Pengguna:26 Ramadan/Laman Utama/Kotak Pasir/Senarai rencana pilihan/2011

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Senarai ini memaparkan sedikit fakta dan maklumat tentang rencana yang menjadi pilihan.

Senarai[sunting | sunting sumber]

Rencana pilihan bulan Julai

Minggu 27 - Minggu 30[sunting | sunting sumber]

Rumah opera Teatro alla Scala di Milan, Itali.
Rumah opera Teatro alla Scala di Milan, Itali.

Opera ialah teater muzikal yang mana keseluruhan pementasannya disampaikan dalam bentuk nyanyian dan lagu. Opera bermula di Itali pada sekitar tahun 1600 dan kebiasaannya dihubungkaitkan dengan muzik klasikal tradisi Eropah ataupun dikenali sebagai muzik barat. Opera menggunakan unsur-unsur teater percakapan seperti pemandangan (untuk pentas dan latar belakangnya), kostum yang bersesuaian dengan tajuk opera, dan juga seni lakonan. Walau bagaimanapun, dibandingkan dengan pementasan drama biasa, opera secara umumnya dikenali ramai dengan kepentingan lagu-lagunya dan teknik nyanyian vokal. Penyanyi opera menyanyi bersama kumpulan muzik yang boleh merangkumi kumpulan yang sederhana besar sehingga ke kumpulan yang besar seperti simfoni penuh ataupun lebih dikenali sebagai orkestra. Opera juga disampaikan dalam bentuk tarian, terutamanya opera Perancis berdasarkan sejarahnya.

Terdapat banyak perbandingan bentuk seni dari lain-lain jenis teater opera di dunia dan kebanyakannya berasal dari seni lama atau purbakala yang kadang-kala juga dipanggil “opera” sebagai analogi kepada pembuka kata adjektif merujuk kepada bahagian-bahagian dunia yang lain seperti opera Cina. Tradisi bebas begini (contohnya opera cina) tidak diambil dari opera Eropah dan ia juga berbentuk agak berbeza dengan teater muzikal. Opera bukanlah hanya satu-satu jenis teater muzikal barat; di dalam dunia kuno pementasan lakonan Greek ada juga nyanyian yang ditemani dengan alat-alat muzik; dan juga di masa kini, terdapat juga bentuk teater muzikal contohnya "Broadway".


"Big Bang" (Korea: 빅뱅, makna harfiah: "Letupan Besar", sering digayakan sebagai BIGBANG) merupakan sebuah kugiran yang berasal dari Korea Selatan. Pembentukan band ini bermula daripada sebuah siri televisyen iaitu "Dokumentari Big Bang" ("Big Bang Documentary") yang disiarkan pada bulan Julai hingga bulan Ogos tahun 2006. Rancangan tersebut juga ditayangkan secara dalam talian di GomTV dan MTV Korea. Pada asalnya terdapat enam orang ahli tetapi salah seorang daripadanya telah tersingkir dalam tayangan rancangan itu sebelum debut bagi kugiran itu diadakan secara rasmi.

Kumpulan atau kugiran yang berada di bawah syarikat YG Entertainment ini pernah melancarkan beberapa "single" dan "EP" yang berjaya. Dalam "EP" pertama mereka, "Always", terdapat satu lagu "single" iaitu "Lies" (Korea: 거짓말, Perumian Semakan: Geojitmal, Melayu: Penipuan). "EP" mereka yang seterusnya iaitu "Hot Issue" dan "Stand Up" juga mendapat sambutan yang membanggakan. Selepas mereka menerima anugerah "Artis Tahun Ini" pada tahun 2008 dalam Festival Muzik KM M.net ("M.net KM Music Festival") dan Anugerah Seoul Gayo Daesang, kumpulan ini melebarkan sayap ke Jepun serta melancarkan album-mini dan "single". Promosi besar-besaran di Jepun dilakukan pada tahun berikutnya bersama "single" Jepun pertama mereka, "My Heaven".



