Pengguna:KLITE789/Search

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

PERINGATAN: Laman ini merupakan DRAF. Jangan apa-apakan laman ini melainkan anda ingin memberi sumbangan kepada isi rencana ini.[sunting | sunting sumber]

DRAF INI SIAP DAN SUDAH DIMASUKKAN KE DALAM RENCANA Search YANG SEBENAR. ;)

Search ialah sebuah kugiran muzik yang dikenali sebagai salah sebuah pelopor muzik rock dalam bidang muzik arus perdana Malaysia semenjak dekad 1980-an. Semenjak dibentuk pada tahun 1981, kugiran ini telah menghasilkan lebih 20 album studio yang terjual laris, berpuluh-puluh lagu yang disambut hangat di corong radio, puluhan lagi konsert yang sering terjual habis tiketnya, sepanjang sejarah mencecah tiga dekad dalam industri muzik Malaysia, menjadikan mereka antara kugiran rock yang terunggul di Malaysia sepanjang tahun 1980-an dan 1990-an, sebelum kegiatan mereka sedikit sebanyak merudum pada 2000-an.

Biografi[sunting | sunting sumber]

1980-an[sunting | sunting sumber]

Ketika diasaskan di Johor Bahru pada tahun 1981, kumpulan Search dianggotai oleh Zainal sebagai penyanyi, Hillary Ang sebagai pemain gitar, Nasir Daud sebagai pemain gitar bes dan Yazit sebagai pemain dram. Belum sempat mendapat peluang merakam album untuk dipasarkan, Zainal meninggalkan kumpulan Search yang masih baru itu untuk membentuk kugiran baru bernama RamPa (maka nama gelaran Zainal menjadi "Zainal Rampa"). Penggantinya, Suhaimi Abdul Rahman, atau lebih dikenali sebagai "Amy", menggantikan tempat Zainal sebelum kugiran Search menandatangani kontrak rakaman pertama bersama Polygram Records di Singapura pada pertengahan 1980-an.

Tiga buah album studio terawal mereka, iaitu Cinta Buatan Malaysia (1985)[1], Langit dan Bumi (1986)[2], dan Mentari Merah di Ufuk Timur[3], dirakam di Lion Studio, Singapura dengan M. Nasir sebagai penerbit. Dengan album-album ini, mereka cepat mendapat perhatian peminat muzik Malaysia. Album Cinta Buatan Malaysia dibantu oleh Yan dan Man Kidal dari kugiran Lefthanded sebagai pemuzik undangan. Hillary Ang pula hanya melibatkan diri dalam album Langit dan Bumi dan Mentari Merah saat bersama Polygram.

Persembahan live mereka sebagai sebuah kugiran terkenal adalah sebagai artis jemputan di Konsert Battle Of The Bands di Stadium Negara, Kuala Lumpur, pada 2 Februari 1986, diikuti konsert sendiri pertama mereka iaitu Konsert Terbuka Search di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur pada tahun yang sama.[4]

Kumpulan Search juga ditampilkan sebagai bahan penceritaan dalam filem dokumentari Kembara... Seniman Jalanan arahan Nasir Jani yang keluar pada tahun 1986.[5] Anugerah utama sulung mereka sebagai kugiran ialah anugerah Penyanyi Berkumpulan Popular di Anugerah Pelakon/Penyanyi Popular Berita Harian pada tahun 1987.

Album Cinta Buatan Malaysia, Langit dan Bumi, dan Mentari Merah di Ufuk Timur, masing-masing terjual lebih 20,000, 30,000 dan 50,000 unit, membolehkan syarikat rakaman mereka memperoleh Anugerah Emas untuk dua album pertama dan Anugerah Platinum untuk album ketiga itu. Walau bagaimanapun, Polygram Records tidak menyerahkan anugerah-anugerah tersebut kepada Search sebaik sahaja mereka tamat kontrak mereka pada tahun 1987.[4] Apapun, walaupun sudah meninggalkan Polygram, Polygram sempat menerbitkan dua lagi 'album studio' (sebenarnya album himpunan) dengan nama Search, iaitu Di Pintu Sepi dan Berpaling yang memuatkan lagu lama dan lagu baru yang dirakam oleh mereka ketika sesi pembikinan album Mentari Merah itu, di samping dua jilid album himpunan Koleksi Terbaik, semuanya pada tahun 1988.

