Pengepungan Famagusta

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pengepungan Famagusta
Sebahagian daripada Perang Uthmaniyah–Venezia (1570–73)

Pengepugan Famagusta oleh Giovanni Camocio pada 1574.
Tarikh17 September 1570 – 5 Ogos 1571
Lokasi35°07′30″N 33°56′30″E / 35.12500°N 33.94167°E / 35.12500; 33.94167Koordinat: 35°07′30″N 33°56′30″E / 35.12500°N 33.94167°E / 35.12500; 33.94167
Keputusan Kejayaan Pyrrhic Uthmaniyah
Perubahan
wilayah
Cyprus berada di bawah pemerintahan Uthmaniyah
Pihak yang terlibat
Republik Venezia Empayar Uthmaniyyah
Komandan dan pemimpin
Marco Antonio BragadinTemplat:Executed Lala Kara Mustafa Pasha
Kekuatan
8,500[1] 100,000–120,000[2]
Kerugian dan korban
7,600 terbunuh
900 ditawan
52,000 terbunuh[3]

Pengepungan Famagusta berlaku di Famagusta semasa berada di bawah pemerintahan Venezia. Famagusta jatuh ke tangan Uthmaniyah pada Ogos 1571 setelah kota tersebut telah dikepung selama setahun.[4]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Peta Famagusta pada penghujung abad ke-16.

Setelah kejatuhan kota Nicosia ke tangan Uthmaniyah, banyak kubu di Cyprus telah menyerah tanpa melakukan sebarang penentangan terhadap Uthmaniyah. Hal ini menandakan betapa lemahnya kedudukan Venezia di Cyprus. Kubu yang tinggal hanyalah pelabuhan Famagusta yang berada di bawah Gabenor Astorre Baglioni dan Jeneral Marco Bragadino. Berbeza dengan Dandolo, Baglione telah membaik pulih kubu pertahanan Famagusta yang telah tertunda sejurus selepas ketibaannya di sana pada bulan Mei. Kemakmuran kota Nicosia telah memanfaatkannya sedikit masa melakukan persiapan kerana ramai tentera janissari dan sipahi meninggalkan kempen ini untuk pulang ke halaman masing-masing membawa barang dan harta rampasan. Kesemua mereka telah digantikan oleh tentera sukarelawan Uthmaniyah yang kekurangan disiplin dan latihan. Tentera ini telah dijanjikan harta lalu mereka telah meninggalkan Nicosia dan menuju ke Famagusta untuk mengepung kubu harapan terakhir Venezia.

Di lautan, armada Venezia menunjukkan sedikit kesungguhan berbanding penentangan yang dilakukan oleh Dandolo di Nicosia. Sesetengah serbuan Venezia ke atas Cyclades Uthmaniyah sedikit sebanyak telah mengganggu dan melemahkan kempen Uthmaniyah untuk menawan Cyprus. Namun, hierarki patrician telah menggantikan keluarga bangsawan Quirini yang berkebolehan kepada keluarga Barbarigo yang lemah atas arahan angkatan laut. Pasukan gabungan Liga Suci ini beransur-beransur berkumpul di Crete. Pihak Venezia sememangnya menyokong usaha ini untuk menyelamatkan Cyprus dengan segera. Namun, Genoa dan Sepanyol merasakan usaha ini hanyalah sia-sia dan akan memakan diri. Apabila kempen pada tahun 1570 ini sampai ke penghujungnya, pasukan Liga Suci yang baru ini hanya mempunyai sedikit pertunjukan untuk tahun tersebut.

Uthmaniyah telah dilanda beberapa masalah setelah mereka memilih untuk pulang ke Constantinople bersama dengan harta rampasan daripada mengikuti arahan laksamana berpengalaman Uthmaniyah, Piyale Pasha untuk menyerbu pasukan Kristian di Crete. Arahan tersebut telah diabaikan sekali gus menjatuhkan reputasi beliau sebagai seorang laksamana yang unggul.