frames
frames

Naruto (Jepun: —ナルト—) merupakan satu siri manga yang dihasilkan oleh seorang kartunis bernama Masashi Kishimoto yang mana turut mempunyai rancangan anime atau animasi televisyen tersendiri dengan judul yang sama. Berkisarkan tentang watak utama yang bernama Uzumaki Naruto, seorang pemuda yang bersikap nakal, hiperaktif dan tidak mendapat pengiktirafan oleh masyarakat sekitarnya. Naruto bercita-cita untuk menjadi seorang Hokage iaitu satu gelaran yang diberikan untuk Kage atau ketua ninja, selaku ninja terkuat di sesebuah kampung dengan harapan untuk mendapet pengiktirafan dan membuang tanggapan negatif masyarakat sekitar terhadap dirinya.

Manga ini membuat kemunculan sulungnya pada tahun 1999 dan telah diterbitkan oleh Shueisha di dalam majalah Shōnen Jump isu ke-43. Versi Bahasa Inggeris pula telah diterbitkan oleh Viz Media di dalam Shonen Jump versi Amerika di mana ia menjadi jualan siri manga tertinggi syarikat tersebut. Di Malaysia, siri manga Naruto versi Bahasa Melayu telah diterbitkan oleh Comics House.


Wikipedia ialah sebuah ensiklopedia yang boleh diubah suai dan dibina secara kerjasama dengan menggunakan perisian wiki. Wikipedia dikendalikan oleh Yayasan Wikimedia yang tidak mengambil apa-apa keuntungan daripada khidmat yang diberikan. Sebagai tambahan kepada matlamat ensiklopedia iaitu untuk memberikan pengetahuan, Wikipedia juga memasukkan maklumat yang lebih kerap dikaitkan dengan almanak dan jurnal, dan juga perkara semasa. Kandungan Wikipedia dibina sepenuhnya oleh para penggunanya. Tidak ada seorang pun yang dapat memiliki maklumat yang terdapat di dalamnya dan tidak ada rencana yang akan ditamatkan. Satu lesen yang dikenali GFDL telah dicipta untuk memastikan setiap orang mengakui bahawa setiap orang mempunyai hak untuk memperbaiki setiap rencana.

Wikipedia adalah berkandungan terbuka, bermaksud ia boleh digunakan secara bebas, boleh disunting secara bebas, dan bebas untuk disalin dan disebarkan. Senang dikatakan, Wikipedia adalah kerja keras yang unik yang tidak wujud dalam ensiklopedia tradisional. Ia mempunyai sistem baik-pulih-sendiri dalam melalui cabaran-cabaran ini. Wikipedia bermula sebagai projek Bahasa Inggeris pada 15 Januari, 2001, dan kemudiannya mendapat bahasa lainnya yang pertama, Perancis pada 23 Mac 2001. Wikipedia bahasa Melayu pula bermula pada 28 Januari 2003. Terdapat banyak usaha yang telah terlibat untuk membuatkannya berbilang bahasa, dan pada masa ini ia telah mengandungi lebih 18 juta rencana dan lebih 3.6 juta ialah rencana dalam bahasa Inggeris.


Rencana pilihan bulan Ogos

Minggu 31 - Minggu 34[sunting | sunting sumber]

frames
frames

Islam (Arab: الإسلام‎; al-'islām) ialah agama samawi yang terkandung dalam al-Quran, yang dianggap penganutnya sebagai kalam Allah (الله, Allāh), kata demi kata, serta ajaran dan contoh normatif nabi terakhir Nabi Muhammad s.a.w., seorang tokoh politik dan keagamaan Arab abad ke-7. Perkataan Islam bermaksud "penyerahan", atau penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah. Seorang penganut Islam dikenali sebagai Muslim, bermaksud "seorang yang tunduk kepada Allah".