Sepanjang tahun 1988, mereka mengadakan lima buah konsert di Malaysia, setiap satunya bersama sebuah lagi kugiran, iaitu Gersang (Kota Bharu, 5 April; Kuala Lumpur, 9 April); dan Mega (Johor Bahru, 7 dan 8 Oktober; Kluang, 10 Oktober; Stadium Negara Kuala Lumpur, 3 Disember)[6], diikuti persembahan pertama mereka di luar negara bersama dua kugiran Thailand di Bangkok, di ambang tahun baru 1989.[4]

Selepas meninggalkan Polygram, kumpulan Search beralih ke Pacific Records (kemudian bertukar nama menjadi BMG Pacific) sebagai label edaran, menubuhkan syarikat rakaman sendiri iaitu Go-Search Sdn Bhd (di mana kelak mereka merakam semua albumnya sepanjang 1990-an) dan merakam album hit pertama mereka di bawah label itu, Fenomena untuk dikeluarkan pada tahun 1989. Album ini juga merupakan album studio pertama mereka yang terdapat dalam bentuk cakera padat yang keluar setahun selepas versi kasetnya.[7] Walau bagaimanapun, Hillary Ang meninggalkan kugiran ini di tengah-tengah sesi rakaman album ini untuk mengejar kerjaya solo.[7] Dalam album inilah termuatnya lagu malar hijau "Isabella".

Sepanjang tahun 1989, mereka juga semakin aktif membuat persembahan live, termasuk jelajah Konsert Isabella yang diadakan di Kota Bharu, Alor Star dan Kuala Lumpur pada pertengahan tahun itu, kemudian dilanjutkan ke tahun 1990 di Kuantan dan Jakarta, Indonesia.[4]

1990-an[sunting | sunting sumber]

Search memuka tirai dekad 1990-an dengan mengeluarkan album Karisma.[8] Album tersebut terjual lebih dari 150,000 unit di Malaysia dan 200,000 ribu unit di Indonesia.[9] Mereka sekali lagi berlakon dalam dua buah filem pawagam, iaitu muzikal Fenomena dan drama cinta Isabella,[4] yang diilhamkan oleh lagu "Isabella".[10] Kedua-dua filem ini dibintangi oleh Amy, dan sedikit sebanyak mengundang kontroversi kerana terdapat adegan berciuman.[11] Sepanjang tahun 1990 juga, kugiran Search bersama Ella dan Wings mengadakan jelajah Konsert Revolusi Salem di seluruh negara, di samping menyambungkan jelajah Isabella di Kuantan dan Jakarta seperti yang disebut tadi.[4] Tidak lama setelah album Karisma diterbitkan, Nasir Daud meninggalkan Search untuk menubuhkan syarikat penerbitan sendiri iaitu Dangooroos.[8]

Pada tahun 1991, kumpulan Search meraikan ulang tahun ke-10 penubuhannya dengan mengeluarkan album himpunan Sepuluh Tahun yang memuatkan 10 lagu hit lama dan dua lagu baru.[12] Pada tashun ini juga, mereka berpeluang untuk melebarkan sayap populariti mereka merentas benua untuk beraksi di pesta New Music Nights di Cat Club, Bandaraya New York, Amerika Syarikat, pada bulan Julai[13], sebelum kembali ke tanahair untuk Konsert Karisma di Stadium Negara, Kuala Lumpur, sebulan kemudian.[4]

Pada tahun 1992, giliran kumpulan Search menjadi penerbit album sendiri dalam merakam album pertama dengan penglibatan M. Nasir sebagai penasihat penerbitan sahaja, bermula dengan album Rampage[14], yang juga diiringi oleh Konsert Rampage di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada bulan November. Pada tahun yang sama, mereka berkolaborasi dengan kumpulan Wings untuk menghasilkan album Double Trouble.

