Pengeboman Singapura (1944–45)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pengeboman Singapura (1944–45) merupakan kempen ketenteraan oleh tentera udara pihak Berikat ketika Perang Dunia Kedua. Unit pengebom jarak jauh Angkatan Udara Tentera Darat Amerika Syarikat (USAAF) telah melakukan serangan udara ke atas pendudukan Jepun di Singapura di antara November 1944 sehingga Mac 1945. Kebanyakan serangan ini mensasarkan pulau pangkalan laut dan kemudahan-kemudahannya. Misi peletakan ranjau turut dilakukan di sekitar perairan Singapura. Setelah unit pengebom Amerika dipindahkan, Tentera Udara Diraja British menggalas tanggungjawab untuk operasi peletakan ranjau di sekitar Singapura dan hal ini berlanjutan sehingga 24 Mei 1945.

Serangan ini mempunyai hasil yang berbeza-beza. Walaupun kerosakan yang ketara berlaku ke atas pangkalan tentera laut dan pelabuhan komersial penting Singapura, beberapa serangan ke atas sasaran-sasaran ini tidak berjaya dan serangan lain ke atas kemudahan penyimpanan minyak di pulau-pulau berhampiran Singapura tidak efektif. Kempen peletakan ranjau telah mengganggu perkapalan Jepun di sekitar Singapura dan menyebabkan kehilangan tiga kapal dan sepuluh yang lain mengalami kerosakan. Serangan udara pihak Berikat telah berjaya meningkatkan moral penduduk Singapura yang percaya serangan ini menandakan pembebasan akan berlaku di Singapura. Jumlah orang awam yang terbunuh dalam serangan ini adalah rendah, walaupun pekerja awam terbunuh semasa serangan ke atas kemudahan ketenteraan; namun satu serangan menyebabkan beratus-ratus penduduk kehilangan tempat tinggal.