Muslim percaya bahawa Allah itu Esa dan tujuan hidup ialah untuk menyembah Tuhan. Muslim juga percaya bahawa Islam merupakan versi lengkap dan sejagat kepercayaan monoteistik ajaran Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s., dan lain-lain nabi. Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah pengasas agama baharu, sebaliknya menjadi pemulih keimanan monoteistik ajaran nabi-nabi terdahulu. Tradisi Islam menegaskan bahawa agama Yahudi dan Kristian memutarbalikkan wahyu yang Allah berikan kepada nabi-nabi ini dengan mengubah teks atau memperkenalkan tafsiran palsu, atau kedua-duanya.


frames
frames

Demon's Souls (Jepun: デモンズソウル, Hepburn: dimənz soʊlz) merupakan sebuah judul permainan video berperanan dengan elemen aksi yang direka oleh From Software (dengan bantuan daripada SCE Japan Studio) secara eksklusif untuk konsol PlayStation 3. Judul ini dikeluarkan di Jepun pada 5 Februari 2009 dan diterbitkan oleh Sony Computer Entertainment di Amerika Utara pula pada 7 Oktober 2009. Permainan ini juga diterbitkan oleh Atlus dan dilancarkan di Eropah pada 25 Jun 2010 serta diterbitkan oleh Namco Bandai.

Bertemakan sebuah dunia Eropah purba, para pemain mengawal seorang pahlawan yang telah menjejakkan kaki ke negeri jajahan Boletaria, yang kini telah ditelan oleh sejenis kabus yang membawa dengannya syaitan dan makhluk-makhluk ganas yang memakan roh manusia hidup. Permainan video ini dikaitkan dengan siri King's Field, iaitu sebuah siri judul-judul daripada pereka yang sama. Gaya permainannya bercorakkan sebuah sistem penciptaan watak dengan penekanan kepada pengumpulan barang-barang melalui pertarungan dengan musuh dalam dunia yang tidak linear serta bervariasi.


frames
frames

Jepun (bahasa Jepun: 日本 Nippon/Nihon, nama rasmi:日本国 Nipponkoku/Nihonkoku Mengenai audio inidengarkan ) adalah sebuah negara kepulauan di Asia Timur yang terletak di sebelah barat Lautan Pasifik, di sebelah timur Laut Jepun, dan berjiran dengan Republik Rakyat China, Korea, dan Rusia. Pulau-pulau paling utara terletak di Laut Okhotsk, dan wilayah paling selatan pula merupakan sekelompok pulau-pulau kecil di Laut China Timur iaitu kawasan selatan Okinawa yang berjiran dengan Taiwan.

Jepun terdiri daripada 6,852 pulau yang membentuk segugusan kepulauan. Pulau-pulau utama dari utara ke selatan adalah Hokkaido, Honshu (pulau terbesar), Shikoku, dan Kyushu. Lebih kurang 97% wilayah daratan Jepun berada di keempat-empat pulau terbesarnya. Sebagian besar pulau di Jepun bergunung-gunung, dan sebahagian di antaranya merupakan gunung berapi. Gunung tertinggi di Jepun ialah Gunung Fuji yang merupakan sebuah gunung berapi yang pendam. Tokyo ialah ibu negara Jepun yang bertaraf "kawasan metropolitan".


frames
frames

Negara Brunei Darussalam (Jawi: نڬارا بروني دارالسلام) ialah sebuah negara kecil yang kaya dengan sumber minyak dan terletak di sebelah utara pulau Borneo. Brunei dikelilingi Malaysia dengan dua bahagian Brunei dipisahkan di daratan oleh Malaysia. Nama Borneo diambil berdasarkan nama negara ini. Ini adalah disebabkan pada zaman dahulu, Brunei mempunyai pengaruh dan kuasa yang kuat di pulau Borneo.

Brunei dikelilingi oleh negara Malaysia di bahagian selatan, barat dan timurnya serta Laut China Selatan di utara dan Teluk Brunei di bahagian timur laut. Brunei terdiri daripada dua bahagian yang dipisahkan oleh negeri Sarawak, Malaysia dengan keluasan 5765 kilometer persegi (2226 batu persegi). Bahagian barat negara Brunei terdiri daripada Belait, Tutong dan Brunei Muara serta Temburong di bahagian timur. Garis pantai di Brunei ialah sepanjang 161 kilometer (100 batu) dan berkongsi 381 kilometer (237 batu) garis sempadan dengan Malaysia. Keluasan kawasan perairan di Laut China Selatan pula ialah 500 kilometer persegi (193 batu persegi) dan 200 batu nautika bagi kawasan Zon Ekonomi Eksklusif.