Walaupun menikmati populariti yang luar biasa, namun mereka menghadapi rintangan dari pihak media, khususnya penyiar milik negara RTM yang melarang penyanyi lelaki berambut terlalu panjang dari siaran radio dan TV-nya. Oleh itu, pada November 1992, Amy bersama Awie dari kumpulan Wings menerima potongan rambut dari Menteri Penerangan ketika itu, Mohamad Rahmat, agar dapat membuat kemunculan di corong radio dan TV penyiar awam itu.[15] Walau bagaimanapun, RTM kelihatan tidak menepati janjinya, sehingga menerima kecaman dari Amy sendiri untuk mengingatkan mereka pada tahun berikutnya.[16]

Pada pertengahan tahun 1993, ketua jabatan media cetak dan elektronik BMG Pacific, Rozita Ramli mengeluarkan kenyataan bahawa seorang wartawan berbangsa Belanda tiba di Malaysia untuk menemu bual Amy, gara-gara populariti sebuah lagu yang dikatakan menempa nama di negara Eropah tersebut, iaitu "Fantasia Bulan Madu".[17] Gara-gara kesempitan dana, Search dan Wings [17]

Pada tahun 1994, Amy melancarkan kerjaya solonya dengan album berjudul Magic[18], sementara kegiatan kugirannya berkurangan dengan hanya satu konsert di Shah Alam, satu EP remix dan satu album himpunan tanpa lagu baru, iaitu Terbaik. Pada tahun berikutnya, Nasir Daud kembali ke kumpulan Search untuk merakam album Gema di Timur Jauh[19] dan mengadakan dua konsert bersempena album ini di Shah Alam (9 Jun) dan Kuala Lumpur (18 Oktober) yang turut menyumbang kepada album live berjudul Gema di Timur Jauh Unplugged (yang banyak berbeza himpunan lagunya dari album Gema asal). Album unplugged pertama kumpulan Search ini telah terjual lebih dari 100,000 unit.[9]

Kugiran Search mengeluarkan album lagi pada tahun 1996 iaitu Rock 'N' Roll Pie sempena ulang tahun mereka yang ke-15, kali ini melibatkan hasil karya penulis lagu tempatan dan antarabangsa (termasuk Klaus Meine dari kumpulan Scorpions dari Jerman). Pada Oktober tahun itu, mereka bersama Ramlah Ram mewakili Malaysia di pesta muzik Hanoi-Asean Golden Song Festival yang disertai di Vietnam.[20] Pada tahun berikutnya, kugiran ini mengadakan Konsert Rock 'N' Roll Pie di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, yang dirakam untuk siaran di TV3 dan keluaran album, di samping Amy mengeluarkan album solo keduanya, Camouflage.

Selepas penyertaan Fauzi sebagai pemain gitar bes baru yang menggantikan Nasir Daud yang meninggalkan kugiran ini buat kali kedua, Kumpulan Search sekali lagi berganding bahu dengan kumpulan Wings (yang ketika ini diterajui oleh Mus) untuk mengeluarkan album Double Trouble 2 untuk dipasarkan pada awal tahun 1998. Akan tetapi, pada tahun inilah kugiran Search mengalami saat paling getir apabila Amy meninggalkan kugirannya di tengah-tengah usaha merakam album baru untuk memberi tumpuan kepada kerjaya solonya,[21] tidak lama kemudian meninggalkan BMG untuk menyertai label Sony Music.[22]

Sebagai pelengkap album yang berjudul Bikin Wilayah, mereka mengundang Awie sebagai penyanyi jemputan dan menyebut namanya di kulit album keluaran akhir tahun 1998 itu. Akan tetapi, kumpulan Search sudah di ambang perpecahan apabila Kid, Noordin dan Fauzi meninggalkan kumpulan itu, meninggalkan Yazid sebagai satu-satunya anggota asal Search yang tinggal.[23] Pada tahun 1999, penyanyi Moq dan gitaris Shah dibawa masuk ke kugiran ini untuk menyempurnakan Selepas Banjir, album terakhir di bawah nama Search, sebelum kugiran itu dibubarkan secara rasmi pada tahun 2001.[24]

2000-an[sunting | sunting sumber]

