan bot-bot expres yang menjadikan bandar Sibu sebagai pusat utama untuk pemunggahan barang dagangan yang datangnya dari bandar dan pekan-pekan sekitar seperti Sarikei, Kanowit, Song dan Kapit. Terdapat bas yang menghubungkan Pontianak, Indonesia dengan Kuching dan Bandar Seri Begawan, Brunei dengan Miri.

Bandar Kuching, Sibu, Miri, Bintulu, Mukah, Limbang dan Lawas juga boleh dihubungi melalui pengangkutan udara. Pekan-pekan kecil di kawasan pendalaman seperti Bario dan Ba'kelalan juga boleh dihubungi melalui laluan udara.