Rencana pilihan bulan September

Minggu 37 - Minggu 39[sunting | sunting sumber]

frames
frames

Hari Raya Aidilfitri (Arab: عيد الفطر‎; Ayd al-Fiṭr; "perayaan fitrah") disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah dan Hari Lebaran. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia tidak kira bangsa sama ada Melayu, India-Muslim dan lain-lain bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam selain Hari Raya Aidiladha.

Hari Raya Puasa bermula melalui dua cara; iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab (kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan, ini menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam Takwim Hijrah Islam. Di Malaysia, anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik.


frames
frames

Serangan 11 September 2001 (juga digelar 9/11) ialah empat siri serangan berani mati yang teratur oleh al-Qaeda ke atas Amerika Syarikat pada 11 September 2001. Pada pagi itu, 19 orang pengganas al-Qaeda merampas empat buah kapal terbang penumpang komersil. Para perampas itu sengaja menghempaskan dua pesawat itu ke dalam Menara Berkembar Pusat Dagangan Dunia di Bandaraya New York, sekaligus mengorbankan nyawa semua penumpang dan kebanyakan pekerja dalam bangunan terbabit.

Kedua-dua menara runtuh dalam masa dua jam, menyebabkan bangunan berdekatan turut musnah atau mengalami kerosakan. Mereka juga menghempaskan pesawat ketiga ke dalam bangunan The Pentagon di Arlington, Virginia, dekat Washington, D.C.. Kapal terbang yang keempat pula terhempas di atas kawasan berdekatan pekan Shanksville di negeri Pennsylvania setelah beberapa penumpang dan kakitangannya cuba merampas semula kapal terbang itu yang dihalakan oleh perampas ke arah Washington, D.C., untuk menyasar Bangunan Kapitol atau Rumah Putih. Semua penumpang keempat-empat pesawat terkorban.



frames
frames

Rancangan Malaysia Kedua (RMK2) (1971 - 1975) merupakan satu rancangan pembangunan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia dengan sasaran melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tujuan rancangan ini diwujudkan adalah untuk menyusun semula masyarakat dan mengurangkan penguasaan kaum Cina dan orang-orang asing dalam sektor ekonomi di Malaysia sekaligus memperbaiki kedudukan ekonomi orang-orang Melayu.

RMK2 menggantikan Rancangan Malaysia Pertama (RMP) yang mempunyai tujuan sama iaitu menangani masalah kemiskinan di kalangan orang-orang Melayu. Namun begitu, RMP dilihat kurang berjaya mengatasi isu kemiskinan ini, sehinggakan masalah ini menjadi salah satu penyebab berlakunya Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 apabila rusuhan kaum tercetus di Kuala Lumpur. Pelaksanaan RMK2 dilihat oleh sesetengah golongan sebagai berlebih-lebihan dalam usahanya meningkatkan penglibatan orang-orang Melayu di dalam ekonomi. Kerajaan kemudiannya mengurangkan penekanan terhadap penstrukturan semula sosio-ekonomi apabila rancangan ini berakhir.


frames
frames

Sukan Olimpik 2008 atau secara rasminya dalam bahasa Inggeris: Games of the XXIX Olympiad (Sukan Olimpiad XXIX) merupakan sukan antarabangsa utama yang diadakan di Beijing, Republik Rakyat China dari 8 Ogos hingga 24 Ogos 2008. Seramai 11,028 atlet dari 204 negara (JOK) bertanding dalam 302 acara dalam 28 sukan. Upacara perasmian bermula tepat pada jam 08:08:08 pm CST (12:08:08 UTC) di Stadium Nasional Beijing. Ini merupakan kali pertama China menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, serta kali ketiga bagi negara Asia, selepas Tokyo pada 1964 dan Seoul pada 1988.