Walaupun tidak aktif sepanjang awal dekad pertama alaf ketiga, tidak kurangnya album kompilasi yang dikeluarkan dengan nama Search, diisi lagu-lagu terpilih kumpulan rock ini, tidak lupa juga keluaran semula album Fenomena dan Gema di Timur Jauh yang menjalani usaha baik pulih digital. Yazid, Moq, dan Sham pula meneruskan perjuangan mereka dalam seni muzik tanahair dengan membentuk kugiran Rampage, sementara Amy giat mengusahakan kerjaya solonya yang melahirkan tiga album di bawah label Sony (kemudian menjadi Sony BMG): Aku, Suatu Masa dan IKON: A Rockstar Chronicle.

Setelah terpisah selama lapan tahun, media mengesahkan bahawa Amy, Nasir Daud, Hillary Ang dan Yazid Ahmad kembali membangkitkan kugiran Search pada awal tahun 2006, untuk merakam album baru sekali lagi, di samping memperkenalkan tapak sesawang rasmi mereka, Dunia Search. Amy melaporkan bahawa tapak web tersebut dikunjungi 200,000 kali sepanjang minggu pertamanya.[25] Single pertama mereka sejak tujuh tahun menyepi, Ying dan Yang yang boleh dimuat turun dari laman web tersebut, merupakan sebuah single dari EP Empire Garden. Bagaimanapun, EP tersebut tidak dapat dipasarkan atas masalah-masalah teknikal.[9] Serentak dengan Empire Garden, mereka mengusahakan album Gothik Malam Edan yang berjaya diterbitkan pada pertengahan tahun 2006, kali ini di bawah label edaran Life Records dan syarikat rakaman Neo Digital Sdn Bhd.

Pada tahun 2006 juga, Search mengumumkan konsert S2 Celebration sempena ulang tahun mereka yang ke-25, bergandingan dengan kumpulan Slank dari Indonesia, yang dijadualkan berlangsung pada 4 Januari 2007 di Stadium Merdeka. Bagaimanapun, kumpulan Search menarik diri pada saat-saat akhir, kononnya sebagai tanda penghormatan kepada mangsa-mangsa banjir yang melanda Kota Tinggi, Johor pada bulan sebelumnya, maka tinggalnya Slank dengan bantuan kugiran Spider dan Wings. Akibatnya, konsert yang menantikan kedatangan 20,000 peminat menjadi hambar dengan kehadiran 7,000 orang sahaja, dilaporkan kebanyakannya berasal dari Indonesia.[26]

Pada tahun 2008, Amy Search mencuri perhatian media Nusantara dengan meluahkan perasaan tidak senang hati atas kecenderungan stesen radio Malaysia yang seakan-akan mengutamakan lagu Indonesia.[27]

Pada tahun 2009, Search menganjurkan jelajah "Konsert Penghargaan Search di Awan Biru" yang dilangsungkan di 11 tempat di seluruh negara, termasuk tiga di Malaysia Timur. Jelajah yang menerima sokongan dari penaja utamanya Celcom[28] ini bermula dengan konsert pembukaan di Seberang Perai pada 2 Mei[29] hingga konsert kemuncak di Kuala Lumpur pada 1 Ogos. Konsert terakhir yang dilangsungkan di padang Polo Pavilion, Kelab Ekuestrian, Bukit Kiara itu dilaporkan menarik 25,000 peminat.[30]

Perkembangan semasa[sunting | sunting sumber]

Kumpulan Search dijadualkan mengadakan jelajah Eropah di Dublin, London dan Liverpool pada 12 hingga 22 Februari, dengan kumpulan Hujan untuk persembahan pembukaan.[31] Pada bulan seterusnya, Amy bakal membintangi pementasan muzikal Suatu Masa Amy yang "bukan berbentuk rock" di Istana Budaya dari 26 hingga 28 Mac.[32]