Pengepungan[sunting | sunting sumber]

Tahun 1571 merupakan tahun penentu bagi kedua-dua pihak. Kota Famagusta terus dikepung sepanjang musim sejuk walaupun bilangan tentera Uthmaniyah yang berkurang melancarkan serangan terhadap benteng Famagusta yang telah lama dan usang. Pada penghujung bulan Januari, Qurini berjaya menghantar tentera bantuan dan bekalan tambahan ke Famagusta dari Crete. Beliau telah memusnahkan tiga buah kapal gali dan satu pasukan meriam musuh semasa tentera Uthmaniyah sedang menyambut permulaan bulan Ramadan. Beliau juga menawan sebuah kapal haji dan kapal-kapal musuh lain yang membawa bantuan. Tentera-tentera di dalam kapal musuh tersebut dibawa belayar ke Crete manakala penumpang yang lain dikerah menjadi hamba untuk mendayung kapal Venezia. Namun, beliau telah menyerahkan jemaah yang ingin mengerjakan ibadah haji itu kepada Marco Bragadino sebagai tawanan dan ia merupakan satu keputusan yang akan meninggalkan impak besar nanti.

Kempen bermula semula dengan bersungguh-sungguh pada awal bulan April. Müezzinzade Ali kembali ke Cyprus bersama dengan tentera baru kerana tertarik dengan harta-harta lumayan yang dirampas dari Nicosia. Uluch Ali terus melancarkan serbuan sepanjang laluan Kepulauan Ionia dari Strofades hingga ke Modon sebelum beliau menyertai armada Uthmaniyah di Cyprus pada bulan Mei.

Di pihak Kristian, pembangunan dan perkembangan ketenteraan agak perlahan. Untuk menggalakkan kerjasama antara ahli Liga Suci, Don Juan telah diletakkan sebagai panglima tertinggi sekali gus menyeragamkan struktur arahan untuk pasukan armada yang tidak teratur. Sementara itu di Famagusta, Astorre Baglioni terus bertahan bersama dengan jumlah tentera yang kecil seramai 9,000 orang. Di sini, terdapat beberapa sebab mengapa kempen Uthmaniyah di Famagusta terbukti sangat merugikan berbanding dengan kubu Nicosia yang jauh lebih kukuh dan teratur. Hal ini kerana Baglioni telah mengirim beberapa pasukannya untuk menyerang askar bersenjata Uthmaniyah dan turut membakar kerja-kerja pengepungan yang dilakukan musuh. Kavalri Albania yang ditugaskan ini bertindak menyerbu pasukan pengepung Uthmaniyah sehinggakan mengundang kebinasaan terhadap sasarannya. Tambahan lagi, Baglioni berusaha mendapatkan kepercayaan dan kesetiaan daripada penduduk asal Cyprus. Beliau seterusnya memimpin sendiri beberapa siri serangan dan terlibat dalam pertarungan satu lawan satu dengan seorang pemimpin tentera Uthmaniyah. Setelah menewaskan musuhnya itu sehingga mengalami cedera parah, beliau membawanya ke dalam kubu untuk diarak di hadapan pasukan pertahanan Famagusta. Walaupun kelihatan betapa beraninya pasukan bertahan ini, ia akhirnya sia-sia. Kawasan bukit-bukau dan taman-taman di selatan Famagusta dijadikan sebagai tapak kem Uthmaniyah yang utama dan ruang yang sesuai bagi meriam Uthmaniyah melakukan ledakan ke arah kubu.