Terdapat banyak juga acara sukan yang dipertandingkan di luar Beijing iaitu bola sepak (di Qinhuangdao, Shenyang, dan Tianjin), ekuestrian (di Hong Kong), dan kapal layar (di Qingdao). Ia Olimpik yang ketiga yang dianjurkan dua negara NOC berlainan (Hong Kong dan tanah besar China menganjurkan Olimpik bersama).

Beijing dipilih sebagai tuan rumah oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 13 Julai 2001. Logo rasmi temasya sukan (dinamai "Beijing Menari") menyerupai perkataan 京 (pinyin: jīng, ibu kota), merujuk kepada bandar raya Beijing. Beberapa JOK baru juga didaftarkan oleh IOC.


frames
frames

Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, Malaysia adalah sepasang menara berkembar yang pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia sebelum diatasi oleh Taipei 101. Sungguhpun begitu, kedua-dua menara ini masih merupakan menara berkembar tertinggi di dunia dan juga merupakan bangunan tertinggi pada abad ke-20. Menara Berkembar Petronas memegang gelaran bangunan tertinggi dari tahun 1998 hingga 2004 dari segi ukuran dari aras pintu masuk utama hingga atas struktur, iaitu rujukan ketinggian asli yang digunakan oleh pertubuhan antarabangsa Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar sejak tahun 1969 (tiga kategori ketinggian tambahan diperkenalkan ketika menara ini hampir disiapkan pada tahun 1996).

Menara yang direka oleh jurubina César Pelli dari Argentina ini, siap dibina pada tahun 1998 setelah menelan masa tujuh tahun sehingga menjadi bangunan tertinggi di dunia sewaktu disiapkan. Menara ini dibina di atas tapak lumba kuda Kuala Lumpur. Kedalaman batuan dasar menjadikan bangunan ini dibina pada tapak yang paling dalam di dunia. Tapak sedalam 120 meter itu memerlukan sejumlah konkrit yang berlebihan untuk dibina dalam masa 12 bulan oleh Bachy Soletanche. Menara setinggi 88 tingkat ini banyak dibuat daripada konkrit bertetulang dengan muka bangunan buatan keluli dan kaca yang direka untuk menyerupai motif kesenian Islam untuk mencerminkan agama Islam di Malaysia. Satu lagi pengaruh seni Islam dalam bangunan ini ialah keratan rentas kedua-dua menara yang berbentuk "Rub el Hizb", ditambah dengan bahagian bundar untuk memenuhi keperluan ruang pejabat. Menara 1 dibina oleh konsortium Jepun yang dipimpin oleh Hazama Corporation manakala Menara 2 dibina oleh dua kontraktor Korea Selatan, iaitu Samsung C&T dan Kukdong Engineering & Construction. Jejantasnya pula disiapkan oleh Kukdong.

Rencana pilihan bulan Oktober

Minggu 40 - Minggu 43[sunting | sunting sumber]

Logo Universiti Sains Malaysia
Logo Universiti Sains Malaysia

Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan sebuah universiti awam di Malaysia. Kampus utamanya terletak di Minden, Pulau Pinang. Terdapat tiga kampus lain iaitu satu di Seberang Perai dan satu lagi di Kelantan dan satu "offshore" kampus yang menawarkan kursus sains perubatan di Uttar Pradesh, India. USM mempunyai jumlah pelajar sekitar 29,789 orang pada 2006. Ini menjadikannya ia sebuah universiti terbesar di Malaysia dari segi bilangan pelajar.

Universiti Sains Malaysia merupakan salah sebuah daripada empat universiti yang bertaraf universiti penyelidikan intensif di Malaysia. Ini jelas mencapai misi dan visinya menjadi universiti bertaraf dunia melalui program penyelidikan bertaraf dunia dengan perancangan dan pelaksanaan aktiviti R&D. Universiti ini mendapat sokongan daripada kakitangan akademik dan sumber manusia yang cemerlang untuk menjayakan misinya. Pada 2006, USM mempunyai kira-kira 30,000 pelajar termasuk 7,000 orang bertaraf pascasiswazah. Jumlah pensyarah seramai 1,600 orang. Ini bererti nisbah pensyarah-pelajar ialah 1:23.