Warisan dan pengaruh[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Cinta Buatan Malaysia, MuzikROCK. Dicapai pada 17 Januari 2010.
  2. ^ Langit Dan Bumi, MuzikROCK. Dicapai pada 17 Januari 2010.
  3. ^ Mentari Merah di Ufuk Timur, MuzikROCK. Dicapai pada 17 Januari 2010.
  4. ^ a b c d e f g Search, Muzik Rock. Dicapai pada 17 Januari 2010.
  5. ^ Kembara... Seniman Jalanan, Muzik Rock. Dicapai pada 17 Januari 2010.
  6. ^ R.S. Murthi (8 Disember 1988). "Night of sheer beastly noise". Times Two (New Straits Times). m/s. 19. Dicapai pada 17 Januari 2010.
  7. ^ a b Fenomena, Muzik Rock. Dicapai pada 17 Januari 2010.
  8. ^ a b Karisma, Muzik Rock. Dicapai pada 17 Januari 2010.
  9. ^ a b c Budiey Isma (15 April 2009). "Gambar Search di Sidang Media Tour Konsert Search Di Awan Biru". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 21 Januari 2010.
  10. ^ Saleha Ali (23 Mei 1990). "Having fun 'canning' Isabella". New Straits Times (Times Two). m/s. 10. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  11. ^ Lim, Elaine (27 Ogos 1990). "Pulling 'em in with Search and hype". New Straits Times (Times Two). m/s. 25. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  12. ^ Sepuluh Tahun, Muzik Rock. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  13. ^ Tiong, John (8 Julai 1991). "Search looks for New York break". New Straits Times. m/s. 27. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  14. ^ Rampage (1992), Muzik Rock. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  15. ^ "Haircuts end rock group ban". The Times. Associated Press. 2 November 1992. m/s. 13A. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  16. ^ "Protes ke RTM". Tempo. 30 Oktober 1993. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  17. ^ a b "Rock group Search a hit in Holland". New Straits Times (City News). 6 Ogos 1993. m/s. 10. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  18. ^ Magic (1994), Muzik Rock. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  19. ^ Gema Di Timur Jauh, Muzik Rock. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  20. ^ "Malaysian artistes at song fest". New Straits Times. 4 Ocotber 1996. m/s. 19. Dicapai pada 21 Januari 2010. Check date values in: |date= (bantuan)
  21. ^ Zainal Alam Kadir (21 Mac 1998). "Search is still on". New Straits Times (Weekend Life & Times). m/s. 4. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  22. ^ Zainal Alam Kadir (30 Disember 1998). "In music, it's all in the stars". New Straits Times (Life & Times). m/s. 3. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  23. ^ Bikin Wilayah, Muzik ROCK. Dicapai pada 21 Januari 2010.
  24. ^ Selepas Banjir, Muzik ROCK. Dicapai pada 21 Januari 2010.
  25. ^ N. Rama Lohan (28 April 2006). "Search ready to rock again". The Star Online. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  26. ^ Wahida Asrani (7 Januari 2007). "Konsert S2 Celebration hilang bisa kerana Search?". mStar Online. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  27. ^ Ary Hermawan dan Desy Nurhayati (5 September 2008). [Malaysia, Indonesia quarrel turns to music "Malaysia, Indonesia quarrel turns to music"] Check |url= value (bantuan). The Jakarta Post. Dicapai pada 19 Januari 2010.
  28. ^ . Bernama. Missing or empty |title= (bantuan); |access-date= requires |url= (bantuan)
  29. ^ "Jelajah Awan Biru Search: Sepintas Lalu". gua.com.my. 1 Jun 2009. Dicapai pada 22 Januari 2010.
  30. ^ Abd Aziz Itar (4 Ogos 2009). "Sayang sistem bunyi 'hancur'". Utusan Online. Dicapai pada 22 Januari 2010.
  31. ^ Siti Azira Abd Aziz (14 Januari 2010). "Search Jelajah Eropah Februari Ini". mStar Online. Unknown parameter |accessdare= ignored (bantuan)
  32. ^ Rizal Johan (20 Januari 2010). "Amy Search turns to musical". The Star Online. Unknown parameter |accessdare= ignored (bantuan)

Kod wiki yang berguna[sunting | sunting sumber]

<ref name=search01/>
<ref>[ ], Muzik Rock. Dicapai pada 19 Januari 2010.</ref>
<ref>{{cite news|title= |author= |work= |page= |date= |url= |accessdate= }}</ref>