Pada 19 Mei, tentera Uthmaniyah berjaya menggali di sekeliling kota Famagusta. Pada 21 dan 29 Mei, bahan peledak telah ditanam di bawah benteng pertahanan oleh penggali Uthmaniyah. Walaupun setiap serangan Uthmaniyah yang direncanakan telah ditangkis, pasukan bertahan tetap merosot dengan mendadak. Lala Mustafa menawarkan rundingan penyerahan kalah kepada pihak musuh. Walau bagaimanapun ia tidak seperti apa yang dijangkakan olehnya. Kota Famagusta terus bertahan sepanjang bulan Jun sehingga memasuki pertengahan bulan Julai apabila tentera Uthmaniyah melakukan serangan ke atas benteng pertahanan hampir pada setiap hari.

Pada 9 Julai, satu bahagian benteng pertahanan yang terletak di selatan kota telah runtuh akibat letupan yang daripada peledak Venezia secara tidak sengaja. Ledakan tersebut telah meragut nyawa tentera Turki dan Venezia. Sejurus setelah ia runtuh, tentera Uthmaniyah terus melancarkan serangan deras. Akhirnya pada 1 Ogos, Marco Bragadino yang meninggalkan tugas mempertahankan kubu kepada Baglione meskipun ia masih kekal di bawah arahannya telah mengibarkan bendera putih di Famagusta. Sebelum peristiwa itu, beliau telah melakukan penentangan terakhir untuk melepaskan rasa dendamnya yang membara. Beliau bertindak membunuh jemaah-jemaah haji yang telah ditawan sebelum ini, memusnahkan bekalan makanan, bekalan peluru dan kapas-kapas berharga diarahkan untuk dibakar bagi mengelakkan ia daripada menjadi kegunaan Uthmaniyah.

Rentetan[sunting | sunting sumber]

Tentera Uthmaniyah mengalami kerugian nyawa yang besar semasa dalam proses mengambil alih Famagusta. Apabila tawaran awal yang dibuat oleh Mustafa Pasha telah ditolak, situasi menjadi tegang. Namun, beliau cuba memberi tawaran baru yang agak baik. Saki baki tentera Venezia boleh meninggalkan kota ini dan penduduk Cyprus di kota itu diberi pilihan sama ada berpindah dengan segera atau sekiranya mereka merasakan pemerintahan Uthmaniyah lebih kasar berbanding Venezia, mereka boleh berpindah dalam tempoh dua tahun selepas penyerahan kota tersebut kepada Uthmaniyah.

Pada empat hari pertama, pemindahan pasukan bertahan berjalan dengan lancar. Walau bagaimanapun, apabila tawaran Mustafa itu akhirnya diterima oleh Marco Bragadino, Mustafa pula menginginkan jaminan keselamatan kepada perjalanan pulang jemaah haji yang telah dibunuh oleh Bragadino. Apabila jemaah haji tersebut tidak datang dan muncul, Bragadino sendiri dipanggil ke kem Uthmaniyah pada 5 Ogos. Dalam perbincangan yang singkat, Bragadino telah dipersoalkan tentang nasib jemaah haji dan bekalan makanan di Famagusta. Mustafa akhirnya naik marah apabila beliau dapat tahu tentang keadaan sebenar. Sesetengah pihak mendakwa tindakan Mustafa ini merupakan satu tipu helah dan mereka mendakwa Mustafa sebenarnya sudah tahu akan nasib yang menimpa jemaah haji tersebut dan ia digunakan sebagai alasan untuknya merampas kota Famagusta. Sesetengah pula berpendapat beliau benar-benar terkejut dan berang akan tindakan Bragadino. Apapun alasannya, hidung dan telinga Bragadino telah dikerat dan beliau kemudian dipenjarakan sebelum dibunuh. Peristiwa ini disusuli oleh penjarahan kota Famagusta besar-besaran. Cyprus akhirnya berada di bawah kekuasaan Uthmaniyah.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ name=Turnbull
  2. ^ name=Turnbull
  3. ^ Clodfelter, Micheal (2017). Warfare and Armed Conflicts: A Statistical Encyclopedia of Casualty and Other Figures, 1492-2015, 4th ed. McFarland. m/s. 26. ISBN 978-0786474707.
  4. ^ Madden. Page 329.