USM telah ditubuhkan sebagai universiti kedua di Malaysia pada 1969 dan pertama kali dikenali sebagai Universiti Pulau Pinang. Pada masa yang sama, ia beroperasi di Bukit Gelugor, Pulau Pinang. Pada 1971, kampus USM dialihkan ke kawasan yang berkeluasan 239.4 hektar, yang mana ia merupakan bekas kawasan berek tentera.


Replika Istana Melaka
Replika Istana Melaka

Kesultanan Melayu Melaka (كسلطانن ملايو ملاك) diasaskan oleh seorang putera dari Palembang iaitu Parameswara di antara tahun 1400 hingga tahun 1403. Pada awalnya Melaka bukanlah sebuah kerajaan Islam. Hal ini berubah pada tahun 1409 apabila Parameswara berkahwin dengan puteri dari Pasai. Agama Islam dijadikan sebagai agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka oleh Sultan Muzaffar Syah. Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka berterusan selama lebih satu abad sehinggalah Melaka tewas di tangan penjajah Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 1511. Sultan Mahmud Shah merupakan sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka. Pada 1528, seorang putera baginda Sultan Alauddin Riayat Shah II menubuhkan Kesultanan Johor bagi mewarisi Kesultanan Melaka.

Menurut Sejarah Melayu yang dikarang oleh Tun Sri Lanang pada tahun 1565, Parameswara melarikan diri ke Muar tetapi diganggu oleh biawak yang tidak terkira banyaknya. Penetapan di tempat yang kedua di Kota Burok juga gagal kerana kubu pertahanan yang mereka cuba mendirikan runtuh dengan serta merta. Kemudian Parameswara berpindah ke Sening Ujong. Setelah berada di sana, beliau melantik seorang menteri untuk mewakili dirinya dan kemudiannya beliau tiba di Sungai Bertam, iaitu suatu kawasan persisiran pantai. Ketika itu, orang-orang Seletar mendiami di situ dan mereka meminta Parameswara menjadi raja.

Semasa berburu di muara Sungai Bertam, Parameswara ternampak seekor pelanduk menendang salah seekor daripada anjing-anjing pemburunya. Parameswara tertarik dengan kegagahan pelanduk itu lalu beliau memutuskan membina sebuah penempatan di kawasan tersebut. Selepas menanyakan nama pokok (Pokok Melaka) yang diteduhnya, Parameswara menamakan tempat itu "Melaka".


Geng: Pengembaraan Bermula
Geng: Pengembaraan Bermula

Geng: Pengembaraan Bermula (juga Geng: The Adventure Begins untuk pasaran luar negara, asalnya Geng: Misteri Hantu Durian) dilaungkan sebagai filem ceritera animasi 3D CGI pertama yang dihasilkan di Malaysia. Filem yang telah dibangunkan oleh syarikat Les' Copaque Production (LCP) ini menemui penonton di pawagam-pawagam seluruh Malaysia pada 12 Februari 2009.

Filem Geng dilancarkan di sebuah majlis pelancaran pada 11 September 2007 bersama-sama siri animasi pendek Upin & Ipin yang berikatan dengan filem berkenaan. Pembikinan filem ini turut mendapat sokongan padu pelbagai pihak seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dengan sumbangan lain seperti wang tunai sebanyak RM1 juta. Selain itu, Kementerian Pelancongan Malaysia turut menyalurkan kewangan sebanyak RM200,000 untuk mempromosikan Malaysia melalui filem ini. Penerbitan filem ini bermula selepas LCP ditubuhkan pada Disember 2005 dan mengambil masa selasa lapan bulan untuk penyelidikan berkaitan animasi dunia.

Setelah disiapkan, filem Geng mula ditayangkan selama tujuh minggu mulai 12 Februari 2009 di 56 buah pawagam seluruh negara. Dilaporkan bahawa filem Geng berjaya mengaut kutipan mencecah RM 6,314,526 pada hari pembukaan hingga 1 April, yang boleh ditafsirkan sebagai sumbangan 813,604 penonton dari sebanyak 55 buah pawagam, sekaligus menjadi filem tempatan yang paling banyak hasil kutipan pawagamnya di Malaysia sepanjang tahun 2009.


Hari Deepavali (Hindi: दिपावली, Tamil: தீபாவளி) juga dikenali sebagai Diwali dan Divali (Hindi: दीवाली) merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya.

Menurut lagenda, Raja Naragasura yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasura meminta semua manusia agar mereka merayai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia.

Rencana pilihan bulan November
Salah satu penerbitan awal bagi mempelajari bahasa Melayu di Jepun.
Salah satu penerbitan awal bagi mempelajari bahasa Melayu di Jepun.

Bahasa Melayu (Jawi: بهاس ملايو) ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia, Indonesia dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lalu. Walaupun asal usul bangsa Melayu (dalam pengertian yang khusus) yang paling asal belum diketahui secara pasti tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang. Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 682 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan.

Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia dan Brunei, serta salah satu bahasa rasmi di Singapura. Di Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia dan di Malaysia, bahasa Melayu secara rasminya dipanggil bahasa Malaysia. Selain daripada keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Selatan Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan. Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/Urdu.


Pengguna:26 Ramadan/Laman Utama/Kotak Pasir/Rencana pilihan/45


Jata negara Kanada.
Jata negara Kanada.

Kanada (كنادا) (Inggeris dan Perancis: Canada) ialah sebuah negara yang terdiri daripada sepuluh buah negeri dan tiga buah wilayah. Terletak di bahagian utara benua Amerika Utara, Kanada menjangkau dari Lautan Atlantik di timur hingga Lautan Pasifik di barat serta Lautan Artik di utara. Ia merupakan negara kedua paling luas di dunia. Sempadan Kanada dengan Amerika Syarikat di selatan dan barat laut adalah sempadan antarabangsa terpanjang di dunia.

Kanada merupakan sebuah negara persekutuan yang ditadbir mengikut sistem demokrasi berparlimen dan negara raja berperlembagaan dengan Ratu Elizabeth II selaku ketua negara. Ia merupakan sebuah negara dwibahasa yang menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi di peringkat persekutuan. Dengan mencatat Indeks Pembangunan Insan kelapan tertinggi di dunia, Kanada adalah antara negara yang menikmati taraf hidup yang tertinggi di dunia.


Potret Walt Disney
Potret Walt Disney

Walter Elias Disney atau lebih dikenali sebagai Walt Disney (5 Disember 190115 Disember 1966) adalah penerbit filem, sutradara, juruanimasi dan pelakon suara berbangsa Amerika Syarikat yang terkemuka dan kuat berpengaruh dalam bidang hiburan pada abad ke-20. Sebagai pengasas Walt Disney Productions (bersama abangnya Roy O. Disney), Disney salah seorang penerbit filem tersohor di dunia. Perbadanan yang diasaskannya, kini dikenali sebagai The Walt Disney Company, kini menikmati hasil pendapatan tahunan sebanyak lebih kurang AS$ 35 bilion.

Disney terkenal khususnya sebagai seorang penerbit filem dan pengusaha hiburan yang cemerlang, di samping menunjukkan daya inovasi dalam bidang animasi dan reka bentuk taman tema. Beliau bersama kakitangannya telah menghasilkan sebilangan besar watak cereka terkenal termasuk watak animasi Mickey Mouse yang pernah disuarakan oleh Disney sendiri selaku pelakon suara sulungnya. Beliau meraih 59 pencalonan Anugerah Akademi, termasuk 26 yang dimenanginya yang menjadikannya individu yang paling banyak memenangi anugerah dan pencalonan Oscar dalam sejarah. Selain itu, beliau juga meraih tujuh Anugerah Emmy. Taman-taman tema Disneyland dan Walt Disney World Resort di Amerika Syarikat, Jepun, Perancis dan China dinamakan sempena beliau.

Rencana pilihan bulan Disember
Lambang negara Malaysia
Lambang negara Malaysia

Malaysia (Jawi: مليسيا) ialah sebuah negara raja berperlembagaan persekutuan di Asia Tenggara yang terdiri daripada tiga belas negeri dan tiga wilayah persekutuan, yang menduduki bumi berkeluasan 329,847 kilometer persegi (127,350 batu²). Malaysia terbahagi kepada dua kawasan yang mengapit Laut China Selatan iaitu Semenanjung Malaysia dan Borneo Malaysia (juga Malaysia Barat dan Timur). Malaysia berkongsi sempadan darat dengan Thailand, Indonesia dan Brunei serta juga sempadan laut dengan Singapura dan Filipina. Ibu negara Malaysia ialah Kuala Lumpur, manakala Putrajaya merupakan pusat kerajaan persekutuan.

Malaysia berakar-umbikan Kerajaan-Kerajaan Melayu yang wujud di wilayahnya dan menjadi taklukan Empayar British sejak abad ke-18. Wilayah British pertama di sini dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat. Semenanjung Malaysia yang ketika itu dikenali sebagai Tanah Melayu atau Malaya, mula-mula disatukan di bawah komanwel pada tahun 1946 sebelum menjadi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Pada tahun 1963, Tanah Melayu bersatu dengan negeri Sabah, Sarawak dan Singapura. Pada tahun 1965, Singapura keluar dari persekutuan untuk menjadi negara kota yang bebas. Semenjak itu, Malaysia menikmati antara ekonomi yang terbaik di Asia dengan purata pertumbuhan keluaran dalam negara kasarnya (KDNK) kira-kira 6.5% selama 50 tahun pertama kemerdekaannya.


KLIA
KLIA

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Inggeris: Kuala Lumpur International Airport, KLIA) (IATA: KUL, ICAO: WMKK) merupakan salah satu hab penerbangan yang terpenting di rantau Asia Tenggara selain Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan Lapangan Terbang Changi Singapura. Lapangan terbang ini merupakan lapangan terbang utama di Malaysia dan merupakan yang terbesar di negara ini. Ia terletak di daerah Sepang, Selangor dan hampir 50 kilometer jaraknya dari ibu negara, Kuala Lumpur.

Dibina dengan kos mencecah AS$ 3.5 bilion, KLIA akhirnya dibuka secara rasmi pada 27 Jun 1998. Lapangan terbang ini boleh menampung sebanyak 35 juta penumpang setahun dan 1.2 juta tan metrik kargo dalam fasa pembinaannya sekarang. Lapangan terbang ini telah menduduki tempat yang ke-13 di dunia dari segi bilangan penumpang asing di mana sebanyak 24,129,748 penumpang telah menggunakan lapangan terbang ini pada tahun 2006. Pada tahun yang sama, lapangan terbang ini juga telah mengendalikan 677,446 tan metrik kargo untuk menduduki tempat ke-30 di dunia dari segi pengendalian kargo.

Lapangan terbang ini diuruskan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan merupakan hab utama bagi Malaysia Airlines, MASkargo, AirAsia dan AirAsia X. KLIA juga merupakan perhentian untuk "Laluan Kanggaru" bagi Malaysia Airlines. Slogan lapangan terbang ini ialah "Membawa Dunia Ke Malaysia Dan Malaysia Ke Dunia" (Bringing the World to Malaysia and Malaysia to the World).


Pengguna:26 Ramadan/Laman Utama/Kotak Pasir/Rencana pilihan/50


Pengguna:26 Ramadan/Laman Utama/Kotak Pasir/Rencana pilihan/51


Pengguna:26 Ramadan/Laman Utama/Kotak Pasir/Rencana pilihan/52

Lihat juga[sunting | sunting sumber]